Rabu, 19 Februari 2020

5:65-66 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 65-66.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخَلْنَاهُمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ (٦٥) وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِمْ مِنْ رَبِّهِمْ لأكَلُوا مِنْ فَوْقِهِمْ وَمِنْ تَحْتِ أَرْجُلِهِمْ مِنْهُمْ أُمَّةٌ مُقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ (٦٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"65. Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertakwa,"

Sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa, iaitu seandainya mereka beriman kepada Allah dan RasulNya serta menjauhi apa yang biasa mereka kerjakan berupa dosa-dosa dan perbuatan-perbuatan yang haram.

"tentu Kami hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka dan tentu Kami masukkan mereka syurga penuh dengan kenikmatan." 

Nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahan mereka dan mereka tentu Kami masukkan ke dalam syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan, iaitu nescaya akan Kami hapuskan dari mereka hal-hal yang tidak diinginkan, dan Kami hantarkan mereka kepada tujuan yang didambakan.

"66. Dan sekiranya mereka mengamalkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka," 

Sekiranya mereka sungguh-sungguh menegakkan dan menjalankan hukum Taurat, Injil dan Al Quran yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka, iaitu dengan mengamalkan kandungan kitab-kitab yang ada di tangan mereka dari nabi-nabi mereka tanpa penyimpangan, pergantian, dan perubahan.

Nescaya mereka akan terbimbing untuk mengikuti kebenaran dan mengamalkan apa yang sesuai dengan risalah yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerana sesungguhnya di dalam kitab-kitab mereka tertulis pernyataan yang membenarkan risalah Nabi Muhammad dan perintah untuk mengikutinya secara tegas tanpa ada pilihan lain.

"tentu mereka dapat memakan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka."

Nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Iaitu Allah akan melimpahkan rahmatNya dari langit dengan menurunkan hujan dan memunculkan rahmatNya dari bumi dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang buahnya melimpah ruah atau melapangkan rezeki dan melimpahkannya dari semua arah.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah, mereka memperolehnya tanpa susah payah dan tanpa mengeluarkan tenaga serta bebas dari kesengsaraan. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah nescaya mereka berada dalam kebaikan.

Ziyad ibnu Lubaid menceritakan bahawa Nabi s.a.w. pernah menyebutkan suatu hal dan pada akhirnya Beliau bersabda, "Yang demikian itu pertanda akan lenyapnya ilmu." Ziyad ibnu Lubaid melanjutkan kisahnya. Kami mengajukan pertanyaan, "Wahai Rasulullah, mana mungkin ilmu dapat lenyap, sedangkan kami selalu membaca Al Qur'an dan mengajarkannya kepada anak-anak kami, anak-anak kami pun mengajarkannya kepada anak-anak mereka sampai hari kiamat?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semoga ibumu kehilangan kamu, hai Ibnu Labid. Walaupun aku memandangmu termasuk orang yang paling alim di Madinah, tetapi bukankah orang-orang Yahudi dan Nasrani ini membaca Taurat dan Injil, tetapi mereka tidak mengambil manfaat dari apa yang terkandung di dalam kedua kitab tersebut barang sedikit pun."

"Di antara mereka umat pertengahan," 

Di antara mereka ada golongan atau sekelompok yang jujur dan taat. Maksudnya orang yang berlaku jujur, lurus dan tidak menyimpang dari kebenaran, mereka ini adalah orang-orang yang beriman kepada Nabi s.a.w., seperti Abdullah bin Salaam dan kawan-kawannya.

"dan kebanyakan dari mereka amat buruk apa yang mereka kerjakan."

Dan kebanyakan dari mereka sangat buruk perbuatannya.

Anas ibnu Malik menceritakan bahawa, ketika kami (para sahabat) sedang berada bersama Rasulullah s.a.w., Beliau bersabda, "Umat Nabi Musa berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan; tujuh puluh golongan darinya masuk neraka, sedangkan yang satu golongan lagi masuk syurga dan umat Nabi Isa berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan; segolongan di antara mereka masuk syurga, sedangkan yang tujuh puluh satu golongan masuk neraka. Tetapi umatku jauh lebih tinggi daripada gabungan kedua umat itu, iaitu satu golongan masuk ke dalam syurga, sedangkan yang tujuh puluh dua golongan masuk neraka. Mereka (para sahabat) bertanya, "Siapakah mereka yang masuk syurga itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tetaplah pada jamaah, tetaplah pada jamaah!"

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...