Selasa, 18 Jun 2019

3:187-189 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 187-189.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلا تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلا فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ (١٨٧) لا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوْا وَيُحِبُّونَ أَنْ يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلا تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ مِنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١٨٨) وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٨٩)

Allah s.w.t. berfirman mencela dan mengancam Ahli Kitab,

"187. Dan ketika Allah mengambil janji orang-orang yang diberikan kitab, "Hendaklah kalian menerangkannya kepada manusia dan janganlah kalian menyembunyikannya,""

Ingatlah ketika Allah mengambil janji dari ahli kitab melalui lisan nabi-nabiNya iaitu hendaklah mereka menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan tidak menyembunyikannya. Di antara keterangan yang disembunyikan itu ialah tentang kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

Hendaklah mereka bersedia beriman kepada Beliau s.a.w. dan mahu mempopularkannya di kalangan manusia, sehingga mereka dalam keadaan sedia dalam menyambut perkaranya. Apabila tiba saatnya Allah mengutus Beliau, maka mereka hanya perlu mengikutinya.

"lalu mereka melemparkannya di belakang punggung mereka"

Akan tetapi, mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka, iaitu tidak mengamalkannya. Mereka menyembunyikan hal tersebut.

"dan mereka membeli dengannya harga yang sedikit."

Mereka menukarnya dengan harga yang murah, iaitu menukar kebaikan di dunia dan akhirat yang telah dijanjikan kepada mereka dengan harga yang sedikit, kesenangan dan keuntungan duniawi yang rendah, seperti menginginkan kedudukannya diangkat atau mendapat harta, sehingga mereka berani menyembunyikan ilmu yang mereka ketahui.

"Maka alangkah buruknya apa yang mereka beli."

Seburuk-buruk jual beli adalah jual beli yang mereka lakukan. Maka amat buruk sekali tukaran yang mereka terima.

Di dalam ungkapan ini terkandung peringatan bagi para ulama agar mereka tidak menempuh jalan orang-orang yang bersifat demikian, kerana akibatnya mereka akan ditimpa bencana yang sama dan membuat mereka termasuk ke dalam golongannya.

Kerana itu, sudah seharusnya bagi ulama menyiarkan ilmu yang bermanfaat yang ada di tangan mereka, iaitu ilmu yang menunjukkan kepada amal yang soleh, dan tidak menyembunyikan sesuatu pun darinya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang ditanya mengenai suatu ilmu, lalu dia menyembunyikannya, kelak dia akan disumbat pada hari kiamat dengan penyumbat dari api neraka."

Sejumlah kaum lelaki dari kalangan orang-orang munafik di masa Rasulullah s.a.w., apabila Beliau berangkat ke suatu medan perang, maka mereka tidak mahu ikut dan tetap tinggal di Madinah.

Mereka merasa gembira dengan ketidakikutsertaan mereka yang bertentangan dengan prinsip Rasulullah s.a.w.

Tetapi apabila Rasulullah s.a.w. tiba dari medan perang, mereka meminta maaf kepadanya dan bersumpah untuk memperkuat alasan mereka. Mereka merasa gembira dengan apa yang tidak pernah mereka kerjakan. Lalu turunlah firman Allah s.w.t.,

"188. Janganlah kamu mengira orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka datangkan"

Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang suka dan berpuas hati dengan apa yang telah mereka kerjakan, iaitu menyesatkan manusia, atau mengerjakan perbuatan dan perkataan buruk.

Jika pasukan Rasulullah s.a.w. mendapat musibah, mereka merasa gembira kerana ketidakikutsertaan mereka.

"dan menyukai untuk mereka dipuji dengan apa yang tidak mereka kerjakan,"

Mereka juga suka dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka lakukan, padahal mereka tidak mengerjakan kebaikan dan tidak menegakkan kebenaran. Yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah orang-orang yang suka pamer yang ingin dipuji dengan apa yang tidak pernah mereka lakukan.

Jika pasukan kaum muslim mendapat pertolongan dari Allah dan kemenangan, maka mereka mengadakan perjanjian pakta pertahanan bersama kaum muslim, dengan maksud mengambil hati kaum muslim agar kaum muslim memuji mereka kerana simpati mereka kepada kemenangan yang dicapai oleh kaum muslim.

Nabi s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mengucapkan suatu pengakuan secara dusta dengan tujuan ingin dipuji kerananya, maka Allah tidak menambahkan kepadanya melainkan kekurangan."

Di dalam hadis lain disebutkan, "Orang yang ingin terpuji dengan apa yang tidak pernah dia berikan sama saja dengan orang yang memakai pakaian dusta dua lapis."

Marwan pernah berkata kepada Rafi' (pengawal peribadinya), "Berangkatlah kamu kepada Ibnu Abbas dan katakanlah, "Jika setiap orang dari kita disiksa kerana merasa gembira dengan apa yang telah dia kerjakan dan suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum dia kerjakan, nescaya kita semua akan disiksa."

Maka Ibnu Abbas menjawab, "Mengapa kamu berpemahaman demikian terhadap ayat ini? Sesungguhnya ayat ini diturunkan hanya berkenaan dengan orang-orang Ahli Kitab." Kemudian Ibnu Abbas membacakan surah Ali Imran 3:187-188.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah menanyakan sesuatu kepada mereka (Ahli Kitab) dan mereka menyembunyikannya serta memberitahukan hal yang lain kepadanya.

Setelah itu mereka keluar dengan perasaan bahawa mereka telah memperlihatkan kepada Beliau bahawa mereka telah menceritakan kepada Beliau apa yang Beliau tanyakan kepada mereka.

Mereka ingin dipuji dengan perbuatan tersebut serta merasa gembira kerana perbuatan mereka menurut mereka berjaya mengelabuinya dengan memberikan jawaban lain dan menyembunyikan jawaban yang sebenarnya dari Nabi s.a.w.

"Maka janganlah kalian mengira mereka terlepas dari azab, dan bagi mereka azab yang pedih."

Jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dan selamat dari siksa Allah. Bahkan mereka pasti akan mendapat siksaanNya yang pedih.

Termasuk ke dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang bergembira dengan ilmu yang ada pada mereka, namun mereka tidak mengikuti rasul dan menyangka bahawa sikap mereka benar.

Begitu juga orang yang mengadakan bid'ah baik dengan ucapan maupun perbuatan, lalu dia bergembira dengannya, mengajak manusia kepada perbuatan bid'ah itu dan menyangka bahawa diri mereka benar, sedangkan yang lain salah.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa orang yang suka mendapat pujian kerana kebaikannya dan mengikuti yang hak, jika niatnya bukan riya' dan sum'ah, maka tidaklah tercela.

Oleh kerana itu, Ibrahim a.s. pernah berdoa, "Dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian." (Asy Syu'ara 26:84) Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman,

"189. Dan milik Allah kerajaan langit dan bumi; dan Allah atas segala sesuatu Mahakuasa."

Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia adalah Pemilik segala sesuatu. Dia Maha Agung yang tiada sesuatu pun yang lebih agung daripadaNya. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu yang tiada sesuatu pun lebih berkuasa daripadaNya, melemahkanNya atau mengalahkanNya.

Dia bertindak terhadap semua yang ada di langit dan di bumi dengan kuasaNya yang sempurna. Tidak ada satu pun makhluk yang dapat menolak ketetapanNya. Di antara kekuasaanNya juga adalah dengan menyiksa orang-orang kafir dan menyelamatkan orang-orang mukmin.

Kerana itu, takutlah kalian kepadaNya dan jangan sekali-kali kalian melanggarNya. Hati-hatilah kalian kepada murka dan pembalasanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...