Khamis, 16 Ogos 2018

85:1-9 Tafsir Surah Al Buruj, ayat 1-9.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُوجِ (١) وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ (٢) وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ   (٣) قُتِلَ أَصْحَابُ الأخْدُودِ (٤) النَّارِ ذَاتِ الْوَقُودِ (٥) إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ (٦) وَهُمْ عَلَى مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ (٧) وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ (٨) الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ (٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Demi langit mempunyai gugusan bintang,"

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut nama langit yang mempunyai gugusan bintangnya yang besar-besar. Al Buruj bermaksud bintang-bintang. Ada yang mengatakan yang ada penjaganya, binaan-binaan yang terdapat di langit dan bentuk yang baik.

Gugusan bintang itu mempunyai manzilah, kedudukan, orbit, garis edar atau lintasan. Semuanya ada dua belas buruj. Termasuk juga matahari dan bulan. Teratur perjalanannya dengan sangat tertib.

Matahari menempuh setiap manzilah itu selama satu bulan, sedangkan bulan berjalan pada masing-masing darinya selama dua sepertiga hari, yang bererti dua puluh lapan malam, sedangkan yang dua malamnya bulan bersembunyi.

Ini semua menunjukkan sempurnanya kekuasaan Allah s.w.t., rahmatNya, luasnya ilmuNya dan kebijaksanaanNya.

"2. Dan demi hari yang dijanjikan,"

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut hari yang dijanjikan, iaitu hari Kiamat. Dia berjanji akan mengumpulkan semua makhluk, yang dahulu
maupun yang terakhir pada hari itu.

"3. Dan demi yang menyaksikan dan yang disaksikan."

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut yang menyaksikan, iaitu hari Jumaat, penghulu hari. Ada yang mengatakan Nabi Muhammad s.a.w., pada hari Kiamat Beliau akan menjadi saksi atas umatnya. Ada yang mengatakan Hari Raya Korban. Ada yang mengatakan anak Adam (manusia). Ada yang mengatakan hari 'Arafah. Ada juga yang mengatakan Allah.

Dia juga bersumpah dengan menyebut yang disaksikan, iaitu hari ‘Arafah. Ada yang mengatakan hari Kiamat, hari yang disaksikan oleh segala makhluk. Ada juga yang mengatakan hari Jumaat, hari yang sengaja disimpankan oleh Allah untuk umat Muhammad s.a.w., hari yang disaksikan oleh para malaikat. Ada juga yang mengatakan manusia.

Kebanyakan ulama mengatakan bahawa yang menyaksikan adalah hari Jumaat dan yang disaksikan adalah hari 'Arafah. Termasuk ke dalam ayat ini, yang melihat dan yang dilihat, yang hadir dan yang dihadiri.

Ada yang berpendapat bahawa isi sumpahnya adalah tanda-tanda kekuasaan Allah yang besar, hikmah-hikmahNya yang jelas dan rahmatNya yang luas yang terkandung dalam sumpah ini. Ada juga yang berpendapat bahawa isi sumpahnya adalah firmanNya,

"4. Binasalah kaum yang membuat parit,"

Binasalah, terlaknatlah dan terkutuklah para pembuat parit itu. Ukhdud bermaksud galian. Suatu kaum yang kafir dengan sengaja menangkap orang-orang mukmin yang ada di kalangan mereka. Mereka memaksa orang-orang
yang beriman agar murtad dari agamanya.

Tetapi orang-orang mukmin menolaknya. Maka kaum kafir tersebut membuat suatu galian buat orang-orang mukmin yang mereka tangkap itu. Hal ini merupakan sikap mengadakan perlawanan kepada Allah dan golonganNya iaitu kaum mukmin. Kerana itu Allah s.w.t. melaknat, membinasakan dan mengancam mereka.

"5. Berapi mempunyai kayu bakar,"

Kemudian mereka nyalakan api yang besar di dalam galian itu. Mereka menyediakan kayu bakar yang cukup untuk membuat api itu tetap bergejolak. Setelah itu mereka membawa orang-orang mukmin yang mereka tangkap itu ke dekat galian.

"6. Ketika mereka atasnya mereka duduk,"

Kaum kafir tersebut duduk di sekitar galian itu. Lalu ditawarkan sekali lagi kepada orang-orang mukmin itu untuk murtad, tetapi mereka menolak dan tidak mahu menerimanya. Akhirnya orang-orang mukmin itu dilemparkan ke dalam parit yang ada apinya itu.

"7. Dan mereka atas apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman menyaksikan."

Mereka kafir kepada ayat-ayat Allah, menentangnya, memerangi para waliNya serta menyiksa mereka dengan siksaan itu. Tidak adanya rasa kasihan dalam hati mereka dan mereka menyaksikan penyiksaan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang mukmin itu.

"8. Dan tidak mereka menyiksa di antara mereka kecuali bahawa mereka beriman kepada Allah Yang Mahaperkasa Maha Terpuji,"

Orang-orang mukmin itu tidak mempunyai salah terhadap mereka. Mereka menyiksa orang-orang mukmin itu hanya kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Mahaperkasa lagi Maha Terpuji.

Dengan keperkasaanNya Dia tundukkan segala sesuatu. Tersia-sia orang yang berlindung di bawah naunganNya yang sangat kukuh. Dia Maha Terpuji dalam ucapanNya, sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya, syariatNya dan takdirNya.

Walaupun Dia telah menakdirkan atas hamba-hambaNya yang beriman itu berada di tangan kekuasaan orang-orang kafir, Dia tetap Mahaperkasa lagi Maha Terpuji, walaupun penyebab hal itu tidak diketahui oleh kebanyakan orang.

"9. Yang milikNya kerajaan langit dan bumi;"

Termasuk sifat Allah yang sempurna ialah Dia memiliki semua alam langit dan alam bumi berikut apa yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di dalam keduanya. Semuanya makhluk dan hambaNya, Dia bertindak terhadap mereka dengan tindakan Raja terhadap kerajaannya.

"dan Allah atas segala sesuatu Maha Menyaksikan."

Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. Dia mengetahui, mendengar dan melihat segala sesuatu. Tiada sesuatu pun yang tidak kelihatan bagiNya di langit dan di bumi, dan tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagiNya.

Sepatutnya mereka yang menentangNya takut jika Dia Yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa menyiksa mereka dengan siksaan yang keras. Sepatutnya mereka mengetahui bahawa mereka semua adalah milikNya. Sepatutnya tidak samar bagi mereka bahawa Dia meliputi amal mereka dan akan membalas perbuatan mereka.

Para mufassir (ulama tafsir) berbeda pendapat tentang orang-orang yang disebutkan dalam kisah ayat ini.

Menurut ‘Ali r.a., mereka adalah penduduk Persia. Raja mereka ingin menghalalkan pernikahan dengan mahram. Lalu para ulama mereka menentang kehendaknya. Maka si raja membuat parit dan melemparkan ke dalamnya orang-orang yang menentang keinginannya, dan akhirnya menghalalkan kahwin dengan mahram terus berlangsung sampai sekarang.

Diriwayatkan juga dari Ali r.a., mereka adalah suatu kaum di negeri Yaman. Orang-orang mukmin berperang dengan orang-orang musyrik. Pada mulanya orang-orang mukmin menang.

Kemudian selang beberapa masa pertempuran kembali berkobar. Kali ini orang-orang kafir menang. Lalu mereka membuat parit-parit dan para tawanan kaum mukmin dimasukkan dan dibakar di dalam parit itu.

Diriwayatkan juga dari Ali r.a., mereka adalah penduduk negeri Habsyah (Etiopia sekarang).

Al Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas, mereka adalah segolongan orang dari kaum Bani Israil. Mereka membuat parit-parit, lalu dinyalakan api di dalamnya.

Kemudian mereka membawa kaum lelaki dan wanita beriman ke pinggir parit itu dan mereka dipaksa untuk kafir. Tetapi mereka menolak, lalu mereka dimasukkan ke dalamnya. Menurut ulama, mereka adalah Danial a.s. dan para pengikutnya.

Imam Muslim meriwayatkan dari Suhaib, Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan bahawa dahulu kala terdapat seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Ketika tukang sihir itu telah tua, dia meminta agar raja memberikan kepadanya seorang pemuda untuk diajarinya ilmu sihir. Maka raja menyerahkan kepadanya seorang pemuda.

Di antara rumah penyihir dan raja terdapat seorang rahib (ulama). Apabila si pemuda pergi ke rumah penyihir, dia singgah di rumah si rahib dan mendengar kata-kata rahib yang memikat hatinya. Kerana itu si pemuda dipukul penyihir kerana datang lambat dan dia dipukul keluarganya kerana pulang lambat.

Si pemuda mengadu kepada si rahib. Lalu rahib menasihatinya, “Apabila pesihir itu hendak memukulmu, katakanlah kepadanya bahawa keluargamu membuatmu datang lambat. Dan apabila keluargamu hendak memukulmu, maka katakanlah bahawa tukang sihir membuatmu pulang lambat.”

Pada suatu hari si pemuda bertemu seekor haiwan yang besar lagi mengerikan, yang menghalangi jalan sehingga manusia tidak dapat melintasinya. Si pemuda berkata, "Pada hari ini aku akan mengetahui perintah rahib yang lebih disukai oleh Allah atau perintah tukang sihir."

Si pemuda mengambil batu dan berdoa, "Ya Allah,
jika perintah rahib lebih Engkau sukai dan ridhai daripada perintah tukang sihir, maka bunuhlah haiwan yang mengerikan ini agar manusia dapat melintas." Lalu dia melemparkan batu itu ke arah haiwan tersebut dan mengenainya sampai mati. Maka orang ramai pun dapat melintasi jalannya seperti biasa.

Si pemuda menceritakan hal tersebut kepada si rahib. Maka si rahib berkata, "Wahai anakku, kini engkau lebih utama daripada aku. Sesungguhnya engkau akan mendapat cobaan. Maka jika engkau mendapat cobaan, janganlah engkau menunjukkan tempatku berada."

Pemuda itu mampu menyembuhkan penyakit buta, sopak dan penyakit-penyakit lain yang sukar disembuhkan. Si raja mempunyai teman sekedudukan yang terkena penyakit buta. Si teman raja datang kepadanya dengan membawa banyak hadiah.

Dia berkata, "Sembuhkanlah aku dari penyakitku ini, maka aku akan memberimu segala sesuatu yang ada di sini." Si pemuda menjawab, "Aku tidak dapat menyembuhkan, yang menyembuhkan hanyalah Allah. Jika engkau beriman kepadaNya, aku akan berdoa kepadaNya agar Dia menyembuhkanmu."

Teman raja itu beriman kepada Allah, maka si pemuda berdoa kepada Allah, kemudian dengan serta merta teman raja itu sembuh. Lalu teman raja itu datang lagi kepada raja dan duduk bersamanya seperti biasanya.

Si raja bertanya, "Siapakah yang mengembalikan pandangan matamu?" Dia menjawab, "Tuhanku." Si raja bertanya, "Apakah itu aku?" Dia menjawab, "Bukan, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." Raja bertanya, "Adakah engkau mempunyai tuhan lain selain aku?" Dia menjawab, "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah."

Maka si raja menangkapnya dan terus-menerus menyiksanya. Akhirnya teman raja itu menunjukkan kepada si pemuda. Maka pemuda itu didatangkan. Raja berkata, "Wahai anakku, ilmu sihirmu mencapai tingkatan dapat menyembuhkan buta, sopak dan segala penyakit."

Si pemuda menjawab, "Aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun, yang menyembuhkan hanyalah Allah." Raja bertanya, "Dia adalah aku bukan?" Pemuda menjawab, "Bukan." Raja bertanya, "Apakah engkau mempunyai tuhan selain aku?" Pemuda menjawab, "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah."

Si raja menangkap dan terus-menerus menyiksa si pemuda. Akhirnya si pemuda menunjukkan kepada si rahib. Maka rahib didatangkan. Raja berkata, "Tinggalkanlah agamamu itu." Rahib menolak. Raja meletakkan gergaji di tengah kepalanya dan membelah tubuhnya hingga terbelah.

Si raja berkata kepada temannya yang dulunya buta itu, "Tinggalkanlah agamamu!" Dia menolak. Maka diletakkan gergaji di atas kepalanya, lalu tubuhnya dibelah menjadi dua dan jatuh ke tanah. Raja berkata kepada si pemuda, "Tinggalkanlah agamamu itu." Pemuda menolak.

Maka raja menyuruh beberapa orang untuk membawanya ke atas sebuah gunung. Raja berkata, "Apabila kamu telah mencapai puncaknya, ancamlah dia. Jika dia mahu meninggalkan agamanya, biarkanlah. Tetapi jika menolak, lemparkanlah dia."

Mereka pun berangkat. Ketika mereka sampai di puncak gunung, si pemuda berdoa, "Ya Allah, selamatkanlah aku dari mereka dengan cara yang Engkau kehendaki." Tiba-tiba berlaku gempa sangat kuat. Mereka semuanya terjatuh dari puncak gunung itu kecuali si pemuda.

Si pemuda kembali bertemu raja. Raja bertanya, "Apakah yang telah dilakukan oleh orang-orang yang membawamu?" Pemuda menjawab, "Allah telah menyelamatkan aku dari mereka." Raja mengirim beberapa orang untuk membawa pemuda itu ke laut.

Raja berkata, "Apabila kalian telah sampai di tengah laut, jika dia mahu meninggalkan agamanya, maka biarkanlah dia. Jika dia tetap membangkang, maka lemparkanlah dia ke laut." Lalu mereka membawa si pemuda itu ke laut.

Ketika sampai di tengah laut, si pemuda berdoa, "Ya Allah, selamatkanlah aku dari mereka dengan cara yang Engkau sukai." Perahu terbalik dan mereka semua tenggelam ke dalam laut itu kecuali si pemuda.

Si pemuda kembali bertemu raja. Raja bertanya, "Apakah yang telah dilakukan oleh orang-orang yang membawamu?" Pemuda menjawab, "Allah telah menyelamatkan aku dari mereka. Sesungguhnya engkau tidak akan dapat membunuhku selamanya sebelum melakukan apa yang akan kuperintahkan kepadamu."

Raja bertanya, "Apa perintah itu?" Pemuda menjawab, "Engkau kumpulkan semua manusia di suatu lapangan, kemudian engkau salib aku di atas batang kayu, engkau ambil anak panah dari wadah anak panahku dan letakkanlah panah itu di tengah busurnya. Kemudian ucapkanlah, "Bismillahi rabbil ghulam (Dengan menyebut nama Allah, Tuhan si pemuda)."

Raja melakukan apa yang diperintahkan oleh si pemuda itu. Maka raja memanahnya dan anak panah itu tepat mengenai keningnya. Lalu si pemuda memegang keningnya yang terkena panah itu dan meninggal dunia saat itu juga.

Maka semua orang yang hadir berkata, "Kami beriman kepada Allah, Tuhan si pemuda ini." Dikatakan kepada raja, "Sekarang engkau baru menyaksikan apa yang sangat engkau takutkan. Demi Allah, engkau telah dikalahkan kerana semua orang telah beriman."

Raja sangat berang, lalu memerintahkan agar di tengah jalan dibuat galian parit yang cukup dalam dan dinyalakan api di dalamnya. Raja berkata, "Barang siapa yang mahu meninggalkan agamanya, biarkanlah dia. Dan jika tidak ada, masukkanlah mereka semua ke dalam parit itu."

Mereka berlari-lari menuju ke parit itu dan saling berdesakan untuk paling dahulu masuk ke dalamnya. Datanglah seorang ibu yang menggendong bayi lelakinya. Seakan-akan si ibu enggan terjun ke dalam api. Bayinya berkata, "Bersabarlah wahai ibuku, sesungguhnya engkau berada di jalan yang benar."

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan bahawa mereka adalah suatu kaum yang ada di zaman fatrah (kekosongan nabi), iaitu antara Isa a.s. dan Muhammad s.a.w.

Mereka melihat fitnah dan kejahatan yang melanda manusia di waktu itu sehingga manusia ketika itu terbahagi menjadi beberapa golongan. Masing-masing golongan berbangga dengan apa yang ada padanya.

Maka mereka mengasingkan diri ke suatu tempat dan beribadah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan hanya kepadaNya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Begitulah keadaan mereka selama beberapa waktu hingga berita mereka terdengar oleh seorang raja yang kejam, angkara murka dan sewenang-wenang.

Maka raja memanggil mereka dan memerintahkan kepada mereka untuk menyembah berhala-berhala yang disembah olehnya. Mereka menolak dan berkata, "Kami tidak akan menyembah kecuali hanya kepada Allah saja yang tiada sekutu bagiNya."

Raja berkata, "Jika kamu tidak mahu menyembah sesembahan ini, maka aku akan membunuh kalian." Mereka tetap menolak kehendak rajanya. Maka raja membuat parit-parit yang berisi api. Mereka diperintahkan berdiri di pinggir parit itu dan memilih antara masuk ke dalam parit itu atau mahu menyembah berhala-berhala.

Mereka menjawab, "Parit ini lebih kami sukai." Sedangkan di antara mereka terdapat kaum wanita dan anak-anak. Maka anak-anak mereka merasa takut dengan api itu. Orang-orang tua mereka berkata, "Wahai anak-anakku, tiada api lagi setelah ini."

Maka mereka pun masuk ke dalamnya. Ruh mereka dicabut sebelum tubuh mereka tersentuh oleh panasnya api. Setelah itu api keluar dari parit itu dan mengamuk mengepung orang-orang yang kejam itu dan Allah s.w.t. membakar mereka dengan api itu.

Muhammad ibnu Ishaq ibnu Yasar meriwayatkan bahawa dahulu penduduk negeri Najran adalah para penyembah berhala, iaitu ahli syirik. Di suatu kawasan kota Najran yang sangat besar itu, terdapat seorang tukang sihir yang mengajari sihir para pemuda Najran.

Maka orang-orang Najran mengirimkan anak-anak mereka untuk belajar kepada penyihir itu ilmu sihir yang dikuasainya. At Tamir mengirimkan anaknya yang bernama Abdullah ibnut Tamir bersama-sama dengan anak-anak Najran untuk belajar ilmu sihir kepada si penyihir itu.

Najran kedatangan seorang lelaki lalu dia membina sebuah khemah yang terletak di antara Najran dan kota tempat tinggal si penyihir itu.

Apabila Abdullah melintasi penghuni kemah itu, dia merasa kagum menyaksikan penghuni khemah itu yang banyak ibadah dan solatnya. Maka dia memberanikan diri untuk duduk dekatnya dan mendengar ajaran-ajarannya.

Akhirnya Abdullah masuk Islam, mengesakan Allah dan menyembahNya. Dia menanyakan kepada penghuni kemah itu tentang syariat-syariat Islam. Setelah dia pandai tentang syariat-syariat Islam, dia meminta agar diberi Ismul A'zam.

Lelaki penghuni khemah itu mengetahui Ismul A'zam, tetapi dia menyembunyikannya dan menolak untuk mengajarkannya kepada Abdullah. Dia berkata.”Wahai anak saudaraku, engkau tidak akan mampu memikulnya dan aku merasa khuatir dengan kelemahanmu darinya."

Sedangkan At Tamir hanya mengetahui bahawa anaknya berangkat hanyalah untuk belajar kepada ahli sihir tersebut.

Abdullah mengambil banyak wadah dan mengumpulkannya. Dia menuliskan pada semua wadah tiap isim yang telah diajarkan oleh gurunya. Maka dia menyalakan api, kemudian melemparkan wadah-wadah itu ke dalam api satu per satu.

Ketika sampai giliran wadah yang tertulis Ismul A'zam (yang belum diketahuinya secara pasti), lalu dia melemparkan wadah itu. Maka tiba-tiba wadah itu tercampak keluar dari tanpa mengalami suatu kerosakan pun.

Kemudian dia membawa wadah tersebut kepada gurunya, lalu berkata kepadanya bahawa dirinya telah mengetahui Ismul A’zam yang telah dia catat. Maka gurunya bertanya, "Cuba sebutkan." Abdullah menjawab, bahawa Ismul A’zam itu adalah begini dan begini.

Gurunya bertanya, "Bagaimana kamu mendapatnya?" Abdullah menceritakan kepada gurunya apa yang telah dia lakukan. Gurunya berkata, "Wahai anak saudaraku, sesungguhnya engkau telah mendapatnya, tahanlah dirimu, saya yakin engkau tidak akan menyalahgunakannya."

Maka apabila Abdullah ibnu At Tamir memasuki Najran, setiap kali dia berdua dengan seseorang yang berpenyakit dia berkata, "Wahai hamba Allah, mahukah engkau mengesakan Allah dan masuk ke dalam agamaku, aku akan berdoa kepada Allah untuk kesembuhanmu, maka Dia pasti akan menyihatkanmu seperti sediakala?"

Maka orang yang dijumpainya itu menjawab, "Ya." Dia pun mengesakan Allah dan masuk Islam. Maka Abdullah berdoa untuk kesembuhannya, sehingga semua penduduk Najran yang berpenyakit mendatanginya dan menaati perintahnya, lalu dia mendoakannya hingga sembuh.

Perihal Abdullah ibnut Tamir sampai kepada raja Najran. Raja mengundangnya dan berkata, "Engkau telah merosakkan rakyat negeriku dan menentang agamaku, agama nenek moyangku. Maka aku akan mencingcangmu."

Abdullah menjawab, "Engkau tidak akan mampu melakukannya." Raja Najran mengirimkan Abdullah ke atas sebuah bukit yang tinggi, lalu dijatuhkan dengan kepala di bawah. Tetapi Abdullah tidak apa-apa.

Raja mengirimnya ke sebuah perairan di Najran yang berpusar, semua makhluk hidup yang dilemparkan ke dalamnya pasti mati. Tetapi Abdullah dapat keluar dari perairan itu dalam keadaan sihat. Abdullah dapat mengalahkan segala usaha Raja Najran itu.

Maka Abdullah berkata, "Sesungguhnya engkau tidak akan mampu membunuhku sebelum engkau beriman kepada apa yang aku imani dan mengesakan Allah. Sesudah itu jika engkau hendak meneruskan niatmu, kamu dapat menguasaiku dan membunuhku."

Akhirnya si raja beriman, mengesakan Allah dan mengucapkan kalimat persaksian seperti yang dikatakan oleh Abdullah ibnut Tamir. Kemudian si raja memukul kepala Abdullah dengan tongkatnya hingga melukainya, tetapi tidak besar. Meninggal dunialah Abdullah ibnut Tamir.

Raja itu mati juga di tempatnya, sedangkan seluruh penduduk negeri Najran telah memeluk agama Abdullah ibnut Tamir, iaitu agama yang disampaikan oleh Isa putera Maryam a.s., yang berpegangan kepada kitab Injil dan hukumnya.

Kemudian para pemeluk agamanya ditimpa musibah-musibah yang menguji mereka. Kerana itulah asal agama Nasrani itu dari Najran. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui kebenarannya.

Kemudian Zu Nuwas membawa bala tenteranya menuju ke Najran. Nama asalnya ialah Zur'ah. Di masa pemerintahannya dia dipanggil dengan sebutan Yusuf, dialah Ibnu Bayan atau As'ad ibnu Abu Kuraib.

Dia adalah salah seorang Tubba' yang memerangi Madinah dan memberi kain kelambu kepada Ka'bah, serta membawa dua orang ulama Yahudi Madinah yang menjadi teman dekatnya. Dialah yang membawa agama Yahudi ke negeri Yaman sehingga ada sebahagian dari negeri Yaman yang beragama Yahudi.

Zu Nuwas menyeru penduduknya untuk memeluk agama Yahudi, dan memberikan kepada mereka pilihan antara memeluk agama Yahudi atau dibunuh. Mereka lebih memilih untuk dibunuh.

Maka Zu Nuwas membuat galian parit yang dinyalakan api yang besar. Lalu mereka dibunuh dan dicincang dengan pedang. Kemudian mereka dimasukkan ke dalam parit itu. Dalam sehari Zu Nuwas membunuh dua puluh ribu orang.

Hanya Daus Zu Sa'laban yang selamat. Dia sempat melarikan diri dengan berkuda. Mereka mengejarnya, tetapi tidak dapat menangkapnya. Daus pergi meminta suaka daripada kaisar raja negeri Syam.

Kaisar berkirim surat kepada Najasyi raja negeri Habsyah (Etiopia) untuk bertindak kerana lebih dekat. Maka Raja Najasyi mengirimkan pasukan besar yang terdiri dari orang-orang Nasrani negeri Habsyah yang dipimpin oleh Aryat dan Abrahah.

Maka pasukan ini menyelamatkan negeri Yaman dari cengkaman orang-orang yang beragama Yahudi. Sedangkan Zu Nuwas sendiri melarikan diri melalui jalan laut, dan di laut dia tenggelam. Negeri Yaman dikuasai oleh orang-orang Nasrani Habsyah selama tujuh puluh tahun.

Kemudian negeri Yaman ditaklukkan oleh Saif ibnu Zu Yazin Al Himyari dari tangan orang-orang Nasrani Habsyah. Saif bergabung dengan Kisra, Raja Persia. Maka Raja Persia mengirimnya bersama lebih kurang tujuh ratus orang yang dipenjara. Lalu Saif sendiri pulang ke Himyar.

Peristiwa parit ini banyak terjadi di berbagai kawasan. Di Persia (Iraq), peristiwa ini terjadi di negeri Babilonia yang rajanya bernama Bukhtanasar. Dia membuat patung dan memerintahkan kepada semua rakyatnya untuk bersujud menyembah patung itu. Tetapi Danial a.s. dan kedua sahabatnya yang bernama Ezria dan Misyail menolak.

Maka dibuatkan bagi mereka tungku api yang besar, lalu dilemparkan ke dalam tungku itu kayu bakar dan api sehingga apinya besar sekali. Kemudian kedua sahabat Danial dilemparkan ke dalam tungku api itu.

Maka Allah s.w.t. menjadikan tungku api itu terasa sejuk oleh keduanya dan menjadi keselamatan; Allah menyelamatkan keduanya dan sebaliknya orang-orang yang tadinya berbuat aniaya terhadap Danial a.s. dimasukkan ke dalam tungku api itu, mereka terdiri dari sembilan golongan yang semuanya mati terbakar oleh api.

Di Syam pelakunya adalah Antonius dan orang-orang Romawi. Di Konstantinopel peristiwa ini terjadi di masa Kaisar Konstantinopel. Kaum Nasrani dipaksa untuk berpaling dari kiblat mereka, iaitu agama Al Masih dan ajaran tauhid.

Maka kaisar membuat dapur besar, lalu orang-orang Nasrani yang berpegangan kepada agama Al Masih dan ajaran tauhid dilemparkan ke dalamnya yang dipenuhi dengan api yang bergejolak.

Adapun mengenai yang terjadi di negeri Persia dan negeri Syam, maka Allah s.w.t. tidak menyebutkannya di dalam Al Qur'an, dan hanya menyebutkan apa yang terjadi di Najran saja.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...