Ahad, 17 Mac 2019

3:33-37 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 33-37.

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ (٣٣) ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٣٤) إِذْ قَالَتِ امْرَأَةُ عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٥) فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالأنْثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (٣٦) فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنْبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (٣٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"33. Sesungguhnya Allah memilih Adam dan Nuh dan keluarga Ibrahim dan keluarga Imran atas seluruh alam."

Allah s.w.t. telah memilih Adam a.s., Nuh a.s., keluarga Ibrahim a.s., dan keluarga Imran melebihi segala umat di masa mereka masing-masing. Dia memilih keluarga-keluarga tersebut atas semua penduduk bumi.

Allah menciptakan Adam a.s. dengan tangan (kekuasaan)Nya, meniupkan ke dalam tubuhnya sebahagian dari ruh (ciptaan)Nya, memerintahkan para malaikat bersujud kepadanya, mengajarkan kepadanya nama-nama segala sesuatu dan memberinya ilmu pengetahuan.

Allah menempatkan Adam a.s. di dalam syurga, memberinya sifat santun, keutamaan yang melebihi makhluk-makhluk yang lain dan menurunkannya dari syurga kerana hikmah yang hanya diketahui olehNya.

Allah menjadikan Nuh a.s. sebagai rasul pertama untuk penduduk bumi, di saat manusia mulai menyembah berhala dan mempersekutukan Allah dengan sesembahan-sesembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan hujah mengenainya.

Allah memberinya taufiq untuk bersabar, sedia memikul beban berat dan rasa syukur yang tinggi. Allah membela Nuh a.s. setelah lama masa tinggalnya di kalangan kaumnya menyeru mereka untuk menyembah Allah siang dan malam hari, baik dengan sembunyi-sembunyi maupun dengan terang-terangan.

Akan tetapi, usahanya itu hanya membuat mereka semakin jauh. Maka Nuh a.s. berdoa untuk kebinasaan mereka. Akhirnya Allah menenggelamkan mereka semua hingga tidak ada seorang pun yang selamat kecuali orang-orang yang mengikuti agama yang diutus oleh Allah kepadanya. Allah menyebut baik namanya di setiap waktu dan zaman.

Ibrahim a.s. adalah kekasih Allah, seorang yang rela mengorbankan dirinya ke dalam api, mengorbankan anaknya sebagai korban, mengorbankan hartanya untuk para tetamu, seorang yang berdakwah kepada Allah di malam dan siang, secara sembunyi maupun terang-terangan.

Allah menjadikannya sebagai teladan yang diikuti oleh generasi setelahnya. Keturunannya ramai yang diangkat Allah menjadi nabi dan diberi kitab. Termasuk ke dalam keluarga Ibrahim adalah para nabi yang diutus setelahnya, kerana mereka termasuk keturunannya.

Dari kalangan keluarga Ibrahim lahir penghulu manusia, penutup semua nabi iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Allah menghimpunkan kesempurnaan yang terpisah-pisah, Beliau melebihi generasi terdahulu dan generasi kemudian, Beliau adalah Sayyidul Mursalin (tokoh para rasul).

Imran yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah bapa Maryam, ibu Isa a.s. Dia adalah Imran ibnu Yasyim ibnu Misya ibnu Hizqiya ibnu Ibrahim Guraya ibnu Nawisy ibnu Ajr ibnu Bahwa ibnu Nazim ibnu Muqasit ibnu Isya ibnu Iyaz ibnu Rukhai'am ibnu Sulaiman ibnu Daud a.s. Isa a.s. termasuk salah seorang dari keturunan Ibrahim a.s.

"34. Keturunan sebahagiannya dari sebahagian yang lain." 

Iaitu satu keturunan yang sebahagiannya adalah keturunan dari yang lain. Di antara yang satu dengan yang lain memiliki kemiripan baik dari sisi fizikal maupun akhlak.

"Dan Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui."

Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui siapa yang berhak dipilihNya dan siapa yang tidak berhak dipilih. Mereka dipilih Allah kerana keadaan mereka yang diketahui Allah sehingga berhak mendapat pilihanNya sebagai kurnia dan pemberianNya.

Ingatlah wahai Rasul tentang perkara Maryam, ibunya dan anaknya Isa a.s. untuk membantah orang-orang yang menuhankan Isa a.s. atau mengatakan Beliau sebagai anak Allah. Maha Suci Allah.

"35. Ketika berkata isteri Imran, "Tuhanku, sungguh aku bernazar kepada Engkau apa yang ada dalam perutku menjadi hamba yang berkhidmat,""

Isteri Imran adalah ibu Maryam a.s., namanya Hannah binti Faquz. Dia adalah seorang wanita yang lama tidak pernah hamil. Pada suatu hari dia melihat seekor burung sedang memberi makan anak-anaknya. Akhirnya dia ingin mempunyai anak. Kemudian dia berdoa kepada Allah s.w.t., semoga Allah menganugerahinya seorang putera, dan Allah memperkenankan doanya itu.

Ketika suaminya menggaulinya, maka hamillah dia. Setelah masa hamilnya telah tua, maka dia berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh, yang mengabdi kepadaMu, tidak disibukkan dengan urusan dunia, bahkan sibuk beribadah kepadaMu dan berkhidmat di Baitul Maqdis."

"maka terimalah dariku. Sungguh Engkau, Engkaulah Maha Mendengar Maha Mengetahui."
Kerana itu, terimalah nazar itu dariku. 

Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar akan doaku lagi Maha Mengetahui niatku. Saat itu dia tidak mengetahui apakah anak yang dikandungnya itu lelaki atau perempuan.

"36. Maka tatkala dia melahirkannya, dia berkata, "Tuhanku, sungguh aku melahirkannya perempuan;""

Ketika isteri Imran melahirkan anaknya, dia berkata, "Ya Tuhanku, sesunguhnya aku melahirkan anak perempuan." Isteri Imran ingin melahirkan anak lelaki kerana lebih mampu berkhidmat.

"dan Allah lebih mengetahui terhadap apa yang dia lahirkan;"

Padahal Allah lebih mengetahui terhadap anak yang dilahirkan isteri Imran, dan kelak Allah akan mengadakan perkara penting terhadapnya.

"dan tidaklah lelaki seperti perempuan."

Anak lelaki tidaklah sama dengan anak perempuan dalam hal kekuatan dan kesabaran dalam beribadah dan berkhidmat mengurus Masjidil Aqsa.

Menurut isteri Imran, anak perempuan tidak sesuai berkhidmat di baitul Maqdis, kerana keadaan perempuan yang lemah berbanding lelaki dalam berkhidmat, auratnya lebih tertutup, terkena haidh dan sebagainya.

"Dan sungguh aku telah menamainya Maryam"

Isteri Imran telah menamai anaknya Maryam. Dalam ayat ini terdapat dalil kelebihan lelaki berbanding wanita, dalil memberi nama saat anak lahir dan bahawa ibu boleh menamai anak ketika bapanya tidak suka.

Di dalam ayat ini juga terdapat dalil bolehnya menamai anak di hari kelahirannya secara langsung, seperti yang tersirat dari makna lahiriah ayat. Hal ini merupakan syariat orang-orang sebelum kita, lalu diakui oleh syariat kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Telah dilahirkan untukku malam ini seorang anak lelaki yang aku beri nama dengan nama Abi Ibrahim."

"dan sungguh aku mohon perlindungan untuknya kepadaMu dan keturunannya dari syaitan yang terkutuk."

Ibu Maryam berdoa menyerahkan anaknya, iaitu Maryam kepada lindungan dan pemeliharaan Allah bersama anaknya, iaitu Isa a.s. dari gangguan syaitan yang terkutuk. Terkutuk bermaksud dijauhkan dari rahmat Allah Azza wa Jalla. Maka Allah memperkenankan doanya itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang anak pun yang baru dilahirkan melainkan syaitan menyentuhnya ketika dilahirkan, lalu dia menjerit menangis kerana syaitan telah menyentuhnya, kecuali Maryam dan anak lelakinya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang bayi pun melainkan syaitan telah mencubitnya sekali atau dua kali, kecuali Isa ibnu Maryam dan Maryam sendiri."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua anak Adam pernah ditusuk oleh syaitan pada perutnya ketika dilahirkan oleh ibunya, kecuali Isa ibnu Maryam; syaitan pergi untuk menusuknya, tetapi yang ditusuknya hanyalah hijab (penghalang)."

"37. Maka menerimanya Tuhannya dengan penerimaan yang baik,"

Allah s.w.t. mengabulkan do'anya dan menerima nazar yang telah diucapkan oleh ibu Maryam dengan penerimaan yang baik.

"dan Dia menumbuhkannya pertumbuhan yang baik, dan memeliharanya Zakariya."

Allah s.w.t. dengan kelembutanNya membesarkan Maryam dalam keadaan yang sempurna, mempunyai rupa yang cantik, berpenampilan yang bercahaya, mengungguli semua wanita, tumbuh beribadah kepada Allah, menyibukkan dirinya dengan beribadah dan menetapi mihrab.

Allah memberinya rahsia untuk doa yang dikabulkan dan menitipkannya kepada orang-orang yang soleh dari hamba-hambaNya. Maryam belajar dari mereka ilmu, kebaikan dan agama.

Allah menjadikan Zakariya a.s. sebagai pemelihara Maryam. Hal tersebut terjadi kerana Maryam telah yatim. Ada yang mengatakan bahawa kaum Bani Israil di suatu waktu mengalami musim kebuluran dan kekeringan, maka Zakariya a.s. memelihara Maryam sebagai ayah angkatnya. Kedua pendapat tersebut tidaklah bertentangan.

Allah telah menakdirkan Zakariya a.s. sebagai pemeliharanya hanyalah untuk kebahagiaan Maryam sendiri, agar Maryam dapat menimba darinya ilmu pengetahuan yang banyak lagi bermanfaat serta amal yang soleh. Juga kerana Zakariya a.s. sendiri adalah suami makciknya.

Menurut pendapat yang lain, Zakariya a.s. adalah suami saudara perempuan Maryam. Adakalanya dapat diselaraskan dengan pengertian yang lebih luas, iaitu Maryam berada di dalam asuhan dan pemeliharaan makciknya, yang kedudukannya sama dengan ibu.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal kemuliaan dan keteguhannya dalam tempat ibadahnya,

"Setiap kali masuk atasnya Zakariya mihrab, dia dapati di sisinya rezeki."

Setiap kali Zakariya a.s. masuk menemui Maryam di mihrab (kamar khusus ibadah atau tempat solat), dia menjumpai di sisi Maryam buah-buahan musim panas di saat musim dingin, dan buah-buahan musim dingin di saat musim panas. Dalam ayat ini terdapat dalil adanya karamah para wali.

"Dia berkata, "Wahai Maryam, dari mana bagi kamu ini?""

Zakariya a.s. bertanya dari mana Maryam mendapat makanan itu.

"Dia berkata, "Ini dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.""

Maryam menjawab bahawa makanan itu datang dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa hisab.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...