Selasa, 3 Disember 2019

4:92-93 Tafsir Surah An Nisa, ayat 92-93.

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ إِلا أَنْ يَصَّدَّقُوا فَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ عَدُوٍّ لَكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (٩٢) وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا (٩٣) 

Mujahid dan lain-lainnya mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Ayyasy ibnu Abu Rabi'ah. Abu Rabi'ah adalah saudara lelaki seibu dengan Abu Jahal; ibunya bernama Asma binti Makhramah. Pada mulanya Ayyasy membunuh seorang lelaki yang menyiksa dirinya bersama saudaranya kerana Ayyasy masuk Islam; lelaki itu bernama Al Haris ibnu Yazid Al-Gamidi.

Dalam hati Ayyasy masih terpendam niat hendak membalas saudara Al Haris itu. Tetapi tanpa sepengetahuan Ayyasy, saudara Al Haris tersebut masuk Islam dan ikut hijrah. Ketika terjadi Perang Fath Mekah, tiba-tiba Ayyasy melihat lelaki tersebut, maka dengan serta merta dia langsung menyerangnya dan membunuhnya kerana dia menyangka bahawa lelaki tersebut masih musyrik.

Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Darda, kerana dia membunuh seorang lelaki yang telah mengucapkan kalimat iman (syahadatain), di saat dia mengangkat senjata padanya. Walaupun lelaki itu telah mengucapkan kalimat iman, Abu Darda tetap mengayunkan pedang kepadanya, hingga matilah dia.

Ketika peristiwa tersebut diceritakan kepada Nabi s.a.w., Abu Darda beralasan bahawa sesungguhnya lelaki itu mahu mengucapkan kalimat tersebut hanyalah semata-mata untuk melindungi dirinya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya, "Adakah kamu telah membelah dadanya?"

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"92. Dan tidak patut bagi orang mukmin untuk membunuh orang mukmin lainnya," 

Tidak patut, tidak mungkin atau mustahil bagi seorang mukmin membunuh saudaranya atau seorang mukmin yang lain secara sengaja. Iaitu seorang mukmin tidak boleh membunuh saudaranya yang mukmin dengan alasan apa pun.

Dalam ayat ini terdapat dalil besarnya keharaman membunuh seorang mukmin dan bahawa hal itu bertentangan sekali dengan keimanan, bahkan hal itu tidaklah muncul kecuali dari orang kafir atau orang fasik yang imannya begitu kurang.

Iman yang sesungguhnya mencegah seorang mukmin membunuh saudaranya. Allah telah mengikat antara dia dengan saudaranya dengan persaudaraan iman. Sepatutnya orang-orang beriman saling mencintai dan memberikan wala' serta menghindarkan sesuatu yang dapat menyakiti atau membunuh saudaranya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Janganlah kamu kembali kufur setelahku, yakni satu sama lain saling membunuh."

Dari sini diketahui, bahawa membunuh merupakan kufur amali (kufur yang bukan terkait dengan keyakinan dan tidak mengeluarkan dari Islam) dan dosa yang amat besar setelah syirik.

"kecuali tersalah."

Kecuali kerana tersalah atau tidak sengaja, seperti menembak burung, namun terkena seorang mukmin. Dalam hal ini, orang tersebut tidaklah berdosa, akan tetapi kerana dia telah melakukan perbuatan buruk, di mana gambaran dari perbuatan itu sudah cukup menunjukkan keburukannya walaupun dia tidak bermaksud membunuh, maka Allah memerintahkannya untuk membayar diat dan kaffarat.

"dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin tersalah, maka hendaklah memerdekakan hamba sahaya yang mukmin" 

Barang siapa membunuh seorang yang beriman kerana tersalah, hendaklah dia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman. Si pembunuh, iaitu baik lelaki maupun wanita, merdeka atau hamba, anak kecil atau orang dewasa, muslim atau kafir.

Hal ini berdasarkan lafaz "man" yang menunjukkan keumuman. Dan yang terbunuh seorang yang beriman, baik lelaki atau wanita, anak kecil atau orang dewasa.

Hendaklah si pembunuh memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman dengan hartanya. Hamba sahaya yang dimerdekakannya ini mencakup kanak-kanak atau orang dewasa, lelaki atau perempuan, yang sihat atau yang bercacat (menurut pendapat sebahagian ulama).

Namun yang tepat adalah tidak boleh memerdekakan hamba yang bercacat, kerana tujuan memerdekakan hamba adalah bermanfaat merdeka itu bagi dirinya dan dia memiliki hak terhadap manfaat dari dirinya. Apabila hamba yang bercacat dimerdekakan, maka tidak bermanfaat apa-apa, dan bahkan jika tetap sebagai hamba lebih bermanfaat baginya, maka tidak sah hamba yang cacat tersebut dimerdekakan.

Hal ini juga ditunjukkan oleh kata-kata "Fa tahriiru raqabah" (memerdekakan seorang hamba sahaya), di mana memerdekakan tersebut bererti membebaskan manfaat yang sebelumnya untuk orang lain menjadi untuk dirinya sendiri.

"dan membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya" 

Kewajiban yang kedua yang dibebankan kepada si pembunuh ialah yang menyangkut kepentingan keluarga si terbunuh, iaitu pembayaran diat kepada ahli warisnya, sebagai ganti rugi atau pampasan yang diperuntukkan buat mereka akibat terbunuhnya keluarga mereka.

Diat ialah pembayaran sejumlah harta kerana suatu tindak pidana terhadap suatu jiwa atau anggota badan. Diatnya menurut As Sunnah adalah seratus ekor unta dengan rincian; 20 bintu makhaadh, 20 bintu labun, 20 ibnu labun, 20 hiqqah dan 20 jadza'ah.

Bintu makhaadh adalah unta betina yang berumur satu tahun dan masuk tahun kedua. Bintu labun adalah unta betina yang berumur dua tahun dan masuk tahun ketiga. Ibnu Labun adalah unta jantan yang berumur dua tahun dan masuk tahun ketiga. Hiqqah adalah unta betina yang berumur tiga tahun dan masuk tahun keempat. Jadza'ah adalah unta betina yang berumur empat tahun dan masuk tahun kelima.

Diat ini (iaitu dalam pembunuhan tanpa sengaja dan syibhul 'amdi/mirip sengaja) ditanggung oleh keluarga pembunuh, iaitu para 'asabahnya, baik yang usul (bapa dan seterusnya ke atas) maupun yang furu' (anak dan seterusnya ke bawah), kerana si pembunuh tidak bersalah, sehingga cukup memberatkan jika sampai dia yang menanggung beban berat ini.

Beban diat tersebut dibahagi antara mereka (keluarga pembunuh) selama tiga tahun, dan hakim berijtihad dalam memberikan beban kepada masing-masing mereka semampunya, misalnya yang kaya di antara keluarganya dibebani separuh dinar, yang keadaan ekonominya pertengahan dibebani seperempat dinar dan sebagainya.

Jika mereka tidak mampu membayar, maka dibayarkan dari Baitul mal, dan jika kesulitan dibayarkan dari Baitul mal, maka dari harta pembunuh (yang tidak sengaja) itu.

"kecuali mereka menyedekahkan." 

Dalam kes pembunuhan tidak sengaja, diat harus diserahkan kepada keluarga si terbunuh, kecuali jika keluarga si terbunuh menyedekahkan, iaitu memaafkan atau membebaskan si pembunuh dari pembayaran diat, maka hukum diat tidak wajib lagi.

Dalam ayat ini terdapat anjuran memaafkan, kerana Allah menamainya sedekah, sedangkan sedekah itu diperintahkan.

"Maka jika dia dari kaum musuh bagi kalian dan dia orang mukmin, maka hendaklah memerdekakan hamba sahaya yang mukmin." 

Jika dia (si terbunuh) dari kaum yang memusuhi kalian, iaitu dari kalangan kaum kafir harbi (yang memerangi kaum muslimin), padahal dia mukmin, maka hendaklah (si pembunuh) memerdekakan hamba sahaya yang beriman.

Iaitu apabila si terbunuh adalah orang beriman, tetapi semua keluarganya adalah orang-orang kafir harbi yang bermusuhan dengan kalian, maka tidak ada diat yang diserahkan kepada keluarganya kerana permusuhan dan peperangan yang mereka lancarkan kepada kaum muslim, dan si pembunuh cukup membayar kaffarat saja, iaitu diwajibkan memerdekakan seorang hamba yang beriman, tanpa ada hukuman lainnya lagi.

"Dan jika dia dari kaum di antara kalian dan di antara mereka perjanjian, hendaklah membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya, dan hendaklah memerdekakan hamba sahaya yang beriman." 

Jika si terbunuh dari kaum kafir yang ada perjanjian damai antara mereka dengan kalian, seperti kaum zimmi (orang-orang kafir yang tinggal di bawah pemerintahan Islam dengan membayar pajak) agar diri dan harta mereka terlindungi, maka hendaklah si pembunuh membayar diat yang diserahkan kepada keluarga si terbunuh.

Jika si terbunuh adalah orang mukmin, maka diatnya lengkap; begitu juga jika si terbunuh kafir, menurut pendapat segolongan ulama. Tetapi menurut pendapat yang lain, jika si terbunuh adalah orang kafir, maka diatnya hanya separuh diat orang muslim. Menurut pendapat yang lainnya lagi, sepertiganya.

Si pembunuh juga diwajibkan memerdekakan seorang hamba yang mukmin selain diat tersebut.

"Maka barang siapa yang tidak mendapatkan, maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut," 

Barang siapa tidak mempunyai hamba, atau tidak mendapat hamba sahaya yang beriman, atau tidak mampu membelinya untuk dimerdekakan, maka hendaklah si pembunuh berpuasa dua bulan berturut-turut, iaitu tidak boleh berbuka barang sehari pun di antara dua bulan itu tanpa uzur (alasan).

Namun jika dia berbuka kerana 'uzur, maka uzur tersebut tidak memutuskan "berturut-turut" tersebut, seperti sakit, haid, nifas dan sebagainya. Tetapi, jika dia berbuka tanpa uzur, maka terputuslah "berturut-turut" tersebut dan puasanya wajib dimulai dari awal.

Menurut sebahagian ahli tafsir, puasa dua bulan berturut-turut itu adalah sebagai ganti dari pembayaran diat dan memerdekakan hamba sahaya.

"taubat dari Allah." 

Kaffarat yang Allah wajibkan tersebut merupakan taubat dari Allah untuk hamba-hambaNya, sebagai rahmatNya kepada mereka dan menghapuskan apa saja yang mereka lakukan berupa sikap remeh dan kurang hati-hati.

"Dan adalah Allah Maha Mengetahui Mahabijaksana."

Allah Maha Mengetahui tentang keadaan makhlukNya. Dia Maha Bijaksana dalam aturan yang ditetapkanNya. Di antara kebijaksanaanNya adalah apa Yang Dia wajibkan kepada pembunuh, iaitu melakukan kaffarat yang memang sesuai dengan perbuatan yang dilakukan.

Kerana ia menjadi sebab hilangnya jiwa yang terpelihara, maka sangat sesuai jika kaffaratnya adalah membebaskan seorang hamba dan melepaskannya dari ikatan perhambaan kepada makhluk menjadi bebas dan merdeka.

Jika dia tidak mendapatkan hamba, maka dengan berpuasa selama dua bulan berturut-turut, di mana dia melepaskan dirinya dari perhambaan kepada syahwat dan kelazatan yang sesungguhnya memutuskan kebahagiaannya yang abadi, beralih menuju beribadah kepada Allah s.w.t. untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Allah s.w.t. juga menetapkan waktu yang lama dan mewajibkan secara berturut-turut, serta tidak mensyari'atkan memberi orang miskin sebagai gantinya kerana tidak sesuai.

Termasuk kebijaksanaanNya juga adalah mewajibkan diat dalam pembunuhan, walaupun tidak sengaja agar menjadi penghalang utama terhadap banyaknya pembunuhan dengan menggunakan sebab-sebab yang dapat menjaganya dari pembunuhan itu.

Termasuk juga kebijakasanaanNya adalah Dia menutupi rasa sedih yang menimpa keluarga korban dengan diat yang Allah wajibkan diberikan kepada wali-wali korban.

"93. Dan barang siapa yang membunuh orang mukmin dengan sengaja, maka balasannya neraka Jahannam, kekal di dalamnya" 

Barang siapa yang membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, dia kekal di dalamnya. Ada yang menafsirkan, bahawa dia akan kekal di neraka apabila menganggap halal yang demikian.

Ibnul Qayyim setelah menyebutkan pendapat para imam tentang ayat tersebut berkata dalam Madaarijus Salikin, "Sebahagian lagi berpendapat, nas-nas ini dan semisalnya yang disebutkan di sana hal yang menghendaki untuk diberikan hukuman, namun tidak mesti adanya hal yang menghendaki untuk dihukumi harus ada pula hukuman itu.

Hal itu, kerana hukum hanyalah sempurna dengan adanya kesannya dan hilangnya penghalang. Tujuan nas-nas ini adalah untuk memberitahukan bahawa perbuatan ini menjadi sebab untuk mendapat hukuman dan yang mengharuskannya, namun telah ada dalil yang menyebutkan mawaani' (penghalang); sebahagiannya berdasarkan ijma' dan sebahagian lagi berdasarkan nas.

Tauhid menjadi penghalang (kekal di neraka) berdasarkan nas-nas mutawatir yang tidak dapat ditolak, kebaikan-kebaikan yang besar dapat menghapuskan dosa sekaligus sebagai penghalang, musibah-musibah besar yang menghapuskan dosa juga sama menjadi penghalang, ditegakkannya hudud di dunia juga sama sebagai penghalang berdasarkan nas, dan tidak ada jalan untuk meniadakan nas-nas tersebut, sehingga nas-nas tersebut harus diberlakukan dari dua sisi.

Dari sinilah tegak penimbangan antara kebaikan dan keburukan kerana memperhatikan sesuatu yang menghendaki adanya hukuman dan memperhatikan juga penghalangnya, dan memberlakukan yang lebih kuatnya. Mereka mengatakan, "Atas dasar ini dibangun maslahat di dunia dan akhirat serta mafsadat keduanya.

Atas dasar ini juga dibangun hukum-hukum syar'i dan hukum-hukum qadari (ketentuan Allah di alam semesta). Yang demikian merupakan kesan yang diinginkan dari hikmah yang berjalan di alam semesta, dengannya juga dikaitkan antara sebab dengan musabbab, mencipta dan memerintah, Allah s.w.t. juga telah mengadakan untuk segala sesuatu lawannya yang menolak dan mendorongnya, dan hukum diputuskan berdasarkan hal yang lebih kuat daripadanya.

Kekuatan menghendaki untuk sihat wal 'afiyat, rosaknya campuran dan tindak melampaui batas menghalanginya dari mengerjakan perbuatan secara tabi'at serta menghalanginya mewujudkan kekuatan, dan hukum ditetapkan untuk yang lebih kuat di antara keduanya, demikian juga halnya kuatnya ubat dan penyakit (dalam diri seseorang).

Pada seorang hamba terdapat hal yang menghendaki untuk sihat dan sakit, masing-masingnya menghalangi yang lain untuk menyempurnakan pengaruhnya dan melawannya, jika ada yang lebih kuat atau yang satu yang kalah, maka yang menang lebih besar pengaruhnya.

Dari sini diketahui, bahawa manusia terbahagi menjadi beberapa golongan; ada yang masuk ke syurga dan tidak masuk neraka, dan ada juga sebaliknya, ada juga yang masuk neraka kemudian dikeluarkan daripadanya, sehingga tinggalnya di neraka sesuai kesan untuk tinggal cepat atau lambat.

Siapa saja yang memiliki pandangan yang bersinar, dia dapat melihat semua yang Allah beritakan dalam kitabNya seperti tentang perkara akhirat dan perinciannya, maka seakan-akan ia menyaksikannya langsung.

Dari sini diketahui juga bahawa hal itu merupakan kesan ketuhananNya, pengaturanNya terhadap alam semesta, keperkasaanNya dan kebijaksanaanNya dan mustahil berbeda dengan hal itu, apalagi sampai menisbatkan kepadaNya sesuatu yang tidak layak menisbatkan kepadaNya, oleh kerana itu nisbatnya kembali kepada pandangannya sebagaimana menisbatkan matahari dan bintang dalam pandangannya.

Inilah yang yakin dari keimanan, ini juga yang membakar keburukan, sebagaimana api membakar kayu, pemilik keimanan dalam kedudukan ini mustahil tetap di atas keburukan, walaupun pernah terjadi atau bahkan banyak, kerana cahaya iman yang ada padanya memerintahkan untuk memperbarui taubat di setiap waktu dengan kembali kepada Allah di setiap hembusan nafasnya, dan inilah makhluk yang paling dicintai Allah."

"dan Allah murka atasnya, dan melaknatnya dan Dia sediakan baginya azab yang besar." 

Allah murka kepadanya, mengutuknya dan menyediakan azab yang besar baginya. Dalam surah Al Baqarah ayat 178 sudah diterangkan, bahawa pembunuh secara sengaja dibunuh juga (diqisas), dan jika mendapat maaf, dia hendaknya membayar diat.

Dalam As Sunnah disebutkan, bahawa antara pembunuhan secara sengaja dan tidak sengaja ada juga pembunuhan syibhul 'amdi (mirip sengaja), seperti memukul orang lain di bahagian yang tidak membunuh, memukul dengan cemeti, tongkat kecil, atau meninju bahagian yang biasanya tidak membuatnya terbunuh, lalu dia meninggal, maka dalam hal ini tidak ada qisas, namun ada diat dan kaffarat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...