Selasa, 20 November 2018

16:63-69 Tafsir Surah An Nahl, ayat 63-64.

تَاللَّهِ لَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَهُوَ وَلِيُّهُمُ الْيَوْمَ وَلَهُمْ عَذَابٌ (٦٣) وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٦٤) وَاللَّهُ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الأرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ (٦٥) وَإِنَّ لَكُمْ فِي الأنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ (٦٦) وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالأعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (٦٧) وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (٦٨) ثُمَّ كُلِي مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلا يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (٦٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"63. Demi Allah, sungguh Kami telah mengutus kepada umat-umat dari sebelummu,"

Demi Allah, sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami kepada umat-umat terdahulu yang menyeru kepada tauhid, tetapi mereka didustakan oleh kaumnya masing-masing. Kamu bukanlah rasul pertama yang didustakan.

Maka bagimu terdapat suri teladan dari kalangan saudara-saudaramu para rasul yang terdahulu. Oleh itu, janganlah kamu lemah semangat dalam menghadapi pendustaan kaummu terhadap dirimu.

"lalu menghiasi bagi mereka syaitan amal-amal mereka,"

Adapun orang-orang musyrik yang mendustakan rasul-rasul itu, sesungguhnya mereka berbuat demikian hanyalah kerana dorongan syaitan yang menghiasi apa yang mereka lakukan, sehingga mereka memandangnya baik. Mereka menyangka bahawa sikap mereka itu benar, sedangkan yang diserukan rasul adalah salah.

"maka ia wali hari itu"

Maka syaitan menjadi pemimpin mereka di dunia dan pada hari kiamat, sedangkan ia sendiri lemah dan tidak mampu menolong dan menyelamatkan mereka dari azab. Bahkan ia tidak mampu menolong dirinya sendiri. Tiada yang dapat menolong mereka.

"dan bagi mereka azab yang pedih."

Mereka dan syaitan yang menjadi pemimpin mereka akan mendapat siksaan dan pembalasan Allah yang sangat pedih kerana mereka berpaling dari Allah, dan lebih ridha menjadikan syaitan yang sebenarnya musuhnya sebagai walinya.

"64. Dan tidak Kami menurunkan kepada kamu Kitab kecuali agar kamu menjelaskan bagi mereka yang mereka perselisihkan di dalamnya"

Kami menurunkan kepadamu Al Qur'an ini agar kamu dapat menjelaskan kepada manusia apa yang mereka perselisihkan itu, iaitu tentang perkara agama, dan jalan mana yang benar. Al Qur'an adalah pemisah di antara manusia dalam setiap hal yang mereka persengketakan.

"dan petunjuk dan rahmat bagi kaum beriman."

Kami menurunkan Al Qur'an ini sebagai petunjuk bagi hati dan rahmat bagi semua orang yang berpegang teguh kepadanya. Kami jadikan Al Qur'an sebagai kehidupan buat hati yang mati kerana mengingkari Al Qur'an sebagaimana Kami menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan yang Kami turunkan dari langit.

"65. Dan Allah menurunkan dari langit air, maka Dia hidupkan dengannya bumi setelah matinya."

Allah menurunkan hujan dari langit dan dengan air hujan itu dihidupkanNya bumi sesudah matinya dengan tumbuhnya pepohonan.

"Sungguh pada yang demikian terdapat ayat-ayat bagi kaum yang mendengarkan."

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mendengarkan pelajaran, iaitu mendengar, mentadabur, memahami Kalamullah dan maknanya.

Tanda-tanda itu menunjukkan bahawa Allah berkuasa membangkitkan manusia yang telah mati,  bahawa hanya Dia yang berhak diibadahi dan bahawa Dia memiliki rahmat yang luas serta kepemurahan yang besar kerana telah menyebarkan ihsanNya.

"66. Dan sungguh bagi kalian di dalam haiwan ternak sungguh terdapat pelajaran."

Sesungguhnya pada haiwan ternak, iaitu haiwan ternak yang ditundukkan Allah untuk memberi kalian manfaat seperti unta, lembu dan kambing, benar-benar terdapat tanda dan bukti yang menunjukkan rahmatNya, kelembutanNya, kebijaksanaan Penciptanya, sempurnanya kekuasaanNya dan luasnya ihsanNya, .

"Kami memberi minum kalian dari apa yang dalam perutnya dari antara kotoran dan darah susu yang bersih yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminum."

Kami memberi kalian minum dari apa yang berada dalam perut haiwan ternak itu, iaitu susu murni dan bersih, yang berada antara tahi dan darah, namun warna putihnya, rasanya dan kemanisannya terpisah dan tidak bercampur dengan tahi dan darah melalui suatu proses dalam perut haiwan itu.

Masing-masingnya berjalan ke tempat salurannya masing-masing apabila makanan di dalam perutnya diproses. Darah mengalir ke urat-urat, air susu mengalir ke tetek, air kencing mengalir ke kemaluan, dan tahi disalurkan ke tempat pembuangan (anus)nya. Tiada seorang pun yang merasa sulit meminum atau menelan susunya.

"67. Dan dari buah-buahan kurma dan anggur, kalian menjadikan daripadanya minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik."

Dari buah kurma dan anggur, kalian membuat minuman yang haram, iaitu khamr. Ayat ini turun sebelum khamr diharamkan. Terdapat persamaan antara yang memabukkan yang dibuat dari perasan buah kurma dan anggur. Hukum yang sama diberlakukan juga terhadap semua jenis minuman ini yang dibuat dari gandum, jewawut, jagung dan madu.

Dari buah kurma dan anggur juga kalian membuat hal-hal yang dihalalkan, iaitu seperti buah-buah kering, minuman jus, cuka dan sebagainya yang tidak memabukkan, seperti yang telah disebutkan oleh sunnah.

"Sungguh pada yang demikian sungguh terdapat ayat-ayat bagi kaum berfikir."

Pada buah-buahan kurma dan anggur itu benar-benar terdapat tanda kekuasaan Allah bagi orang yang memikirkan dan mengerti. Akal merupakan bahagian yang termulia pada manusia. Kerana itulah Allah mengharamkan kepada umat ini semua jenis minuman yang memabukkan demi menjaga akal mereka.

"68. Dan telah mewahyukan Tuhanmu kepada lebah, "Hendaklah menjadikan dari gunung-gunung rumah-rumah, dan dari pohon, dan dari apa yang mereka dirikan.""

Allah telah mengilhamkan, menunjuk dan membimbing lebah agar mereka membuat sarangnya di bukit-bukit, di pohon-pohon dan di tempat-tempat yang dibangun manusia. Berkat adanya ilham dari Allah ini lebah membina sarangnya dengan sangat rapi struktur dan susunannya, sehingga tidak ada cela padanya.

"69. Kemudian makanlah dari tiap-tiap buah-buahan, maka tempuhlah jalan-jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan."

Kemudian Allah mengilhamkan kepada lebah untuk makan dari sari buah-buahan dan menempuh jalan-jalan yang telah dimudahkan oleh Allah baginya dengan penuh ketaatan. Maka lebah dapat menempuh jalan udara, gurun, padang rumput yang luas, lembah-lembah, dan gunung-gunung yang tinggi menurut apa yang disukainya tanpa kesulitan walaupun sukar dilalui.

Lalu masing-masing lebah dapat kembali terus ke sarangnya, tempat ia meletakkan telur-telurnya dan madu yang dibuatnya tanpa tersesat atau menyimpang ke arah kanan atau ke arah kiri walaupun perjalanannya jauh kerana telah dimudahkan Allah.

Lebah membangun lilin untuk sarangnya dengan kedua sayapnya, dan dari mulutnya ia memuntahkan madu; sedangkan lebah betina mengeluarkan telur dari duburnya, kemudian menetas dan terbang ke tempat kehidupannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Usia serangga empat puluh hari, dan semua jenis serangga dimasukkan ke dalam neraka kecuali lebah."

"Keluar dari perutnya minuman bermacam-macam warnanya,"

Dari perut lebah itu keluar madu yang bermacam-macam warnanya, ada yang putih, kuning, merah dan warna-warna lainnya yang indah sesuai dengan tempat penternakan dan makanannya.

"di dalamnya ubat bagi manusia."

Di dalam madu terdapat ubat penawar yang mujarab bagi manusia untuk menyembuhkan berbagai jenis penyakit yang dialami mereka.

Aisyah r.a. mengatakan, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. suka makanan yang manis dan madu."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Penyembuhan itu dengan tiga macam cara, iaitu melalui sayatan bekam, atau minuman madu, atau seterika (sengatan) dengan api; tetapi Aku larang umatku berubat memakai cara seterika."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Gunakanlah oleh kalian dua penawar, iaitu madu dan Al Qur’an."

"Sesungguhnya pada yang demikian sungguh terdapat ayat-ayat bagi kaum memikirkan."

Pada lebah itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang memikirkan memikirkan ciptaan Allah. Akhirnya mereka mengambil kesimpulan dari fenomena ini bahawa Allahlah yang mencipta, mengatur, menundukkan dan memperjalankannya. Dia Mahakuasa, Mahabijaksana, Maha Mengetahui, Mahamulia, dan Maha Pengasih.

Hal ini menunjukkan sempurnanya perhatian dan kelembutan Allah kepada hamba-hambaNya. Oleh kerana itu, tidak ada yang berhak diberikan kecintaan dan ibadah selain Dia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...