Sabtu, 30 November 2019

2:198-199 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 198-199.

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلا مِنْ رَبِّكُمْ فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِنْ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ (١٩٨) ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٩٩)

Di masa Jahiliah, Ukaz, Majinnah dan Zul Majaz merupakan tempat perniagaan orang ramai atau pasar-pasar tahunan. Setelah Islam datang, mereka merasa berdosa bila melakukan perniagaan dalam musim haji dan mereka tidak menyukai hal tersebut.

Mereka selalu menghindarkan dirinya dari melakukan perniagaan dalam musim haji, dan mereka mengatakan bahawa musim haji adalah hari-hari zikir. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai hal tersebut. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"198. Tidaklah atas kalian dosa bahawa kalian mencari kurnia dari Tuhan kalian."

Tidak ada dosa bagi kalian untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhan kalian, iaitu berdagang semasa menunaikan ibadah haji atau melakukan transaksi jual beli, sebelum dan sesudah ihram, selama tidak melalaikan dari kewajiban dan maksud utamanya adalah haji serta usahanya halal.

Disebutkan "kurnia Allah" untuk mengingatkan bahawa rezeki yang didapat adalah kurnia Allah, agar seseorang tidak hanya melihat sebab dan melupakan yang mengadakan sebab, iaitu Allah, di mana hal itu merupakan dosa yang sesungguhnya.

Abu Umamah At Taimi menceritakan bahawa dia pernah berkata kepada Ibnu Umar, "Sesungguhnya kami adalah kaum yang suka berniaga kira ke arah ini (ke Mekah) dan sesungguhnya ada segolongan orang yang menduga bahawa kami tidak akan mendapat pahala haji. Bagaimanakah menurutmu, adakah kami mendapat pahala haji?"

Ibnu Umar bertanya, "Bukankah kalian berihram, bertawaf di Baitullah, dan menunaikan semua manasik?" Dia menjawab, "Memang benar." Ibnu Umar berkata, "Kalau demikian, kalian adalah orang-orang yang telah berhaji."

Selanjutnya Ibnu Umar mengatakan, "Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., lalu bertanya kepadanya mengenai pertanyaan seperti yang kamu ajukan itu, maka Nabi s.a.w. tidak mengetahui apa yang harus Beliau katakan kepadanya (atau Beliau tidak menjawab sepatah kata pun) hingga turunlah ayat ini, iaitu firmanNya, "Tidaklah atas kalian dosa bahawa kalian mencari kurnia dari Tuhan kalian." Maka Beliau memanggil lelaki itu dan membacakan ayat ini kepadanya, lalu bersabda, "Kalian adalah orang-orang yang telah berhaji."

Abu Saleh maula Umar bertanya kepada Khalifah Umar, "Wahai Amirul Muminin, mengapa kalian berdagang dalam musim haji?" Umar r.a. menjawab, "Kerana tiada lain penghidupan mereka hanyalah dari hasil perniagaan dalam musim haji."

"Maka apabila kalian telah bertolak dari Arafah, maka berzikirlah kalian kepada Allah di sisi Masy'aril Haram."

Maka apabila kalian bertolak dari 'Arafah setelah matahari tenggelam sehabis wuquf, berzikirlah kepada Allah di Masy'arilharam, iaitu di bukit Quzah di Muzdalifah. Di dalam hadis disebutkan, bahawa Nabi s.a.w. wuquf di sana berzikir dan berdo'a sampai pagi hari menjadi terang.

Dari ayat ini terdapat beberapa kesimpulan:

- Wuquf di 'Arafah dan bahawa wuquf adalah salah satu rukun hajji. Hal itu, kerana bertolak dari Arafah tidak dilakukan kecuali setelah wuquf.

- Perintah berzikir ketika di Masy'aril haram, iaitu Muzdalifah, di mana pada malam harinya seseorang mabit di sana dan setelah solat Subuh ia wuquf di Muzdalifah sambil berdo'a hingga pagi hari menjadi terang. Termasuk berzikir adalah mengerjakan yang wajib dan yang sunat.

- Wuquf di Muzdalifah dilakukan setelah wuquf di 'Arafah.

- 'Arafah dan Muzdalifah termasuk syi'ar-syi'ar hajji yang diminta untuk dikerjakan dan ditampakkan.

- Muzdalifah termasuk tanah haram, diambil dari kata masy'aril haram.

- 'Arafah berada di luar tanah haram, kerana telah disebutkan Muzdalifah.

"Dan berzikirlah kepadaNya sebagaimana Dia telah memberi petunjuk kepada kalian;"

Berzikirlah kepada Allah sebagaimana Dia telah memberi petunjuk kepada kalian, iaitu telah memberitahukan mana syi'ar-syi'ar agamaNya, mengajarkan manasik haji, memberikan petunjuk dan mengajarkan beberapa ilmu. Hal ini sesuai dengan hidayah yang telah ditunjukkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Ibrahim a.s.

"dan sungguh kalian sebelumnya benar-benar termasuk orang-orang yang sesat."

Padahal sesungguhnya kalian sebelum itu benar-benar tersesat, tidak tahu atau tidak berilmu. Sebelum itu bermaksud sebelum adanya petunjuk tersebut, sebelum adanya Al Qur'an atau sebelum adanya Rasul s.a.w.

Hal ini termasuk nikmat yang paling besar yang wajib disyukuri dan dibalas dengan mengingat pemberinya baik di hati maupun di lisan, oleh kerana itu kita diperintahkan berzikir.

"199. Kemudian bertolaklah kalian dari tempat telah bertolak manusia"

Kemudian bertolaklah kalian dari tempat orang ramai bertolak, iaitu dari Arafah. Ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Quraisy yang berwuquf di Muzdalifah kerana tidak mahu wuquf di 'Arafah bersama yang lain.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Hisyam bin Urwah, bahawa Urwah berkata, "Dahulu di zaman jahiliyyah manusia bertawaf dalam keadaan telanjang selain orang-orang Hums, (iaitu orang-orang Quraisy dan keturunannya). Ketika itu orang-orang Hums mencari keridhaan Allah s.w.t. dengan memberikan pakaian kepada manusia agar dia bertawaf dengannya, demikian juga kepada wanita. Bagi orang yang tidak diberi pakaian oleh orang-orang Hums, maka dia akan bertawaf dengan telanjang. Ketika itu, orang-orang banyak yang bertolak dari 'Arafah, sedangkan orang-orang Hums bertolak dari Jam' (Muzdfalifah). Hisyam berkata, "Bapaku (Urwah) memberitahukan aku dari Aisyah r.a., bahawa ayat ini, "Kemudian bertolaklah kalian dari tempat telah bertolak manusia," turun berkenaan dengan orang-orang Hums yang bertolak dari Jam' (Muzdalifah), hingga kemudian mereka bertolak dari 'Arafah."

Imam Bukhari juga meriwayatkan dari Aisyah r.a., bahawa orang-orang Quraisy dan yang mengikuti agama mereka berwuquf di Muzdalifah, mereka disebut Hums (orang-orang yang semangat), sedangkan orang-orang Arab yang lain berwuquf di 'Arafah.

Ketika Islam datang, Allah memerintahkan NabiNya s.a.w. untuk mendatangi 'Arafah, lalu berwuquf di sana kemudian bertolak daripadanya. Itulah maksud firman Allah s.w.t., "Kemudian bertolaklah kalian dari tempat telah bertolak manusia."

"dan mohon ampunlah kalian kepadaNya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Setelah selesai menjalankan manasik haji, Allah s.w.t. memerintahkan untuk beristighfar dan banyak berzikir. Istighfar tersebut dilakukan kerana adanya kekurangan pada seorang hamba ketika mengerjakan ibadahnya.

Rasulullah s.a.w. apabila selesai dari solat selalu membaca istighfar sebanyak tiga kali. Nabi s.a.w. menganjurkan membaca tasbih, tahmid, dan takbir sebanyak tiga puluh tiga kali (masing-masing).

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Penghulu istighfar ialah bacaan seorang hamba akan doa berikut, "Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakan diriku, dan aku adalah hambaMu, dan aku berada di bawah perintahMu dan janjiMu menurut kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahalan apa yang telah kuperbuat, aku kembali kepadaMu dengan semua nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku, dan aku kembali kepadaMu dengan semua dosaku. Maka ampunilah daku, kerana sesungguhnya tiada seorang pun yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali hanya Engkau." Barang siapa yang membacanya di suatu malam, lalu di malam itu juga dia meninggal dunia, nescaya dia masuk syurga. Dan barang siapa yang membacanya di siang hari, lalu dia meninggal dunia, nescaya masuk syurga."

Abu Bakar r.a. bertanya, "Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku suatu doa yang akan kubacakan dalam salatku." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Katakanlah, "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan perbuatan aniaya yang banyak sekali, sedangkan tiada seorang pun yang dapat memberikan ampunan kecuali Engkau; maka ampunilah aku dengan ampunan dari sisiMu dan belas kasihanilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.""

Demikianlah yang patut dilakukan oleh seorang hamba seusai melaksanakan ibadah, dia meminta ampunan kepada Allah atas kelalaiannya dan bersyukur atas taufiqNya. Maka layaklah untuk diterima amalnya dan diberi taufiq untuk menjalankan amal selanjutnya.

Janganlah seperti orang yang menyangka bahawa dirinya telah sempurna dalam menjalankan ibadah dan telah memberi nikmat kepada Tuhannya, hal ini akan mendatangkan murka dan ditolaknya amal.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...