Ahad, 15 Disember 2019

27:15-19 Tafsir Surah An Naml, ayat 15-19.

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ (١٥) وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُدَ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنْطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ (١٦) وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ (١٧) حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ (١٨) فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ (١٩) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang nikmat yang telah dilimpahkanNya kepada kedua orang hambaNya yang telah diangkatNya menjadi nabi, iaitu Daud a.s. dan puteranya, iaitu Sulaiman a.s., iaitu nikmat-nikmat yang berlimpah, bakat-bakat yang luar biasa, sifat-sifat yang indah, kebahagiaan di dunia dan akhirat, kerajaan, pengaruh yang kuat di dunia, dan kenabian serta risalah agama.

"15. Dan sungguh Kami telah memberikan Daud dan Sulaiman ilmu"

Sesungguhnya Kami telah memberikan pengetahuan yang banyak kepada Daud a.s. dan Sulaiman a.s., seperti ilmu qadha’ (cara menyelesaikan masalah dengan tepat) dan lain-lain. Keduanya mengucapkan syukurnya kepada Allah atas nikmat yang besar itu.

"dan keduanya berkata," Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami atas kebanyakan dari hamba-hambaNya yang beriman.""

Keduanya memuji Allah kerana menjadikan mereka berdua sebagai orang-orang mukmin, orang-orang yang berbahagia dan termasuk orang-orang yang diistimewakan. Kaum mukmin ada empat tingkatan iaitu orang-orang soleh, para syuhada’, para siddiqin, dan para nabi dan rasul.

Adapun Daud a.s. dan Sulaiman a.s. termasuk rasul-rasul pilihan, walaupun darjat mereka di bawah para rasul ulul ‘azmi, akan tetapi mereka berdua termasuk rasul-rasul yang mulia yang Allah tinggikan nama mereka dan Allah puji mereka dengan pujian yang besar.

Mereka memuji Allah kerana mencapai darjat yang tinggi tersebut, dan ini merupakan tanda kebahagiaan seorang hamba, iaitu bersyukur kepada Allah atas nikmat agama dan dunia yang diperoleh dan melihat bahawa semua nikmat itu berasal dari Tuhannya, sehingga dia tidak sombong dan ujub dengannya, bahkan dia melihat bahawa nikmat itu berhak disyukuri.

Ketika kedua nabi itu dipuji Allah secara bersamaan, maka Allah mengkhususkan Sulaiman a.s. dengan keistimewaannya, iaitu diberi Allah kerajaan yang besar dan terjadi padanya beberapa kejadian yang tidak dialami bapanya.

"16. Dan telah mewarisi Sulaiman Daud,"

Sulaiman a.s. telah mewarisi Daud a.s., iaitu Sulaiman a.s. menggantikan kenabian dan kerajaan Daud a.s., mewarisi ilmu pengetahuannya di samping ilmu yang ada pada Sulaiman a.s., dan kitab Zabur yang diturunkan kepada Daud a.s.

Sulaiman a.s. bukanlah mewarisi harta Daud a.s. Seandainya Sulaiman a.s. mewarisi hartanya, tentulah anak-anak Daud a.s. yang lainnya pun ikut mewarisinya. Sesungguhnya Daud a.s. mempunyai seratus orang isteri dan sesungguhnya para nabi itu tidak diwarisi hartanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kami para nabi, tidak diwarisi; semua yang kami tinggalkan adalah sedekah."

Sulaiman a.s. mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah, bergembira atas ihsanNya dan menyebut-nyebut nikmatNya. Beliau memberitahukan kepada orang ramai bahawa Allah telah melimpahkan kepadanya nikmat-nikmat berupa kerajaan yang sempurna dan kekuasaan yang besar, sehingga ditundukkan baginya manusia, jin, dan burung-burung.

"dan dia berkata, "Wahai manusia, kami telah diajarkan ucapan burung""

Iaitu ilmu memahami bahasa atau suara-suara burung, juga bahasa semut dan berbagai jenis haiwan lainnya. Hal ini merupakan suatu pemberian yang belum pernah diberikan kepada seorang pun selain kepada Sulaiman a.s.

"dan kami diberi dari segala sesuatu."

Allah memberi kami segala sesuatu yang diperlukan bagi seorang raja, berbagai kenikmatan, sebab-sebab berkuasa, kekuasaan, dan kenikmatan yang tidak diberikanNya kepada seorang pun manusia.

Sulaiman a.s. pernah berdoa kepada Allah, “Yaa Rabbi, berikanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh siapa pun setelahku.” Maka Allah s.w.t. menundukkan angin untuk Beliau, begitu juga syaitan-syaitan; yang bekerja sesuai keinginan Beliau.

"Sesungguhnya ini benar-benar dia kurnia yang nyata.”

Sesungguhnya semua yang diberikan Allah, dilebihkanNya dan diistimewakanNya kepada kami ini benar-benar kurnia yang jelas dari Allah kepada kami. Beliau mengakui dengan sungguh-sungguh nikmat Allah tersebut.

Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Daud a.s. adalah seorang lelaki yang besar cemburunya. Apabila dia bepergian, maka semua pintu rumahnya ditutup dan tidak boleh ada seorang lelaki pun masuk ke dalam rumahnya menemui isteri-isterinya sebelum dia pulang.

Pada suatu hari dia pergi, sebelumnya dia menutup semua pintu istananya, lalu ada seorang wanita mengintip rumah Nabi Daud, dan dia nampak ada seorang lelaki sedang berdiri di tengah-tengah istananya.

Lalu wanita itu berkata kepada wanita-wanita yang ada di dalamnya, "Dari manakah lelaki ini masuk ke dalam istana Daud, padahal semua pintunya telah dikunci? Demi Allah, kalian benar-benar akan dilaporkan kepada Daud."

Ketika Daud datang, dia menjumpai ada seorang lelaki sedang berdiri di tengah-tengah rumahnya. Daud bertanya, "Siapakah kamu?" Lelaki itu menjawab, "Orang yang tidak takut kepada para raja dan tidak terhalang oleh penghalang apa pun."

Daud berkata, "Kalau begitu, demi Allah, engkau adalah malaikat maut, selamat datang dengan perintah Allah." Lalu Daud menyelimuti dirinya di tempat peraduannya, dan malaikat itu mencabut rohnya, dan setelah malaikat itu menjalankan tugasnya, bertepatan dengan terbitnya matahari, maka Sulaiman a.s. berkata kepada burung-burung, "Naungilah jasad Daud!"

Maka semua burung menaunginya hingga bumi ini ternaungi oleh burung-burung itu. Kemudian Sulaiman berkata kepada semua burung, "Katupkanlah sebelah sayapmu (iaitu pakailah sebelah sayap saja).""

Abu Hurairah bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah burung dapat melakukan hal itu?" Beliau s.a.w. mengatupkan tangannya, dan bahawa yang menaunginya hanyalah helang merah saja, kerana dapat mendesak burung lainnya.

"17. Dan dikumpulkan untuk Sulaiman bala tenteranya dari jin, dan manusia, dan burung,"

Dihimpunkan untuk Sulaiman a.s. bala tenteranya dari makhluk jin, manusia dan burung dalam perjalanannya. Beliau diiringi oleh mereka dengan segala kebesaran dan kemegahannya di tengah-tengah bala tentera manusia, kerana merekalah yang mengiringinya.
Setelah mereka terdapat bala tentera dari makhluk jin, sedangkan bala tentera burung kedudukan mereka berada di atas (di udara). Apabila matahari panas, maka burung-burung itu menaunginya dengan sayap-sayapnya.

"maka mereka dibahagi-bahagi."

Lalu mereka itu diatur dengan tertib dalam barisan. Sulaiman a.s. menyusun secara rapi barisan masing-masing mulai dari pertama sampai yang terakhir, agar tiada seorang pun yang melangkahi kedudukan yang telah ditetapkan baginya.

Beliau menjadikan pada tiap barisan komandannya sendiri yang mengatur barisan tersebut agar rapi dan berjalan dengan tertib dan tidak kacau bilau, sebagaimana yang dilakukan oleh raja-raja di masa sekarang.

Mereka diatur dan dirapikan sedemikian rapi baik ketika berjalan maupun berhenti. Semua tenteranya mengikuti perintahnya dan tidak sanggup menderhakainya serta tidak berani membangkang. Beliau berjalan dengan bala tenteranya yang banyak dan rapih dalam sebahagian safarnya.

"18. Sehingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkata semut, "Masuklah kalian sarang-sarang kalian, tidak menginjak kalian Sulaiman dan bala tenteranya, dan mereka tidak menyedari.""

Apabila Sulaiman a.s. bersama bala tenteranya yang mengiringinya sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut ketika nampak bala tentera Sulaiman a.s., "Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarang kalian, agar kalian tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari."

Semut itu tersebut menasihati semut yang lain, boleh jadi dirinya langsung (seekor semut) dengan suara yang terdengar oleh semua semut, iaitu Allah telah memberikan kepada semut-semut pendengaran di luar kebiasaan, di mana peringatan dari satu semut terdengar oleh semut-semut yang lain yang telah memenuhi sebuah lembah.

Hal ini termasuk hal yang sangat ajaib. Boleh jadi juga semut tersebut memberitahukan kepada semut-semut yang ada di sekelilingnya, lalu berita itu disampaikan di antara mereka sehingga sampai kepada semuanya.

Semut tersebut mengetahui keadaan Sulaiman dan bala tenteranya serta besarnya kerajaannya, dan ia memberi uzur kepada kawan-kawannya, bahawa jika mereka (Sulaiman dan bala tenteranya) menginjak, maka yang demikian dilakukan tanpa disengaja.

Menurut suatu riwayat, nama semut yang berbicara itu adalah Haras. Ia berasal dari kelompok semut yang dikenal dengan nama Bani Syisan. Besar semut itu sama dengan seekor serigala, sedangkan semut yang berbicara itu pincang kakinya. Sulaiman a.s. mendengarkan ucapannya dan memahaminya.

"19. Maka dia tersenyum tertawa dari perkataannya"

Maka Sulaiman a.s. tersenyum dengan ketawa kerana mendengar perkataan semut itu, kerana kagum terhadapnya dan terhadap nasihatnya.

Seperti inilah keadaan para nabi, mereka memiliki adab yang sempurna dan kagum pada tempatnya, dan ketawa mereka pun hanya senyuman, sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. yang sebahagian besar ketawanya adalah senyum.

Hal itu, kerana ketawa terbahak-bahak menunjukkan lemahnya akal dan kurang adab, dan jika tidak tersenyum sama sekali dan tidak kagum terhadap hal tersebut menunjukkan akhlaknya yang buruk dan keras, sedangkan para rasul bersih dari semua itu.

Ada yang berpendapat, bahawa Beliau mendengar suara semut dari jarak tiga batu yang dibawa oleh angin, maka Beliau menahan bala tenteranya ketika telah dekat ke lembah semut, hingga semua semut masuk ke rumahnya. Ketika itu bala tentera Sulaiman a.s. ada yang berkenderaan dan ada yang berjalan kaki.

Sulaiman a.s. berdoa sebagai rasa syukur kepada Allah s.w.t. yang telah membawa Beliau kepada kedudukan tersebut.

"dan berkata, "Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku agar aku bersyukur nikmatMu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku," 

Ya Tuhanku, berilah aku ilham, taufiq dan kekuatan untuk tetap mensyukuri nikmatMu, baik nikmat agama maupun nikmat dunia yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, sehingga aku dapat memahami bahasa burung dan bahasa semua haiwan berkat pengajaranMu kepadaku, agar diriku menjadi orang yang tunduk patuh dan beriman kepadaMu.

"dan untuk aku mengerjakan amal soleh Engkau meridhainya" 

Dan agar mengerjakan amal kebajikan yang Engkau sukai, iaitu amal yang sesuai perintah Allah dengan ikhlas menjalankannya, selamat dari hal yang membatalkan pahalanya dan yang menguranginya.

"dan masukkanlah aku dengan rahmatMu dalam hamba-hambaMu yang soleh." 

Masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh, iaitu para nabi dan para wali. Iaitu apabila Engkau mewafatkan diriku, maka himpunkanlah daku bersama dengan hamba-hambaMu yang soleh, dan rafiqul a'la dari kekasih-kekasihMu.

Di dalam sebuah hadis diceritakan bahawa Sulaiman ibnu Daud a.s. keluar untuk meminta hujan. Tiba-tiba Beliau menjumpai seekor semut sedang terlentang sambil menghadapkan semua kakinya ke arah langit dan berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya kami adalah salah satu dari makhlukMu. Kami memerlukan sekali siraman hujanMu. Jika tidak Engkau sirami kami, bererti Engkau akan membinasakan kami." Maka Sulaiman berkata, "Marilah kita pulang, sesungguhnya telah ada makhluk selain kalian yang membacakan doa istisqa."

Nabi s.a.w. bersabda, "Seekor semut pernah menggigit salah seorang nabi dari kalangan nabi-nabi (terdahulu), maka nabi itu memerintahkan agar kampung semut itu dibakar. Maka Allah menurunkan wahyu kepadanya (sambil menegurnya), "Apakah kerana seekor semut yang menggigitmu, lalu kamu binasakan segolongan makhluk yang bertasbih? Mengapa kamu tidak membunuh seekor semut saja?”

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...