Ahad, 16 Jun 2019

2:196 Tafsir Surah Al Baqarah, Ayat 196.

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّى يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ فَإِذَا أَمِنْتُمْ فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (١٩٦) 

"196. Dan sempurnakanlah kalian haji dan umrah kerana Allah."

Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kalian kerana Allah. Ayat ini menunjukkan bahawa wajibnya haji dan umrah bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah hukumnya wajib, wajibnya menyempurnakan keduanya dengan memenuhi rukun dan kewajibannya, haji dan umrah wajib disempurnakan (jangan diputuskan) walaupun ketika hukumnya sunat.

Ayat ini juga menunjukkan perintah agar menjalankannya sebaik mungkin, perintah agar mekakukan haji dan umrah ikhlas kerana Allah, larangan keluar dari haji dan umrah ketika telah menjalankannya kecuali jika terjadi hashr (terhalang kerana musuh, sakit atau tersesat di jalan).

"Maka jika kalian terkepung,"

Iaitu jika kalian terhalang untuk sampai ke Baitullah dan kalian terhambat hingga tidak dapat menyempurnakan keduanya (kerana terhalang oleh musuh, atau kerana sakit, atau tersesat jalan).

"maka apa yang mudah didapat dari hadyu,"

Hadyu di sini bermaksud menyembelih haiwan korban sebagai pengganti pekerjaan wajib haji yang ditinggalkan; atau sebagai denda kerana melanggar hal-hal yang terlarang mengerjakannya di dalam ibadah haji. Maka sembelihlah korban yang mudah didapat.

Jika tidak mendapat hadyu, maka melakukan gantinya iaitu berpuasa selama sepuluh hari sebagaimana orang yang berhaji tamattu'.

"dan jangan kalian mencukur kepala kalian hingga sampai dari binatang korban tempat penyembelihan."

Mencukur kepala adalah salah satu pekerjaan wajib dalam haji, sebagai tanda selesai ihram. Jangan kalian mencukur kepala kalian sebelum haiwan korban sampai di tempat penyembelihannya, iaitu di tempat dirinya terhalang lalu dibahagikan kepada kaum fakir di sekitar tempat itu.

Adapun mereka yang tidak terhalang tidak menyembelih haiwan korban kecuali di tanah haram yang dilakukan pada tanggal 10 Zulhijjah atau hari-hari setelahnya (hari tasyriq).

"Dan barang siapa yang ada di antara kalian sakit atau dengannya gangguan dari kepalanya, maka bayarlah fidyah dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban."

Jika di antara kalian ada yang sakit, atau ada gangguan di kepalanya seperti ada kutu atau pening yang berat, lalu dia bercukur, maka wajiblah atasnya membayar fidyah, iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban.

Termasuk yang wajib berfidyah adalah orang yang mencukur kepalanya bukan kerana uzur, memakai wewangian, memakai pakaian berjahit dan meminyaki rambut.

Ka'ab bin Ujrah berkata, "Aku pernah berdiri di hadapan Rasulullah s.a.w. di Hudaibiyah, sedangkan kepalaku ketika itu dipenuhi kutu, lalu Beliau bersabda, "Apakah binatang ini mengganggumu?" Aku menjawab, "Ya." Beliau bersabda, "Kalau begitu, cukurlah rambutmu atau (berkata) cukurlah!" Ka'ab bin Ujrah berkata, "Kepadakulah turun ayat, "Faman kaana minkum mariidhan aw bihii adzam mir ra'sih…dst." Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Berpuasalah tiga hari atau bersedekahlah sefarq untuk diberikan kepada enam orang (miskin) atau sembelihlah korban yang mudah bagimu." Sefarq adalah 3 sha', sehingga seorang miskin mendapat ½ sha’ (2 mud).

Dengan demikian jika berpuasa, maka selama tiga hari. Jika bersedekah, maka dengan memberi makan enam orang miskin (masing-masingnya mendapat ½ sha' (2 mud) dari makanan pokok setempat), dan jika berkorban, maka dengan menyembelih seekor kambing yang akan dibahagikan dagingnya kepada kaum fakir di tanah haram.

Di antara ketiga jenis ini, yang lebih utama adalah berkorban, kemudian bersedekah, kemudian berpuasa.

"Maka apabila kalian aman, maka siapa yang ingin bertamattu' dengan berumrah kemudian berhaji, maka apa yang mudah didapat dari hadyu."

Apabila kalian telah merasa aman, iaitu apabila kalian mampu untuk menunaikan manasik, tanpa hambatan apa pun, maka barang siapa di antara kalian yang ingin mengerjakan umrah dahulu sebelum haji, iaitu mengerjakan umrah dahulu sebelum ibadah haji tiba waktunya (di dalam bulan haji).

Maka wajiblah dia menyembelih haiwan korban yang mudah didapat, iaitu mengorbankan haiwan yang boleh disembelih dalam udh hiyyah (qurban).

Tamattu' di sini mencakup orang yang berihram untuk keduanya atau berihram untuk umrah lebih dahulu, setelah selesai dari umrah baru berihram lagi untuk haji.

Demikianlah pengertian tamattu' secara khusus. Sedangkan pengertian tamattu secara umum mencakup keduanya.

Sesungguhnya di antara perawi  yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bertamattu', sedangkan yang lainnya mengatakan berqiran, tetapi di antara keduanya tidak ada perbedaan dalam masalah bahawa Nabi s.a.w. membawa haiwan hadyunya.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berhaji ifrad tidak terkena kewajiban menyembelih haiwan korban dan menunjukkan keutamaan orang yang berhaji tamattu'.

"Maka siapa yang tidak dapat, maka berpuasa tiga hari di dalam haji"

Tetapi jika dia tidak mendapatkan haiwan korban atau tidak mampu, maka dia wajib berpuasa tiga hari dalam hari-hari haji, iaitu di hari-hari manasik.
Puasa ini awalnya ketika sedang ihram umrah dan akhirnya adalah tiga hari setelah berkorban, iaitu pada hari tasyriq kerana ada pengecualian dari hadis. Akan tetapi, yang lebih utama adalah berpuasa pada tanggal tujuh, lapan dan sembilan.

"dan tujuh apabila kalian kembali."

Tujuh hari lagi apabila kalian kembali, iaitu setelah selesai menunaikan ibadah haji, baik ketika masih di Mekah, dalam perjalanan dan ketika sampai ke kampung halaman.

"Itulah sepuluh yang sempurna."

Itulah sepuluh hari yang sempurna. Menurut suatu pendapat, kalimat ayat ini merupakan taukid (penguat maksud kalimat sebelumnya). Menurut pendapat yang lain, 'kamilah' di dalam ayat ini bermaksud perintah untuk menyelesaikannya dengan sempurna. Menurut pendapat yang lain, yang dimaksudkan ialah cukup sebagai ganti menyembelih haiwan korban.

"Demikian itu bagi orang yang tidak ada keluarganya penduduk Masjidil Haram."

Kewajiban membayar fidyah itu bagi orang yang keluarganya tidak berada di sekitar Masjidil Haram (bukan penduduk Mekah), jauh seukuran jarak safar, atau lebih, atau jauh secara uruf.

"Dan bertakwalah kalian kepada Allah"

Bertakwalah kalian kepada Allah dengan mengerjakan apa yang diperintahkanNya kepada kalian dan meninggalkan apa yang dilarangNya terhadap kalian.

"dan ketahuilah bahawasanya Allah sangat keras siksaNya."

Ketahuilah kalian bahawa Allah sangat keras hukumanNya bagi orang-orang yang menyalahi atau menentang perintahNya dan mengerjakan laranganNya. Mengetahui bahawa Allah amat keras siksaNya dapat membuahkan ketakwaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...