Sabtu, 15 Februari 2020

91:1-15 Tafsir Surah Asy Syam, ayat 1-15.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا (١) وَالْقَمَرِ إِذَا تَلاهَا (٢) وَالنَّهَارِ إِذَا جَلاهَا (٣) وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَاهَا (٤) وَالسَّمَاءِ وَمَا بَنَاهَا (٥) وَالأرْضِ وَمَا طَحَاهَا (٦) وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (٧) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (٨) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (٩) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (١٠) كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِطَغْوَاهَا (١١) إِذِ انْبَعَثَ أَشْقَاهَا (١٢) فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ نَاقَةَ اللَّهِ وَسُقْيَاهَا (١٣) فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُمْ بِذَنْبِهِمْ فَسَوَّاهَا (١٤) وَلا يَخَافُ عُقْبَاهَا (١٥) 

Allah s.w.t. bersumpah,

"1. Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari."

Demi matahari dan cahayanya dipagi hari, iaitu sinarnya di waktu pagi serta manfaat yang dihasilkan darinya. Ada yang mengatakan bahawa "Wadhuhaha," bermaksud seluruh siang hari, bukan hanya pagi hari saja. Ada yang mengatakan bahawa Allah bersumpah dengan menyebut matahari dan siang hari, kerana sinar matahari yang terang terdapat di siang hari.

"2. Demi bulan apabila mengiringinya." 

Demi bulan apabila mengiringi, iaitu yang terbit ketika matahari tenggelam. Ada yang mengatakan, demi bulan apabila mengiringi siang hari. Ada yang mengatakan, iaitu malam hilal; bila mentari terbenam, hilal baru kelihatan.

Ada yang mengatakan bahawa bulan mengiringi matahari pada pertengahan bulan pertama, kemudian sebaliknya matahari mengiringi bulan dan bulan mendahuluinya pada pertengahan bulan yang terakhir. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah apabila bulan mengiringi matahari di malam Lailatul Qadar.

"3. Demi siang apabila menampakkannya." 

Demi siang apabila menampakkannya ke permukaan bumi. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah bila cuacanya cerah. Ada yang mengatakan apabila siang hari menerangi semuanya. Sebahagian ahli bahasa Arab menakwilkan hal ini dengan pengertian siang hari apabila mengusir gelapnya malam hari.

"4. Demi malam apabila menutupnya." 

Demi malam apabila menutupinya ke permukaan bumi sehingga menjadikannya gelap gulita. Ada yang mengatakan, apabila malam menutupi matahari saat matahari tenggelam, maka seluruh cakrawala menjadi gelap.

Siang berganti malam, terang berganti gelap dan matahari berganti bulan dengan pergantiannya yang tertib dan teratur untuk maslahat hamba-hambaNya.

Itu semua merupakan dalil terbesar yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. mengetahui segala sesuatu, berkuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Dialah yang satu-satunya berhak disembah, sedangkan menyembah selainNya adalah batil.

"5. Demi langit dan pembinaannya." 

Demi langit serta pembinaannya yang menakjubkan. ‘Ma’ di ayat ini boleh sebagai isim mausul yang bererti ‘yang’, sehingga ertinya Allah s.w.t. bersumpah dengan langit dan Tuhan yang membangunnya, iaitu Dia sendiri.

Boleh juga 'ma' di sini dapat diertikan sebagai ma masdariyah (kata kerja yang dibendakan) sehingga ertinya Allah s.w.t. bersumpah dengan langit dan pembinaannya yang menakjubkan. Begitu juga pada ‘ma’ pada ayat selanjutnya.

"6. Demi bumi dan penghamparannya." 

Demi bumi serta penghamparannya sehingga manusia dapat memanfaatkannya, dengan membangun bangunan di atasnya, menggarap tanahnya, menanam tanaman dan tumbuhan di atasnya dan melakukan perjalanan di atasnya walaupun keadaannya bulat.

Ada yang mengatakan bahawa penghamparannya bermaksud segala makhluk yang terdapat di dalamnya. Ada yang mengatakan bahagian-bahagiannya.

"7. Demi jiwa dan penyempurnaannya." 

Demi jiwa serta penyempurnaan ciptaannya, iaitu penciptaannya yang sempurna dengan dibekali fitrah yang lurus lagi tegak. Jiwa di sini boleh tertuju kepada jiwa semua makhluk hidup sebagaimana diperkuat oleh keumumannya, dan boleh juga maksudnya jiwa manusia yang sudah mukallaf (baligh dan berakal) berdasarkan ayat setelahnya.

Bagaimana pun juga, jiwa merupakan ayat Allah yang besar yang sangat tepat jika bersumpah dengannya, kerana keadaannya yang halus dan ringan, cepat berpindah, bergerak, berubah, berpengaruh atau sensitif, merasakan sedih, gelisah, cinta dan benci, dan sebagainya. Jiwa adalah sesuatu yang jika badan kosong darinya, maka badan itu ibarat patung. Penyempurnaan kepada jiwa tersebut juga termasuk salah satu ayat Allah yang besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka hanya kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau seorang Nasrani, atau seorang Majusi. Sebagaimana haiwan ternak yang melahirkan anaknya dalam keadaan utuh, maka apakah kamu pernah melihatnya ada yang cacat?"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif (menyimpang dari kebatilan dan cenderung kepada perkara hak). Kemudian datanglah syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka dari agamanya.""

"8. Maka Dia mengilhamkan padanya kederhakaannya dan ketakwaannya." 

Maka Allah menerangkan atau menjelaskan kepada jiwa itu jalan kejahatan dan ketakwaannya, kemudian memberinya petunjuk kepadanya sesuai dengan apa yang telah ditetapkan Allah untuknya.

Pernah ada seorang lelaki dari Bani Muzayyanah atau Bani Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah menurutmu tentang apa yang dikerjakan oleh manusia yang mereka bersusah payah menanggulanginya (menghadapinya). Apakah hal itu merupakan sesuatu yang telah ditetapkan atas mereka dalam takdir yang terdahulu, ataukah hal itu merupakan sesuatu yang mereka terima dari apa yang disampaikan oleh Nabi mereka kepada mereka, lalu diperkuat dengan hujah atas diri mereka?"

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidak demikian, sebenarnya hal itu adalah sesuatu yang telah ditetapkan atas diri mereka." Lelaki itu bertanya lagi, "Lalu apakah gunanya kita beramal?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, bahawa barang siapa yang diciptakan oleh Allah untuk mengerjakan salah satu di antara keduanya, maka Allah menyiapkannya untuk itu, dan hal yang membenarkan ini dalam Kitabullah adalah firmanNya yang mengatakan, "Demi jiwa dan penyempurnaannya. Maka Dia mengilhamkan padanya kederhakaannya dan ketakwaannya." (Asy Syams 91:7-8)

Ayat seterusnya adalah jawaban atau isi sumpahnya. Allah s.w.t. bersumpah dengan ayat-ayat yang agung itu terhadap jiwa yang beruntung dan jiwa yang rugi.

"9. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya." 

Sungguh beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dari dosa dan menggantinya dengan iman dan amal soleh. Boleh juga ditakwilkan bahawa sungguh beruntunglah orang yang menyucikan dirinya dengan taat kepada Allah, dan membersihkannya dari akhlak-akhlak yang hina. Boleh juga ditakwilkan bahawa sungguh beruntunglah orang yang jiwanya disucikan oleh Allah s.w.t.

"10. Dan sungguh celaka orang yang mengotorinya." 

Sungguh merugilah orang yang mengotori jiwanya, iaitu membenamkannya, menguburnya, dan menghinakannya dengan tidak mengikuti jalan petunjuk, hingga terjerumuslah dia ke dalam perbuatan-perbuatan maksiat dan meninggalkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Boleh juga ditakwilkan bahawa dan merugilah orang yang jiwanya ditakdirkan kotor oleh Allah s.w.t.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kaum Samud,

"11. Telah mendustakan Samud dengan melampaui batas." 

Kaum Samud telah mendustakan Rasul Allah yang diutus kepada mereka kerana mereka melampaui batas, iaitu zalim dan sombong kepada kebenaran. Sudah menjadi watak mereka perbuatan sewenang-wenang dan melampaui batas. Maka sebagai akibat dari sikap dan watak mereka yang demikian itu akhirnya mereka mendustakan hidayah dan keyakinan yang disampaikan oleh rasul mereka.

"12. Ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka." 

Ketika bangkit orang yang paling jahat di antara mereka untuk membunuh unta itu dengan keridhaan mereka. Dia adalah Qaddar ibnu Salif si penyembelih unta betina, dan dia digelar Uhaimir Samud. Dia adalah seorang yang perkasa lagi dimuliakan di kalangan kaumnya, mempunyai kedudukan nasab yang terhormat, dan pemimpin yang ditaati.

"13. Lalu berkata kepada mereka rasul Allah, "Unta betina dari Allah dan minumannya.""

Lalu utusan Allah, iaitu Saleh a.s. berkata kepada mereka, "Inilah unta betina dari Allah." Iaitu hati-hatilah kalian terhadap unta Allah ini, jangan sampai kalian mengganggunya dengan menimpakan keburukan terhadapnya.

Janganlah membunuh unta dari Allah itu, yang Dia jadikan sebagai ayatNya yang besar bagi kalian, dan janganlah kalian balas nikmat Allah kepada kalian dengan menjadikan kalian dapat mengambil air susu unta itu dengan malah membunuhnya.

Biarkan unta betina Allah itu dengan minumannya. Janganlah kalian melampaui batas atau bersikap zalim terhadap giliran minumnya, kerana sesungguhnya ia mempunyai hari giliran tertentu bagi minumnya, juga bagi kalian ada hari giliran tertentu lainnya yang telah dimaklumi. Iaitu sehari untuk unta itu dan sehari untuk mereka secara bergiliran.

"14. Maka mereka mendustakannya dan mereka menyembelihnya."

Namun mereka mendustakan apa yang diperintahkan oleh nabi mereka Saleh a.s. dan akibat dari sikap itu mereka berani menyembelih unta betina yang dikeluarkan oleh Allah s.w.t. dari sebuah batu besar sebagai mukjizat Saleh a.s. terhadap mereka, dan sekaligus sebagai hujah (alasan) terhadap mereka bilamana mereka mendustakannya. Mereka membunuh unta itu agar jatah minum unta itu untuk mereka.

Uhaimir Samud masih belum menyembelih unta betina itu hingga dia diikuti oleh semua kaumnya yang kecil, yang dewasa, yang lelaki dan yang wanitanya semuanya ikut serta. Kemudian mereka bersekutu menyembelih unta betina itu.

"Maka menurunkan azab atas mereka Tuhan mereka sebab dosa mereka," 

Kerana itu Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka. Allah murka terhadap mereka. Dia mengirimkan kepada mereka suara keras yang mengguntur dari atas mereka dan gempa dari bawah mereka, maka mereka semuanya hancur dan mati bergelimpangan.

"lalu Dia menyamaratakannya." 

Lalu Allah menyamaratakan mereka dengan tanah, iaitu Allah menjadikan hukuman yang ditimpakan kepada mereka berakibat mereka disamaratakan dengan tanah.

"15. Dan Dia tidak takut akibatnya." 

Allah tidak takut terhadap akibat tindakanNya itu. Dia tidak takut terhadap siapa pun tentang apa yang telah dilakukanNya. Tiada seorang pun yang akan meminta pertanggungjawaban terhadapNya.

Dia Mahakuasa dan Mahaperkasa. Tidak ada satu pun makhluk yang keluar dari kekuasaan dan pengaturanNya, dan Dia Mahabijaksana terhadap ketetapanNya di alam semesta dan syariatNya.

Selesai tafsir surah Asy Syam dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...