Jumaat, 23 November 2018

17:99-104 Tafsir Surah Al Isra, ayat 99-104.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ أَجَلا لا رَيْبَ فِيهِ فَأَبَى الظَّالِمُونَ إِلا كُفُورًا (٩٩) قُلْ لَوْ أَنْتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَائِنَ رَحْمَةِ رَبِّي إِذًا لأمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الإنْفَاقِ وَكَانَ الإنْسَانُ قَتُورًا (١٠٠) وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ فَاسْأَلْ بَنِي إِسْرَائِيلَ إِذْ جَاءَهُمْ فَقَالَ لَهُ فِرْعَوْنُ إِنِّي لأظُنُّكَ يَا مُوسَى مَسْحُورًا (١٠١) قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنْزَلَ هَؤُلاءِ إِلا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لأظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا (١٠٢) فَأَرَادَ أَنْ يَسْتَفِزَّهُمْ مِنَ الأرْضِ فَأَغْرَقْنَاهُ وَمَنْ مَعَهُ جَمِيعًا (١٠٣) وَقُلْنَا مِنْ بَعْدِهِ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ اسْكُنُوا الأرْضَ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا (١٠٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"99. Apakah tidak mereka perhatikan bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi berkuasa atas untuk Dia menciptakan serupa dengan mereka,"

Tidakkah mereka memperhatikan bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, ciptaan yang lebih besar berbanding manusia, Dia juga mampu mengembalikan tubuh mereka secara utuh dan menciptakan mereka dengan ciptaan yang baru pada hari kiamat nanti sebagaimana permulaan Dia menciptakan mereka?

"dan Dia menjadikan bagi mereka batas waktu tidak ada keraguan di dalamnya?"

Tidakkah mereka memperhatikan bahawa Allah telah menetapkan waktu mereka mati atau dibangkitkan dari kuburnya masing-masing pada waktu yang ditentukanNya dan pasti akan terjadi?

"Maka enggan orang-orang yang zalim kecuali dengan ingkar."

Sesudah tegaknya hujah atas diri orang-orang yang zalim itu, mereka menolak, tidak menghendaki dan tidak percaya, bahkan mereka semakin tenggelam ke dalam kebatilan dan kesesatan mereka. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"100. Katakanlah, "Kalau kalian memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku, jika demikian, nescaya kalian menahan, takut membelanjakannya.”"

Seandainya kalian (manusia) memiliki hak bertasarruf menggunakan (menguasai) perbendaharaan-perbendaharaan Allah (termasuk rezeki dan hujan), nescaya kalian menahannya, memegangnya erat-erat dan tidak akan memberi sedikit pun.

Kalian takut ia akan habis, takut jatuh miskin dan takut kehilangan harta, lalu kalian tidak mahu membelanjakannya. Padahal perbendaharaan Allah tidak akan kosong dan tidak akan habis-habis selama-lamanya.

"Dan adalah manusia sangat kikir."

Sikap yang demikian itu adalah kerana tabiat manusia memang sangat bakhil lagi tidak mahu memberi. Sesungguhnya kikir, terburu-buru, keluh-kesah dan tidak sabar adalah watak pembawaan manusia. Kecuali orang-orang yang diberi taufik oleh Allah dan mendapat petunjuk dariNya. Ayat ini secara tidak langsung menunjukkan kebaikan, kemurahan dan kebajikan Allah.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan, "Tangan Allah sentiasa penuh, tidak pernah habis kerana dibelanjakan secara berlimpah di sepanjang malam dan siang hari. Tidaklah kalian lihat apa yang telah dinafkahkanNya sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya perbendaharaan yang ada di tangan kananNya tidak pernah habis."

Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah satu-satunya rasul yang diberi mukjizat dan didustakan, bahkan para rasul sebelumnya juga diberikan mukjizat dan mereka juga didustakan. Allah s.w.t. berfirman,

"101. Dan sungguh Kami berikan Musa sembilan ayat yang jelas,"

Allah s.w.t. telah mengutus Musa a.s. kepada Fir'aun dan kaumnya dengan membawa sembilan mukjizat yang nyata, yang menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai hujah terhadap mereka, bukti yang cukup dan tepat untuk membenarkan kenabiannya dan apa yang telah dia sampaikan dari Tuhannya.

Sembilan mukjizat itu ialah tongkat, tangan, kemarau panjang (kekurangan buah-buahan), banjir (taufan), belalang, kutu, katak, darah dan terbelahnya laut.

Musa a.s. juga diberi banyak mukjizat lain. Antaranya ialah batu yang memancarkan air, naungan awan, manna, salwa dan lain-lain yang diberikan kepada Bani Israil setelah mereka meninggalkan negeri Mesir.

Semuanya itu merupakan peristiwa-peristiwa yang bertentangan dengan hukum alam serta mukjizat-mukjizat yang membenarkan Musa a.s. dan keberadaan Tuhan yang berkuasa yang telah mengutusnya.

"maka tanyakanlah Bani Israil, ketika datang kepada mereka."

Tanyakanlah kepada Bani Israil jika engkau ragu-ragu terhadapnya. Ketika Musa a.s. datang kepada Fir'aun dan kaumnya, dan setelah mereka menyaksikan semua mukjizat tersebut, mereka tetap kafir dan ingkar terhadapnya.

Mereka menentangnya dan mengingkarinya kerana perasaan mereka yang penuh dengan keangkuhan dan kekufuran. Mereka menolak kebenaran itu dengan cara yang aniaya dan sombong. Mukjizat-mukjizat itu tidak berhasil terhadap mereka.

Begitu juga seandainya Kami memenuhi permintaan mereka yang mengatakan, "Kami tidak akan beriman sebelum kamu (Nabi Muhammad s.a.w.) mengalirkan mata air dari tanah buat kami," dan permintaan-permintaan yang lainnya, nescaya mereka tidak akan menepatinya dan tidak mahu beriman, kecuali jika Allah menghendaki.

"Maka berkata kepadanya Fir'aun, "Sungguh aku benar-benar meyakinkanmu, wahai Musa, orang yang tersihir.”"

Fir'aun benar-benar menduga bahawa Musa a.s. telah terkena sihir. Menurut suatu pendapat, mashuran ertinya sahirun, iaitu seorang penyihir. Musa a.s. menjawab kepada Fir'aun.

"102. Dia berkata, "Sungguh kamu mengetahui, tidak menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Tuhan langit dan bumi sebagai bukti yang nyata,""

Sesungguhnya kamu telah meyakini bahawa tiada yang menurunkan semua mukjizat itu kecuali Tuhan Yang memelihara langit dan bumi sebagai hujah-hujah dan dalil-dalil jelas yang membenarkanku. Tetapi kamu tetap mengingkarinya.

"dan sungguh aku benar-benar meyakinimu wahai Fir’aun orang yang binasa.”

Sesungguhnya aku yakin bahawa kamu akan binasa, wahai Fir’aun. Masburan bermaksud binasa, hancur, dilaknat, dikalahkan, dimurkai dan dilempar ke dalam azab.

"103. Maka dia hendak untuk mengusir mereka dari bumi, maka Kami tenggelamkan dia dan orang yang bersamanya,"

Kemudian Fir'aun bermaksud akan mengusir Musa a.s. dan para pengikutnya dari Mesir. Maka Allah s.w.t. tenggelamkan Fir'aun dan orang-orang yang bersamanya seluruhnya ke dalam laut.

"104. Dan Kami berfirman setelahnya kepada Bani Israil, "Berdiamlah kalian di bumi.""

Allah s.w.t. menganugerahkan belahan timur dan barat bumi ini kepada kaum Bani Israil yang tertindas, juga menganugerahkan negeri-negeri yang berada di bawah kekuasaan Fir'aun, beserta harta benda, hasil buah-buahan dan perbendaharaannya.

Surah ini Makkiyyah, diturunkan sebelum Hijrah. Di dalam ayat ini tersirat berita gembira bagi Nabi Muhammad s.a.w. bahawa Beliau akan mendapat kemenangan atas kota Mekah.

Begitulah kenyataannya. Penduduk Mekah telah bertekad untuk mengusir Beliau dari kota Mekah dan mereka mereka benar-benar hampir membuatnya gelisah.

Kerana itulah maka Allah menganugerahkan kota Mekah kepada RasulNya. Beliau memasuki kota Mekah secara paksa menurut pendapat yang paling terkenal. Beliau mengalahkan penduduknya, kemudian membebaskan mereka sebagai hadiah darinya berkat sikap pemaafnya yang luas.

"Maka apabila datang janji akhirat, Kami kumpulkan kalian bercampur baur.""

Lafifan ertinya jami'an, iaitu semuanya. Tetapi apabila datang masa berbangkit, nescaya Kami datangkan kalian bersama-sama dengan musuh kalian menjadi satu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...