Khamis, 12 April 2018

4:66-70 Tafsir Surah An Nisa, ayat 66-70.

وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ اقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ أَوِ اخْرُجُوا مِنْ دِيَارِكُمْ مَا فَعَلُوهُ إِلا قَلِيلٌ مِنْهُمْ وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا مَا يُوعَظُونَ بِهِ لَكَانَ  خَيْرًا لَهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا (٦٦) وَإِذًا لآتَيْنَاهُمْ مِنْ لَدُنَّا أَجْرًا عَظِيمًا  (٦٧) وَلَهَدَيْنَاهُمْ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا (٦٨) وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا (٦٩)ذَلِكَ الْفَضْلُ مِنَ اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ عَلِيمًا (٧٠)

Allah s.w.t. Maha Mengetahui segala sesuatu yang telah terjadi dan yang belum terjadi. Dia juga mengetahui keadaan hamba-hambaNya. Dia berfirman menceritakan perihal kebanyakan umat manusia,

"66. Dan kalau Kami perintahkan kepada mereka, "Bunuhlah oleh kalian diri kalian atau keluarlah dari kampung halaman kalian, tidak mereka melakukannya, kecuali sedikit dari mereka."

Seandainya Allah s.w.t. perintahkan kepada hamba beban-beban yang berat seperti membunuh dirinya dan keluar dari kampung halaman, nescaya mereka tidak akan melakukannya kerana watak mereka yang buruk telah diciptakan dalam keadaan mempunyai naluri untuk menentang perintah.

Hanya sebahagian kecil saja di antara mereka yang akan melakukannya. Kerana itu, segala puji bagi Allah kerana perintah-perintahNya yang ringan dan mudah dikerjakan setiap orang dan Dia telah menyelamatkan kita dari perintah-perintah yang berat itu.

Ketika ayat ini diturunkan, ada segolongan orang dari sahabat Nabi s.a.w. yang mengatakan, "Sekiranya kita diperintahkan oleh Tuhan kita untuk itu, nescaya kita benar-benar akan melakukannya." Maka sampailah perkataan itu kepada Nabi s.a.w., lalu Beliau bersabda, "Iman benar-benar lebih kukuh di dalam hati para pemiliknya daripada gunung-gunung yang dipancangkan dengan kukuhnya."

Sabit ibnu Qais ibnu Syammas saling berbangga diri dengan seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi itu berkata, "Allah telah memerintahkan kepada kami untuk bunuh diri, lalu kami bunuh diri kami (di masa Nabi Musa a.s.)." Maka Sabit berkata, "Demi Allah, sekiranya Allah memerintahkan kepada kami untuk membunuh diri kami, nescaya kami benar-benar akan melakukannya."

Maka Allah s.w.t. menurunkan lanjutan ayat ini sebagai penjelasan agar melaksanakan tuntunan Al Quran yang telah diberikan kepada mereka.

"Dan jikalau mereka melaksanakan apa yang diperintahkan dengannya, tentulah yang demikian itu menjadi lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan;"

Sekiranya mereka benar-benar menaati, berusaha sedaya upaya dan menyempurnakan apa yang telah diperintahkan kepada mereka, dan meninggalkan apa yang dilarang mereka melakukannya, hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka daripada mereka menentang perintah dan mengerjakan larangan-larangan.

Allah s.w.t. akan meneguhkan iman orang-orang mukmin kerana ketaatan yang mereka kerjakan. Ketika adanya cobaan dengan perintah, larangan dan adanya musibah, maka mereka dapat melaksanakan perintah itu, menjauhi larangan dan menyikapi musibah dengan sabar dan ridha serta bersyukur terhadap nikmat yang diberikan.

Seorang hamba yang mengerjakan perintah itu akan terbiasa melakukannya, tidak merasa terbeban, bahkan senang kepadanya sehingga hal ini membantunya untuk tetap taat. Allah s.w.t. juga akan memberikan keteguhan dalam agama (istiqamah), ketika wafat dan ketika berada di kubur.

"67. Dan kalau demikian, pasti Kami berikan kepada mereka dari sisi Kami pahala yang besar."

Kalau demikian, pasti Allah s.w.t. memberi balasan yang khusus iaitu syurga dari perbendaharaanNya kepada mereka.

"68. Dan Kami beri mereka petunjuk jalan yang lurus."

Pasti Allah s.w.t. memberi balasan yang umum iaitu menunjukkan mereka kepada jalan yang lurus di dunia dan akhirat. Dengan hidayah kepada jalan yang lurus, seseorang mengetahui kebenaran, mencintainya, mengutamakannya dan mengamalkannya.

Bahkan kebahagiaan dan keberuntungan terletak di atasnya. Oleh kerana itu, barang siapa yang ditunjukkan kepada jalan yang lurus, maka bererti ia telah diberi taufiq kepada semua kebaikan dan dihindarkan dari segala keburukan dan bahaya.

Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata, "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri, lebih aku cintai daripada keluargaku dan lebih aku cintai daripada anakku. Pernah ketika berada dalam rumah, aku ingat dirimu, maka aku tidak sabar sampai dapat melihat dirimu. Namun, jika aku mengingat kematian yang akan menimpaku dan menimpamu, maka aku pun tahu bahawa jika engkau masuk ke dalam syurga, maka engkau akan diangkat bersama para nabi, dan jika aku masuk syurga, aku khuatir tidak dapat melihatmu." Nabi s.a.w. tidak menjawab apa-apa sampai turun kepada Beliau ayat,

"69. Dan barang siapa yang menaati Allah dan Rasul, maka mereka itu bersama orang-orang yang Allah anugerahi nikmat atas mereka,"

Barang siapa yang mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, serta meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah s.w.t. akan menempatkannya di dalam rumah kehormatanNya (syurga) dan menjadikannya berteman dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat olehNya iaitu,

"dari para nabi, dan para siddiqin, dan para syuhada dan para solehin."

Para nabi dan rasul merupakan orang yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menerima wahyu dan menyebarluaskannya kepada umat manusia. Mereka bersikap benar, bersungguh-sungguh dan bersedia menanggung risiko dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Para siddiqin adalah para pecinta kebenaran. Mereka mengetahui kebenaran dan meyakininya. Mereka sentiasa bersikap, bercakap dan bertingkah laku benar atau jujur. Kepercayaan mereka kepada para rasul dan semua yang mereka bawa sangat teguh dan sempurna. Mereka juga mengajak manusia kepada Allah.

Para syuhada adalah orang-orang yang mati syahid. Mereka berjuang menegakkan agama Allah hingga kematian mencapai mereka dalam perjuangan itu. Mereka menjadi saksi atas kebenaran yang diperjuangkannya. Mereka bersungguh-sungguh dalam menjalankan dan memperjuangkan nilai Islam walaupun risikonya sangat besar.

Para solehin adalah semua kaum mukmin yang baik dan patuh kepada agama, baik lahir dan batinnya. Mereka sentiasa berusaha mewujudkan kebaikan, baik dalam kehidupan peribadi, keluarga mahupun masyarakatnya. Kesolehan dalam hidup ini merupakan tuntutan daripada pengakuan sebagai orang-orang yang beriman.

Iman dibuktikan dengan amal soleh dan amal soleh dilandasi pada iman. Iman tidak ada nilainya jika tidak dibuktikan dengaan amal soleh dan sebaik mana pun amal seseorang tidak ada nilainya di sisi Allah jika tidak dilandasi pada iman.

"Dan sebaik-baik mereka itu teman."

Mereka itulah teman yang terbaik dan tertinggi. Mereka dapat melihat dan saling menziarahi, walaupun mereka berlainan darjat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang nabi pun yang mengalami sakit melainkan dia disuruh memilih antara dunia dan akhirat." Ketika Nabi s.a.w. dalam sakit yang membawa kepada kewafatannya, Beliau diserang rasa sakit yang sangat, lalu Aisyah r.a. mendengar Beliau mengucapkan, "Bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para siddiqin, para syuhada, dan para solehin." Maka Aisyah r.a. mengetahui bahawa saat itu Nabi s.a.w. sedang disuruh memilih oleh Allah s.w.t.

Demikian itu merupakan makna dari sabdanya yang menyebutkan, "Ya Allah, (aku memilih) bersama-sama Rafiqul A'la (Teman tertinggi)." Kalimat tersebut Beliau ucapkan sebanyak tiga kali, kemudian wafatlah Beliau. Semoga dilimpahkan salawat dan salam yang paling afdal kepada Beliau s.a.w.

"70. Itulah kurnia dari Allah, dan cukuplah kepada Allah mengetahui."

Yang demikian itu adalah kerana kurnia dari Allah s.w.t. yang diberikan kepada mereka. Hal itu, kerana ketaatan mereka tidak dapat mencapainya. Cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui tentang pahala di akhirat. Maka bergantunglah kepadaNya dan percayalah kepada berita yang disampaikanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...