Rabu, 28 Mac 2018

61:10-14 Tafsir Surah As Saf, ayat 10-14.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (١٠) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (١١) يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١٢) وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (١٣) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ (١٤)

Para sahabat berkeinginan untuk menanyakan kepada Rasulullah s.a.w. tentang amal yang paling disukai Allah s.w.t dan paling afdal (utama) untuk mereka kerjakan. Maka Allah s.w.t. menurunkan surah ini, yang antara lain ialah firmanNya,

"10. Wahai orang-orang yang beriman! Apakah Aku tunjukkan kepada perdagangan menyelamatkan kalian dari azab yang pedih?" 

Mahukah atau sukakah kalian Aku tunjukkan suatu perniagaan yang yang paling besar, menguntungkan, tidak akan kerugian, menghantarkan untuk meraih tujuan, melenyapkan semua halangan dan menyelamatkan kalian dari azab yang pedih?

Ini merupakan wasiat, petunjuk dan bimbingan dari Allah s.w.t. Tuhan Yang paling sayang kepada hamba-hambaNya. Dia menggunakan kata-kata tawaran yang menunjukkan bahawa hal ini merupakan sesuatu yang paling diinginkan oleh orang-orang yang berpandangan tajam.

Ketika diturunkan ayat ini, kaum Muslim berkata, “Sekiranya kami tahu apa yang dimaksud dengan tijarah (perniagaan) itu, pasti kami akan ikut serta memberikan harta benda dan ahli keluarga.” Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat selanjutnya.

"11. Kalian beriman kepada Allah dan RasulNya dan kalian berjihad di jalan Allah dengan harta kalian dan diri kalian." 

Tijarah (perniagaan) yang dimaksudkan itu ialah kalian tetap terus beriman kepada Allah dan RasulNya. Iman yang sempurna adalah pembenaran yang pasti terhadap apa yang diperintahkan Allah untuk diimani.

Hal ini menghendaki untuk beramal soleh, dan di antara amal soleh yang paling besar adalah jihad fii sabilillah. Kalian berjihad di JalanNya dengan mengorbankan harta dan jiwa (nyawa) kalian dengan tujuan melawan musuh-musuh Islam, menegakkan agama Allah dan meninggikan kalimatNya.

"Demikianlah lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui." 

Di sana terdapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Walaupun hal itu tidak enak bagi jiwa dan berat melakukannya, tetapi lebih baik bagi kalian daripada perniagaan dunia, bersusah payah untuknya dan menyibukkan diri hanya dengan perniagaan dunia semata, jika kalian mengetahui.

"12. Dia mengampuni kalian dosa-dosa kalian" 

Jika kalian mengerjakan apa yang telah Dia perintahkan dan tunjukkan kepada kalian, Allah s.w.t. akan mengampuni dosa-dosa kalian baik dosa-dosa kecil maupun dosa-dosa besar dan kalian akan mendapat keselamatan dari azab yang pedih.

"dan memasukkan kalian syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai," 

Kalian akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh kenikmatan. Kalian juga akan mendapat segala macam buah-buahan di dalamnya.

Di bawah tempat tinggal, istana dan pohon-pohon, mengalir sungai-sungai air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai susu yang tidak berubah rasan sungai-sungai khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai madu yang disaring.

"dan tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn." 

Ia adalah tempat-tempat tinggal yang baik-baik serta darjat-darjat yang tinggi, yang menghimpun semua yang baik seperti tempat yang tinggi, bangunan yang indah dan menarik. Penghuni syurga yang berada di tempat yang tinggi kelihatan seperti bintang yang gemerlap di ufuk timur atau di ufuk barat bila dilihat oleh penghuni syurga yang lain.

Bangunan syurga sebahagiannya dari bata emas dan sebahagian lagi dari bata perak, khemahnya dari mutiara dan marjan, sebahagian tempat dari zamrud dan permata yang berwarna indah. Bahagian luar dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalam dapat dilihat dari luar.

Kebaikan dan keindahan di dalamnya tidak dapat disifatkan oleh orang-orang yang menyifatkan, tidak pernah terlintas di hati manusia, mereka tidak mungkin mengetahui sampai mereka melihatnya.

Mereka bersenang-senang dengan indahnya serta merasa sejuk mata mereka kerananya. Syurga dinamakan ‘Adn kerana penduduknya kekal di sana, tidak akan keluar darinya selama-lamanya.

"Demikian itu adalah keuntungan yang besar." 

Itulah kemenangan yang agung. Namun, setelah diturunkan surah (As Saf: 10-12) yang menegaskan bahawa berjihad adalah amal yang paling utama, para sahabat segan berjihad. Maka mereka diperingatkan Allah s.w.t. dengan diturunkanNya surah (As Saf: 2-3) kerana mereka menyalahi ucapannya.

"13. Dan yang lain yang kalian sukai,"

Ada lagi kurnia yang lain. Allah s.w.t. tambahkan kepada kalian balasan di dunia selain dari itu hal yang kalian sukai iaitu,

"pertolongan dari Allah" 

Apabila kalian berperang di jalan Allah dan menolong agamaNya, maka Dia menjamin akan menolong, memenangkan, memuliakan, melapangkan dada, melapangkan rezeki, menggembirakan, meneguhkan kedudukan kalian dan sebagainya.

"dan kemenangan yang dekat." 

Iaitu kemenangan terhadap musuh yang dekat waktunya dan segera kejadiannya. Tambahan ini merupakan kebaikan dunia yang disambung dengan nikmat di hari akhirat bagi orang-orang yang taat kepada Allah, RasulNya, serta menolong Allah dan agamaNya.

Dari kemenangan itu wilayah Islam menjadi meluas dan kaum muslimin mendapat rezeki yang banyak. Ini merupakan balasan bagi kaum mukmin yang berjihad.

Adapun kaum mukmin yang tidak berjihad kerana sudah diwakili oleh yang lain, maka Allah s.w.t tidak membuat mereka berputus asa kerana kurnia dan ihsanNya, bahkan Dia berfirman,

"Dan berilah khabar gembira orang-orang yang beriman." 

Sampaikanlah berita gembira kepada mereka dengan pahala yang segera atau ditunda. Masing-masing disesuaikan dengan keimanannya walaupun mereka tidak mencapai darjat para mujahid fii sabilillah.

Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadhan, maka Allah berhak memasukkannya ke syurga, baik dia berhijrah di jalan Allah atau duduk di negeri tempat dia dilahirkan.” Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memberitahukan hal itu kepada manusia?”

Beliau s.a.w. menjawab, “Sesungguhnya di syurga ada seratus darjat yang Allah sediakan bagi mujahid fi sabilillah, di mana masing-masing darjat sebagaimana jarak antara langit dan bumi. Jika kamu meminta (syurga) kepada Allah, maka mintalah syurga Firdaus, kerana ia adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi, di atasnya ada singgasana Ar Rahman dan dari sana mengalir sungai-sungai syurga.”

Allah s.w.t. berfirman,

"14. Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kalian penolong-penolong Allah," 

Hendaklah kalian menegakkan agama Allah dalam semua keadaan kalian, baik dengan lisan maupun perbuatan, pada diri dan orang lain. Berjihadlah kepada orang-orang yang menentangnya baik dengan jiwa maupun harta kalian.

Hendaklah kalian memenuhi seruan Allah dan RasulNya. Pelajarilah kitabullah dan sunnah RasulNya serta mendorong manusia kepadanya. Lakukanlah amar ma’ruf dan nahi munkar. Ikutilah generasi sebelum kalian yang soleh.

"sebagaimana berkata Isa putera Maryam kepada Hawariyyin, "Siapakah penolong-penolongku untuk agama Allah?""

Isa a.s. menyampaikan risalah Tuhannya kepada kaumnya, dan Beliau mendapat sokongan dari orang-orang yang menyokongnya, iaitu dari kalangan kaum Hawariyyin (pengikut-pengikut setianya). Isa a.s. bertanya siapa di antara mereka yang akan menolongnya untuk menegakkan agama Allah, iaitu menolongnya dalam menyampaikan seruan untuk menyembah Allah s.w.t.

"Berkata Hawariyyin, "Kami penolong-penolong Allah.""

Pengikut-pengikut setianya berkata bahawa merekalah orang-orang yang akan menolong dan menyokong Beliau dalam menyampaikan apa yang Beliau diutus untuknya. Kerana itu Isa a.s. mengutus mereka untuk menyeru manusia di negeri Syam, orang-orang Bani Israil dan orang-orang Yunani.

Ketika Allah s.w.t. hendak mengangkat Isa a.s. ke langit, terlebih dahulu Beliau menemui sahabat-sahabatnya yang semuanya berada di dalam rumah yang sama; jumlah mereka ada dua belas orang. Saat itu Isa a.s. baru keluar dari mata air yang ada di dalam rumah itu, sedangkan dari rambut kepalanya masih menitis air bekas mandinya.

Isa a.s. berkata, "Sesungguhnya di antara kalian akan ada orang yang kafir kepadaku sebanyak dua belas kali sesudah ia beriman kepadaku." Selanjutnya Isa a.s. bertanya, "Siapakah yang rela mahu menjadi orang yang mirip denganku, lalu ia akan dibunuh sebagai penggantiku, maka kelak dia akan mendapatkan darjat pahala yang sama denganku?"

Berdirilah seorang pemuda yang paling muda di antara mereka, "Aku bersedia." Tetapi Isa a.s. menjawab, "Duduklah kamu!" Kemudian Isa a.s. mengulangi soalannya. Pemuda itu bangkit lagi dan berkata, "Aku bersedia." Tetapi Isa a.s. berkata, "Duduklah kamu!" Kemudian Isa a.s. mengulangi soalannya. Pemuda itu berdiri kembali dan berkata, "Aku bersedia."

Akhirnya Isa a.s. berkata, "Baiklah, engkaulah orangnya." Maka dijadikanlah dia mirip dengan Isa a.s., sedangkan Isa a.s. sesudah itu diangkat ke langit melalui sebuah lubang yang ada pada atap rumah itu.

Kemudian datanglah orang-orang Yahudi yang mengejarnya, lalu mereka menangkap orang yang serupa Isa a.s. itu dan membunuhnya serta menyalibnya. Sebahagian dari mereka kafir kepada Isa a.s. sebanyak dua belas kali sesudah mereka beriman kepadanya.

"Maka beriman segolongan dari Bani Israil dan ingkar segolongan lainnya." 

Segolongan dari Bani Israil di masa Isa a.s. ada yang mendapat hidayah dari apa yang disampaikannya kepada mereka. Mereka beriman dengan sebab dakwah Nabi Isa a.s. dan para pengikut setianya. Segolongan yang lainnya sesat dan kafir. Mereka enggan mengikuti dakwah Isa a.s. dan para pengikut setianya.

Mereka menyimpang dari apa yang disampaikannya kepada mereka, bahkan mereka mengingkari kenabian Isa a.s. dan menuduh Beliau dan ibunya dengan tuduhan-tuduhan yang tidak senonoh. Mereka adalah orang-orang Yahudi, semoga laknat Allah terus-menerus ditimpakan kepada mereka sampai hari kiamat.

Ada juga segolongan dari para pengikutnya yang berpendapat melampau hingga mereka meninggikannya lebih dari kenabian yang diberikan oleh Allah kepadanya. Mereka menjadi berpecah belah terdiri dari berbagai macam aliran dan bahagian.

Golongan Ya'qubiyah mengatakan, "Tadi tuhan bersama kita selama masa yang dikehendakiNya, kemudian ia naik ke langit." Golongan Nasturiyah mengatakan, "Tadi anak Allah ada bersama kita selama masa yang dikehendakiNya, kemudian Dia mengangkatnya ke sisiNya."

Golongan muslim mengatakan, "Tadi hamba Allah dan RasulNya ada bersama kita selama masa yang dikehendaki Allah, kemudian Allah mengangkatnya ke sisiNya." Mereka berjihad melawan kedua golongan yang kafir itu.

Akhirnya kedua golongan yang kafir itu memerangi dan membunuh golongan yang muslim. Sejak saat itu Islam tidak disebut-sebut lagi hingga Allah s.w.t. mengutus Nabi Muhammad s.a.w.

"Maka Kami beri kekuatan orang-orang yang beriman atas musuh-musuh mereka." 

Maka Allah s.w.t. berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman dalam menghadapi orang-orang yang memusuhi mereka dari kalangan aliran-aliran Nasrani.

"Maka jadilah mereka orang-orang yang menang." 

Jadilah mereka orang-orang yang menang atas musuh-musuh mereka. Yang demikian itu terealisasikan bagi mereka setelah diutus Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu dengan kemenangan Nabi Muhammad s.a.w. dan agamanya atas agama orang-orang kafir.

Oleh kerana itu, kamu wahai umat Muhammad s.a.w. jadilah penolong agama Allah dan para penyeru kepadanya, nescaya Allah akan menolongmu sebagaimana Dia telah menolong orang-orang sebelummu dan memenangkan mereka terhadap musuh mereka.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. masih tetap membela perkara yang hak hingga datanglah perintah Allah, sedangkan mereka dalam keadaan demikian, dan hingga orang-orang yang terakhir dari mereka memerangi Dajjal bersama-sama dengan Al Masih Isa putera Maryam a.s.  Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Selesai tafsir surah As Saf dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...