Selasa, 18 Februari 2020

4:101-103 Tafsir Surah An Nisa, ayat 101-103.

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الأرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُبِينًا (١٠١) وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُمْ مَيْلَةً وَاحِدَةً وَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ كَانَ بِكُمْ أَذًى مِنْ مَطَرٍ أَوْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَنْ تَضَعُوا أَسْلِحَتَكُمْ وَخُذُوا حِذْرَكُمْ إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا    (١٠٢) فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا (١٠٣) 

Allah s.w.t. berfirman,

"101. Dan apabila kalian bepergian di bumi, maka tidak atas kalian dosa bahawa kalian mengqasar dari solat."

Apabila kalian bepergian di muka bumi, iaitu melakukan perjalanan ke berbagai negeri, maka tidaklah berdosa kalian meringkaskan solat kalian. Kata-kata "tidak berdosa" untuk menyingkirkan rasa was-was atau keberatan mengqashar solat kerana tidak biasa dilakukan.

Qasar ertinya meringkas, boleh meringkas 'adad (jumlah), iaitu dengan mengerjakan solat yang empat rakaat menjadi dua rakaat, dan boleh maksudnya qashrush sifat, iaitu meringankan rukun-rukun solat yang 2 rakaat itu, ketika dalam perjalanan dan saat keadaan khauf (khuatir).

Mengerjakan dua rakaat solat yang empat rakaat tersebut dilakukan kerana dalam perjalanan, dan meringankan sifat dilakukan kerana keadaan khauf (mengkhuatirkan serangan musuh).

Namun jika dalam perjalanan yang tidak mengkhuatirkan, maka hanya berlaku qasar jumlah, iaitu mengerjakan solat yang empat rakaat menjadi dua rakaat, sedangkan jika tidak dalam perjalanan (hadhar).

Tetapi keadaan mengkhuatirkan, maka berlaku qashrush sifat, iaitu memberikan keringanan rukun-rukun solat seperti pada solat khauf yang disebutkan pada ayat selanjutnya.

Menurut Imam Syafi'i, mengqasar adalah rukhsah (kelonggaran) sehingga tidak wajib. Namun demikian, hal itu tidaklah menafikan keutamaan qasar. Bahkan mengqashar lebih utama berdasarkan beberapa alasan:

Pertama, Nabi s.a.w. senantiasa mengqasar solatnya ketika safar.

Kedua, mengqashar merupakan bentuk kelonggaran dan rahmat (kasih sayang) Allah kepada hamba-hambaNya, dan Allah s.w.t. suka apabila rukhsahNya dikerjakan sebagaimana Dia tidak suka maksiat dikerjakan.

"jika kalian khuatir akan memfitnah kalian orang-orang yang kafir."

Jika kalian takut diserang orang-orang kafir. Zahir ayat ini adalah bahawa qasar solat yang berjumlah empat menjadi dua tidak dilakukan kecuali ada dua sebab, iaitu safar dan keadaan mengkhuatirkan.

Oleh kerana itu Umar bin Khattab r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, mengapa kita mengqasar solat, padahal kita dalam keadaan aman?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ia adalah sedekah, di mana Allah memberikannya kepada kamu, maka terimalah sedekah itu."

Dengan demikian, walaupun kita tidak dalam keadaan mengkhuatirkan, mengqasar solat dalam safar tetap disyari'atkan.

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir mereka bagi kalian musuh yang nyata." 

Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kalian.

"102. Dan apabila kamu di tengah mereka, lalu kamu mendirikan bersama mereka solat, maka hendaklah berdiri segolongan dari mereka bersamamu dan hendaklah mereka menyandang senjata-senjata mereka."

Apabila kamu (Muhammad) berada di tengah-tengah sahabatmu, lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata mereka. Sedangkan segolongan lagi berjaga-jaga.

Allah s.w.t. memerintahkan menyandang senjata dan bersiap siaga dalam solat khauf walaupun di sana terdapat gerakan dan menyibukkan diri dengan sesuatu yang mengalihkan dari sebahagian keadaan solat, namun di sana terdapat maslahat yang besar, iaitu menggabung antara solat, jihad dan bersiap siaga terhadap musuh yang berusaha mencari saat di mana kaum muslim lengah.

"Maka apabila mereka sujud," 

Kemudian apabila mereka yang solat bersamamu telah menyempurnakan satu rakaat, maka diselesaikan satu rakaat lagi sendiri-sendiri, sedangkan Nabi s.a.w. duduk menunggu golongan yang kedua.

"maka hendaklah mereka berada dari belakang kalian dan hendaklah datang segolongan yang lain belum solat, maka hendaklah mereka solat bersamamu," 

Maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu untuk menghadapi musuh dan hendaklah datang golongan kedua yang belum solat, lalu solatlah mereka denganmu, iaitu rakaat yang pertama, sedangkan rakaat yang kedua mereka selesaikan sendiri-sendiri dan mereka mengakhiri solat bersama dengan Nabi s.a.w.

Cara di atas adalah salah di antara cara solat khauf yang dipraktekkan Rasulullah s.a.w. Dalam ayat ini juga terdapat dalil bahawa solat berjama'ah hukumnya fardhu 'ain, kerana Allah s.w.t. memerintahkan solat berjama'ah dalam keadaan yang mengkhuatirkan ini.

Jika dalam keadaan seperti ini masih diperintahkan solat berjama'ah, maka dalam keadaan aman lebih diperintahkan lagi.

"dan hendaklah mereka menyandang kewaspadaan mereka dan senjata-senjata mereka."

Hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata mereka. Cara solat khauf seperti tersebut pada ayat ini dilakukan dalam keadaan yang masih mungkin dikerjakan.

Apabila tidak memungkinkan untuk dikerjakan seperti peperangan berkecamuk dan sulit membahagi dua pasukan, maka masing-masing mengerjakan solat sesuai kemampuan, boleh sambil berjalan, naik kenderaan menghadap kiblat maupun tidak.

"Menginginkan orang-orang yang kafir sekiranya kalian lengah dari senjata-senjata kalian dan harta benda kalian, maka mereka akan menyerbu atas kalian serbuan sekaligus."

Orang-orang kafir ingin supaya kalian lengah ketika solat terhadap senjata kalian dan harta benda kalian, lalu mereka menyerbu kalian dengan sekaligus. Inilah illat (sebab) mengapa diperintahkan menyandang senjata.

"Dan tidak ada dosa atas kalian, jika terjadi pada kalian kesusahan dari hujan atau kalian sakit untuk meletakkan senjata-senjata kalian dan ambillah kewaspadaan kalian." 

Tidak ada dosa atas kalian meletakkan senjata-senjata kalian, jika kalian mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kalian memang sakit; dan tetap bersiap siagalah kalian kerana sewaktu-waktu bila diperlukan, kalian pasti akan menyandangnya dengan mudah, tanpa susah payah lagi.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. tentang ayat, "In kaana bikum adzam mim matharin au kuntum mardhaa." Dia berkata, "Ketika itu Abdurrahman bin 'Auf terluka." Al Haafizh berkata, "Maka turunlah ayat tersebut."

"Sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang kafir azab yang menghinakan."

Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang yang kafir itu. Maka segala puji bagi Allah atas nikmat-nikmatNya yang diberikan kepada kaum mukmin, dikuatkanNya mereka dan diajarkanNya mereka cara-cara yang jika mereka mengerjakannya secara sempurna, maka tidak ada jalan bagi musuh menguasai mereka bila dan di mana pun.

"103. Maka apabila kalian menyelesaikan solat, maka ingatlah Allah berdiri, dan duduk, dan di atas pembaringan."

Selanjutnya, apabila kalian telah menyelesaikan solat kalian, ingatlah Allah ketika kalian berdiri, pada waktu duduk dan ketika berbaring, iaitu dalam setiap keadaan.

Hal itu, kerana baiknya hati, beruntung dan bahagianya terletak pada kembalinya mereka kepada Allah s.w.t., mencintaiNya dan memenuhi hati dengan mengingat dan memujiNya.

Yang demikian dapat dilakukan, salah satunya (bahkan yang paling besarnya) adalah dengan solat secara sempurna, di mana solat itu pada hakikatnya merupakan penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Dalam solat khauf yang ringkas tersebut tujuan dari solat tidak tercapai kerana hati dan badan ketika itu disibukkan oleh perkara lain, maka Allah s.w.t. memerintakan untuk menutupi kekurangan tersebut dengan zikrullah dalam setiap keadaan.

Manfaat zikrullah sangat banyak; hati dan badan yang sebelumnya lemah kerana memerangi musuh menjadi segar kembali dengannya, kerana memang zikrullah merupakan makanan bagi hati. Demikian juga zikrullah dengan sikap sabar dan teguh merupakan sebab keberuntungan dan kemenangan.

"Maka apabila kalian telah merasa aman maka dirikanlah solat."

Kemudian apabila kalian telah merasa aman dan tidak takut lagi, sehingga ketenangan kalian peroleh, maka dirikanlah solat itu sebagaimana biasa, iaitu secara sempurna, baik zahir maupun batin, terpenuhi syarat, rukun, khusyu' dan segala yang menyempurnakannya.

"Sesungguhnya solat adalah atas orang-orang mukmin suatu kewajiban yang ditentukan waktunya."

Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. Solat mempunyai waktunya masing-masing. Apabila salah satu waktunya pergi, datanglah waktu yang lain. Oleh kerana itu tidak boleh dilewatkan waktunya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...