Khamis, 2 Ogos 2018

31:12-13 Tafsir Surah Luqman, ayat 12-13.

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (١٢) وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (١٣)

Luqmanul Hakim atau Luqman ibnu Anqa ibnu Sadun berasal dari negeri Habsyah (Abesenia), dari Nubian atau dari daerah pedalaman Mesir. Perawakannya pendek, berkulit hitam, berhidung lebar (tidak mancung), berbibir tebal, bertelapak kaki lebar dan berkaki besar.

Luqman adalah seorang hamba Banil Has sas, pengembala kambing dan tukang kayu. Beliau sentiasa menunaikan amanat, menepati janjinya, menundukkan pandangan matanya dari hal-hal yang diharamkan, menjaga makanannya agar bersih (halal), menjaga kemaluannya dari melakukan zina, memuliakan para tetamu dan menghormati para jirannya.

Beliau adalah seorang yang pendiam, suka bertafakkur dan tajam pandangannya. Beliau sentiasa menjaga lisannya, berkata jujur, tidak ikut campur terhadap apa yang bukan urusannya dan tidak pernah melakukan hal yang tidak perlu baginya.

Beliau tidak pernah mengulangi perkataan yang telah diucapkannya, melainkan hanya kata-kata bijak yang diminta oleh seseorang agar dia mengulanginya. Beliau tidak pernah bercengkerama dan tidak pernah ketawa.

Beliau tidak pernah tidur di siang hari. Tidak pernah ada seseorang melihatnya meludah, mengeluarkan hingus, kencing, buang air besar dan mandi.

Beliau pernah berkahwin dan mempunyai ramai anak, tetapi mereka mati semuanya dan Beliau tidak menangisi kematian mereka (bersabar). Beliau sering mendekati penguasa dan hakim-hakim untuk menimba pengalaman, memikirkannya dan mengambil pelajaran darinya.

Allah s.w.t. dengan takdirNya mengangkat Luqman menjadi seorang yang terhormat. Beliau adalah seorang qadi di kalangan kaum Bani Israil di masa Daud a.s. Ramai orang duduk di hamparannya, berdesakan memasuki pintunya dan mereka ridha dengan ucapannya.

Kebanyakan ulama mengatakan bahawa Luqman adalah seorang hamba yang soleh (wali), bukan seorang nabi. Seorang hamba adalah bertentangan dengan sifat seorang nabi, kerana semua rasul dilahirkan dari kalangan terpandang kaumnya. Allah telah memberinya hikmah, tetapi tidak diberi kenabian. Allahu a’lam.

Allah s.w.t. berfirman,

"12. Dan sungguh telah Kami berikan Luqman hikmah, agar bersyukurlah kepada Allah."

Allah s.w.t. telah berikan nikmatNya kepada hambaNya yang mulia, Luqman. Nikmat yang diberikanNya itu adalah hikmah, iaitu kebijaksanaan, pengetahuan tentang agama Islam, pengetahuan tentang hukum-hukum, pengetahuan terhadap kebenaran sesuai keadaan yang sebenarnya, pemahaman, ilmu, ungkapan dan mengetahui rahsia yang terkandung di dalamnya.

Adakalanya seseorang itu berilmu, tetapi dia tidak mengetahui hikmahnya. Seseorang yang memiliki hikmah, dia berilmu yang bermanfaat, beramal soleh dan mengetahui hikmah atau rahsianya.

Apa yang diberikan kepada Luqman bukan berasal dari keluarga, harta, kedudukan atau pun jasanya. Allah s.w.t. mengangkatnya ke kedudukan yang tinggi berkat hikmah yang dianugerahkanNya.

Luqman diperintahkan untuk bersyukur kepada Allah atas keutamaan dan nikmat besar yang Dia anugerahkan secara khusus hanya kepadanya, tidak kepada orang lain yang sezaman dengannya.

"Dan barang siapa bersyukur, maka sesungguhnya bersyukur untuk dirinya."

Barang siapa yang bersyukur kepada Allah, sebenarnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya manfaat dan pahala dari bersyukur itu kembali kepada dirinya sendiri. Nikmat itu akan diberkahi dan bertambah.

"dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Allah Mahakaya Maha Terpuji.”

Barang siapa yang tidak bersyukur (kufur), maka bencananya untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Mahakaya. Dia tidak memerlukan hamba-hambaNya dan syukur dari mereka. Seandainya semua penduduk bumi tidak mensyukuri nikmat-nikmatNya, Dia tidak akan kekurangan sedikit pun.

Dia Maha Terpuji kerana sifat-sifatNya yang sempurna, perbuatannya yang baik dan indah, qada’ dan qadarNya terhadap orang yang menyelisihi perintahNya.

Sifat kaya dan terpuji padaNya termasuk sifat lazim (mesti) pada zat (Diri)Nya. Masing-masing sifat ini adalah sifat sempurna. Ketika keduanya berkumpul bersama, maka semakin sempurna.

"13. Dan ketika berkata Luqman kepada anaknya, dan dia memberi pelajaran kepadanya, "Wahai anakku, janganlah kamu sekutukan dengan Allah,"

Ingatlah ketika Luqman menasihati dan memberi pelajaran kepada anaknya yang bernama Saran. Hal pertama yang dia pesankan kepada anaknya ialah memenuhi hak Allah s.w.t. iaitu hendaknya dia ikhlas, mentauhidkan Allah, menyembah Allah semata, beribadah hanya kepadaNya. Janganlah mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, iaitu berbuat syirik.

"sesungguhnya kesyirikan benar-benar kezaliman yang besar.” 

Perbuatan mempersekutukan Allah itu adalah benar-benar kezaliman, perbuatan aniaya atau kesalahan yang paling besar. Syirik adalah apabila seseorang menyamakan makhluk yang dicipta dengan Yang Maha Pencipta, menyamakan makhluk yang memiliki kekurangan lagi fakir dari berbagai sisi dengan Yang Mahasempurna lagi Mahakaya dari berbagai sisi.

Zalim bermaksud menempatkan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Dalam syirik, seseorang menempatkan ibadah kepada yang bukan tempatnya, seperti kepada patung, berhala dan makhluk-makhluk lainnya. Padahal yang sepatutnya disembah adalah yang menciptakan alam semesta, yang memberinya rezeki dan yang menguasainya.

Ketika diturunkan firmanNya, "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik)." (Al An'am 6:82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi s.a.w. Mereka berkata, "Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa)?"

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukan demikian yang dimaksud dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman, "Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."" (Luqman 31:13)

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...