Ahad, 22 Julai 2018

24:31 Tafsir Surah An Nur, ayat 31.

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٣١)

Asma binti Marsad mempunyai warung di perkampungan Bani Harisah. Kaum wanita mondar-mandir memasuki warungnya tanpa memakai kain sarung sehingga perhiasan gelang kaki mereka, dada mereka dan rambut depan mereka kelihatan. Berkatalah Asma, "Alangkah buruknya pakaian ini."

Maka Allah s.w.t. menurunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. firmanNya ditujukan kepada kaum wanita mukmin, sebagai pembelaan Allah buat suami-suami mereka yang beriman, membedakan wanita-wanita beriman dari ciri khas wanita-wanita Jahiliah dan perbuatan wanita-wanita musyrik.

"31. Dan katakanlah kepada mukminat, "Mereka menundukkan dari pandangan mereka,""

Bimbinglah orang-orang wanita yang memiliki iman, agar iman mereka terpelihara dan sempurna. Hendaklah mereka menahan pandangannya dari apa yang diharamkan oleh Allah bagi mereka, seperti memandang kepada selain suami mereka.

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa wanita tidak boleh memandang lelaki lain yang bukan mahramnya, baik dengan pandangan berahi ataupun tidak. Ulama lainnya berpendapat bahawa kaum wanita diperbolehkan memandang lelaki lain tanpa berahi.

"dan mereka menjaga kemaluan mereka,"

Hendaklah mereka memelihara kemaluannya dari perbuatan zina, keji, haram atau yang tidak dihalalkan baginya. Jangan sampai ia kelihatan oleh seorang pun selain suaminya.

"dan jangan menampakkan perhiasan mereka,"

Janganlah mereka mendedahkan perhiasan atau auratnya kepada lelaki lain, iaitu seluruh tubuhnya, pakaian indahnya dan perhiasannya seperti subang, rantai, gelang tangan dan gelang kaki.

"kecuali apa yang tampak darinya."

Iaitu yang biasa kelihatan dan tidak dapat disembunyikan iaitu pakaian luarnya, wajahnya, celak, telapak tangannya dan cincinnya. Ada juga yang menafsirkannya perhiasan yang kelihatan tanpa disengaja.

Ada yang berpendapat muka dan telapak tangannya tidak perlu ditutup jika diyakini tidak mengandungi fitnah (menarik perhatian lelaki). Ada juga yang berpendapat bahawa muka dan telapak tangannya haram dibuka kerana ia tempat fitnah.

"Dan hendaklah mereka menutupkan kerudung di atas dada mereka,"

Hendaklah mereka menutupkan kain kerudung yang panjang sehingga menutupi kepala, leher, dada dan bahagian sekitarnya. Maka tidak boleh ada sesuatu pun dari bahagian tersebut yang terdedah.

Sesungguhnya wanita Jahiliah tidak berpakaian seperti ini. Bahkan mereka melintas di hadapan lelaki dengan membusungkan dadanya tanpa ditutupi oleh sehelai kain pun. Adakalanya mereka menampakkan lehernya dan rambut yang ada di dekat telinganya serta anting-antingnya.

Ketika Allah s.w.t. menurunkan firmanNya ini, kaum lelaki pulang dan membacakannya kepada isterinya, anak perempuannya, saudara perempuannya dan kaum kerabat wanitanya. Maka pada saat itu juga mereka melepaskan kain sarungnya, lalu mereka koyak dari pinggirnya, kemudian koyakan itu mereka jadikan kain kerudung.

Mereka membenarkan dan beriman kepada wahyu dari Allah s.w.t. yang baru diturunkan sehingga mereka di belakang Rasulullah s.a.w. memakai kerudung semua, seakan-akan pada kepala mereka terdapat burung gagak.

"dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka,"

Perhiasan mereka boleh dinampakkan untuk suaminya. Tidak ada batasan aurat sama sekali kepada suaminya. Suami maupun isteri boleh melihat seluruh tubuh pasangannya. Kerana itu, seorang wanita dianjurkan berhias dan mempercantikkan dirinya di hadapan suaminya, yang hal seperti itu tidak boleh dilakukannya di hadapan lelaki lain.

"atau bapa-bapa mereka, atau bapa-bapa suami mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka,"

Mereka yang disebutkan di atas adalah mahram bagi wanita, iaitu lelaki yang boleh memandangnya, berduaan dan bepergian bersamanya. Mereka diperbolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada mahram tanpa bertabarrujj. Kebolehan melihat bagi mahram adalah bukan untuk bersenang-senang dan memuaskan nafsu.

Tidak disebutkan pakcik dari pihak ayah dan dari pihak ibu, kerana mereka dinisbatkan kepada anak mereka. Seorang wanita tidak boleh terbuka di hadapan mereka kerana dikhuatiri mereka akan menggambarkan keadaannya kepada anak-anak mereka.

Namun jumhur ulama berpendapat bahawa pakcik baik dari pihak ayah maupun ibu termasuk mahram, seperti mahram lainnya walaupun tidak disebutkan pada ayat di atas. Begitu juga mahram dari sepersusuan.

Tingkatan para mahram berbeda-beda satu sama lain. Keterbukaan seorang wanita di hadapan bapa dan saudara lelakinya lebih terjamin atau terpelihara daripada keterbukaannya di hadapan anak suami (anak tiri). Kerana itu batas aurat yang boleh terbuka di hadapan masing-masing mahram berbeda-beda juga.

Ada yang berpendapat bahawa mahram boleh melihat anggota-anggota tubuh wanita yang biasa kelihatan seperti anggota tubuh yang dibasuh ketika berwudhu’. Mazhab Maliki berpendapat bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram adalah sekujur tubuhnya kecuali muka dan hujung-hujung anggota tubuh seperti kepala, leher, dua tangan dan dua kaki.

Adapun mazhab Hanbali, mereka berpendapat bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram adalah seluruh tubuhnya kecuali muka, leher, kepala, tangan, kaki dan betis.

"atau wanita-wanita mereka,"

Tidak haram bagi wanita muslimah memperlihatkan perhiasan atau auratnya di hadapan wanita muslimah (wanita seagama) kecuali bahagian antara pusat dan lutut. Wanita-wanita muslimah mengetahui bahawa menceritakan perihal wanita lain kepada lelaki adalah haram.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah seorang wanita menceritakan (menggambarkan) keadaan wanita lain kepada suaminya, (hingga) seakan-akan suaminya memandang ke arahnya."
Tidak dihalalkan bagi wanita muslimah memperlihatkan perhiasan atau auratnya di hadapan wanita kafir, kerana mereka tidak memiliki aturan atau ketentuan yang melarang mereka mensifati wanita kepada lelaki mereka.

"atau hamba-hamba sahaya mereka,"

Ada yang mengatakan, yang dimaksudkan adalah hamba perempuan yang musyrik. Wanita muslimat diperbolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada hamba-hamba perempuannya, walaupun mereka musyrik, kerana mereka adalah hambanya.

Tetapi menurut kebanyakan ulama, wanita muslimat diperbolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada hamba-hambanya, baik yang lelaki maupun yang perempuan. Oleh kerana itu, apabila seluruh diri hamba itu adalah milik seorang wanita, maka dia boleh melihat tuan puterinya itu. Jika kepemilikan hilang atau hanya sebahagian saja, maka tidak boleh dilihat.

"atau pengikut mereka yang tidak mempunyai keinginan dari lelaki"

Iaitu seperti orang-orang sewaan dan para pelayan lelaki yang tidak sepadan. Mereka tidak mempunyai keinginan atau selera terhadap wanita baik di hatinya maupun di farjinya, disebabkan kurang, lemah atau cacat akal atau fizikalnya seperti kerana tua, lemah atau tidak mempunyai nafsu syahwat.

Namun, Rasulullah s.a.w. melarang dan mengusir daripada masuk ke rumahnya lelaki banci (tidak mempunyai nafsu syahwat) dan waria (pondan) yang mampu bercerita atau menggambarkan tentang wanita, kerana mereka sebenarnya mengetahui apa yang dilihatnya.

"atau anak-anak kecil yang tidak mengerti atas aurat-aurat wanita."

Iaitu anak-anak lelaki kecil mereka yang masih belum memahami tentang keadaan wanita dan aurat mereka, seperti perkataannya yang lemah lembut lagi merdu, lenggang-lenggoknya dalam berjalan, gerak-geri dan sikapnya. Maka dia diperkenankan masuk menemui wanita.

Adapun jika anak-anak itu sudah baligh atau sudah mendekati baligh, dia sudah boleh membedakan wanita hodoh dengan wanita cantik, maka tidak diperkenankan lagi baginya masuk menemui wanita (lain) dan hendaklah wanita tidak terbuka di hadapannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kalian masuk menemui wanita.” Dikatakan, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu tentang (masuk menemui) saudara ipar?” Rasulullah s.a.w. menjawab, "(Masuk menemui) saudara ipar ertinya maut.”

Di masa Jahiliah, bila seorang wanita berjalan di jalan, sedangkan dia memakai gelang kaki; jika tidak ada lelaki yang melihat dirinya, dia memukul-mukulkan kakinya ke tanah sehingga kaum lelaki mendengar bunyi gelangnya (dengan maksud menarik perhatian mereka). Maka Allah melarang kaum wanita mukmin melakukan hal seperti itu.

"Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar mengetahui apa yang mereka sembunyikan dari perhiasan mereka."

Janganlah mereka menghentakkan kakinya ke tanah atau lantai agar diketahui perhiasan yang mereka tidak kelihatan, seperti gelang-gelang kaki dan perhiasan lain, yang mengeluarkan bunyi dan dapat menarik perhatian lawan jenisnya.

Termasuk ke dalam apa yang dilarang ialah memakai parfum bila keluar rumah, sebab kaum lelaki akan mencium baunya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Setiap mata ada zinanya. Seorang wanita bila memakai wewangian, lalu melintasi suatu majlis, maka dia (akan memperoleh dosa) ini dan ini. Iaitu dosa zina mata."

Nabi s.a.w. bersabda, "Allah tidak akan menerima salah seorang wanita yang memakai wewangian dalam masjid ini sebelum dia kembali, lalu mandi seperti mandi jinabahnya (untuk membersihkan wewangian yang melekat di tubuhnya)."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wanita yang berdandan secara mencolok (seksi) bukan untuk suaminya, perihalnya sama dengan kegelapan di hari kiamat, tiada nur (cahaya) baginya."

Termasuk ke dalam bab ini kaum wanita dilarang berjalan di tengah jalan, kerana hal seperti ini mengandung pengertian tabarruj (mempamerkan diri atau mengundang perhatian lawan jenis).

Rasulullah s.a.w. melarang kaum lelaki dan kaum wanita bercampur di jalanan. Maka Beliau s.a.w. memerintahkan kaum wanita mengambil sisi jalan. Setelah itu pinggiran jalan dipakai untuk jalan wanita, sehingga kain mereka menyentuh tembok di sisi jalan kerana dekatnya.

Allah s.w.t. telah memerintahkan perintah-perintah yang bijaksana ini. Sudah pasti seorang mukmin memiliki kekurangan sehingga tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna. Maka Dia berfirman,

"Dan bertaubatlah kepada Allah semuanya wahai orang-orang yang beriman, agar kalian beruntung."

Bertaubatlah kalian kepada Allah dari melihat dan mendedahkan sesuatu yang diharamkan, dan dari dosa-dosa lainnya, wahai orang-orang yang beriman. Kerjakanlah semua yang telah Aku perintahkan kepada kalian. Hiasilah diri kalian dengan sifat-sifat yang terpuji dan akhlak-akhlak yang mulia.

Tinggalkanlah tradisi masa lalu di zaman Jahiliyah, iaitu sifat dan akhlak yang rendah. Setiap mukmin perlu bertaubat dan ikhlas dalam bertaubat, bukan kerana riya’, sum’ah dan maksud-maksud duniawi lainnya. Hanya dengan cara bertaubatlah seseorang dapat beruntung.

Keuntungan yang paling besar dan utama ialah berada dalam jalan mengerjakan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, dan meninggalkan segala sesuatu yang dilarang oleh keduanya. Hanya kepada Allah sajalah kita memohon pertolongan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...