Sabtu, 15 Februari 2020

73:20 Tafsir Surah Al Muzzammil, ayat 20.

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَى مِنْ ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِنَ الَّذِينَ مَعَكَ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ عَلِمَ أَنْ لَنْ تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَى وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الأرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا وَمَا تُقَدِّمُوا لأنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٢٠)

Di awal surah Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya untuk melakukan qiyamullail separuh malam atau sepertiganya atau dua pertiganya, dan hukum asalnya bahawa umat juga sama mengikutinya dalam hal hukum.

Kemudian disebutkan dalam ayat ini bahawa Beliau melakukan hal itu dan diikuti pula oleh orang-orang mukmin yang bersamanya. Akan tetapi, kerana ditentukan batas-batas waktu yang diperintahkan itu menyulitkan manusia, maka Allah memudahkannya semudah-mudahnya.

"20. Sungguh Tuhanmu mengetahui bahawa kamu berdiri kurang dari dua pertiga malam, dan setengahnya, dan sepertiga, dan segolongan dari orang-orang yang bersamamu."

Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri solat kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam, atau sepertiganya. Begitu juga segolongan dari orang-orang yang bersama kamu.

Iaitu adakalanya kurang dari dua pertiga, dan adakalanya kurang dari seperduanya, demikianlah seterusnya tanpa kamu sengaja. Tetapi memang kamu tidak mampu menunaikan qiyamul lail yang diperintahkan kepadamu dengan sepenuhnya, mengingat pelaksanaannya terasa berat olehmu.

"Dan Allah menetapkan malam dan siang."

Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Dia yang mengetahui ukuran keduanya (malam dan siang), yang berlalu daripadanya dan yang masih tersisa. Adakalanya siang dan malam sama panjangnya. Adakalanya malam lebih panjang daripada siang hari. Adakalanya siang lebih panjang daripada malam.

"Dia mengetahui bahawa tidak akan kalian dapat menentukannya," 

Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, iaitu kamu tidak dapat menentukan batas waktu kefarduan yang diwajibkan oleh Allah kepadamu dalam qiyamul lail. Kamu tidak mengetahui batas-batas atau ukurannya dengan tepat; tanpa lebih dan kurang kerana yang demikian diperlukan sikap jaga dan perhatian lebih.

Maka Allah s.w.t. meringankan dan memerintahkan dengan yang mudah bagi mereka baik lebih dari ukuran yang ditentukan maupun kurang.

"maka Dia terima taubat atas kalian, maka bacalah apa yang mudah dari Al Qur'an."

Maka Dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu solatlah dan bacalah apa yang mudah bagimu dari Al Qur’an, iaitu yang kamu ketahui, tidak memberatkan kamu dan tanpa batasan waktu.

Oleh kerana itulah, orang yang solat di malam hari diperintahkan melakukannya selama semangat, menurut kemampuan dan yang mudah untuk dikerjakan. Ketika sedang lemah seperti ngantuk, maka hendaknya dia istirahat dan melakukan solat dengan tenang dan keadaan segar.

"Dia mengetahui bahawa akan ada dari kalian yang sakit" 

Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kalian yang mempunyai 'uzur dalam meninggalkan qiyamul lail, seperti kerana sakit hingga tidak mampu melakukan solat dua pertiga malam, separuhnya atau sepertiganya.

Oleh kerana itu, hendaknya dia melakukan solat yang dirasakannya mudah dan dia pun tidak diperintahkan solat sambil berdiri jika sulit melakukannya. Bahkan kalau dia kesulitan melakukan solat sunat, maka dia boleh meninggalkannya dan dia akan mendapatkan pahala seperti yang dilakukannya ketika sihat.

"dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian dari kurnia Allah" 

Dan orang-orang yang lain berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurnia Allah dengan bekerja, berdagang dan lainnya agar mereka tidak meminta-minta kepada manusia. Mereka (orang-orang musafir) sangat layak diberikan keringanan.

Oleh kerana itu, dia boleh mengqasar (mengurangi) solat yang empat rakaat menjadi dua rakaat dan boleh menjama’ (menggabung)nya dalam satu waktu.

"dan yang lain berperang di jalan Allah."

Dan orang-orang yang lainnya sedang sibuk dengan urusan yang lebih penting bagi mereka, iaitu berjihad di jalan Allah.

Ayat ini (dan bahkan surah ini) secara keseluruhan adalah Makkiyyah, dan waktu itu peperangan masih belum disyariatkan. Hal ini merupakan salah satu dari bukti kenabian yang paling besar, iaitu tentang pemberitaan kejadian yang akan datang.

"Maka bacalah apa yang mudah darinya"

Kerjakanlah solat dengan membaca apa yang mudah dari Al Qur'an bagimu.

Allah s.w.t. menyebutkan dua keringanan:

(1) Keringanan untuk orang yang sihat lagi mukim (tidak safar) dengan memperhatikan waktu semangatnya tanpa ditentukan batasnya, dan sebaiknya dia memilih waktu solat yang utama iaitu sepertiga malam.

(2) Keringanan untuk orang yang sakit atau musafir baik safarnya untuk berdagang atau beribadah seperti berperang atau berjihad, berhaji atau berumrah dan sebagainya. Maka dia memperhatikan keadaan yang tidak membebaninya.
Segala puji bagi Allah kerana Dia tidak menjadikan kesempitan dalam agama ini, bahkan Dia memudahkan syariatNya, memperhatikan keadaan hamba, maslahat agama, badan dan dunia mereka.

"dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat" 

Laksanakanlah solat wajib dengan mengerjakan rukun, syarat dan penyempurnanya, dan tunaikanlah zakat yang fardu. Keduanya adalah induk ibadah dan tiangnya. Agama tidak akan tegak tanpa mendirikan solat, dan menunaikan zakat yang merupakan bukti keimanan yang di sana terdapat sikap tolong-menolong kepada orang-orang fakir dan miskin.

Di dalam solat terdapat berbuat ihsan dalam beribadah kepada Allah, dan di dalam zakat terdapat ihsan kepada hamba-hamba Allah.

Dalam ayat ini terkandung dalil bagi orang yang mengatakan bahawa perintah wajib zakat diturunkan di Mekah, tetapi kadar-kadar nisab yang harus dikeluarkan masih belum dijelaskan dengan rinci kecuali hanya di Madinah; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Ramai ulama Salaf telah mengatakan bahawa sesungguhnya ayat ini telah memansukh (merevisi) hukum yang pada mulanya Allah mewajibkan qiyamul lail atas kaum muslim.

"dan berilah pinjaman pada Allah pinjaman yang baik."

Berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik, dengan niat mengharap ridha Allah dan dengan hati yang rela. Termasuk pinjaman yang baik adalah sedekah yang wajib maupun sunat. Sesungguhnya Allah akan membalasnya dengan balasan yang terbaik dan berlimpah.

"Dan tidak kalian kerjakan untuk diri kalian kebaikan, kalian memperoleh di sisi Allah. Ia lebih baik dan lebih besar pahala."

Kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk diri kalian, nescaya kalian mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Iaitu semua sedekah yang kalian keluarkan dari tangan kalian, pahalanya akan kalian peroleh, dan hal ini lebih baik daripada harta yang kalian simpan buat diri kalian sendiri di dunia.

Satu kebaikan dibalas sepuluh kebaikan kemudian menjadi tujuh ratus dan seterusnya sampai gandaan yang banyak sesuai niat dan manfaat yang dihasilkan, hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.

Satu kebaikan walaupun kecil di dunia ini tidak disia-siakan Allah, bahkan Dia akan melipatgandakannya menjadi banyak, dan bahawa kebaikan di dunia ini merupakan bahan kebaikan di negeri yang kekal; sebagai benihnya, asalnya dan asasnya.

"Dan mohonlah ampunan pada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Iaitu perbanyaklah berzikir kepadaNya dan memohon ampun kepadaNya dalam semua urusanmu, kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada siapa yang memohon ampun kepadaNya.

Dalam perintah beristighfar setelah perintah mengerjakan ketaatan dan kebaikan terdapat faedah yang besar. Seorang hamba tidaklah lepas dari kekurangan dalam mengerjakan perintah Allah, boleh saja dia tidak mengerjakannya sama sekali atau mengerjakannya dengan tidak sempurna.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan untuk menutupi kekurangan itu dengan istighfar, kerana seorang hamba biasa berbuat salah di malam dan siang, maka jika tidak mendapatkan rahmat Allah dan ampunanNya, tentu dia akan binasa.

Selesai surah Al Muzzammil dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...