Khamis, 26 Disember 2019

5:54-56 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 54-56.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (٥٤) إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (٥٥) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (٥٦) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kekuasaanNya Yang Mahabesar,

"54. Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa yang murtad di antara kalian dari agamanya," 

Barang siapa di antara kalian yang murtad, iaitu berpaling tadah, memalingkan diri dari agamanya, tidak mahu menolong agama Allah, tidak mahu menegakkan syariatNya, meninggalkan perkara yang hak dan kembali kepada kebatilan.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan para pemimpin orang-orang Quraisy. Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang murtad yang baru kelihatan kemurtadannya di masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar.

Allah memberitahukan sesuatu yang mungkin terjadi, sebagaimana murtadnya orang-orang yang sudah masuk Islam setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat sehingga mereka diperangi oleh Abu Bakar As Siddiq.

Sebelum terjadi perbuatan itu (murtad), Allah s.w.t. mengingatkan dalam ayat ini agar mereka jangan sampai kembali kafir. Yang demikian tidaklah merugikan Allah sedikit pun.

"maka kelak akan Allah datangkan suatu kaum Dia mencintai mereka" 

Maka kelak Allah akan mendatangkan pengganti mereka, iaitu orang-orang yang Allah mencintai mereka. Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lebih baik, lebih keras pertahanannya serta lebih lurus jalannya.

Sesungguhnya cinta Allah kepada hamba merupakan nikmat yang paling besar dan keutamaan yang paling utama yang Allah berikan kepada hamba. Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan memudahkan semua sebab baginya, memudahkan yang susah, memberinya taufik untuk mengerjakan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dan menjadikan manusia cinta kepadanya.

Seseorang yang ingin dicintai Allah, haruslah mengikuti Rasulullah s.a.w. baik zahir maupun batin, baik dalam ucapan maupun perbuatan dan dalam semua keadaannya.

Di antara contoh sebab agar dicintai Allah adalah membaca Al Qur’an dengan mentadabburi dan memahami maknanya, mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunnah setelah amalan wajib, selalu berzikir kepada Allah, mendahulukan apa yang dicintai Allah apabila dihadapkan dua hal yang dicintainya, mempelajari nama Allah dan sifatNya, memperhatikan nikmat Allah baik yang nampak maupun tersembunyi serta memperhatikan pemberianNya kepada kita agar membantu kita bersyukur, pasrah kepada Allah dan menampakkan sikap perlu kepadaNya, qiyamullail di sepertiga malam terakhir dengan disudahi istighfar dan taubat, duduk bersama orang-orang soleh yang cinta kerana Allah serta mengambil nasihat dari mereka dan menjauhi sebab yang menghalangi hati dari mengingat Allah.

"dan mereka mencintaiNya," 

Mereka juga mencintaiNya. Ada yang mengatakan, bahawa mereka ini adalah Abu Bakar As Siddiq dan sahabat-sahabatnya ketika memerangi orang-orang yang murtad. Ada juga yang mengatakan, bahawa mereka ini adalah kaum Abu Musa Al Asy'ariy. Begitu juga orang yang mencintai Allah dan memiliki sifat-sifat di atas.

"lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang kafir," 

Demikianlah sifat orang mukmin yang sempurna, iaitu sentiasa bersikap, rendah diri terhadap saudara dan teman sejawatnya, tetapi bersikap keras terhadap musuh dan seterunya. Ia termasuk amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Namun, sikap keras terhadap orang-orang kafir tidaklah menghalangi kita untuk mendakwahi mereka dengan cara yang baik.

Di dalam gambaran tentang sifat Rasulullah s.a.w. disebutkan bahawa Beliau s.a.w. adalah orang yang banyak senyum lagi banyak berperang. Maksudnya, Beliau selalu bersikap kasih sayang dan lemah lembut kepada kekasih-kekasihnya dan sangat keras terhadap musuh-musuhnya.

"mereka berjihad di jalan Allah, dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela."

Mereka lebih mendahulukan ridha Tuhan mereka, lebih takut kepada celaanNya daripada celaan orang yang mencela. Mereka tidak pernah mundur setapak pun dari prinsipnya, iaitu taat kepada Allah, menegakkan batasan-batasanNya, memerangi musuh-musuhNya, melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar.

Pendirian dan tekad mereka kuat. Mereka sama sekali tidak pernah surut dari hal tersebut tiada seorang pun yang dapat menghalang-halangi mereka, dan tidak pernah takut terhadap celaan orang-orang yang mencela dan mengkritiknya.

Adapun orang yang lemah hatinya, maka lemah juga pendiriannya, semangatnya mengendur ketika dicela, pendiriannya lemah ketika dicela dan tekadnya mengecut. Di dalam hati mereka terdapat peribadatan kepada selain Allah sesuai keadaan hatinya yang memperhatikan perasaan makhluk, sikap mereka mendahulukan keridhaan manusia dan takut celaan mereka.

Oleh kerana itu, seorang hamba belum lepas dari peribadatan kepada selain Allah, sampai dia tidak takut celaan orang yang mencela dalam menjalankan agama Allah.

"Itulah kurnia Allah, Dia memberikannya orang yang Dia kehendaki," 

Orang-orang yang menyandang sifat-sifat tersebut, tiada lain berkat kurnia dan taufik Allah kepada mereka, agar mereka tidak ujub terhadap diri mereka dan agar mereka mensyukuri nikmat tersebut.

"dan Allah Mahaluas Maha Mengetahui."

Allah Mahaluas kurniaNya kepada orang yang berhak menerimanya. Dia Maha Mengetahui siapa yang layak mendapat kurniaNya dan siapa yang tidak berhak mendapatnya. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menerangkan siapa sebenarnya yang berhak diberikan wala' (kesetiaan).

Ali ibnu Abu Talib r.a. pernah menyedekahkan cincinnya, sedangkan dia dalam rukuk solatnya, maka turunlah firmanNya,

"55. Sungguh hanyalah Allah pemimpin kalian, dan RasulNya, dan orang-orang yang beriman," 

Sesungguhnya penolong kalian hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, bukannya orang-orang Yahudi itu.

"mendirikan solat dan menunaikan zakat," 

Iaitu orang-orang beriman yang mempunyai sifat-sifat ini, iaitu mendirikan solat yang merupakan rukun Islam yang paling utama, kerana solat dilakukan hanya untuk Dia semata dan tiada sekutu bagiNya.

Mereka menunaikan zakat yang merupakan hak menyangkut makhluk serta pertolongan terhadap orang-orang yang memerlukan pertolongan dari kalangan orang-orang lemah dan orang-orang miskin.

"dan mereka orang-orang yang rukuk."

Sambil tunduk kepada Allah iaitu khusyu' atau menambah dengan solat sunat. Barang siapa yang masuk Islam, bererti dia telah berpihak kepada Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman; iaitu menjadikan mereka sebagai walinya.

Ada yang berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Abdullah ibnu Salam ketika dia dijauhi oleh orang-orang Yahudi Bani Quraizah dan Bani Nadir.

Ada juga yang berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ubadah ibnus Samit r.a. ketika menyatakan berlepas diri dari perjanjian paktanya dengan orang-orang Yahudi, lalu dia rela berpihak kepada Allah, RasulNya, dan orang-orang mukmin, wallahu a'lam.

"56. Dan barang siapa yang menjadikan Allah sebagai penolong, dan RasulNya, dan orang-orang yang beriman, maka sungguh golongan Allah merekalah orang-orang yang menang."

Barang siapa menjadikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, atau dia hanya memberikan wala' (kesetiaan) dan pembelaan kepada mereka, tidak kepada orang-orang kafir, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang.

Maka setiap orang yang rela dengan kekuasaan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, dia beruntung di dunia dan akhirat, dan mendapat pertolongan di dunia dan akhirat.

Ayat ini merupakan khabar gembira bagi orang yang menjalankan perintah Allah dan masuk ke dalam pengikut agamaNya dan sebagai tenteraNya, bahawa dia akan mendapat kemenangan walaupun terkadang mengalami kekalahan kerana hikmah Allah, namun di akhirnya dia akan mendapat kemenangan. Tiada sesiapa pun yang lebih benar perkataannya daripada Allah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...