Sabtu, 8 Jun 2019

72:8-13 Tafsir Surah Al Jinn, ayat 8-13.

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا (٨) وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا (٩) وَأَنَّا لا نَدْرِي أَشَرٌّ أُرِيدَ بِمَنْ فِي الأرْضِ أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا (١٠) وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا (١١) وَأَنَّا ظَنَنَّا أَنْ لَنْ نُعجِزَ اللَّهَ فِي الأرْضِ وَلَنْ نُعْجِزَهُ هَرَبًا (١٢) وَأَنَّا لَمَّا سَمِعْنَا الْهُدَى آمَنَّا بِهِ فَمَنْ يُؤْمِنْ بِرَبِّهِ فَلا يَخَافُ بَخْسًا وَلا رَهَقًا (١٣)

Allah s.w.t. menceritakan tentang keadaan jin ketika Dia mengutus RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. dan menurunkan kepadanya Al Qur'an. Di antara pemeliharaan (penjagaan) Allah kepada Al Qur'an ialah Dia memenuhi langit dengan penjagaan yang ketat di semua penjuru dan kawasannya.

Semua syaitan diusir dari tempat-tempat pengintaiannya agar mereka tidak mencuri-curi dengar dari Al Qur'an, yang akibatnya mereka akan menyampaikannya kepada para tukang tenung yang menjadi teman-teman mereka, sehingga perkara Al Qur'an menjadi samar, bercampur aduk dengan yang lainnya dan tidak diketahui mana yang benar.

Ini merupakan belas kasihan Allah s.w.t. kepada makhlukNya, juga merupakan rahmat dariNya kepada hamba-hambaNya, dan sebagai pemeliharaanNya terhadap KitabNya yang mulia. Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang perkataan jin tentang diri mereka,

"8. Dan bahawa kami mengintip langit, maka kami mendapatinya dipenuhi penjagaan yang ketat dan suluh api yang menyala,"

Sesungguhnya jin telah mencuba mengetahui rahsia langit, maka mereka mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api. Syuhub adalah jama’ syihaab yang ertinya panah api atau meteor. Mereka dilempari syuhub ketika hendak mencuri berita dari langit.

"9. Dan bahawa kami, kami duduk darinya tempat-tempat duduk untuk mendengarkan."

Sesungguhnya dahulu, iaitu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diutus, jin atau syaitan-syaitan mempunyai tempat-tempatnya tersendiri di langit yang terdekat untuk mencuri dengar berita dari langit tentang peristiwa yang akan terjadi di bumi.

Pernah juga terjadi pelemparan bintang-bintang yang menyala-nyala (meteor), tetapi tidak banyak terjadi, melainkan hanya sesekali saja dan jarang terjadi. Langit hanya dijaga bila di bumi terdapat seorang nabi atau agama Allah akan mendapat kemenangan.

"Maka barang siapa yang mendengarkan sekarang, ia mendapati baginya suluh api yang menyala mengintainya."

Tetapi sekarang, iaitu waktu setelah Nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi rasul, barang siapa di antara jin yang berani cuba mendengar-dengarkan seperti dahulu, tentu ia akan menjumpai panah berapi yang mengintai untuk membakarnya, yang tidak akan Iuput dan tidak akan meleset darinya, bahkan pasti akan mengganyangnya dan membinasakannya.

Banyak bintang yang menyala di langit dan sentiasa sedia untuk dilemparkan bagi siapa yang akan mendekatinya. Hal ini menyebabkan kegemparan di kalangan manusia dan jin. Mereka terkejut dan merasa takut dengan peristiwa tersebut. Mereka menyangka bahawa alam ini akan hancur.

Dari sini jin menyedari bahawa Allah s.w.t. hendak mengadakan sesuatu yang besar di bumi, boleh jadi sesuatu yang baik atau sesuatu yang buruk.

"10. Dan bahawa kami tidak mengetahui apakah keburukan dikehendaki bagi orang di bumi atau menghendaki pada mereka Tuhan mereka kebaikan."

Sesungguhnya jin tidak mengetahui peristiwa apa yang terjadi di langit, iaitu dengan adanya penjagaan itu, adakah keburukan yang dikehendaki bagi penduduk bumi, atau adakah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. Iaitu ini (keburukan) atau itu (kebaikan) yang akan terjadi.

Hal itu, kerana mereka melihat keadaan yang telah berubah yang mereka ingkari, maka mereka mengetahui dengan kecerdasan mereka bahawa perkara ini (kebaikan) adalah yang Allah inginkan untuk penduduk bumi.

Ini merupakan ungkapan etis atau penjelasan tentang adab kaum jin. Mereka sandarkan kebaikan kepada fa’ilnya/pelakunya, iaitu Allah s.w.t., sedangkan keburukan mereka hilangkan pelakunya atau mereka sandarkan kepada yang bukan pelakunya, kerana beradab terhadap Allah s.w.t.

Di dalam sebuah hadis sahih diungkapkan, "Keburukan itu bukanlah dinisbatkan kepada Engkau."

Ketika para sahabat sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada bintang yang dilemparkan (di langit) sehingga bintang itu menyala dengan terang. Maka Rasulullah s.a.w. bertanya, "Bagaimanakah pendapat kalian tentang peristiwa ini?" Mereka menjawab, "Kami beranggapan bahawa ada seorang yang besar dilahirkan, atau ada orang besar yang meninggal dunia." Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Bukan demikian, tetapi apabila Allah memutuskan suatu urusan di langit."

Peristiwa penjagaan langit dengan penjagaan yang ketat itulah yang menggerakkan jin untuk mencari penyebabnya. Lalu mereka menyebar ke arah timur dan arah barat belahan bumi untuk mencari berita penyebabnya.

Akhirnya mereka menjumpai Rasulullah s.a.w. sedang membaca Al Qur'an dengan para sahabatnya dalam solat. Maka mereka mengetahui bahawa kerana orang inilah langit dijaga ketat, lalu berimanlah kepadanya jin yang mahu beriman, dan jin yang lainnya tetap pada kederhakaan dan kekafirannya.

Setelah Allah s.w.t. mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul, syaitan-syaitan itu dilempari dengan panah-panah berapi di suatu malam, maka terkejutlah penduduk Taif dengan peristiwa tersebut. Mereka berkata, "Penduduk langit telah binasa."

Mereka mengatakan demikian kerana melihat hebatnya api yang menyala di langit dan bintang-bintang meteor di malam itu simpang siur di langit menjadikan langit terang benderang. Maka mereka memerdekakan hamba-hambanya dan melepaskan ternakan mereka.

Abdu Yalil ibnu Amr ibnu Umair berkata kepada mereka, "Celakalah kalian, hai orang-orang Taif, tahanlah harta benda kalian. Dan lihatlah dengan baik olehmu tempat-tempat bintang-bintang itu. Jika bintang-bintang itu masih tetap pada tempatnya masing-masing, bererti penduduk langit tidak binasa. Sesungguhnya kejadian ini tiada lain kerana Ibnu Abu Kabsyah, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Dan jika kalian lihat bintang-bintang tersebut tidak lagi berada di tempatnya masing-masing, bererti penduduk langit telah binasa."

Maka mereka memandang langit dengan pandangan yang teliti, dan mereka melihat bintang-bintang itu masih ada di tempatnya, akhirnya mereka menahan harta mereka dan tidak dilepaskannya lagi.

Syaitan-syaitan merasa terkejut dengan peristiwa tersebut di malam itu, maka mereka menghadap kepada iblis pemimpin mereka dan menceritakan kepadanya peristiwa pelemparan yang dialaminya.

Iblis memerintahkan kepada mereka, "Datangkanlah kepadaku dari tiap-tiap kawasan bumi segenggam tanah, aku akan menciumnya." Lalu iblis menciumnya dan berkata, "Ini disebabkan teman kalian yang ada di Mekah."

Maka iblis mengirimkan tujuh jin dari Nasibin, dan mereka datang ke Mekah, maka mereka menjumpai Nabi Allah sedang berdiri mengerjakan solatnya di Masjidil Haram dalam keadaan membaca Al Qur'an.

Mereka makin mendekatinya kerana ingin mendengarkan bacaan Al Qur'an, dan hampir saja bahagian yang menonjol dari kerongkong mereka menyentuh Nabi s.a.w. Kemudian mereka masuk Islam, maka Allah s.w.t. menurunkan wahyuNya kepada NabiNya yang menceritakan perihal mereka.

"11. Dan bahawa kami, sebahagian kami yang soleh dan sebahagian kami tidak demikian. Kami jalan berbeda-beda."

Di antara jin setelah mendengarkan Al Qur’an, ada yang soleh dan ada juga yang sebaliknya, iaitu tidak soleh atau fasik. Mereka menempuh jalan yang berbeda-beda. Pendapat dan jalan mereka berlainan, dan mereka berpecah belah. Di antara mereka ada yang beriman dan ada juga yang kafir.

"12. Dan bahawa kami menyangka bahawa tidak akan kami melepaskan diri Allah di bumi dan tidak akan melepasNya berlari."

Sesungguhnya pada waktu itu jelaslah bagi jin sempurnanya kekuasaan Allah dan sempurnanya kelemahan mereka, dan bahawa ubun-ubun mereka di Tangan Allah. Mereka mengetahui bahawa kekuasaan Allah menguasai diri mereka.

Mereka mengetahui bahawa mereka tidak akan mampu menyelamatkan diri dari kekuasaan Allah di bumi. Mereka juga tidak dapat lari melepaskan diri dariNya walaupun mereka telah berusaha sedaya upaya meloloskan diri.

Sesungguhnya Dia berkuasa atas mereka. Tiada seorang pun yang dapat menghalang-halangiNya dari mereka. Oleh kerana itu, tidak ada tempat perlindungan bagi mereka selain kembali kepadaNya.

"13. Dan bahawa kami tatkala mendengar petunjuk, kami beriman padanya."

Sesungguhnya ketika jin mendengar Al Qur’an, mereka beriman kepadanya. Mereka merasa bangga dengan keimanan mereka. Memang hal ini merupakan kebanggaan, penghormatan yang tinggi dan sifat baik yang dimiliki mereka.

Selanjutnya mereka menyebutkan sesuatu yang mendorong manusia melakukannya.

"Maka barang siapa yang beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut pengurangan dan tidak derhaka."

Barang siapa beriman dengan iman sebenar-benarnya kepada Tuhannya, maka dia tidak perlu takut akan kerugian, iaitu dikurangi kebaikannya atau dikurangi pahalanya.

Dia juga tidak perlu takut akan dizalimi, iaitu ditambah keburukan, dosa dan kesalahannya, atau dibebankan kepadanya dosa orang lain. Ada juga yang mengertikan ‘rahaqa’ dengan mendapatkan gangguan dan keburukan.

Apabila seseorang selamat dari keburukan, maka dia akan mendapat kebaikan. Dengan demikian, iman merupakan sebab untuk mendapat semua kebaikan dan terhindar dari semua keburukan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...