Ahad, 29 Disember 2019

9:71-72 Tafsir Surah At Taubah, ayat 71-72.

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٧١)وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٧٢) 

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan sifat-sifat orang munafik yang tercela itu, lalu Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang sifat-sifat orang mukmin yang terpuji.

"71. Dan mukminin dan mukminat, sebahagian mereka pelindung sebahagian yang lain."

Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Sebahagian dari mereka saling bantu dan saling menyokong dengan sebahagian yang lain.

Disebutkan di dalam sebuah hadis sahih, "Seorang mukmin bagi orang mukmin lain sama dengan bangunan, sebahagian darinya mengikat sebahagian yang lain." Lalu Rasulullah s.a.w. merangkumkan jari-jemari kedua telapak tangannya.

Di dalam hadis sahih yang lain disebutkan pula, "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam keakraban dan kasih-sayangnya sama dengan satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya merasa sakit, maka sakitnya itu menjalar ke seluruh tubuh, hingga semua merasa demam dan tak dapat tidur."

"Mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan mereka mendirikan solat, dan menunaikan zakat," 

Mereka menyuruh berbuat kebaikan, mencegah dari berbuat kejahatan, mendirikan solat dan menunaikan zakat.

"dan mereka taat pada Allah dan RasulNya."

Mereka taat kepada Allah dan RasulNya dalam semua yang diperintahkanNya, meninggalkan semua yang dilarangNya dan mereka berbuat baik kepada makhlukNya.

"Mereka itulah Allah akan merahmati mereka; sesungguhnya Allah Mahaperkasa Mahabijaksana."

Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Dia akan merahmati orang-orang yang memiliki sifat-sifat tersebut. Sesungguhnya Allah Mahaperkasa. Dengan keperkasaanNya, Dia kuasa mewujudkan janji dan ancamanNya. Dia memenangkan orang yang taat kepadaNya, kerana sesungguhnya kemuliaan itu adalah milik Allah, RasulNya, dan orang-orang yang beriman.

Allah Mahabijaksana. Dengan kebijaksanaanNya, Dia tidak meletakkan sesuatu kecuali pada tempatnya. Dia Mahabijaksana dalam memberikan sifat-sifat terpuji bagi orang-orang mukmin itu dan mengkhususkan orang-orang munafik dengan sifat-sifat yang tercela itu, kerana sesungguhnya kebijaksanaan itu hanyalah milik Allah dalam semua apa yang dilakukanNya.

"72. Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan dengan syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai," 

Allah telah menyediakan kepada orang-orang beriman lelaki dan perempuan kebaikan dan kenikmatan yang kekal, yang semuanya itu berada di dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"mereka kekal di dalamnya, dan mendapat tempat-tempat yang baik di syurga 'Adn."

Mereka tinggal di dalamnya untuk selama-lamanya, dan mendapat tempat-tempat yang bagus di syurga 'Adn, iaitu yang bagus-bagus bangunannya dan harum semerbak tempat tinggalnya. Di antaranya adalah kamar yang jernih dan indah, bahagian luar dapat terlihat dari dalam dan bahagian dalam dapat terlihat dari luar.

‘Adn ertinya tinggal (iqamah), iaitu mereka berada di syurga tanpa ada keinginan pindah darinya, bahkan senang menetap di sana.

"Dan keridhaan dari Allah lebih besar. Demikian itu ialah keuntungan yang besar."

Keridhaan Allah kepada mereka adalah jauh lebih besar daripada semua nikmat yang mereka dapat. Itulah kemenangan yang agung.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dua syurga dari emas semua wadahnya dan segala sesuatu yang ada di dalam keduanya, dan dua syurga dari perak semua wadahnya serta segala sesuatu yang ada di dalam keduanya. Tiada yang menghalang-halangi antara kaum (para penghuni syurga) dan melihat kepada Tuhan mereka kecuali hanya selendang (tirai) kebesaranNya yang ada pada zatNya di dalam syurga 'Adn."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah khemah untuk orang mukmin yang terbuat dari sebuah mutiara yang berlubang, panjangnya enam puluh batu, iaitu di langit. Bagi orang mukmin di dalam khemah itu terdapat ramai isteri yang dia berkeliling menggilir mereka, sebahagian dari mereka tidak melihat sebahagian yang lain."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang beriman kepada Allah, RasulNya, dan mendirikan solat serta puasa bulan Ramadan, maka sesungguhnya sudah merujukkan kewajiban bagi Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga, baik dia berhijrah di jalan Allah ataupun tertahan di negeri tempat kelahirannya. Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bolehkah kami menceritakannya kepada orang ramai?" Rasululah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat (tingkatan) yang disediakan oleh Allah bagi orang-orang yang berjihad di jalanNya. Jarak di antara kedua darjat sama dengan jarak antara langit dan bumi. Maka apabila kalian meminta kepada Allah, mintalah kepadaNya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya syurga Firdaus adalah syurga yang tertinggi dan yang paling tengah. Dari syurga Firdaus mengalir sungai-sungai syurga, dan di atas syurga Firdaus terdapat Arasy Tuhan Yang Maha Pemurah."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya ahli syurga benar-benar saling melihat gedungnya (masing-masing) sebagaimana kalian melihat bintang-bintang di langit."
Kedudukan yang paling tinggi di syurga ialah suatu tempat yang diberi nama 'Al Wasilah', kerana letaknya dekat dengan ' Arasy, tempat itu merupakan tempat Rasulullah s.a.w. di dalam syurga.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kalian membaca salawat untukku, maka mintakanlah kepada Allah Al Wasilah untukku." Ketika ditanyakan, "Wahai Rasulullah, apakah Al Wasilah itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kedudukan yang paling tinggi di syurga. Kedudukan itu tidak diperoleh kecuali hanya oleh seorang lelaki, dan aku berharap semoga lelaki itu adalah aku sendiri."

Nabi s.a.w. bersabda, "Apabila kalian mendengar muazin, maka ucapkanlah oleh kalian seperti apa yang diucapkannya, kemudian mohonkanlah salawat untukku. Kerana sesungguhnya barang siapa yang membacakan salawat untukku sekali, maka Allah membalasnya sepuluh kali. Kemudian mohonkanlah Al Wasilah untukku kerana sesungguhnya Al Wasilah itu adalah suatu kedudukan di dalam syurga yang tidak layak kecuali hanya bagi seorang hamba Allah, dan aku berharap semoga orang itu adalah aku sendiri. Barang siapa yang memohon kepada Allah Al Wasilah buatku, nescaya dia akan beroleh syafaat di hari kiamat nanti."

Abu Hurairah r.a. mengatakan, "Kami pernah berkata, "Wahai Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang syurga, dari apakah bangunannya?" Rasulullah s.a.w. menjawab melalui sabdanya, "Ada yang batanya dari emas, ada yang dari perak, plesternya dari minyak kesturi, batu kerikilnya adalah mutiara dan yaqut, sedangkan tanahnya dari minyak zafaran. Barang siapa yang masuk ke dalamnya hidup senang dan tidak akan susah, kekal dan tidak akan mati, pakaiannya tidak akan rosak dan kemudaannya tidak akan pudar.""

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ingatlah, apakah ada orang yang menginginkan syurga? Sesungguhnya di dalam syurga itu tidak ada larangan. Demi Tuhan Ka'bah, syurga itu merupakan nur yang berkilauan, keharumannya sangat semerbak gedung-gedungnya terpancangkan, sungai-sungainya mengalir, buah-buahannya masak, isteri-isterinya cantik jelita, perhiasannya sangat banyak, tempat tinggalnya untuk selama-lamanya di dalam negeri yang sejahtera, dipenuhi dengan buah-buahan, sayur-mayur dan kain sutera serta nikmat yang dihalalkan lagi dipenuhi kemewahan. Mereka berkata, "Ya. wahai Rasulullah, kami adalah orang-orang yang sangat menginginkannya." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Katakanlah Insya Allah." Maka kaum mengatakan, "Insya Allah."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah berfirman kepada penghuni syurga, "Hai para penghuni syurga.” Maka mereka menjawab, "Labbaik, wahai Tuhan kami, kami terima seruanMu dengan penuh kebahagiaan, dan semua kebaikan berada di tangan kekuasaanMu.” Allah berfirman, "Apakah kalian telah puas?” Mereka menjawab, "Mengapa kami tidak puas, wahai Tuhan kami, sedangkan Engkau telah memberi kami segala sesuatu yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun dari makhlukMu?” Allah berfirman, "Mahukah Aku berikan kepada kalian yang lebih afdal daripada semuanya itu?" Mereka menjawab, "Wahai Tuhan kami, adakah sesuatu yang lebih utama daripada semua ini?” Allah berfirman. "Aku halalkan bagi kalian ridhaKu, maka Aku tidak akan murka lagi kepada kalian sesudahnya untuk selama-lamanya.”
Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya dan menjauhkan kita dari neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...