Sabtu, 1 Disember 2018

24:35 Tafsir Surah An Nur, ayat 35.

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ وَلا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٣٥) 

Orang-orang Yahudi bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w., "Bagaimanakah cahaya Allah dapat menembus dari balik langit?" Maka Allah s.w.t. membuat perumpamaan bagi cahayaNya itu melalui firmanNya,

"35. Allah cahaya langit dan bumi."

Allah Pemberi cahaya kepada langit dan bumi. CahayaNya adalah petunjuk. Dia Pemberi petunjuk Yang mengatur urusan yang ada di langit dan bumi.

Sesungguhnya di sisi Allah tidak ada malam dan tidak ada siang. Dengan cahaya ZatNya, cahaya dapat bersinar, ‘Arasy, Kursi, matahari, bulan dan syurga bersinar.

Allah Pemberi cahaya secara hissiy (konkrit). Dengan cahayaNya, maka teranglah langit dan bumi. Allah pada ZatNya bercahaya dan hijabNya juga cahaya. Jika bukan kerana kelembutanNya tentu cahaya zatNya akan membakar semua makhlukNya.

Allah juga Pemberi cahaya secara maknawi (abstrak). KitabNya bercahaya, syariatNya bercahaya, iman dan ma’rifat (mengenal Allah) di hati para rasul dan hamba-hambaNya adalah cahaya.

Jika tidak ada cahayaNya, tentu yang ada kegelapan di atas kegelapan. Kerana itu setiap tempat yang tidak mendapat cahayaNya menjadi gelap.

"Perumpamaan cahayaNya seperti sebuah lubang di dalamnya pelita."

Nurihi bermaksud hidayah Allah atau cahayaNya yang menunjukkan kepadaNya, iaitu cahaya iman dan Al Qur’an yang tertanam di dalam kalbu orang mukmin adalah seperti misykat yang di dalamnya ada misbah.

Misykat bermaksud suatu lubang di dinding rumah yang tidak tembus sampai ke sebelahnya. Biasanya digunakan untuk tempat lampu, lentera atau barang-barang lain. Misbah bermaksud lentera, pelita besar yang menyala atau cahaya yang ada dalam lampu itu.

Allah membuat perumpamaan ini untuk menggambarkan ketaatan kepadaNya. Allah menamakan ketaatan kepadaNya sebagai cahaya, kemudian memisalkannya dengan jenis-jenis yang lain.

"Pelita itu di dalam kaca."

Pelita itu berada di dalam tabung kaca. Cahayanya itu terpancar dari balik kaca yang jernih, bersih dan indah. Begitulah perumpamaan bagi kalbu orang mukmin.

"Kaca itu seakan-akan ia bintang berkilauan"

Tabung kaca itu seakan-akan bintang yang berkilauan, bercahaya, terang, jelas lagi besar seperti mutiara dan permata. Kalbu orang mukmin yang telah tertanam di dalamnya keimanan dan Al Qur'an yang diterimanya sesuai dengan fitrah dalam dirinya diserupakan dalam hal kejernihannya dengan lentera yang dibuat dari kaca yang lutsinar lagi berkilauan.

"dinyalakan dari pohon yang banyak keberkahan,"

Pelita itu dinyalakan dengan bahan bakarnya adalah minyak yang berasal dari pohon yang diberkahi.

"pohon zaitun tidak di sebelah timur dan tidak di sebelah barat,"

Iaitu pohon zaitun yang tumbuhnya bukan di belahan timur dan bukan juga di belahan barat. Ia tumbuh di daerah pertengahan di antara timur dan barat, luas, terdedah, menonjol dan tidak terlindung oleh sesuatu pun.

Kerana itu ia sentiasa terkena sinar mentari sepanjang hari, iaitu sejak pagi hari sampai petang hari. Maka pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak paling baik, jernih, lembut dan berkilauan.

"hampir-hampir minyaknya menerangi, walaupun tidak menyentuhnya api."

Minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Minyak itu bercahaya seakan-akan menyala kerana jernih dan cemerlangnya. Jika disentuh api, tentu sinarnya lebih terang lagi.

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w., Beliau hampir-hampir jelas di mata orang ramai, walaupun Beliau tidak mengucapkan bahawa dirinya seorang nabi.

Hidayah yang diterima dari Al Qur'an dan syariat agama diserupakan dengan minyaknya yang baik, jernih, bercahaya dan sesuai; tiada kekeruhan padanya, tiada pula penyimpangan.

"Cahaya di atas cahaya,"

Cahaya api dan cahaya minyak itu berlapis-lapis. Apabila bertemu kedua-duanya menerangi, masing-masing tidak dapat menerangi tanpa yang lainnya. Ini menggambarkan tentang iman seorang hamba dan amalnya.

Apabila cahaya Al Qur'an dan cahaya iman bertemu, maka masing-masing dari keduanya tidak akan ada kecuali dengan keberadaan yang lainnya.

Orang mukmin bergelimang di dalam lima nur (cahaya); ucapannya adalah cahaya, amal perbuatannya adalah cahaya, tempat masuknya adalah cahaya, tempat keluarnya adalah cahaya, dan tempat kembalinya ialah ke dalam syurga kelak di hari kiamat dengan diterangi oleh cahaya.

"Allah memberi petunjuk kepada cahayaNya siapa yang Dia kehendaki."

Cahaya petunjuk di dalam kalbu orang mukmin tersebut berasal dari Allah dan tidak setiap orang berhak mendapatnya. Allah membimbing ke jalan petunjuk siapa yang Dia pilih. Dia mengetahui kebersihan dan kesucian diri orang tersebut.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menciptakan makhlukNya dalam kegelapan, lalu melemparkan kepada mereka suatu cahaya dari cahayaNya. Maka barang siapa yang terkena cahaya itu, dia mendapat petunjuk; dan barang siapa yang luput darinya, maka sesatlah dia."

"Allah memperbuat perumpamaan bagi manusia,"

Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat lebih memahami sebagai kelembutan, ihsan dan maslahat dariNya kepada mereka, dan agar kebenaran semakin jelas.

Inti pada perumpamaan yang dibuat Allah ini dan praktiknya pada keadaan orang mukmin dan pada cahaya Allah di hatinya adalah bahawa fitrahNya yang manusia diciptakan di atasnya seperti minyak yang bersih.

Fitrahnya bersih dan sedia menerima pengajaran dari Allah serta mengamalkannya. Jika ilmu sampai kepadanya, maka menyala cahaya yang ada di hatinya seperti halnya sumbu yang menyala di dalam lampu itu, hatinya bersih dari maksud yang buruk dan faham yang buruk.

Apabila iman sampai kepadanya, maka akan bersinar lagi hatinya dengan sinar yang terang kerana bersih dari kotoran, dan hal itu seperti bersihnya kaca yang berkilau, sehingga berkumpullah cahaya fitrah, cahaya iman, cahaya ilmu dan bersihnya ma’rifat (mengenal Allah), sehingga cahaya tersebut di atas cahaya.

"dan Allah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui."

Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. IlmuNya meliputi segala sesuatu. Dia Maha Mengetahui hakikat segala sesuatu dan rinciannya. Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat petunjuk dan siapa yang berhak mendapat kesesatan.

Oleh kerana itu, hendaknya kesibukan kalian adalah memikirkannya dan memahaminya, bukan membantah dan menentangnya, kerana Dia mengetahui sedangkan kalian tidak mengetahui.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kalbu itu ada empat macam, iaitu kalbu yang bersih, di dalamnya terdapat sesuatu seperti pelita yang berkilauan; kalbu yang terkunci, dalam keadaan tertutup rapat oleh pelapisnya; kalbu yang terbalik, dan kalbu yang terlapisi. Adapun kalbu yang bersih ia adalah kalbu orang mukmin yang di dalamnya terdapat lentera yang meneranginya. Adapun kalbu yang terkunci, maka ia adalah kalbu orang kafir. Adapun kalbu yang terbalik, ia adalah kalbu orang munafik; ia mengetahui (kebenaran), kemudian mengingkarinya. Adapun kalbu yang terlapisi, maka ia adalah kalbu yang mengandung iman dan kemunafikan. Perumpamaan iman di dalam kalbu sama dengan sayuran yang disirami dengan air bersih, dan perumpamaan nifak (sifat munafik) di dalam kalbu sama dengan luka yang disertai oleh darah dan nanah; maka mana pun di antara keduanya mengalahkan yang lain, bererti dialah yang menang."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...