Rabu, 28 Mac 2018

48:1-4 Tafsir Surah Al Fath, ayat 1-4

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا (١) لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا (٢)وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا (٣)هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (٤)

Dalam bulan Zul Qa'dah tahun enam Hijriah, Rasulullah s.a.w. bersama seribu empat ratus sahabatnya menuju ke Masjidil Haram menunaikan Umrahnya. Mereka di halang-halangi oleh kaum musyrik untuk dapat sampai ke tujuannya.

Kemudian mereka berubah sikap dan cenderung mengadakan perjanjian perdamaian serta gencatan senjata, dengan ketentuan hendaknya tahun itu Nabi s.a.w. kembali ke Madinah dan boleh ke Mekah tahun depannya.

Nabi s.a.w. menerima persyaratan tersebut. Namun sejumlah sahabatnya tidak suka. Di antara mereka yang tidak suka adalah Umar ibnul Khattab r.a. Ketika Rasulullah s.a.w. kembali dari Hudaibiyah Allah s.w.t. menurunkan kepadanya firmanNya,

"1. Sungguh Kami bukakan kepadamu kemenangan yang nyata,"

Seseorang dari sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah itu petanda kemenangan?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya, demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya wahyu ini benar-benar (petanda) kemenangan."

Kemenangan jelas dan yang nyata itu ialah Perjanjian (perdamaian) Hudaibiyah. Perjanjian tersebut mengandung banyak maslahat bagi kepentingan Nabi s.a.w. dan kemenangan di masa mendatang akan berpihak kepadanya. Telah diraih kebaikan yang berlimpah dengan melaluinya.

Orang ramai merasakan kemananan. Orang mukmin berbicara dengan orang kafir. Mereka bersatu. Setiap orang mukmin bebas berdakwah. Orang yang ingin mengetahui hakikat Islam dapat mengetahuinya. Tersebarlah ilmu yang bermanfaat dan iman.

Dakwah kepada agama Allah semakin meluas. Pada masa itu ramai orang beriman dan memeluk Islam. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. menamainya dengan kemenangan dan menyifatinya bahawa kemenangan tersebut adalah kemenangan yang nyata, iaitu jelas.

Maksud menaklukkan negeri-negeri orang-orang musyrik adalah untuk menguatkan agama Allah dan memenangkan kaum muslimin, dan hal ini tercapai dengannya. Dari Fath (kemenangan) ini, Allah s.w.t. mewujudkan beberapa hal.

Semasa kepulangan Nabi s.a.w. dari Hudaibiyah, Beliau bersabda, "Sesungguhnya tadi malam telah diturunkan kepadaku suatu ayat (surah) yang lebih aku sukai daripada semua yang ada di muka bumi ini. Kemudian Nabi s.a.w. membacakannya kepada mereka,

"2. Agar mengampuni kamu Allah apa yang telah lalu dari dosamu dan apa yang akan datang"

Supaya Dia memberi ampunan kepada Beliau s.a.w. terhadap dosanya yang telah lalu dan yang akan datang. Hal ini merupakan keutamaan, kemulian dan kehormatan yang besar untuk Beliau s.a.w. Kekhususan ini hanya bagi diri Beliau yang tiada seorang pun menyainginya.

Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila solat banyak berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Maka berkatalah kepada Beliau Aisyah r.a., "Wahai Rasulullah, mengapa engkau lakukan hal ini, padahal Allah telah memberikan ampunan bagimu terhadap dosamu yang terdahulu dan yang akan datang?" Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Wahai Aisyah, bukankah aku ini adalah seorang hamba yang banyak bersyukur?"

Setelah diturunkan ayat ini, para sahabat berkata, "Selamatlah bagimu, yaNabiyullah. Allah telah menerangkan apa yang akan Dia lakukan untukmu, lalu apakah yang akan Dia lakukan untuk kami?" Maka turunlah kepada Nabi s.a.w. surah Al Fath ayat ke 5.

"dan Dia menyempurnakan nikmatNya kepadamu"

Supaya Dia menyempurnakan nikmatNya di dunia dan akhirat atas Beliau s.a.w. dengan menguatkan agamaNya, menolong Beliau terhadap musuh-musuhnya dan menjadikan kalimatNya tinggi.

"dan memberi petunjuk padamu jalan yang lurus,"

Supaya Dia memimpin Beliau s.a.w. kepada jalan yang lurus melalui syariat yang agung dan agama yang lurus yang Dia perintahkan kepada Beliau. Dengan petunjuk itu seseorang akan mendapatkan kebahagiaan yang kekal dan keberuntungan yang selamanya.

Beliau s.a.w. adalah hamba Allah yang paling menghormati perintah-perintah dan larangan-laranganNya. Beliau s.a.w. dalam semua urusannya sentiasa taat, berbakti dan istiwamah dalam tingkatan yang belum pernah diraih oleh seorang manusia pun, baik dari kalangan orang-orang terdahulu maupun orang-orang yang kemudian.

Beliau s.a.w. sedia memikul syarat-syarat yang tidak ada yang sabar kecuali para rasul ulul ‘azmi. Beliau s.a.w. adalah manusia yang paling sempurna secara mutlak dan penghulu mereka di dunia dan akhirat. Manusia masuk ke dalam agama Allah dalam jumlah besar.

"3. Dan Allah akan menolongmu pertolongan yang kuat."

Supaya Allah menolong Beliau s.a.w. dengan pertolongan yang banyak. Islam tidak menjadi rendah, bahkan akan menang. Orang-orang kafir akan dikalahkan, hina dan rendah, sedangkan kaum muslimin semakin kuat, banyak jumlahnya dan berkembang.

Hal ini kerana Beliau s.a.w. tunduk kepada perintah Allah, maka Dia meninggikan Beliau dan menolongnya dalam menghadapi musuh-musuhnya.

Disebutkan di dalam hadis sahih, "Tidak sekali-kali Allah menambah maafNya kepada seseorang hamba, melainkan menambahkan kepadanya kemuliaan; dan tidaklah seseorang berendah diri kerana Allah s.w.t., melainkan Allah akan meninggikannya."

Selanjutnya Allah s.w.t. menyebutkan atsar (pengaruh) dari fath tersebut.

"4. Dialah yang menurunkan ketenangan dalam hati orang-orang mukmin agar bertambah keimanan bersama keimanan mereka."

Sakinah bermaksud ketenangan dan rahmat. Allah s.w.t. memberikan nikmatNya kepada kaum mukmin dengan menurunkan ketenangan dan keteguhan ke dalam hati mereka ketika menghadapi ujian, cobaan dan perkara-perkara yang sulit yang mengacaukan hati dan menggelisahkan fikiran serta melemahkan jiwa.

Demikian itu agar mereka sedia menerima beban-beban yang berat itu dengan hati yang kukuh dan jiwa yang tenang, sehingga hambaNya sedia menegakkan perintah Allah dalam keadaan ini, imannya menjadi bertambah dan keyakinannya menjadi sempurna.

Ketika Rasulullah s.a.w. mengadakan Perjanjian Hudaibiyah, orang-orang musyrik merendahkan kemuliaan para sahabat r.a. Hal itu membuat hati setiap orang menjadi tidak mampu bersabar. Namun, mereka bersabar, memenuhi seruan Allah dan rasulNya serta tunduk patuh kepada hukum Allah dan rasulNya.

Setelah hati mereka tenang dan tenteram, maka Allah menambahkan kepada mereka keimanan selain dari keimanan yang telah ada pada diri mereka. Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa iman itu ada tingkatan-tingkatannya.

"Dan milik Allah bala tentera langit dan bumi"

Bala tentera langit dan bumi ialah penolong yang diadakan Allah untuk orang-orang mukmin seperti malaikat-malaikat, binatang-binatang, angin taufan dan sebagainya. Semua itu adalah milikNya, di bawah kepengaturanNya dan kekuasaanNya.

Seandainya Dia menghendaki membela agamaNya dengan selain kaum mukmin, boleh saja Dia melancarkan pembalasan terhadap orang-orang kafir. Jika Dia mengirimkan terhadap mereka seorang malaikat, tentulah malaikat itu dapat membinasakan mereka semua.

Tetapi Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk berjihad dan berperang. Di dalam perintah ini terkandung hikmah yang mendalam, hujah yang mematahkan dan bukti yang jelas.

"dan Allah Maha Mengetahui Mahabijaksana,"

HikmahNya menghendaki adanya penggiliran bahagian pada manusia dan ditundaNya kemenangan kaum mukmin sampai waktu tertentu. Allah pasti menolong agamaNya dan nabiNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...