Ahad, 19 Ogos 2018

2:51-54 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 51-54.

وَإِذْ وَاعَدْنَا مُوسَى أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ (٥١) ثُمَّ عَفَوْنَا عَنْكُمْ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٥٢) وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَالْفُرْقَانَ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (٥٣) وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (٥٤)

Allah s.w.t. mengingatkan Bani Israil akan nikmat-nikmatNya yang telah Dia limpahkan kepada mereka dan nenek moyang mereka yang sepatutnya mereka syukuri.

Di antara tanda bersyukur adalah dengan mengikuti seruanNya, beriman kepada kitabNya iaitu Al Qur'an dan beriman kepada RasulNya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Dia berfirman,

"51. Dan ketika Kami janjikan Musa empat puluh malam, kemudian kalian menjadikan anak lembu sesudahnya dan kalian orang-orang yang zalim."

Setelah kaum Bani Israil selamat dari kejaran Fir'aun dan tenteranya, dan mereka dapat menyeberangi laut dengan selamat, Allah s.w.t. telah berjanji akan memberikan petunjuk (Taurat) kepada Musa a.s. sesudah berlalu waktu tiga puluh malam.

Kemudian Dia sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh malam lagi sehingga menjadi empat puluh malam. Menurut suatu pendapat, tiga puluh malam itu adalah bulan Zul Qa'dah, sedangkan yang sepuluh malam tambahannya jatuh pada bulan Zul Hijjah.

Tetapi umat Musa a.s. tidak sabar menunggunya. Setelah pemergian Musa a.s. mereka menyembah patung anak lembu yang Samiri buat dari emas. Mereka orang-orang yang zalim kerana menyembah selain Allah.

"52. Kemudian Kami memaafkan dari kalian setelah itu supaya kalian bersyukur."

Allah s.w.t. memaafkan kesalahan mereka sesudah itu agar mereka bersyukur.

"53. Dan ketika Kami datangkan Musa Al Kitab dan Al Furqan supaya kalian mendapat petunjuk."

Ketika Allah s.w.t. berikan kepada Musa a.s. Al Kitab (Taurat) dan Al Furqan (keterangan yang membedakan antara perkara yang benar dan yang salah, antara jalan hidayah dan kesesatan) agar mereka mendapat petunjuk. Hal ini juga terjadi
sesudah mereka diselamatkan dari laut.

"54. Dan ketika berkata Musa kepada kaumnya, "Wahai kaumku, sesungguhnya kalian telah menzalimi diri kalian sendiri dengan kalian menjadikan anak sapi,"

Musa a.s. mengingatkan kaumnya bahawa mereka telah menganiaya diri sendiri kerana mereka telah menjadikan patung anak lembu emas dan menyembahnya seperti yang dilakukan oleh pendahulu mereka.

"maka bertaubatlah kalian kepada Pencipta kalian lalu bunuhlah diri kalian sendiri."

Dosa mereka teramat besar. Kerana itu Musa a.s. memerintahkan mereka bertaubat kepada Allah, Tuhan Yang Menciptakan mereka, kerana mereka telah menyembah selain Dia bersamaNya.

Mereka sangat menyesali perbuatannya dan mengetahui bahawa mereka telah sesat. Mereka berkata, "Sungguh jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan tidak mengampuni kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi."

Allah s.w.t. memerintahkan Musa a.s. cara bertaubat yang harus dilakukan oleh mereka. Maka Musa a.s. menyampaikan perintah Tuhannya kepada kaumnya, iaitu hendaknya mereka membunuh diri mereka sendiri.

Ada yang mengatakan bahawa orang-orang yang tidak menyembah anak lembu membunuh orang yang menyembahnya. Ada yang mengatakan orang-orang yang tidak menyembah anak lembu dengan orang yang menyembahnya saling bunuh-membunuh. Ada yang mengatakan orang-orang yang menyembah anak lembu saling bunuh-membunuh.

"Yang demikian itu lebih baik bagi kalian di sisi Pencipta kalian; maka Sang Pencipta akan menerima taubat atas kalian."

Hal itu adalah lebih baik bagi mereka pada sisi Tuhan yang menjadikan mereka daripada kekal di neraka selama-lamanya kerana perbuatan syirik. Dengan demikian Allah akan menerima taubat mereka.

Mereka diperintahkan duduk di suatu tanah lapang dengan memegang pedang, kapak, pisau, pisau belati dan senjata lainnya masing-masing. Awan yang sangat gelap menimpa mereka. Cuaca menjadi gelap gelita. Lalu mereka mula membunuh dengan tanpa belas kasihan dan tanpa mengetahui siapa yang dibunuhnya.

Mereka saling menyerukan, "Semoga Allah mengasihani hamba yang bersikap sabar terhadap dirinya hingga memperoleh ridha Allah." Sedangkan Musa a.s. mengangkat kedua tangannya berdoa.

Ketika sebahagian dari mereka berhenti sejenak, mereka berkata, "Wahai Nabi Allah, berdoalah kepada Allah untuk kami." Lalu mereka memegang kedua lengan Nabi Musa a.s. dan menopang kedua tangannya (agar terus berdoa). Orang-orang yang terbunuh ramai sekali hingga hampir semuanya binasa.

Musa a.s. dan Harun a.s. berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhan kami, Engkau telah membinasakan Bani Israil. Wahai Tuhan kami, sisakanlah, sisakanlah." Ketika pembalasan Allah telah cukup menimpa mereka, Dia mewahyukan kepada Musa a.s., "Hentikanlah, sudah cukup bagimu!"

Lenyaplah cuaca gelap yang menyelimuti mereka. Musa a.s. mengisyaratkan dengan kain jubahnya untuk menghentikan mereka. Barulah tangan mereka berhenti, tidak lagi membunuh dan melemparkan semua senjatanya. Jumlah mereka yang terbunuh adalah tujuh puluh ribu orang.

"Sungguh Dia, Dia Maha Penerima taubat Maha Penyayang."

Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Dia dan menerima taubat mereka semua. Dia mengampuni dosa-dosa orang-orang yang masih hidup dan yang terbunuh dianggap sebagai mati syahid.

Musa a.s. dan kaum Bani Israil merasa sedih melihat mereka yang terbunuh. Allah s.w.t. berfirman kepada Musa a.s., "Apakah yang membuatmu sedih? Mereka yang terbunuh, hidup di sisiKu dengan diberi rezeki; dan mereka yang masih hidup, Aku telah menerima taubatnya."

Maka bergembiralah Nabi Musa a.s. dan kaum Bani Israil kerana hal tersebut.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...