Isnin, 17 Jun 2019

3:38-41 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 38-41.

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ (٣٨) فَنَادَتْهُ الْمَلائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ (٣٩) قَالَ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي غُلامٌ وَقَدْ بَلَغَنِيَ الْكِبَرُ وَامْرَأَتِي عَاقِرٌ قَالَ كَذَلِكَ اللَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ (٤٠) قَالَ رَبِّ اجْعَلْ لِي آيَةً قَالَ آيَتُكَ أَلا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ إِلا رَمْزًا وَاذْكُرْ رَبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإبْكَارِ (٤١)

Zakaria a.s. melihat bahawa Allah s.w.t. telah memberi keistimewaan kepada Maryam dengan rezeki dan kurniaNya, iaitu rezeki buah-buahan musim dingin pada musim panas dan buah-buahan musim panas pada musim dingin. Maka saat itulah Beliau ingin mempunyai seorang anak.

"38. Di sanalah berdoa Zakaria Tuhannya."

Walaupun usianya telah lanjut dan tulang-tulang tubuhnya telah rapuh, uban telah mewarnai semua rambut kepalanya, isterinya pun sudah berusia lanjut dan mandul, Beliau tetap memohon kepada Tuhannya dan bermunajat kepadanya dengan doa-doa yang dibacanya dengan perlahan.

"Dia berkata, "Ya Tuhanku, berilah untukku dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.""

Ya Tuhanku, berilah aku dari sisiMu seorang anak yang soleh, iaitu keturunan yang baik akhlak dan adabnya. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.

"39. Lalu memanggilnya malaikat, dan dia berdiri solat di dalam mihrab,"

Kemudian malaikat Jibril a.s. memanggil Zakaria a.s. dan berbicara langsung kepadanya dengan pembicaraan yang dapat didengarnya, ketika Beliau sedang berdiri melaksanakan solat di mihrab tempat ibadahnya yang khusus buat Beliau sendiri di saat Beliau bermunajat dan melakukan solat menyembah Tuhannya. Jibril a.s. berkata kepada Zakaria a.s.,

"Bahawa Allah memberimu khabar gembira dengan Yahya,"

Sesungguhnya Allah menyampaikan berita gembira kepadamu dengan kelahiran seorang puteramu, iaitu seorang anak lelaki yang diciptakan buatmu dari tulang sulbimu, bernama Yahya. Dikatakan bahawa anak tersebut dinamakan Yahya kerana Allah menghidupkannya melalui iman (Zakaria).

"orang yang membenarkan dengan kalimat dari Allah,"

Yahya a.s. orang yang membenarkan kalimat (perintah) yang datang dari Allah. Beliau membenarkan kedatangan seorang nabi yang diciptakan dengan kalimat kun (jadilah) tanpa bapa.

Kalimat Allah yang dimaksudkan ialah Isa ibnu Maryam. Yahya a.s. adalah orang yang mula-mula percaya kepada Isa ibnu Maryam. Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah berada pada sunnah dan tuntunannya.

Yahya a.s. lebih tua daripada Isa a.s. dan mereka adalah saudara sepupu. Tersebutlah bahawa ibu Yahya a.s. pernah berkata kepada Maryam, "Sesungguhnya aku merasakan anak yang ada di dalam perutku ini bersujud kepada anak yang berada di dalam perutmu."

Yang demikian itu merupakan pembenaran yang dilakukan oleh Yahya a.s. kepada Isa a.s. sejak Isa a.s. masih berada di dalam perut ibunya.

"dan panutan,"

Yahya a.s. memiliki sifat-sifat mulia yang menjadikannya sebagai tokoh atau panutan masyarakat yang dimintai pendapatnya. As sayyid bermaksud orang yang dijadikan ikutan dalam hal ilmu, akhlak, agama dan ibadah. Ada yang mengatakan orang yang mengerti fiqih lagi alim.

Ada yang mengatakan orang yang penyantun lagi bertakwa. Ada yang mengatakan orang yang tidak terpengaruh oleh emosinya. Ada yang mengatakan orang yang mulia. Ada yang mengatakan orang yang bersikap mulia kepada Allah s.w.t.

"dan menahan diri"

Hasur bermaksud orang yang tidak mahu beristeri. Ada yang mengatakan orang yang tidak beranak dan tidak mempunyai air mani. Ada yang mengatakan orang yang tidak pernah mengeluarkan air mani.

Yahya a.s. menahan diri dari pengaruh hawa nafsu. Dalam hatinya tidak ada rasa tertarik dengan wanita dan Beliau sibuk beribadah kepada Allah. Beliau terpelihara dari dosa-dosa.

"dan nabi dari orang-orang soleh."

Yahya a.s. adalah seorang nabi dari keturunan orang-orang soleh. Berita kenabian Yahya a.s. ini merupakan berita gembira kedua, iaitu sesudah berita gembira kelahirannya. Berita gembira yang kedua ini lebih utama daripada yang pertama.

Setelah nyata bagi Zakaria a.s. berita gembira tersebut, Beliau merasa hairan akan mempunyai seorang anak, padahal usianya telah lanjut.

"40. Dia berkata, "Ya Tuhanku, bagaimana terjadi bagiku anak, dan telah sampai kepadaku usia tua dan isteriku mandul?""

Zakaria a.s. berkata, "Ya Tuhanku, bagaimana aku akan mendapat anak, sedangkan aku sudah sangat tua dan isteriku pun seorang yang mandul?" Malaikat yang menyampaikan berita gembira itu berkata,

"Dia berfirman, "Demikianlah, Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.""

Demikianlah urusan Allah itu sangat besar. Dia berbuat apa yang dikehendakiNya. Tiada sesuatu pun yang tidak mampu dilakukanNya, dan tiada suatu urusan pun yang berat bagiNya; semuanya dapat dilakukanNya.

"41. Dia berkata, "Ya Tuhanku, jadikanlah bagiku suatu ayat.""

Zakaria a.s. berkata, "Ya Tuhanku, berilah aku suatu tanda yang menunjukkan bahawa isteriku telah mengandung dariku."

"Dia berfirman, "Ayatmu bahawa tidak kamu berkata-kata manusia tiga hari kecuali isyarat.""

Ramzan bermaksud isyarat. Allah s.w.t. berfirman, "Tandanya bagimu adalah kamu tidak dapat berbicara dengan manusia selama tiga hari, kecuali dengan isyarat." Padahal Beliau waktu itu sihat dan tidak sakit. Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan kepadanya,

"Dan sebutlah Tuhanmu sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah pada waktu petang dan pagi hari."

Selama masa tersebut, berzikirlah dengan menyebut nama Tuhanmu sebanyak-banyaknya dan kerjakalah solat di waktu petang dan pagi hari.
Di ayat 40 dengan 41 terdapat munasabah (keterkaitan), iaitu sebagaimana Allah menahan berlakunya sebab walaupun sebab itu ada, seperti tidak mampu Zakaria a.s. berbicara dengan orang lain, padahal ada sebabnya.

Allah juga berkuasa mengadakan sesuatu tanpa sebab, seperti lahirnya Yahya a.s., padahal Zakaria a.s. sudah tua, ditambah pula dengan isterinya yang mandul. Hal ini menunjukkan, bahawa sebab semuanya di bawah qadha dan qadar Allah Azza wa Jalla.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...