Ahad, 1 Disember 2019

3:45-51 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 45-51.

إِذْ قَالَتِ الْمَلائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ (٤٥) وَيُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلا وَمِنَ الصَّالِحِينَ (٤٦) قَالَتْ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ قَالَ كَذَلِكِ اللَّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (٤٧) وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ (٤٨) وَرَسُولا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الأكْمَهَ وَالأبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (٤٩) وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلأحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ وَجِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (٥٠) إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (٥١)

Allah s.w.t. berfirman,

"45. Ketika berkata malaikat, "Wahai Maryam, sesungguhnya Allah memberimu khabar gembira dengan kalimat dariNya,""

Ingatlah, ketika malaikat berkata, "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu atau menyampaikan berita gembira kepadamu dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dariNya." Iaitu seorang anak yang proses kejadiannya hanya melalui perintah dari Allah s.w.t., iaitu dengan ucapan, "Kun (jadilah)," maka jadilah dia.

Allah s.w.t. mengutus Jibril a.s. kepada Maryam a.s., lalu Jibril meniupkan ruh dari leher baju Maryam, maka tiupan itu masuk ke dalam diri Maryam, kemudian Allah mengembangkan ruh itu, sehingga Beliau menjadi manusia dari bahan ruh. Oleh kerana itulah, ia disebut Ruuhullah, iaitu ruh ciptaan Allah.

"namanya Al Masih Isa putera Maryam,"

Nama itulah yang terkenal baginya di dunia, semua orang mukmin mengetahuinya. Nama Isa a.s. dinisbatkan kepada Maryam kerana Beliau lahir tanpa bapa. Demikian itu tidaklah mustahil bagi Allah.

Menurut sebahagian ulama Salaf, Beliau dinamakan Al Masih kerana banyak melakukan pengembaraan. Menurut pendapat yang lain, kerana kedua telapak kakinya rata, tidak ada lekukan dan tonjolannya. Menurut pendapat yang lainnya lagi, kerana apabila Beliau mengusap seseorang yang mempunyai penyakit, maka dengan izin Allah orang tersebut sembuh dari penyakitnya.

"terkemuka di dunia dan akhirat,"

Beliau adalah orang yang terkemuka dan mempunyai kedudukan di sisi Allah ketika di dunia, kerana wahyu diturunkan oleh Allah kepadanya berupa syariat agama, dan Allah menurunkan Al Kitab kepadanya serta hal-hal lainnya yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Sedangkan di akhirat nanti Beliau dapat memberi syafaat di sisi Allah terhadap orang-orang yang diizinkanNya untuk diberi syafaat. Lalu Allah menerima syafaatnya kerana mengikuti jejak saudara-saudaranya dari kalangan ulul azmi. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salamNya kepada mereka semua.

"dan dari orang-orang yang didekatkan."

Beliau termasuk orang-orang yang didekatkan dengan Allah, bahkan termasuk pemuka orang-orang yang dekat dengan Allah.

"46. Dan dapat berbicara pada manusia dalam buaian dan dewasa," 

Beliau dapat berbicara kepada manusia sewaktu dalam buaian dan ketika sudah dewasa, iaitu berbicara untuk berdakwah dan mengarahkan manusia, bukan berbicara biasa, tetapi berbicara dengan pembicaraan para rasul.

Isi pembicaraannya ialah menyeru manusia untuk menyembah kepada Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya. Hal itu dilakukan sejak Beliau masih bayi, sebagai mukjizat dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Beliau juga berbicara setelah dewasa, iaitu ketika Allah telah menurunkan wahyu kepadanya.

Berbicaranya Isa a.s. di masa buaian merupakan mukjizat besar dari Allah, di mana kaum mukmin dapat mengambil manfaat, menjadi hujjah terhadap orang-orang yang menentang, menunjukkan bahawa Beliau utusan Allah Rabbbul 'alamin, dan bahawa Beliau adalah hamba Allah sekaligus sebagai nikmat dan pembelaan terhadap ibunya dari tuduhan yang diarahkan kepadanya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak ada yang dapat berbicara di dalam buaian kecuali tiga orang, iaitu Isa, bayi yang ada di masa Juraij, dan bayi lainnya (anak Masyitah)."

"dan dari orang-orang yang soleh."

Beliau adalah salah seorang di antara orang-orang yang soleh, iaitu dalam semua ucapan dan amal perbuatannya berdasarkan ilmu yang benar dan amal yang soleh.

Setelah Maryam mendengar berita gembira yang disampaikan oleh malaikat kepadanya dari Allah s.w.t., maka dia berkata dalam munajatnya,

"47. Dia berkata, "Tuhanku, bagaimana ada bagiku seorang anak, dan belum menyentuhku seorang manusia.''"

Perkataan ini merupakan istighrab (ungkapan aneh) dari Maryam, "Bagaimana aku dapat mempunyai anak, sedangkan aku tidak bersuami, tidak aku berniat untuk bersuami dan aku bukan wanita yang nakal?" Tetapi bukanlah bererti dia ragu-ragu tehadap kemahakuasaan Allah. Allah s.w.t. berfirman dengan perantaraan Jibril,

"Dia berfirman, "Demikianlah Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki.""

Demikianlah urusan Allah itu Mahahebat, tiada sesuatu pun yang melemahkanNya. Disebutkan di sini "menciptakan", bukan "berbuat" agar tidak ada jalan bagi orang yang ingkar untuk meragukannya. Lalu hal tersebut diperkuat lagi oleh firman selanjutnya,

"Apabila Dia menetapkan sesuatu perkara, maka sungguh berkata kepadanya, "Jadilah," Maka jadilah."

Apabila Dia berkehendak menetapkan sesuatu, Dia hanya cukup berkata kepadanya, "Jadilah", maka jadilah sesuatu itu seketika itu juga, tanpa ada keterlambatan barang sedikit pun. Dia hanya mengatakan sekali perintah tanpa mengulanginya lagi, maka terjadilah apa yang Dia kehendaki itu dengan cepat seperti kelipan mata.

Barang siapa yang meyakini hal ini, maka hilanglah anggapan aneh tersebut. Dan termasuk hikmah Allah s.w.t. adalah memberitakan kepada hamba-hambaNya perkara asing atau aneh kepada yang lebih aneh lagi secara bertahap.

Disebutkan tentang kelahiran Yahya bin Zakaria dari kedua orang tua yang satu sudah tua dan yang satu lagi mandul, kemudian disebutkan lagi hal yang lebih aneh lagi, iaitu lahirnya Isa putera Maryam a.s. tanpa bapa, hal ini untuk menunjukkan hamba-hambaNya bahawa Allah berbuat sesuai kehendakNya, dan bahawa apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sedangkan yang tidak Dia kehendaki, maka tidak akan terjadi.

"48. Dan Dia mengajarkan kitab,"

Allah s.w.t. mengajarkan kepada Isa a.s. kitab. Ada yang mengatakan bahawa kitab di sini bermaksud menulis. Hal itu, kerana menulis merupakan nikmat besar yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya. Ada juga yang mengatakan bahawa kitab bermaksud kitab-kitab yang diturunkan Allah sebelumnya selain Taurat dan Injil.

"dan hikmah,"

Allah s.w.t. juga mengajarkan kepada Isa a.s. hikmah. Hikmah bermaksud mengetahui rahsia syara' dan mampu memposisikan sesuatu pada tempatnya. Hal ini merupakan nikmat Allah kepada Isa a.s. dengan diajarkanNya menulis, ilmu dan hikmah, di mana semua ini merupakan kesempurnaan pada diri seseorang.

"dan Taurat, dan Injil."

Taurat  ialah  kitab  yang  diturunkan  kepada  Musa  ibnu   Imran, sedangkan Injil ialah kitab yang diturunkan kepada Isa ibnu Maryam a.s. Disebutkan bahawa Nabi Isa a.s. hafal kitab Taurat dan kitab Injil yang diturunkan kepadanya.

"49. Dan rasul kepada Bani Israil, "Bahawasanya aku, sungguh aku telah datang kepada kalian dengan sebuah tanda dari Tuhan kalian,""

Dan sebagai rasul kepada Bani Israil baik di waktu kecil atau setelah baligh yang berkata kepada mereka, "Sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan membawa sebuah tanda (mukjizat) dari Tuhan kalian, yang menunjukkan kebenaran kerasulanku."

"bahawasanya aku membuat bagi kalian dari tanah seperti bentuk burung; lalu aku meniupkan padanya, maka menjadi burung dengan izin Allah;"

Isa a.s. membuatkan untuk mereka sebuah patung dari tanah yang berbentuk burung. Kemudian Beliau meniupnya. Maka dengan serta-merta patung itu menjadi burung sungguhan dan dapat terbang dengan izin Allah, sedangkan mereka menyaksikannya.

Setelah burung itu hilang dari pandangan mereka, maka burung itu pun jatuh dan mati untuk membedakan antara buatan makhluk dengan buatan Al Khaliq (Pencipta) iaitu Allah dan agar diketahui bahawa kesempurnaan semuanya milik Allah.

Hal ini dijadikan untuk Beliau sebagai mukjizat yang menunjukkan bahawa Beliau diutus oleh Allah s.w.t. kepada mereka.

"dan aku menyembuhkan orang buta dan penyakit kusta;"

Al akmah bermaksud orang yang buta sejak lahir dan al abras bermaksud penyakit sopak. Disebutkan kedua penyakit ini, kerana keduanya merupakan penyakit berat.

"dan menghidupkan yang mati dengan izin Allah;"

Aku menghidupkan orang mati dengan izin Allah. Disebutkan "dengan izin Allah" untuk menghilangkan anggapan dirinya sebagai tuhan.

Allah s.w.t. mengutus setiap nabi dengan membekalinya mukjizat yang sesuai dengan ahli zamannya. Di masa Isa a.s. terkenal ilmu ketabiban dan ilmu biologi.

Maka Nabi Isa a.s. datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat yang tidak ada jalan bagi seorang manusia pun untuk dapat menirunya, kecuali jika diperkuat oleh Tuhan yang membuat syariat.

Tidak mungkin seorang tabib dapat mampu menghidupkan orang yang telah mati, atau menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit sopak, serta membangkitkan orang yang telah dikubur, yang seharusnya baru dapat bangkit dari kuburnya di hari kiamat nanti, iaitu hari pembalasan.

"dan aku khabarkan pada kalian dengan apa yang kalian makan dan apa yang kalian simpan di rumah-rumah kalian."

Aku akan menceritakan kepada kalian semua yang dimakan oleh seseorang di antara kalian sekarang dan apa yang disimpan olehnya di dalam rumahnya untuk keesokan harinya.

"Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda bagi kalian, jika kalian orang-orang yang beriman."

Sesungguhnya pada yang demikian itu, iaitu dalam kesemuanya itu dari awal sampai akhir, terdapat suatu tanda kebenaran kerasulanku bagi kalian, yang menunjukkan kebenaran dari apa yang aku datangkan kepada kalian, jika kalian sungguh-sungguh beriman.

Semua itu merupakan tanda yang besar, iaitu menjadikan benda mati menjadi hidup, menyembuhkan penyakit yang tidak sanggup disembuhkan oleh para doktor, menghidupkan yang mati dan memberitahukan hal-hal ghaib. Semua itu mengharuskan mereka beriman kepada kerasulannya.

"50. Dan membenarkan apa yang datang sebelumku dari Taurat,"

Aku datang kepada kalian sebagai seorang yang membenarkan, iaitu mengakui dan mengukuhkan Taurat yang datang sebelumku.

"dan untuk menghalalkan bagi kalian sebahagian yang diharamkan atas kalian,"

Isa a.s. memberitakan bahawa syari'at Injil adalah syari'at yang mudah, di mana Beliau menghalalkan sebahagian yang sebelumnya haram. Hal ini menunjukkan bahawa kebanyakan hukum-hukum yang ada dalam taurat tidak dimansukh oleh Injil, bahkan disempurnakan dan diperkuatkan.

"dan aku datang pada kalian dengan tanda dari Tuhan kalian."

Aku datang kepada kalian dengan membawa suatu tanda (mukjizat) dari Tuhan kalian, iaitu hujah dan dalil yang membuktikan kebenaran dari apa yang aku katakan kepada kalian.

"Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku."

Kerana itu, bertakwalah kepada Allah dengan mengerjakan apa yang aku perintahkan kepada kalian, iaitu mentauhidkan (mengesakan) Allah dan mentaatiNya, dan taatlah kepadaku. Hal itu, kerana taat kepada rasul sama saja taat kepada Allah.

"51. Sesugguhnya Allah Tuhanku dan Tuhan kalian. Maka sembahlah Dia."

Iaitu aku dan kalian sama saja, diharuskan menyembah Allah, tunduk dan patuh kepadaNya. Inilah dakwah Isa a.s., iaitu sama seperti para nabi dan rasul lainnya, sama-sama mengajak manusia mentauhidkan Allah. Namun kaumnya mendustakan Beliau dan tidak mahu beriman.

Dalam ayat ini terdapat bantahan terhadap orang-orang Nasrani yang meyakini triniti (Maha Suci Allah), dan bahawa yang demikian bukanlah ajaran Isa a.s.

"Ini jalan yang lurus."

Inilah jalan yang lurus, jalan yang menghubungkan kepada Allah, menghubungkan kepada syurgaNya, iaitu beribadah kepada Allah, bertakwa kepadaNya dan mentaati RasulNya. Sedangkan jalan selain ini menghubungkan ke neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...