Sabtu, 14 September 2019

72:14-18 Tafsir Surah Al Jinn, ayat 14-18.

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا (١٤) وَأَمَّا الْقَاسِطُونَ فَكَانُوا لِجَهَنَّمَ حَطَبًا (١٥) وَأَلَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لأسْقَيْنَاهُمْ مَاءً غَدَقًا (١٦) لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَمَنْ يُعْرِضْ عَنْ ذِكْرِ رَبِّهِ يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا (١٧) وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا (١٨)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang ucapan jin,

"14. Dan bahawa kami, sebahagian kami ada yang muslim dan sebahagian kami ada yang menyimpang."

Dengan datangnya Al Qur'an, nyatalah di antara kami ada yang Islam, iaitu taat, dan ada juga yang menyimpang dari jalan yang lurus, menyimpang dari kebenaran, melampaui batasan hak dan menyimpang darinya, iaitu derhaka.

"Maka barang siapa Islam, maka mereka itu menuju jalan yang lurus."

Barang siapa yang taat atau Islam, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus, jalan keselamatan untuk dirinya, jalan yang menyampaikan mereka ke syurga dan kenikmatannya.

"15. Dan adapun yang menyimpang, maka mereka untuk neraka Jahannam kayu bakar.”

Adapun orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api atau bahan bakar yang menambah nyala api neraka Jahanam sebagai balasan terhadap amal mereka, bukan kerana Allah menzalimi mereka.

"16. Dan bahawa jika mereka tegak di atas jalan, pasti Kami beri mereka minum air yang melimpah."

Jika mereka istiqamah dalam ketaatannya, beriman, tetap berada atau berjalan lurus di atas jalan itu, iaitu jalan kebenaran atau jalan agama Islam, tentu Allah akan mencurahkan kepada mereka air yang cukup atau memberi minum kepada mereka air yang segar, iaitu meluaskan atau memberi rezekiNya yang banyak lagi berlimpah bagi mereka di dunia.

Namun, tidak ada yang menghalangi mereka untuk berada di atasnya (jalan yang lurus) selain kezaliman dan sikap melampaui batas mereka.

Pendapat lain mengatakan bahawa seandainya jin yang menyimpang dari kebenaran itu menempuh jalan Islam dan kembali kepada jalan kebenaran serta tetap menempuhnya, tentu Allah akan memberi mereka rezeki yang banyak lagi berlimpah.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Quraisy yang kafir, ketika hujan dicegah dari mereka selama tujuh tahun. Jika mereka tetap pada jalan kesesatannya, benar-benar Allah akan memberi minum kepada mereka air yang segar sebagai istidraj dariNya terhadap mereka.

"17. Untuk Kami beri mereka cobaan padanya."

Dengan melaluinya atau dengan cara itu, Allah hendak menguji mereka agar terlihat jelas siapa yang jujur dan tetap pada jalan hidayah, dan siapa yang dusta, murtad dan memilih jalan kesesatan.

"Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, dia akan dimasukkanNya ke dalam azab yang berat."

Barang siapa yang tidak mengikuti kitabNya, tidak tunduk kepadanya, bahkan lalai terhadapnya, nescaya dia akan dimasukkan oleh Allah s.w.t. ke dalam siksaan yang berat, keras, lagi menyakitkan, yang tiada henti-hentinya.

Ada yang mengatakan bahawa Sa'dan adalah nama sebuah gunung di dalam neraka Jahanam. Ada juga yang mengatakan sebuah sumur yang ada di dalam neraka Jahanam.

"18. Dan bahawasanya masjid-masjid milik Allah. Maka janganlah kalian menyeru beserta Allah sesuatu."

Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah. Maka esakanlah Allah dalam beribadah. Janganlah kalian mempersekutukanNya. Janganlah kalian menyeru sesuatu atau seorang pun selain Allah dalam ibadah kalian.

Dahulu orang-orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki tempat peribadatan mereka, maka selalu memulainya dengan mempersekutukan Allah. Mereka menyembah kepada selainNya. Maka Allah s.w.t. memerintahkan kepada NabiNya untuk selalu mengesakanNya dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun.

Hal itu, kerana masjid yang merupakan tempat paling agung untuk beribadah dibangun di atas ikhlas dan ketundukan kepada keagungan Allah dan keperkasaanNya. Pada hari ayat ini diturunkan, tiada sebuah masjid pun di bumi Allah selain Masjidil Haram dan Masjid Iliya di Baitul Maqdis.

Jin berkata, "Wahai Rasulullah, izinkanlah kami untuk ikut solat bersamamu di masjidmu ini." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Dan bahawasanya masjid-masjid milik Allah. Maka janganlah kalian menyeru beserta Allah sesuatu." (Al Jin 72:18) Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka, "Solatlah kalian, tetapi jangan bercampur dengan manusia."

Di dalam riwayat lain, jin bertanya kepada Nabi s.a.w., "Bagaimana kami dapat mendatangi masjid, sedangkan kami tinggal jauh darimu? Dan bagaimana kami dapat ikut solat bersama engkau, sedangkan kami tinggal jauh darimu?" Maka turunlah firman Allah s.w.t., "Dan bahawasanya masjid-masjid milik Allah. Maka janganlah kalian menyeru beserta Allah sesuatu." (Al Jin 72:18)

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan semua masjid. Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan anggota-anggota yang dipakai untuk sujud, iaitu semuanya itu adalah milik Allah, maka janganlah digunakan untuk sujud kecuali kepada Allah yang memilikinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku diperintahkan untuk bersujud pada tujuh anggota, iaitu kening (sambil mengisyaratkan ke arah hidungnya), kedua telapak tangan, kedua lutut, dan (bahagian dalam) jari jemari kedua kaki."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...