Ahad, 23 Disember 2018

86:1-17 Tafsir Surah Ath Thariq, ayat 1-17.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالسَّمَاءِ وَالطَّارِقِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الطَّارِقُ (٢) النَّجْمُ الثَّاقِبُ (٣) إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ (٤) فَلْيَنْظُرِ الإنْسَانُ مِمَّ خُلِقَ (٥) خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (٦) يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ (٧) إِنَّهُ عَلَى رَجْعِهِ لَقَادِرٌ (٨) يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ (٩) فَمَا لَهُ مِنْ قُوَّةٍ وَلا نَاصِرٍ (١٠) وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الرَّجْعِ (١١) وَالأرْضِ ذَاتِ الصَّدْعِ (١٢) إِنَّهُ لَقَوْلٌ فَصْلٌ (١٣) وَمَا هُوَ بِالْهَزْلِ (١٤) إِنَّهُمْ يَكِيدُونَ كَيْدًا (١٥) وَأَكِيدُ كَيْدًا (١٦) فَمَهِّلِ الْكَافِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًا (١٧)

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut nama langit dan semua bintang yang bersinar terang yang menghiasinya. Untuk itu, maka disebutkan oleh firmanNya,

"1. Demi langit dan yang datang malam hari,"

Demi langit dan yang datang pada malam hari. Kemudian dalam firman berikutnya disebutkan,

"2. Dan apakah kamu tahu apa yang datang malam hari?"

Tahukah kamu apakah yang datang pada malam hari itu? Kalimat ini untuk memperbesar perkaranya. Lalu ditafsirkan oleh firmanNya,

"3. Bintang yang bersinar tajam,"

Iaitu bintang sinarnya tajam menembus langit-langit sehingga terlihat di bumi. Ada yang mengatakan bintang yang cahayanya terang. Ada yang mengatakan bintang yang menembus syaitan-syaitan apabila dilemparkan kepadanya. Ada yang mengatakan bintang yang cahayanya terang lagi membakar syaitan-syaitan.

Bintang di sini adalah bintang Tsurayya (Kartika) atau semua bintang. Ada juga yang berpendapat, bahawa bintang tersebut adalah Zuhal (Saturnus). Sesungguhnya bintang dinamakan Ath Thariq kerana ia muncul dan hanya dapat dilihat di malam hari, sedangkan siang hari tidak kelihatan.

"4. Tidak ada setiap diri melainkan atasnya penjaga."

Inilah isi sumpahNya. Setiap jiwa, orang atau kalian pasti ada penjaganya, iaitu malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. agar melindungi kalian dari berbagai bencana dan penyakit, juga malaikat-malaikat yang menjaga amal kalian yang baik dan yang buruk, untuk kemudian diberikan balasan.

"5. Maka hendaklah memperhatikan manusia dari apa dia diciptakan?"

Betapa lemahnya asal kejadian kalian.

"6. Dia diciptakan dari air yang terpancar,"

Kalian diciptakan dari air mani yang dipancarkan oleh lelaki dan bertemu dengan indung (induk) telur wanita, maka terjadilah anak dari percampuran keduanya dengan izin Allah s.w.t.

"7. Dia keluar dari antara sulbi dan tara-ib."

Air mani yang keluar dari antara tulang punggung lelaki dan tulang dada wanita yang warna air maninya kuning lagi agak cair, kejadian anak dari air mani keduanya.

Tara-ib terletak di dada. Ada yang mengatakan di antara buah dadanya. Ada yang mengatakan di antara kedua bahu sampai dada. Ada yang mengatakan di bawah kerongkongan.

Ada yang mengatakan tara-ib berada di antara tulang sulbi dan bahagian bawah kerongkongannya. Ada yang mengatakan di antara kedua buah dada, kedua kaki, dan kedua mata.

Ada yang mengatakan taribatul mar-ah ertinya tempat kalungnya. Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah titisan hati, dari sanalah asal mula terjadinya anak.

Boleh juga maksud mani yang terpancar itu adalah mani lelaki, dan bahawa tempat yang dari sana keluar mani itu adalah di antara tulang sulbi dan tulang dadanya (tulang dada lelaki), mungkin ini yang lebih tepat, kerana Allah s.w.t. menyifati mani itu dengan air yang terpancar, dan yang dirasakan dan disaksikan pancarannya adalah mani lelaki.

Di samping itu, kata ‘tara ib’ boleh juga dipakai untuk lelaki yang kedudukannya menyamai tulang dada bagi perempuan. Kalau memang maksudnya adalah tulang dada perempuan, maka kata-katanya, “Min bainis sulbi was sadyain,” dan sebagainya, wallahu a’lam.

"8. Sungguh Dia benar-benar membangkitkannya kuasa."

Sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya, iaitu menghidupkannya sesudah matinya. Barang siapa yang memperhatikan asal kejadiannya, tentu dia akan mengetahui bahawa Yang Berkuasa menciptakan manusia dari air yang hina yang keluar dari tempat yang sempit, iaitu tulang sulbi dan tulang dada, maka pasti berkuasa juga membangkitkannya setelah mati.

Sehubungan dengan maksud ayat ini, pendapat pertama, mengatakan bahawa Allah berkuasa mengembalikan air mani yang telah terpancarkan ini ke tempat asalnya keluar.

Pendapat yang kedua mengatakan, sesungguhnya Allah berkuasa menghidupkan kembali manusia yang diciptakan dari air mani ini sesudah matinya, lalu dibangkitkan untuk menuju negeri akhirat.

Sesungguhnya Tuhan yang menciptakan dari mula mampu mengembalikan (menghidupkan) ciptaanNya seperti mulanya, bahkan lebih mudah.

"9. Pada hari ditampakkan rahsia-rahsia,"

Pada hari didedahkan segala rahsia yang disembunyikan dalam hati, iaitu keyakinan dan niat. Pada hari kiamat semua rahsia didedahkan sehingga menjadi jelas dan terang.

Sebelumnya di dunia banyak yang tersembunyi, maka pada hari Kiamat menjadi jelas sehingga kelihatan nyata siapa yang benar-benar baik dan siapa yang benar-benar buruk.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bagi tiap orang yang khianat dinaikkan (dipasang) bendera pada punggungnya, lalu dikatakan bahawa ini adalah pengkhianatan si Fulan bin Fulan."

"10. Maka tidak ada baginya dari kekuatan pun dan tidak penolong."

Maka sekali-kali tidak ada bagi manusia yang mengingkari kebangkitan itu kelak di hari kiamat suatu kekuatan pun dalam dirinya untuk menolak azab yang menimpanya. Tidak juga ada penolong dari luar dirinya yang menghindarkan azab dari dirinya.

Tiada seorang pun yang dapat menyelamatkan dirinya dari azab Allah dan tiada seorang pun yang dapat menolong orang lain dari azab Allah. Begitulah keadaan orang-orang yang beramal ketika mereka beramal dan ketika mereka diberi balasan. Allah s.w.t. bersumpah,

"11. Demi langit yang mempunyai hujan,"

Demi langit yang mengandung hujan. Ar raj'u bermaksud hujan atau awan yang mengandung air hujan. Hujan dinamakan raj'i dalam ayat ini bermaksud kembali atau berputar. Langit menurunkan hujan, kemudian menurunkan hujannya lagi.

Ada yang berpendapat bahawa maksudnya ialah yang mengembalikan rezeki hamba-hamba setiap tahunnya; seandainya tidak demikian, nescaya binasalah mereka dan juga haiwan ternak mereka.

Ada yang berpendapat bahawa maksudnya hujan berasal dari wap yang naik dari bumi ke udara, kemudian turun ke bumi, kemudian kembali ke atas, dan dari atas kembali ke bumi dan begitulah seterusnya.

Ada yang berpendapat bahawa maksudnya ialah yang kembali bintang-bintangnya, mataharinya, dan rembulannya datang dari arah ini. Allahu a’lam.

"12. Demi bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan,"

Terbelahnya bumi mengeluarkan tetumbuhannya. Dengan demikian, manusia dan haiwan pun menjadi hidup.

"13. Sungguh ia benar-benar firman pemisah,"

Sesungguhnya Al Quran benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak (benar) dan yang batil (salah). Faslun bermaksud pemutus, yang hak, yang benar, yang jelas, hukum yang adil, memisahkan yang hak dan yang batil dan menyelesaikan masalah.

"14. Dan tidak ia dengan sia-sia."

Bahkan Al Qur'an itu sungguhan dan benar, sekali-kali bukanlah ia senda gurauan. Tetapi orang-orang kafir mendustakan Al Qur'an dan menghalang-halangi manusia dari mengikuti jalannya.

"15. Sungguh mereka membuat tipu daya tipu daya."

Orang-orang kafir merancang muslihat jahat untuk menolak kebenaran dan menguatkan kebatilan. Mereka membuat menyeru dan mengelabui manusia agar menentang Al Qur'an.

"16. Dan Aku buat tipu daya tipu daya."

Aku juga membuat rancangan yang jitu untuk menguatkan kebenaran dan menolak kebatilan yang mereka hadapkan, walaupun mereka membenci.

"17. Maka berilah penangguhan orang-orang kafir, berilah penangguhan waktu sebentar."

Kerana itu berilah masa tangguh kepada orang-orang kafir. Berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu. Janganlah kamu tergesa-gesa terhadap mereka. Kelak kamu akan menyaksikan azab, pembalasan, hukuman dan kehancuran yang bakal menimpa mereka. Kelak mereka akan mengetahui akibat sikap mereka.

Selesai tafsir surah Ath Thaariq dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...