Sabtu, 23 Februari 2019

43:57-66 Tafsir Surah Az Zukhruf, ayat 57-66.

وَلَمَّا ضُرِبَ ابْنُ مَرْيَمَ مَثَلا إِذَا قَوْمُكَ مِنْهُ يَصِدُّونَ (٥٧) وَقَالُوا أَآلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلا جَدَلا بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ    (٥٨) إِنْ هُوَ إِلا عَبْدٌ أَنْعَمْنَا عَلَيْهِ وَجَعَلْنَاهُ مَثَلا لِبَنِي إِسْرَائِيلَ (٥٩) وَلَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَا مِنْكُمْ مَلائِكَةً فِي الأرْضِ يَخْلُفُونَ (٦٠) وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِلسَّاعَةِ فَلا تَمْتَرُنَّ بِهَا وَاتَّبِعُونِ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (٦١) وَلا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطَانُ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (٦٢) وَلَمَّا جَاءَ عِيسَى بِالْبَيِّنَاتِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُمْ بِالْحِكْمَةِ وَلأبَيِّنَ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (٦٣) إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (٦٤) فَاخْتَلَفَ الأحْزَابُ مِنْ بَيْنِهِمْ فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ (٦٥) هَلْ يَنْظُرُونَ إِلا السَّاعَةَ أَنْ تَأْتِيَهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ (٦٦)

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. duduk bersama Al Walid ibnul Mugirah di dalam Masjidil Haram. Lalu datanglah An-Nadr ibnul Haris yang langsung bergabung dengan mereka di majlis itu, dan di dalam majlis tersebut terdapat ramai lelaki dari kaum Quraisy. Maka Rasulullah s.a.w. membuka pembicaraan, tetapi pembicaraannya di tentang oleh An Nadr ibnul Haris.

Maka Rasulullah s.a.w. membalasnya hingga mengalahkannya, lalu Beliau s.a.w. membacakan kepada An Nadr ibnul Haris dan juga kepada mereka firman Allah s.w.t., "Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam, kamu pasti masuk ke dalamnya. (Al Anbiya 21:98), dan beberapa ayat berikutnya.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bangkit, dan saat itu datanglah Abdullah ibnuz Zaba'ri At Tamimi, lalu ikut bergabung ke dalam majlis tersebut.

Maka Al Walid ibnul Mugirah berkata kepadanya, "Demi Allah, An Nadr ibnul Haris tidak mahu berdiri untuk anak Abdul Muttalib (Nabi s.a.w.) dan tidak mahu pula duduk (dengannya). Sesungguhnya Muhammad menduga bahawa kita dan apa yang kita sembah selain Allah ini akan menjadi umpan neraka Jahanam."

Abdullah ibnuz Zaba'ri berkata, "Ingatlah, demi Allah; seandainya aku menjumpainya, nescaya aku debat dia. Tanyakanlah kepada Muhammad, "Apakah semua yang disembah selain Allah dimasukkan ke dalam Jahanam bersama para pengabdinya?" Kita menyembah para malaikat, orang-orang Yahudi menyembah Uzair, dan orang-orang Nasrani menyembah Al Masih Isa ibnu Maryam."

Maka merasa hairanlah Al Walid bersama orang-orang yang ada di dalam majlis itu terhadap ucapan Abdullah ibnuz Zaba'ri, dan mereka berpandangan bahawa Abdullah ibnuz Zaba'ri telah mendebat dan mengalahkan alasan Muhammad.

Lalu hal tersebut diceritakan kepada Rasulullah s.a.w., maka Beliau s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang senang dirinya disembah selain Allah, maka dia bersama dengan orang-orang yang menyembahnya. Dan sesungguhnya yang mereka sembah itu hanyalah syaitan dan orang-orang yang memerintahkan kepada mereka untuk menyembahnya."

Lalu turunlah firman Allah s.w.t., "Sesungguhnya orang-orang yang telah ada untuk mereka ketetapan yang baik dari Kami, mereka itu dijauhkan dari neraka." (Al Anbiya 21:101)
Iaitu Isa dan Uzair serta orang-orang yang disembah lainnya bersama keduanya dari kalangan para rahib dan para pendeta yang telah menjalani masa hidupnya dalam ketaatan kepada Allah s.w.t. Lalu oleh orang-orang yang sesudah mereka dari kalangan orang-orang yang sesat, mereka dijadikan sebagai tuhan-tuhan selain Allah.

Telah disebutkan juga di dalam Al Qur'an yang mengisahkan bahawa mereka menyembah para malaikat yang mereka anggap sebagai anak-anak perempuan Allah, iaitu melalui firmanNya, "Dan mereka berkata, "Tuhan Yang Maha Pemurah telah mengambil (mempunyai) anak”, Mahasuci Allah Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan. (Al-Anbiya 21:26)

Disebutkan juga perihal Isa a.s, bahawa Beliau disembah selain Allah. Maka Al Walid dan orang-orang yang ada di dalam majlis itu merasa kagum dengan hujah dan alasan yang dikemukakan oleh Abdullah ibnuz Zaba'ri.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang-orang Quraisy, "Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya tiada seorang pun yang disembah selain Allah terdapat kebaikan pada dirinya." Orang-orang Quraisy telah mengetahui bahawa orang-orang Nasrani menyembah Isa putera Maryam dan pendapat mereka terhadap Muhammad s.a.w.

Maka mereka mengatakan, "Hai Muhammad, bukankah engkau mengira bahawa Isa putera Maryam adalah seorang nabi dan hamba Allah yang soleh? Maka jika engkau benar, dia adalah tuhan mereka seperti apa yang dikatakan oleh mereka." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"57. Dan ketika dijadikan putera Maryam perumpamaan, tiba-tiba kaummu bersorak."

Ketika Isa a.s. dijadikan perumpamaan, tiba-tiba kaum Quraisy bersorak kerananya. Bersorak di sini bermaksud memekik dengan gaduh. Ada yang mengatakan mereka ketawa, iaitu merasa hairan dengan perumpamaan tersebut. Ada yang mengatakan bahawa mereka merasa terkejut dengan perumpamaan itu, lalu ketawa. Ada yang mengatakan bahawa mereka berpaling darinya.

"58. Dan mereka berkata, "Apakah tuhan-tuhan kami lebih baik, atau dia?”"

Orang-orang Quraisy mengatakan bahawa tuhan-tuhan mereka lebih baik daripada Isa a.s. Ada yang mengatakan bahawa mereka mengatakan bahawa tuhan-tuhan mereka lebih baik daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika disebutkan kepada mereka firmanNya, "Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan (bahan bakar) Jahanam, kamu pasti masuk ke dalamnya." (Al Anbiya 21:98), hingga beberapa ayat sesudahnya, maka orang-orang Quraisy bertanya kepada Nabi s.a.w, "Siapakah Ibnu Maryam itu?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dia adalah hamba Allah dan utusanNya." Mereka berkata, "Demi Allah, tiada yang dikehendaki oleh orang ini melainkan agar kita menjadikannya sebagai tuhan, sebagaimana orang-orang Nasrani menjadikan Isa putera Maryam sebagai tuhan yang disembah mereka." Maka Allah s.w.t. berfirman,

"Mereka tidak menjadikannya bagimu kecuali bantahan, bahkan mereka kaum bertengkar."

Pertanyaan mereka, ucapan mereka dan tujuan mereka memberikan perumpamaan itu kepada Beliau s.a.w. hanyalah semata-mata sebagai bantahan dari mereka saja, bukan kerana mereka mencari atau meyakini kebenarannya. Jalan fikiran mereka itu adalah kesalahan yang besar.

Padahal mereka mengetahui bahawa Isa a.s. tidak termasuk ke dalam pengertian firman Allah s.w.t., "Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam." (Al Anbiya 21:98), kerana 'maa' (apa) di sini ditujukan kepada yang tidak berakal atau benda mati.

Kemudian khitab ini ditujukan kepada orang-orang Quraisy, dan mereka tiada lain hanyalah penyembah berhala-berhala dan tandingan-tandingan yang mereka ada-adakan. Mereka sama sekali bukan penyembah Al Masih. Tidak mungkin Isa a.s. termasuk ke dalam pengertian ini.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang telah ada untuk mereka ketetapan yang baik dari Kami, mereka itu dijauhkan dari neraka.” (Al Anbiyaa’ 21:101)

Isa a.s., para nabi lain dan para wali, mereka semua tidak rela dijadikan sesembahan. Ibadah adalah hak Allah s.w.t. saja, tidak dimiliki oleh seorang pun dari makhluk, baik malaikat yang didekatkan, para nabi yang diutus maupun lainnya.

Sebenarnya orang-orang Quraisy itu adalah kaum yang memang suka bertengkar. Begitulah kedegilan mereka dalam kekafirannya dan kesengajaan mereka bersikap ingkar dan mendebat Nabi s.a.w.

"59. Tidaklah dia kecuali seorang hamba Kami beri nikmat atasnya"

Isa a.s. itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang Allah s.w.t. berikan kepadanya nikmat, iaitu kurnia nubuwiyah (kenabian dan kerasulan), hikmah, ilmu dan amal.

"dan Kami jadikan dia perumpamaan bagi Bani Israil."

Allah s.w.t. jadikan Isa a.s. sebagai tanda bukti kekuasaanNya untuk Bani Israil, iaitu sebagai bukti, alasan dan keterangan yang menunjukkan kekuasaanNya terhadap apa yang Dia kehendaki.
Isa a.s. lahir dari Maryam tanpa bapa.

Hal itu sebagai dalil mahakuasanya Allah s.w.t. atas apa yang Dia kehendaki. Ayat ini menegaskan pandangan Islam terhadap kedudukan lsa a.s., iaitu sebagai hamba Allah dan RasulNya.

"60. Dan sekiranya Kami menghendaki, nescaya Kami jadikan di antara kalian malaikat di bumi menggantikan."

Kalau Allah s.w.t. menghendaki, Dia benar-benar jadikan malaikat-malaikat yang turun temurun menggantikan manusia dalam meramaikan muka bumi. Lalu mereka tinggal di bumi, sebahagian dari mereka mengganti sebahagian yang lain. Kemudian Allah mengutus utusan yang terdiri dari para malaikat.

Adapun kalian wahai manusia, tidak sesuai diutuskan kepada kalian para malaikat kerana kalian tidak sejalan dengan mereka. Oleh kerana itu, termasuk rahmat Allah kepada kalian adalah Dia mengutus para rasul dari jenis manusia juga agar kalian dapat menimba ilmu dari mereka.

"61. Dan sungguh dia benar-benar pertanda atas datangnya hari kiamat."

Sesungguhnya Isa a.s. itu benar-benar memberikan pengetahuan tentang hari kiamat. Beliau benar-benar menjadi tanda dan dalil yang menunjukkan akan terjadinya hari kiamat.

Mukjizat-mukjizat yang telah diberikan kepadanya, seperti menghidupkan orang-orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta, menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan penyakit-penyakit lainnya. Hal itu sudah cukup sebagai bukti yang menunjukkan akan pengetahuan tentang hari kiamat.

Ketika Isa a.s. turun ke dunia di akhir zaman saat Dajjal telah keluar, itu merupakan tanda dekatnya hari Kiamat. Beliau turun sebagai seorang pemimpin dan hakim yang adil. Semua Ahli Kitab akan beriman kepadanya sebelum kewafatannya yang sebenarnya. Di hari kiamat nanti Beliau akan menjadi saksi terhadap mereka.

Hal itu juga menunjukkan bahawa yang berkuasa menciptakannya tanpa bapa, berkuasa juga membangkitkan orang-orang yang telah mati dari kubur mereka.

"Maka janganlah kalian ragu kepadanya dan ikutilah aku. Ini jalan yang lurus."

Janganlah kalian ragu-ragu tentang kiamat itu, kerana meragukannya adalah suatu kekufuran. Sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan terjadi dan tidak dapat dielakkan lagi.

Ikutilah aku dalam semua apa yang kusampaikan kepada kalian. Kerjakanlah apa yang aku perintahkan dan jauhilah apa yang aku larang. Antaranya adalah mentauhidkan Allah ‘Azza wa Jalla. Inilah jalan lurus yang menghubungkan dan menyampaikan kepada Allah dan syurgaNya.

"62. Dan jangan memalingkan kalian syaitan; Sesungguhnya ia bagi kalian musuh yang nyata."

Janganlah sekali-kali kalian dipalingkan oleh syaitan dari mengikuti jalan yang hak dan dari menjalankan perintah Allah. Syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian. Ia berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan kalian.

"63. Dan ketika telah datang Isa dengan keterangan,"

Ketika Isa a.s. datang kepada Bani Israil membawa keterangan yang menunjukkan benarnya kenabian Beliau dan apa yang Beliau bawa, seperti menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta sejak lahir dan orang yang berpenyakit sopak.

"dia berkata, "Sungguh aku datang kepada kalian dengan hikmah""

Isa a.s. datang kepada Bani Israil dengan membawa hikmah, iaitu Nubuwiyah (kenabian dan kerasulan), Injil, ilmu dan hukum.

"dan untuk aku jelaskan kepada kalian sebahagian yang kalian perselisihkan di dalamnya,"

Beliau juga datang untuk menjelaskan kepada mereka perselisihan mereka tentang agama, sehingga hilang kesamarannya. Oleh kerana itu, Isa a.s. datang menyempurnakan syariat Musa a.s. dan datang membawa sebahagian kemudahan yang seharusnya diikuti dan diterima

"maka bertakwalah pada Allah dan taatilah aku.” 

Isa a.s. mengajak Bani Israil bertakwa kepada Allah, iaitu menyembah Allah saja, mengikuti perintahNya dan menjauhi laranganNya. Beliau juga mengajak mereka mentaatinya, iaitu beriman dan membenarkan Beliau dalam semua yang Beliau sampaikan kepada mereka.

"64. Sesungguhnya Allah, Dia Tuhanku dan Tuhan kalian. Maka sembahlah Dia. Ini jalan lurus."

Allah Tuhan seluruh manusia. Semuanya adalah hamba-hambaNya lagi berhajat kepadaNya, sama-sama diperintahkan untuk menyembah kepadaNya semata, tiada sekutu bagiNya. Inilah jalan lurus yang menghubungkan dan menyampaikan kepada Allah dan syurgaNya.

Dalam ayat ini terdapat pengakuan terhadap tauhid rububiyyah (Allah adalah Pengatur alam semesta) dan tauhid Uluhiyyah (Allah yang berhak disembah saja), juga terdapat pemberitahuan bahawa Isa a.s. adalah salah seorang daripada hamba-hamba Allah. Beliau telah menerangkan kebenaran.

"65. Maka berselisih beberapa golongan di antara mereka;"

Mereka berselisih pendapat tentang Isa a.s. sehingga bercerai-berai menjadi beberapa golongan. Sebahagian dari mereka mengakui bahawa Isa a.s. adalah hamba Allah dan rasulNya. Golongan inilah yang benar, beriman, bersaksi terhadap kerasulan Beliau dan membenarkan semua yang Beliau bawa.

Sebahagian yang lain mengatakan bahawa Isa a.s. adalah putera Allah atau salah satu di antara yang tiga. Dan sebahagian lainnya mengatakan bahawa Isa a.s. adalah Allah. Mereka juga membantah apa yang Isa a.s. bawa. Mahasuci Allah lagi Mahatinggi dari ucapan mereka dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

"maka kecelakaan bagi orang-orang yang mereka zalim, dari azab hari yang pedih."

Alangkah sedih, rugi dan celaka orang-orang yang kafir kerana azab pada hari Kiamat, disebabkan ucapan mereka yang salah tentang Isa a.s.

"66. Apakah mereka menunggu kecuali hari kiamat bahawa datang kepada mereka dengan tiba-tiba, dan mereka tidak menyedarinya."

Orang-orang musyrik yang mendustakan para rasul itu hanyalah menanti kedatangan hari kiamat kepada mereka, hari yang pasti terjadi, yang datangnya secara mendadak dan tiba-tiba, sedangkan mereka dalam keadaan lalai darinya dan tidak bersedia menyambutnya.

Ketika itu mereka sangat menyesal dengan penyesalan yang tiada manfaatnya bagi mereka dan tidak dapat merubah keadaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...