Khamis, 13 Jun 2019

2:62 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 62.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالنَّصَارَى وَالصَّابِئِينَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٦٢)

Salman Al Farisi r.a. berbincang-bincang dengan Nabi s.a.w., lalu dia bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang teman-teman yang seagamanya di masa lalu atau pemeluk agama yang dahulunya dia salah seorang dari mereka.

Maka dia menceritakan kepada Beliau s.a.w. tentang cara solat dan ibadah mereka. Dia berkata, "Mereka solat, puasa, dan beriman kepadamu serta bersaksi bahawa kelak engkau akan diutus sebagai seorang nabi."

Setelah Salman selesai bicaranya yang mengandungi pujian kepada mereka, maka Nabi s.a.w. bersabda kepadanya, "Hai Salman, mereka termasuk ahli neraka." Maka hal ini terasa amat berat bagi Salman. Lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"62. Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan Nasrani, dan Sabi-in,"

Orang-orang Yahudi adalah pengikut Musa a.s., iaitu mereka yang berpegang kepada kitab Taurat di zamannya. Kata al yahud diambil dari kata al hawadah yang ertinya kasih sayang, atau berasal dari kata at tahawwud yang ertinya taubat.

Seakan-akan mereka dinamakan demikian pada asal mulanya kerana taubat mereka dan kasih sayang sesama mereka. Menurut pendapat lain, nama Yahudi itu dinisbatkan (dikaitkan) dengan Yahuda, nama anak sulung Ya'qub a.s. Pendapat lain mengatakan bahawa disebut demikian kerana mereka selalu bergerak semasa membaca kitab Taurat.

Ketika Isa a.s. diutus, kaum Bani Israil diwajibkan untuk mengikuti dan menaatinya. Sahabat-sahabat Isa a.s. dan pemeluk agamanya dinamakan Nasrani kerana mereka saling menolong di antara sesama mereka. Mereka juga disebut Ansar.

Menurut pendapat yang lain, mereka dinamakan Nasrani kerana pernah bertempat tinggal di suatu daerah yang dikenal dengan nama Nasirah. Nasara adalah bentuk jamak dari nasran. Dikatakan Nasranah untuk seorang wanita Nasrani.

Para ulama berlainan pendapat mengenai hakikat orang-orang Sabi-in. Suatu pendapat mengatakan bahawa Sabi-in dalah suatu kaum antara Majusi, Yahudi dan Nasrani. Pada hakikatnya mereka tidak mempunyai agama.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu golongan dari kalangan ahli kitab, mereka mengakui kitab Zabur. Imam Abu Hanifah dan Ishaq mengatakan bahawa tidak mengapa dengan sembelihan mereka dan menikah dengan mereka.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang agamanya merupakan campuran antara agama Yahudi dan agama Majusi; sembelihan mereka tidak boleh dimakan, dan kaum wanitanya tidak boleh dinikahi.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in itu sama dengan orang-orang Majusi. Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang menyembah malaikat. Pendapat lain mengatakan bahawa orang-orang Sabi-in solat menghadap ke arah kiblat, solat lima waktu, tetapi mereka menyembah malaikat.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang menyembah malaikat, percaya kepada kitab Zabur dan solat menghadap ke arah kiblat. Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in ialah orang-orang yang mengikuti syari'at nabi-nabi zaman dahulu.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang tinggal di sebelah negeri Iraq. Mereka kaum yang suka menangis, beriman kepada semua nabi, berpuasa selama tiga puluh hari setiap tahunnya dan solat menghadap negeri Yaman setiap hari sebanyak lima kali.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah pemeluk suatu agama yang tinggal di Mausul. Mereka mengatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, tetapi mereka tidak mempunyai amal, kitab dan nabi kecuali hanya ucapan "Tidak ada Tuhan selain Allah." Mereka tidak beriman kepada rasul.

Kerana itu orang-orang musyrik mengatakan bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabatnya adalah orang-orang Sabi-in. Orang-orang musyrik menyerupakan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya dengan mereka dalam hal ucapan "Tidak ada Tuhan selain Allah."

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang agamanya menyerupai agama Nasrani, hanya kiblat mereka mengarah kepada datangnya angin selatan. Mereka menyangka bahawa dirinya berada dalam agama Nabi Nuh a.s.

Pendapat lain mengatakan bahawa kaum Sabi-in hanya mengenal Allah semata, tidak mempunyai syariat yang diamalkan, tidak pula berbuat kekufuran. Pendapat lain mengatakan bahawa kaum Sabi-in adalah orang-orang yang menyembah bintang atau dewa-dewa.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah orang-orang yang mengesakan Tuhan dan meyakini akan pengaruh bintang-bintang, bahawa bintang-bintang tersebutlah yang melakukannya. Abu Sa'id Al Astakhri mengeluarkan fatwa bahawa mereka adalah orang kafir.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang menyembah bintang-bintang, dengan pengertian bahawa Allah telah menjadikannya sebagai kiblat untuk ibadah dan doa, iaitu Allah menyerahkan pengaturan urusan alam ini kepada bintang-bintang tersebut.

Pendapat ini dinisbatkan kepada orang-orang Kasyrani yang didatangi oleh Nabi Ibrahim a.s. untuk membatalkan pendapat mereka dan memenangkan perkara yang hak.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum bukan pemeluk agama Yahudi, bukan Nasrani, bukan Majusi, bukan juga kaum musyrik. Sesungguhnya mereka adalah suatu kaum yang hanya tetap pada fitrah mereka, tiada agama tetap yang menjadi panutan dan pegangan mereka.

Kerana itu kaum musyrik mengejek orang yang masuk Islam dengan sebutan Sabi, dengan maksud bahawa dia telah menyimpang dari semua agama penduduk bumi di saat itu.

Pendapat lain mengatakan bahawa Sabi-in adalah orang-orang yang belum sampai kepada mereka dakwah seorang nabi pun. Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui pendapat yang paling kuat di antara semuanya.

"siapa saja yang beriman kepada Allah, dan hari akhir, dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala mereka di sisi Tuhan mereka,"

Siapa saja dari kalangan umat ini, orang-orang Yahudi, Nasrani, Sabi-in dan lain-lain yang beriman kepada Allah, juga beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w, percaya kepada hari akhir dan melakukan kebajikan, maka mereka akan mendapat pahala yang baik dari Allah. Demikianlah kaidah tetapnya sampai hari kiamat nanti.

Mereka akan mendapat kebahagiaan yang abadi. Tidak akan diterima dari seseorang suatu cara dan amal pun, kecuali yang bersesuaian dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w. sesudah Beliau diutus membawa risalah yang dibawanya. Adapun sebelum itu, setiap orang yang mengikuti rasul di zamannya, dia berada dalam jalan petunjuk dan jalan keselamatan.

Orang-orang Yahudi yang berpegang kepada kitab Taurat dan sunnah Musa a.s., maka imannya diterima hingga Isa a.s. datang. Apabila Isa a.s. telah datang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti syariat Isa a.s., maka mereka termasuk orang-orang yang binasa.

Orang-orang Nasrani yang berpegang kepada kitab Injil dan syariat Isa a.s., maka imannya diterima hingga Nabi Muhammad s.a.w. datang. Apabila Nabi Muhammad s.a.w. telah datang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti syariat Nabi Muhammad s.a.w., maka mereka termasuk orang-orang yang binasa.

Ketika Allah s.w.t. mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi dan rasul kepada semua manusia secara mutlak, maka diwajibkan bagi mereka percaya kepada apa yang disampaikannya, taat kepada perintahnya dan mencegah diri dari apa yang dilarangnya.

Mereka adalah orang-orang yang beriman sebenar-benarnya. Umat Nabi Muhammad s.a.w. dinamakan kaum mukmin kerana banyaknya keimanan mereka dan keyakinan mereka yang sangat kuat. Mereka beriman kepada semua nabi yang terdahulu dan perkara-perkara ghaib yang akan datang.

"dan tidak ada rasa takut atas mereka, dan tidak mereka bersedih hati."

Tiada ketakutan bagi mereka dalam menghadapi masa mendatang, dan tidak mereka bersedih hati atas apa yang telah mereka lalui dan tinggalkan. Mereka tidak perlu takut dengan perkara akhirat yang akan mereka hadapi, dan tidak perlu bersedih hati terhadap apa saja yang telah berlalu di dunia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...