Ahad, 22 Julai 2018

24:30 Tafsir Surah An Nur, ayat 30.

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (٣٠)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"30. Katakanlah kepada mukminin, mereka menundukkan dari pandangan mereka,"

Bimbinglah orang-orang lelaki yang memiliki iman, agar iman mereka terpelihara dan sempurna. Hendaklah mereka menahan atau menjaga pandangan matanya dari melihat hal-hal yang diharamkan bagi mereka, seperti memandang wanita-wanita asing atau yang bukan mahramnya.

Hendaklah mereka menahan atau menjaga pandangannya dari memandang sesuatu yang dikhuatiri menimbulkan fitnah dan dari memandang perhiasan dunia yang dapat menggoda hatinya.

Pandangan mata itu adalah jendela hati, panah beracun yang menembus hati dan sumber bagi rosaknya kalbu. Oleh itu, janganlah mereka melihat kecuali kepada apa yang dihalalkan bagi mereka untuk dilihat. Jika mereka ternampak sesuatu yang diharamkan tanpa sengaja, hendaklah mereka segera memalingkan pandangan matanya ke arah tanah atau ke arah lain.

"dan menjaga kemaluan mereka."

Hendaklah mereka memelihara kemaluannya dari yang haram. Adakalanya mengekangnya dari perbuatan zina. Adakalanya dengan memelihara pandangan mata agar jangan melihat hal-hal yang diharamkan.

"Itu lebih suci bagi mereka."

Menjaga pandangan dan kemaluannya itu adalah lebih baik, lebih suci bagi hati mereka, lebih bersih bagi agama mereka dan lebih mengembangkan amal mereka. Barang siapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik darinya.

Barang siapa yang menjaga kemaluan dan pandangannya, maka dia akan bersih dari kotoran yang menodai para pelaku perbuatan keji, dan amalnya pun akan bersih disebabkan meninggalkan hal yang haram yang diiinginkan hawa nafsu dan didorong olehnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Pandangan mata itu adalah sepucuk anak panah iblis yang beracun. Barang siapa yang menahannya kerana takut kepadaKu, nescaya Aku menggantinya dengan iman yang kemanisannya dia rasakan dalam hatinya.”

Allah akan menganugerahkan cahaya pada pandangan kalbunya, menyinari basirah (mata hati)nya. Maka tentu dia dapat menjaga yang lain. Barang siapa yang tidak berusaha menjaga pandangan dan kemaluan, maka keduanya dapat menjatuhkannya ke dalam cobaan dan ujian. Allah akan membuat wajahnya muram (diazab).

Allah s.w.t. memerintahkan menjaga kemaluan secara mutlak, kerana ia tidak diperbolehkan dalam salah satu di antara sekian keadaan. Adapun pandangan, dibolehkan memandang dalam sebahagian keadaan kerana diperlukan, seperti melihatnya saksi, melihatnya pelaku, melihatnya seorang pelamar dan sebagainya.

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang mereka perbuat.”

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dia mengetahui siapa yang berusaha menjaga diri mereka dari hal-hal yang diharamkan. Oleh kerana itu, Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Telah ditetapkan atas anak Adam bahagian dari perbuatan zina yang pasti dialaminya: zina mata adalah pandangan mata, zina lisan adalah ucapan, zina kedua telinga adalah pendengaran, zina kedua tangan ialah memukul, dan zina kedua kaki ialah melangkah, dan hawa nafsu yang berharap dan menginginkannya, sedangkan kemaluanlah yang membenarkannya atau mendustakannya."

Banyak kalangan ulama Salaf yang melarang seorang lelaki menatapkan pandangannya ke arah lelaki yang tampan. Para imam ahli tasawwuf memperketatkan peraturan sehubungan dengan masalah ini, dan sebahagian ahlul ' ilmi mengharamkannya kerana mengandung fitnah. Sedangkan ulama lainnya memperingatkan dengan keras perbuatan tersebut.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua mata kelak di hari kiamat menangis, kecuali mata orang yang menundukkan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan Allah, dan mata yang bergadang di jalan Allah, serta mata yang keluar darinya sesuatu (kotoran) sebesar kepala lalat, kerana takut kepada Allah s.w.t."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...