Jumaat, 6 Disember 2019

6:74-79 Tafsir Surah Al An’am, ayat 74-79.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لأبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٧٤) وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (٧٥) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لا أُحِبُّ الآفِلِينَ (٧٦) فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لأكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ (٧٧) فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (٧٨) إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٧٩)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan dakwah Ibrahim a.s. kepada tauhid; baik kepada bapanya maupun kepada kaumnya.

"74. Dan ketika berkata Ibrahim kepada bapanya Azar," 

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. berkata kepada bapanya Azar. Di antara mufassir ada yang berpendapat bahawa abihi (bapanya) di sini bermaksud pakcik Ibrahim a.s., seorang penyembah berhala. Bapa Ibrahim a.s. yang sebenarnya adalah Tarikh, Tarukh atau Terakh. Sedangkan ibunya adalah Syani.

Ada juga yang berpendapat, bahawa Azar adalah laqab (gelaran) bagi bapa Ibrahim a.s., nama sebenarnya adalah Tarikh, Tarukh atau Terakh.

"Apakah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan?" 

Iaitu patutkah kamu menjadikan berhala-berhala itu sebagai tuhan? Pertanyaan ini sekaligus sebagai celaan.

"Sungguh aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.”

Sesungguhnya aku melihat kamu dan orang-orang yang mengikuti jejak langkahmu telah sesat jalan, tidak mengetahui petunjuk jalan yang kalian tempuh, bahkan dalam keadaan kebingungan dan kebodohan. Iaitu kalian berada dalam keadaan bodoh dan dalam kesesatan yang nyata bagi penilaian orang yang mempunyai akal sihat.

Kalian menyembah sesuatu yang tidak berhak disembah dan kerana meninggalkan menyembah kepada Tuhan yang sebenarnya, iaitu Tuhan yang mencipta dan memberi rezeki kepada alam semesta.

"75. Dan demikianlah Kami perlihatkan Ibrahim kerajaan langit dan bumi," 

Demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda kekuasaan dan keagungan Kami yang terdapat di langit dan bumi.

Allah s.w.t. jelaskan kepada Ibrahim a.s. segi penyimpulan dalil yang menunjukkan kepada keesaanNya melalui pandangannya terhadap kerajaan dan makhlukNya, iaitu Yang menciptakan keduanya. Dan bahawa tidak ada Tuhan selain Dia, serta tidak ada Rabb selain Dia.

"dan agar dia menjadi termasuk orang-orang yang yakin."

Kami memperlihatkannya agar Ibrahim a.s. itu termasuk orang-orang yang yakin.

"76. Maka ketika gelap atasnya malam, dia melihat bintang, dia berkata, "Ini Tuhanku.”" 

Ketika kegelapan malam telah meliputi dan menutupinya, Ibrahim a.s. melihat bintang-bintang di langit. Ada yang mengatakan bahawa bintang ini adalah bintang Zuhrah (Venus).

Lalu Beliau berkata di hadapan penduduk Hiran penyembah bintang atau planet mengajak mereka untuk berfikir, "Inikah Tuhanku?" Iaitu patutkah benda seperti ini disembah?

"Maka ketika terbenam, dia berkata, "Aku tidak menyukai yang terbenam.”" 

Ketika bintang itu tenggelam dan tidak kelihatan lagi, Ibrahim a.s. berkata, "Aku tidak suka kepada yang terbenam." Ibrahim a.s. mengetahui bahawa Tuhannya adalah kekal, tidak akan tenggelam ataupun lenyap.

Kata-kata Beliau menunjukkan bahawa benda tersebut tidak layak disembah. Namun kata-kata ini tidak membuat kaumnya berubah sikap.

"77. Maka ketika dia melihat bulan terbit, dia berkata, "Ini Tuhanku.”" 

Lalu ketika Ibrahim a.s. melihat bulan muncul dan kelihatan, Beliau berkata kepada orang-orang musyrik tersebut, "Inikah Tuhanku?" Iaitu patutkah benda seperti ini disembah?

"Maka ketika terbenam dia berkata, "Sungguh jika tidak menunjuki aku Tuhanku, sungguh aku benar-benar menjadi termasuk kaum yang sesat."

Tetapi ketika bulan itu terbenam Ibrahim a.s. berkata, "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak meneguhkanku di atas hidayah, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat."

Kata-kata ini merupakan sindiran kepada kaumnya bahawa mereka adalah orang-orang yang sesat, namun kata-kata Beliau tidak bermanfaat apa-apa bagi mereka.

"78. Maka ketika dia melihat matahari terbit, dia berkata, "Ini lebih besar.""

Kemudian ketika Ibrahim a.s. melihat matahari terbit, Beliau berkata, "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar." Iaitu sesuatu yang bersinar terang dan terbit ini adalah Tuhanku. Ini yang lebih besar bentuknya daripada bintang-bintang dan bulan, dan sinarnya jauh lebih terang.

"Maka ketika terbenam, dia berkata, "Wahai kaumku, sungguh aku berlepas diri dari apa yang kalian persekutukan.""

Tetapi ketika matahari tenggelam di ufuk barat, hujah yang disampaikan kepada mereka semakin kuat dan kebenaran semakin jelas. Ibrahim a.s. berkata, "Wahai kaumku!  Sesungguhnya aku berlepas diri dari patung dan benda-benda di luar angkasa yang kalian persekutukan dengan Allah.

Seakan-akan kaumnya bertanya kepada Beliau, "Sebenarnya apa yang kamu sembah?" Ibrahim a.s. berkata,

"79. Sungguh aku menghadapkan wajahku kepada yang menciptakan langit dan bumi dengan lurus" 

Sesungguhnya aku menghadapkan diriku, iaitu aku arahkan ibadahku, aku murnikan agamaku dan aku mengkhususkan dalam ibadahku, hanya kepada Tuhan yang menciptakan dan mengadakan langit dan bumi tanpa contoh terlebih dahulu, dengan cenderung dan dengan penuh kepasrahan mengikuti kepada agama yang benar. Iaitu dalam keadaan menyimpang dari kemusyrikan untuk menuju kepada ketauhidan.

"dan tidaklah aku termasuk orang-orang yang mempersekutukan."

Aku bukanlah termasuk orang-orang musyrik atau yang mempersekutukan Tuhan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...