وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ (٨٩) بِئْسَمَا اشْتَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ أَنْ يَكْفُرُوا بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ بَغْيًا أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ مُهِينٌ (٩٠)
Sebelum kedatangan Rasul s.a.w. yang membawa Al Qur'an, mereka (Bani Israil) selalu memohon kepada Allah akan kedatangannya untuk menghadapi musuh mereka dari kalangan kaum musyrik, bila mereka berperang melawan kaum musyrik.
Mereka selalu mengatakan, "Sesungguhnya kelak akan diutus seorang nabi akhir zaman, kami akan bersamanya memerangi kalian sebagaimana kami memerangi kaum Ad dan kaum Iram."
Dikatakan oleh Muhammad ibnu Ishaq, dari Asim ibnu Arm, dari Qatadah Al Ansari, dari pemuka-pemuka Ansar yang mengatakan, "Demi Allah, berkenaan dengan kami dan mereka ayat ini diturunkan," iaitu berkenaan dengan kaum Ansar dan orang-orang Yahudi yang berjiran dengan merekalah kisah yang disebutkan dalam ayat berikut ini diturunkan, iaitu firmanNya,
"89. Dan ketika datang kepada mereka kitab dari sisi Allah membenarkan terhadap apa yang ada pada mereka,"
Iaitu setelah sampai kepada mereka kitab dari Allah, iaitu Al Quran yang membenarkan apa yang ada pada mereka, iaitu kitab Taurat, di sana diterangkan tentang akan datangnya seorang nabi dan disebutkan juga sifat-sifatnya.
"dan mereka sebelumnya meminta kemenangan atas orang-orang yang kafir,"
Padahal sebelumnya mereka biasa memohon kedatangan nabi untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir.
Dahulu orang-orang Yahudi selalu memohon kemenangan dengan kedatangan nabi yang mereka jumpai termaktub dalam kitab mereka hingga mereka dapat menghukum dan membunuh orang-orang musyrik Arab, iaitu orang-orang Aus dan Khazraj. Mereka menceritakan bahawa Beliau s.a.w. akan diutus dan mereka sebut juga sifat-sifatnya.
Orang-orang Ansar mengatakan, "Kami berkuasa atas mereka (Bani Israil) dengan kekuatan dalam suatu masa di zaman Jahiliah; padahal kami berasal dari orang-orang musyrik, sedangkan mereka adalah ahli kitab."
Mereka selalu mengatakan, "Kelak akan muncul seorang nabi yang sekarang sudah tiba masa perutusannya dan nanti kami akan mengikutinya untuk memerangi kalian seperti kami memerangi kaum Ad dan Iram."
"maka ketika datang kepada mereka apa yang mereka mengetahui, mereka kafir kepadanya."
Akan tetapi setelah Allah s.w.t. mengutus Nabi Muhammad s.a.w., seorang dari kalangan bangsa Arab dan bukan dari kalangan Yahudi, mereka kafir dan ingkar kepada apa yang selalu mereka katakan sebelumnya tentang Beliau.
Mereka kafir kepadanya kerana dengki terhadap bangsa Arab, padahal mereka mengetahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah. Mereka mengatakan bahawa Beliau s.a.w. tidak menyampaikan kepada mereka sesuatu pun yang mereka kenal, dan Beliau bukanlah orang yang dahulu sering mereka katakan.
"Maka laknat Allah atas orang-orang kafir."
Maka laknat Allahlah atas orang-orang yang ingkar itu, baik ingkar kepada Nabi Muhammad s.a.w. maupun kepada kitab yang diturunkan kepadanya, iaitu Al Qur'an. Mereka yang disebut di dalam ayat ini adalah orang-orang Yahudi.
"90. Alangkah buruknya mereka menjual dengannya diri mereka, bahawa mereka ingkar kepada yang Allah turunkan,"
Sangatlah buruk hasil perbuatan orang-orang Yahudi menjual diri mereka sendiri, dengan mengingkari atau kekafiran kepada apa yang diturunkan Allah.
Mereka menjual perkara yang hak dengan mendapatkan gantinya perkara yang batil, iaitu mereka menyembunyikan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan mereka tidak mahu menjelaskannya. Mereka kafir kepada Al Qur'an yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak mahu membenarkan, menyokong dan membantu Beliau.
"kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari kurniaNya kepada siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya."
Sesungguhnya yang mendorong mereka berbuat demikian hanyalah rasa dengki dan kebencian serta kezaliman mereka sendiri. Mereka dengki kerana Allah menurunkan kurniaNya, iaitu wahyu (kenabian) kepada Muhammad s.a.w., bukan dari kalangan Bani Israil. Tiada kedengkian yang lebih besar daripada kedengkian seperti itu.
"Maka mereka kembali dengan kemurkaan atas kemurkaan."
Kerana itulah mereka mendapat kemurkaan sesudah mendapat kemurkaan. Iaitu mereka mendapat kemurkaan yang berlipat-ganda, iaitu kemurkaan kerana tidak beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kemurkaan yang disebabkan perbuatan mereka dahulu, iaitu membunuh nabi-nabi, mendustakannya, merubah isi Taurat dan sebagainya.
"Dan bagi orang-orang kafir azab yang menghinakan."
Kepada orang-orang kafir ditimpakan azab yang menghinakan. Dikatakan demikian kerana penyebab dari kekufuran mereka adalah rasa dengki dan iri hati yang bersumber dari rasa takabur mereka. Maka sebagai pembalasannya ialah kebalikannya, iaitu mereka mengalami kehinaan dan kerendahan di dunia dan akhirat.
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang-orang yang sombong digiring pada hari kiamat nanti dalam keadaan seperti semut paling kecil berupa manusia, segala sesuatu berada di atas mereka kerana kecilnya, hingga dimasukkan di dalam sebuah penjara di neraka Jahannam. Penjara tersebut dikenal dengan nama bulis yang dipenuhi oleh inti api neraka; mereka diberi minum dari tinatul khabal, iaitu perasan dari tubuh penduduk neraka."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan