Sabtu, 21 Mac 2020

92:11-21 Tafsir Surah Al Lail, ayat 11-21.

وَمَا يُغْنِي عَنْهُ مَالُهُ إِذَا تَرَدَّى (١١) إِنَّ عَلَيْنَا لَلْهُدَى (١٢) وَإِنَّ لَنَا لَلآخِرَةَ وَالأولَى (١٣) فَأَنْذَرْتُكُمْ نَارًا تَلَظَّى (١٤) لا يَصْلاهَا إِلا الأشْقَى (١٥) الَّذِي كَذَّبَ وَتَوَلَّى (١٦) وَسَيُجَنَّبُهَا الأتْقَى (١٧)الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (١٨) وَمَا لأحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (١٩) إِلا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الأعْلَى (٢٠)وَلَسَوْفَ يَرْضَى (٢١)

Allah s.w.t. berfirman, 

"11. Dan tidak mencukupi darinya hartanya apabila dia telah binasa." 

Hartanya tidak bermanfaat baginya apabila dia telah dilemparkan neraka, kerana yang berguna hanyalah iman dan amal soleh. Adapun hartanya yang tidak dikeluarkan haknya, maka akan menjadi musibah baginya.

"12. Sungguh atas Kami petunjuk." 

Sesungguhnya kewajiban Kamilah memberi petunjuk, iaitu menerangkan jalan petunjuk daripada jalan kesesatan, menerangkan yang halal dan yang haram. Barang siapa yang menempuh jalan petunjuk, akan sampailah dia kepada Allah.

"13. Dan sungguh bagi Kami akhirat dan dunia." 

Sesungguhnya kepunyaan atau milik Kamilah akhirat dan dunia itu. Iaitu semuanya adalah milik Kami, dan Akulah yang mengatur pada keduanya. Oleh kerana itu, barang siapa yang meminta kepada selain Kami, maka dia telah salah, dan seharusnya dia meminta kepada Kami serta memutuskan harapan kepada makhluk.

"14. Maka Aku peringatkan kalian neraka menyala-nyala." 

Maka Aku memperingatkan kalian dengan neraka yang menyala-nyala, iaitu yang apinya bergejolak.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan siksaannya di hari kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan dua buah bara api neraka di kedua telapak kakinya, yang kerananya otaknya mendidih."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan siksanya ialah seseorang yang mengenakan dua terompah dan dua talinya dari api, yang kerananya ia mendidih sebagaimana panci berisi air mendidih. Seakan-akan bila dilihat tiada seorang pun yang lebih berat siksanya daripada dia, padahal sesungguhnya dia adalah ahli neraka yang paling ringan siksanya."

"15. Tidak memasukinya kecuali orang yang celaka." 

Tiada yang dimasukkan atau dijerumuskan ke dalamnya sehingga diliputi oleh api neraka dari segala penjurunya kecuali hanya orang yang paling celaka.

"16. Yang mendustakan dan berpaling." 

Yang mendustakan kebenaran dan berpaling dari iman. Hatinya mendustakan hal tersebut dan semua anggota tubuhnya tidak mahu mengamalkannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada yang masuk neraka selain orang yang celaka." Ketika ditanyakan kepada Beliau s.a.w., "Siapakah orang yang celaka itu?" Maka Beliau s.a.w. menjawab, "Orang yang tidak mahu mengamalkan ketaatan kepada Allah dan tidak mahu meninggalkan perbuatan derhaka kepadaNya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua umatku akan masuk syurga di hari kiamat nanti, terkecuali orang yang membangkang." Ketika mereka bertanya, "Siapakah orang yang membangkang itu, wahai Rasulullah s.a.w.?" Maka Beliau s.a.w. menjawab, "Barang siapa yang taat kepadaku, nescaya masuk syurga; dan barang siapa derhaka kepadaku, bererti dia membangkang."

"17. Dan akan dijauhkan daripadanya orang yang sangat takwa." 

Kelak akan dijauhkan dari neraka orang yang paling bertakwa.

"18. Yang dia memberikan hartanya menyucikan." 

Iaitu orang yang menginfakkan, menafkahkan atau membelanjakan hartanya di jalan Allah untuk membersihkan dirinya, hartanya dan segala apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya berupa agama dan dunia.

Dia mengeluarkannya bukan kerana riya’ (agar dilihat manusia) maupun sum’ah (agar didengar mereka), bahkan maksudnya adalah untuk menyucikan dirinya dari dosa dan aib dengan maksud mencari keridhaan Allah ‘Azza wa Jalla.

Ayat ini menunjukkan bahawa apabila dalam infak yang sunat sampai meninggalkan yang wajib, seperti membayar hutang, menafkahi orang yang ditanggungnya dan sebagainya, maka infak itu tidak disyariatkan, bahkan tertolak menurut kebanyakan ulama, kerana seseorang tidaklah menyucikan dirinya dengan mengerjakan yang sunat jika sampai meninggalkan yang wajib.

"19. Dan tidak kerana seorang pun di sisinya dari suatu nikmat di balas." 

Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya. Pembelanjaan yang dikeluarkannya itu bukanlah untuk membalas jasa kebaikan yang pernah diberikan oleh orang lain kepadanya. Dia telah pun membalas jasa orang yang telah berbuat baik kepadanya.

Menurut sebahagian mufassir, ayat-ayat ini turun berkenaan dengan Abu Bakar As Siddiq ketika dia membeli Bilal yang sedang disiksa kerana beriman, lalu dia (Abu Bakar) memerdekakannya, maka orang-orang kafir berkata, “Sesungguhnya dia (Abu Bakar) melakukan hal itu adalah kerana Bilal pernah berjasa kepadanya.” Maka turunlah ayat ini.

Namun demikian, ayat ini berlaku kepada siapa saja, iaitu siapa saja yang mengerjakan amalan seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar As Siddiq r.a., maka dia akan dijauhkan dari neraka dan akan diberi pahala sebagaimana Abu Bakar As Siddiq r.a.

"20. Kecuali dia mencari keridhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi." 

Tetapi infak yang dilakukannya adalah semata-mata ikhlas kerana Allah s.w.t. Dia memberikan itu semata-mata kerana mencari keridhaan Tuhannya Yang Mahatinggi. Iaitu hanyalah semata-mata kerana mengharapkan untuk dapat melihat Allah di negeri akhirat di dalam taman-taman syurga.

"21. Dan sungguh kelak dia mendapat kepuasan." 

Orang yang menyandang sifat-sifat ini, kelak dia benar-benar mendapat kepuasan, atau kesenangan yang sempurna. Boleh juga diertikan, “Dan kelak dia akan ridha,” iaitu ridha dengan pahala di syurga yang diberikan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang membelanjakan sepasang barang dijalan Allah, maka para malaikat penjaga syurga memanggilnya, "Hai hamba Allah, inilah yang baik.” Maka Abu bakar bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah merupakan suatu keharusan bagi seseorang (yang masuk syurga) dipanggil dari pintunya, dan apakah ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu syurga (untuk memasukinya)?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya ada, dan aku berharap semoga engkau termasuk seseorang dari mereka (yang dipanggil masuk syurga dari semua pintunya)."

Selesai tafsir surah Al Lail dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...