Sabtu, 20 Oktober 2018

85:10-22 Tafsir Surah Al Buruj, ayat 10-22.

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ (١٠) إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ (١١) إِنَّ بَطْشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ (١٢) إِنَّهُ هُوَ يُبْدِئُ وَيُعِيدُ (١٣) وَهُوَ الْغَفُورُ الْوَدُودُ (١٤) ذُو الْعَرْشِ الْمَجِيدُ (١٥) فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ (١٦) هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْجُنُودِ (١٧) فِرْعَوْنَ وَثَمُودَ (١٨) بَلِ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي تَكْذِيبٍ (١٩) وَاللَّهُ مِنْ وَرَائِهِمْ مُحِيطٌ (٢٠) بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَجِيدٌ (٢١) فِي لَوْحٍ مَحْفُوظٍ (٢٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"10. Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan kepada lelaki beriman dan perempuan beriman, kemudian tidak bertaubat,"

Iaitu orang-orang yang menyiksa, mendatangkan bencana, membunuh, membakar dan sebagainya terhadap orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak mahu menghentikan perbuatannya yang sewenang-wenang itu dan tidak menyesali perbuatan mereka.

Allah Maha Mulia dan Maha Pemurah. Mereka telah membunuh para kekasihNya, waliNya dan orang-orang yang menaatiNya. Walaupun demikian, Dia menawarkan, mengajak dan menyeru mereka untuk bertaubat dan meraih ampunanNya. Namun jika mereka tidak mahu bertaubat, Dia mengancam mereka,

"maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab yang membakar."

Mereka akan mendapat azab neraka Jahanam dan api yang membakar. Demikian itu kerana pembalasan disesuaikan dengan jenis perbuatan (pelanggaran)nya.

"11. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, bagi mereka syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar."

Iaitu orang-orang yang beriman dengan hati mereka dan mengerjakan amal-amal yang soleh dengan anggota badan mereka. Mereka akan mendapat pahala, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Itulah kemenangan yang agung.

"12. Sungguh siksaan Tuhanmu benar-benar sangat keras."

Azab dan pembalasan Allah terhadap musuh-musuhNya yang telah mendustakan rasul-rasulNya dan menentang perintahNya benar-benar sangat keras, besar lagi kuat.

Sesungguhnya Allah s.w.t. memiliki kekuatan Yang Mahakukuh, yang segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti terjadi menurut apa yang dikehendakiNya dalam sekelip mata atau lebih cepat dari itu.

"13. Sungguh Dia, Dia Yang memulai penciptaan dan mengulanginya."

Allah yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang sempurna untuk memulai penciptaan makhluk dan menghidupkannya kembali. Tiada yang dapat menghalang-halangi atau mencegahNya.

"14. Dan Dia Maha Pengampun Maha Pengasih,"

Allah Al Ghafur, iaitu Maha Pengampun. Dia mengampuni semua dosa bagi orang yang bertaubat kepadaNya, memaafkan kesalahan bagi orang yang meminta ampunan kepadaNya, kembali dan tunduk patuh padaNya betapapun besarnya dosa yang berkenaan.

Dia Al Wadud, iaitu Maha Pengasih. Dia Al Habib, iaitu yang dicintai oleh para pecintanya dengan kecintaan yang tidak diserupai oleh sesuatu pun. Sebagaimana tidak ada sesuatu yang menyerupaiNya dalam sifat-sifat keagungan dan keindahan, makna dan perbuatan.

Maka kecintaanNya di hati makhluk pilihanNya mengikuti hal itu, tidak diserupai oleh sesuatu pun di antara macam-macam kecintaan. Oleh kerana itu, kecintaan kepadaNya merupakan pokok ibadah. Ia adalah kecintaan yang mendahului dan mengalahkan semua kecintaan.

Jika yang lain tidak mengikuti kecintaanNya, maka yang demikian menjadi azab bagi pemiliknya. Dia cinta kepada para kekasihNya. Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya dengan mahabbah, iaitu kecintaan yang murni.

Ada yang berpendapat bahawa Al Wadud adalah Yang mencintai orang yang bertaubat dan kembali kepadaNya. Al Ghafur diiringi Al Wadud menunjukkan bahawa orang-orang berdosa yang bertaubat kepada Allah dan kembali, maka Dia akan mengampuni dosa mereka dan akan mencintai mereka.

Bahkan Allah lebih gembira dan berbahagia dengan taubat hambaNya berbanding gembiranya seseorang yang menjumpai kembali sesuatu miliknya yang hilang, yang dapat membuatnya binasa dan membuat dia berputus asa.

Maka segala pujian, sanjungan dan kecintaan yang tulus bagi Allah, alangkah besar dan banyak kebaikanNya dan alangkah banyak ihsan serta alangkah luas pemberianNya.

"15. Mempunyai 'Arasy Maha Terpuji,"

Allah Pemilik 'Arasy yang besar lagi tinggi di atas semua makhluk. 'Arasy meliputi langit, bumi dan kursi. Kursi bila dibanding dengan ‘Arasy hanyalah seperti gelang besi yang diletakkan di padang pasir yang luas di bumi. Disebutkan ‘Arasy secara khusus kerana besarnya dan kerana ia merupakan makhluk paling khusus yang dekat denganNya.

Lafaz al majid ada dua qiraat mengenainya, ada yang membacanya rafa kerana menganggapnya menjadi sifat bagi Allah. Sedangkan bacaan lainnya ialah jar kerana menganggapnya menjadi sifat bagi 'Arasy. Kedua-duanya dibenarkan. Erti majid adalah luasnya sifat dan agungnya.

"16. Berbuat terhadap apa yang Dia kehendaki."

Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Tidak ada yang membantuNya untuk melaksanakan kehendakNya dan tidak ada yang menghalangi kehendakNya. Jika Dia menginginkan sesuatu, maka Dia hanya berfirman, “Terjadilah.” Maka terjadilah hal itu.

Tiada hambatan bagi keputusanNya dan tiada yang menanyakan apa yang dikerjakanNya kerana kebesaran, keperkasaan, kebijaksanaan dan keadilanNya.

Sedangkan makhluk, jika mereka menghendaki sesuatu, maka terhadap kehendaknya itu perlu pembantunya dan ada penghalangnya.

"17. Apakah datang padamu cerita bala tentera,"

Sudahkah datang kepadamu berita tentang kaum-kaum penentang? Pernahkah kamu dengar pembalasan yang ditimpakan oleh Allah kepada mereka dan azab yang diturunkanNya kepada mereka tanpa ada seorang pun yang dapat menolaknya dari mereka?

"18. Fir’aun dan Samud?"

Iaitu kaum Fir’aun dan kaum Samud? Hendaknya orang yang kafir kepada Nabi s.a.w. dan kepada Al Qur’an mengambil pelajaran dari binasanya kaum-kaum itu. Sesungguhnya azab atau hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang zalim benar-benar keras, sebagaimana layaknya hukuman dari Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa.

"19. Bahkan orang-orang yang kafir dalam kedustaan,"

Memang orang-orang kafir sentiasa mendustakan. Mereka selalu berada dalam keraguan, kebimbangan, kekufuran dan keingkaran. Semua ayat tidak berguna bagi mereka dan semua nasihat tidak bermanfaat bagi mereka.

"20. Dan Allah dari belakang mengepung."

Padahal Allah mengepung mereka dari belakang. Dia berkuasa atas mereka lagi mengalahkan. Mereka tidak dapat luput dariNya dan tidak dapat melarikan diri dari kekuasaanNya. Ilmu dan kekuasaanNya meliputi mereka.

"21. Bahkan ia Al Qur’an yang mulia,"

Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al Qur’an yang agung lagi mulia, yang luas maknanya, banyak kebaikan dan ilmunya.

"22. Dalam Lauh Mahfuz yang terjaga."

Al Qur'an yang mulia ini berada dalam tempat yang terjaga di sisi Allah di Lauh Mahfuz, Dia menurunkan sebahagian darinya menurut apa yang dikehendakiNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari kalangan makhlukNya.

Al Qur'an berada bersama para malaikat, terpelihara dari segala bentuk pengurangan, penambahan, perubahan dan penyimpangan. Ia juga terjaga dari para syaitan.

Tiada sesuatu pun yang telah ditetapkan oleh Allah, baik berupa Al Qur'an, dan yang sebelumnya dan yang sesudahnya melainkan berada di Lauh Mahfuz (lembaran yang terpelihara). Dan Lauh Mahfuz ini berada di antara kedua mata (kening) Malaikat Israfil, tidak diizinkan baginya melihat kepadanya.

Di tengah Lauh terdapat tulisan, "Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah semata, agamaNya ialah Islam, dan Muhammad adalah hamba dan rasulNya." Maka barang siapa yang beriman kepada Allah dan membenarkan janjiNya serta mengikuti rasul-rasulNya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.

Lauh adalah lembaran dari mutiara yang putih, panjangnya sama dengan jarak antara bumi dan langit, dan lebarnya sama dengan jarak antara masyriq dan magrib, sedangkan kedua sisinya dari mutiara dan yaqut, dan sampulnya dari yaqut merah, qalam (pena)nya dari cahaya, dan kalamNya telah tertulis di 'Arasy dan pokoknya berada di pangkuan seorang malaikat. Lauh Mahfuz berada di sebelah kanan 'Arasy.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan Lauh Mahfuz dari mutiara yang putih, lembaran-lembarannya dari yaqut merah, dan qalamnya dari nur (cahaya) dan tintanya dari nur juga. Setiap hari Allah memerintahkan kepada Lauh Mahfuz sebanyak tiga ratus enam puluh perintah untuk menciptakan, memberi rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan, menghinakan dan Dia berbuat menurut apa yang dikehendakiNya."

Begitulah keagungan Al Qur’an dan tingginya kedudukannya di hadapan Allah s.w.t. Allahu a'lam.

Selesai tafsir surah Al Buruj dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...