Rabu, 12 Jun 2019

88:1-16 Tafsir Surah Al Ghasyiah, ayat 1-16.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ (١) وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ خَاشِعَةٌ (٢) عَامِلَةٌ نَاصِبَةٌ (٣) تَصْلَى نَارًا حَامِيَةً (٤) تُسْقَى مِنْ عَيْنٍ آنِيَةٍ (٥) لَيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلا مِنْ ضَرِيعٍ (٦) لا يُسْمِنُ وَلا يُغْنِي مِنْ جُوعٍ (٧) وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاعِمَةٌ (٨) لِسَعْيِهَا رَاضِيَةٌ (٩) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (١٠) لا تَسْمَعُ فِيهَا لاغِيَةً (١١) فِيهَا عَيْنٌ جَارِيَةٌ (١٢) فِيهَا سُرُرٌ مَرْفُوعَةٌ (١٣) وَأَكْوَابٌ مَوْضُوعَةٌ (١٤) وَنَمَارِقُ مَصْفُوفَةٌ (١٥) وَزَرَابِيُّ مَبْثُوثَةٌ (١٦)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan beberapa peristiwa pada hari Kiamat dan bahawa malapetakanya menimpa makhluk secara merata.

"1. Apakah datang padamu cerita peristiwa dahsyat?"

Sudah datangkah kepadamu berita tentang hari pembalasan atau hari Kiamat? Al Ghasyiyah salah satu nama lain dari hari kiamat. Disebut Al Ghasyiyah kerana malapetaka hari Kiamat merata menimpa, menutupi dan meliputi semua makhluk. Manusia terbahagi menjadi dua golongan, iaitu golongan penghuni syurga dan golongan penghuni neraka.

"2. Wajah-wajah pada hari itu tertunduk."

Pada hari itu banyak muka yang tertunduk kerana hina, terbuka aibnya dan amal perbuatannya tidak bermanfaat bagi dirinya. Mereka golongan yang menjadi penghuni neraka.

"3. Kerja keras kepayahan."

Kerana bekerja keras lagi kepayahan. Mereka kelelahan dalam azab sambil menyeret mukanya, sedangkan mukanya diliputi oleh api.

Pendapat lain mengatakan bahawa keadaan mereka di dunia sebagai ahli ibadah dan suka beramal, namun kerana tidak ada syaratnya, iaitu iman, maka pada hari Kiamat menjadi debu yang dihambur-hamburkan.

Mereka telah banyak melakukan kerja keras yang memayahkan diri mereka, tetapi pada akhirnya di hari kiamat mereka dimasukkan ke dalam neraka yang amat panas.

Pendapat lain mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang Nasrani. Pendapat lain mengatakan bahawa maksudnya ialah bekerja keras di dunia melakukan perbuatan-perbuatan maksiat, dan kepayahan di dalam neraka kerana azab dan siksaan yang membinasakan.

"4. Memasuki api neraka yang sangat panas."

Mereka memasuki api neraka yang panasnya tak terperikan, yang meliputi mereka dari segala tempat.

"5. Diberi minum dari air mata sangat panas."

Mereka diberi minum dari sumber mata air yang sangat panas. Air itu seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Panasnya tak terkira dan titik didihnya melebihi puncaknya sampai tingkatan yang tak terbatas.

"6. Tidak ada bagi mereka makanan kecuali dari pohon berduri."

Makanan yang ada bagi mereka di dalam neraka hanyalah dhari', iaitu pohon yang berduri, pohon dari api dan nama lain bagi Zaqqum. Pendapat lain mengatakan bahawa dhari' adalah batu yang ada di dalam neraka. Dhari' merupakan makanan yang paling buruk, paling kotor, dan paling menjijikkan.

"7. Tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan dari kelaparan."

Tujuan makan adalah agar menggemukkan badan yang kurus atau menghilangkan lapar. Tetapi makanan penghuni neraka tidak dapat memenuhi tujuan itu, bahkan makanannya pahit dan berbau busuk.

Setelah menyebutkan keadaan orang-orang yang celaka, lalu diiringi dengan penyebutan keadaan orang-orang yang berbahagia; untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"8. Wajah-wajah pada hari itu penuh kenikmatan."

Pada hari Kiamat itu juga banyak muka yang berseri-seri, iaitu diketahui kehidupannya yang senang melalui wajah mereka. Ini adalah wajah penghuni syurga.

"9. Kerana usahanya merasa senang."

Mereka merasa gembira dan puas kerana melihat pahalanya dan mendapatkan apa yang dicita-citakannya. Sesungguhnya mereka mendapat hal itu berkat usaha mereka sendiri atau amal perbuatannya di masa lalu, iaitu ketaatan atau berbuat ihsan dalam beribadah kepada Allah dan dalam bergaul dengan manusia.

"10. Dalam syurga yang tinggi."

Mereka dalam syurga yang tinggi lagi mewah berada di gedung-gedung yang megah dalam keadaan aman sentosa, sejahtera dan penuh dengan kenikmatan.

"11. Kamu tidak mendengar di dalamnya yang tidak berguna."

Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan batil, apalagi perkataan yang haram. Bahkan perkataan mereka adalah perkataan yang baik dan bermanfaat, mengandungi zikrullah, menyebutkan nikmat-nikmatNya dan mengandung adab yang indah yang menyenangkan hati dan melapangkan dada.

"12. Di dalamnya mata air yang mengalir."

Di dalamnya terdapat banyak mata air yang mengalir dengan bebas. Mereka dapat mengalirkan airnya ke arah mana saja yang mereka mahu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sungai-sungai di syurga bersumber dari bawah jurang, atau dari bawah gunung-gunung kasturi."

"13. Di dalamnya dipan-dipan yang ditinggikan."

Di dalam syurga-syurga itu terdapat tahta-tahta, pelamin-pelamin atau tempat-tempat duduk yang tinggi lagi empuk, dengan dilapisi permadani yang lembut, banyak hamparannya dan tebal-tebal. Di atasnya terdapat ramai bidadari yang bermata jeli. Apabila kekasih Allah hendak duduk di atas tahta yang tinggi-tinggi itu, maka tahta-tahta itu merendah untuknya.

"14. Dan gelas-gelas yang tersedia."

Di dalamnya terdapat gelas-gelas minum yang berisikan minuman yang lazat, yang disediakan bagi para pemiliknya yang hendak minum dengannya, dan yang terletak di dekatnya.

"15. Dan bantal-bantal yang tersusun."

Di dalamnya terdapat bantal-bantal sandaran dari sutera tebal maupun sutera nipis atau dari selain keduanya yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t., yang tersusun untuk mereka duduk dan bersandar tanpa perlu mereka susun.

"16. Dan permadani yang terhampar."

Di dalamnya terdapat permadani-permadani yang terhampar. Makna mabsusah ialah yang digelar di mana-mana bagi orang yang hendak duduk di mana pun yang dikehendakinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ingatlah, adakah orang yang mahu berusaha keras meraih syurga, kerana sesungguhnya syurga itu keindahannya tidak tergambarkan. Syurga itu, demi Tuhan Yang memillki Ka'bah, merupakan nur yang berkilauan. keharumannya semerbak menggugah hati, gedung-gedungnya kukuh lagi tinggi-tinggi, sungai-sungainya mengalir, buah-buahnya masak-masak, isteri-isterinya cantik-cantik lagi jelita, pakaian-pakaiannya banyak berlimpah, tempat tinggal yang abadi di negeri yang sejahtera. dipenuhi dengan buah-buahan dan hijau-hijauan, pakaian-pakaian sutera yang mewah lagi lembut di binaan-binaan yang tinggi lagi megah? Para sahabat berkata, "Benar, wahai Rasulullah, kamilah orang-orang yang berusaha keras untuk meraihnya." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Katakanlah olehmu, "Insya Allah."" Maka mereka mengucapkan, "Insya Allah."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...