Khamis, 19 Disember 2019

44:1-8 Tafsir Surah Ad Dukhan, ayat 1-8.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

حم (١) وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ (٢) إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (٣) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ (٤) أَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ (٥) رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٦) رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا إِنْ كُنْتُمْ مُوقِنِينَ (٧) لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ رَبُّكُمْ وَرَبُّ آبَائِكُمُ الأوَّلِينَ (٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Ha Mim."

"2. Demi Al Kitab yang jelas."

Demi Kitab Al Qur'an yang menjelaskan. Allah s.w.t. bersumpah dengan Al Qur’an untuk Al Qur’an, kitab yang menjelaskan semua yang perlu dijelaskan.

"3. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam yang diberkahi." 

Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang penuh dengan keberkatan, malam kemuliaan, malam Al Quran mula-mula diturunkan, iaitu malam Lailatul qadar yang jatuh pada bulan Ramadan. Ia adalah malam yang diberkahi, kerana pada malam itu banyak kebaikan dan berkah, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

"Sungguh, Kami adalah Kami pemberi peringatan." 

Sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Iaitu memberitahukan kepada manusia segala apa yang bermanfaat dan yang mudarat bagi mereka melalui hukum syara' agar alasan Allah s.w.t. telah ditegakkan terhadap hamba-hambaNya.

Allah s.w.t. menurunkan ucapan yang paling mulia di malam yang paling mulia kepada manusia yang paling mulia dengan bahasa orang-orang Arab yang mulia untuk memperingatkan kaum yang diliputi oleh kebodohan dan kesengsaraan, agar mereka mendapat penerangan dengan sinarnya dan dapat mengambil petunjuknya, serta berjalan di belakangnya sehingga mereka mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

"4. Padanya dijelaskan segala urusan" 

Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Segala urusan di sini bermaksud segala perkara yang berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, keberuntungan, kerugian dan sebagainya.

"yang penuh hikmah."

Iaitu dengan keputusan yang tetap, tidak dapat diganti dan tidak dapat diubah. Di malam Lailatul Qadar dijelaskan dari Lauh Mahfuz kepada para malaikat pencatat perihal urusan satu tahun dan ajal-ajal yang akan terjadi di tahun itu, dan rezeki-rezeki yang di turunkan tahun itu, serta semua peristiwa yang akan terjadi padanya, dan lain sebagainya.

Dipisahkan dan dicatat semua perkara, baik yang qadari (terhadap alam semesta) dan yang syar’i (terhadap agama) yang Allah putuskan. Pemisahan dan pencatatan yang terjadi pada malam Lailatul qadar ini adalah salah satu catatan yang ditulis dan dipisahkan, sehingga bersesuaian antara catatan pertama yang Allah catat dengannya taqdir semua makhluk, ajalnya, rezeki, amal dan keadaan mereka.

Kemudian Allah s.w.t. mewakilkan kepada para malaikat untuk mencatat apa yang akan terjadi pada seorang hamba, iaitu ketika dia masih dalam perut ibunya. Selanjutnya Dia menyerahkan kepada para malaikat setelah manusia terlahir ke dunia.

Allah menyerahkan kepada para malaikat yang mulia lagi mencatat, mereka menulisnya dan menjaga amal manusia. Kemudian Allah s.w.t. menaqdirkan pada malam Lailatul qadar apa yang terjadi dalam setahun. Semua ini termasuk sempurnanya pengetahuanNya, sempurnanya kebijaksanaanNya, teliti menjaganya dan perhatianNya kepada makhlukNya.

"5. Urusan dari sisi Kami."

Iaitu urusan yang besar dari sisi Kami. Iaitu perkara yang penuh hikmah ini muncul dari sisi Kami. Semua urusan yang akan terjadi yang telah ditetapkan oleh takdir Allah s.w.t. dan apa yang telah diwahyukan olehNya adalah berdasarkan perintah, izin, dan sepengetahuanNya.

"Sungguh Kami, adalah Kami yang mengutus." 

Sesungguhnya Kamilah yang mengutus rasul-rasul kepada manusia untuk membacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas dan menyampaikan perintah-perintah Kami. Sesungguhnya manusia sangat memerlukannya.

"6. Rahmat dari Tuhanmu."

Pengutusan rasul dan penurunan kitab adalah sebagai rahmat dari Tuhanmu, Rabbul ‘alamin. Allah s.w.t. tidaklah memberikan rahmat yang lebih besar daripada memberikan hidayah kepada mereka dengan menurunkan kitab dan mengutus rasul, dimana setiap kebaikan yang mereka dapati di dunia dan akhirat adalah kerana hal itu dan sebabnya.

"Sesungguhnya Dia, Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar semua suara. Dia Maha Mengetahui semua perkara yang zahir maupun yang batin. Dia mengetahui perlunya hamba-hambaNya kepada para rasul dan kitab, maka Dia merahmati mereka dengan menurunkan kitab dan mengutus para rasul serta menganugerahkan nikmat kepada mereka.

"7. Tuhan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya" 

Tuhan yang menurunkan Al Qur’an adalah Tuhan yang memelihara langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Dia yang menciptakan semua itu, yang memilikinya, menguasainya, mengaturnya dan yang bertindak padanya sesuai yang Dia kehendaki.

"jika kalian orang-orang yang meyakini." 

Jika kalian meyakini bahawa Allah s.w.t. Tuhan pemelihara langit dan bumi, maka yakinilah bahawa Dia saja yang berhak disembah dan bahawa Muhammad s.a.w. adalah utusanNya.

"8. Tidak ada Tuhan selain Dia Yang menghidupkan dan mematikan."

Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Dia yang yang sendiri menghidupkan dan yang mematikan, dan akan menghimpun kamu setelah kamu mati, lalu memberi balasan kepada amalmu, jika baik maka dibalas dengan kebaikan dan jika buruk, maka dibalas dengan keburukan.

"Tuhan kalian dan Tuhan bapa-bapa kalian yang terdahulu." 

Dialah Tuhan kalian dan Tuhan nenek moyang kalian yang terdahulu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...