Ahad, 8 Mac 2020

5:67-69 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 67-69.

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٦٧) قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَسْتُمْ عَلَى شَيْءٍ حَتَّى تُقِيمُوا التَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا فَلا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (٦٨) إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالصَّابِئُونَ وَالنَّصَارَى مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٦٩) 

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"67. Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu."

Wahai Rasul! Sampaikanlah semua yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Maka Rasulullah s.a.w. menyampaikan risalahNya dengan sempurna, berdakwah, memperingatkan dan memberi khabar gembira serta memberikan kemudahan, mengajarkan orang-orang yang tidak tahu sehingga menjadi ulama, menyampaikan risalahnya dengan sabda Beliau, perbuatan, tulisan (surat) dan pengiriman utusan.

Oleh kerana ini, tidak ada satu pun kebaikan kecuali Beliau telah menunjukkan kepada umatnya, dan tidak ada satu pun keburukan kecuali Beliau telah memperingatkan. Beliau s.a.w. telah menyampaikan semua yang diperlukan umatnya, baik yang terkait dengan Aqidah, ibadah, mu'amalah, adab maupun akhlak.

Ketika diturunkan firmanNya, "Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu," Nabi Muhammad berkata, "Ya Tuhanku, apakah yang harus aku perbuat, sedangkan aku sendirian, tentu mereka akan mengeroyokku." Maka turunlah firmanNya,

"Dan jika tidak kamu kerjakan, maka kamu tidak menyampaikan risalahNya."

Jika kamu tidak lakukan apa yang diperintahkan itu, iaitu jika kamu tidak menyampaikannya kepada manusia apa yang telah Aku perintahkan untuk menyampaikannya, bererti kamu tidak menyampaikan amanat Allah, iaitu risalah yang dipercayakan Allah kepadamu.

Menyembunyikan sebahagiannya sama saja menyembunyikan seluruhnya. Jika kamu sembunyikan barang suatu ayat yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, bererti engkau tidak menyampaikan risalahNya. Telah diketahui akibat hal tersebut seandainya terjadi.

Rasulullah s.a.w. apabila turun di suatu tempat, maka para sahabatnya memilihkan buatnya sebuah pohon yang rendang, lalu Beliau s.a.w. merebahkan diri beristirahat di bawahnya. Dan ketika Beliau s.a.w. dalam keadaan demikian, datanglah seorang lelaki Arab Badui, lalu mencabut pedangnya, kemudian berkata "Siapakah yang melindungi dirimu dariku?" Nabi s.a.w. menjawab, "Allah s.w.t."

Maka tangan orang Badui itu gemetar sehingga pedang terjatuh dari tangannya, lalu kepala orang Badui itu dipukulkan ke pohon hingga pecah dan otaknya berhamburan. Kemudian Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"Dan Allah Dia menjaga kamu dari manusia." 

Allah memelihara kamu dari gangguan manusia, memeliharamu, menolongmu, dan menyokongmu serta memenangkanmu atas mereka. Kerana itu kamu jangan takut dan jangan pula bersedih hati, kerana tiada seorang pun dari mereka dapat menyentuhmu dengan keburukan yang menyakitkanmu.

Sebelum ayat ini diturunkan, Nabi s.a.w. selalu dikawal. Setelah turun ayat di atas, Beliau bersabda kepada sahabatnya, "Pergilah kalian, kerana sesungguhnya Allah telah memeliharaku." Oleh kerananya tidak ada seorang pun yang dapat membunuh Beliau s.a.w.

"Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kaum yang kafir." 

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. Sampaikanlah risalah ini olehmu, dan Allahlah yang akan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya dan Dia akan menyesatkan siapa yang dikehendakiNya.

Tidak ada yang orang-orang kafir inginkan selain yang sesuai dengan hawa nafsu mereka, maka Allah tidak memberikan hidayah kepada mereka dan tidak memberi mereka taufik kepada kebaikan. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"68. Katakanlah, "Wahai ahli kitab! Kalian tidak sedikitpun"" 

Wahai Ahli Kitab! Kalian tidak dipandang beragama sedikit pun, iaitu sama sekali bukan sebagai pemeluk agama, kerana kalian tidak beriman kepada Al Qur'an dan Nabi Muhammad s.a.w., juga tidak beriman kepada nabi kalian dan kitab kalian serta tidak berpegang kepada kebenaran dan tidak bersandar kepada suatu dasar pun.

"hingga kalian mengamalkan Taurat, dan Injil, dan apa yang diturunkan kepada kalian dari Tuhan kalian."

Hingga kalian menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil dan Al Quran yang diturunkan Tuhan kalian  kepada kalian. Iaitu hingga kalian beriman kepada semua apa yang terkandung di dalam kitab-kitab yang ada di tangan kalian, yang diturunkan oleh Allah melalui nabi-nabiNya, dan mengamalkan semua apa yang terkandung di dalamnya.

Antara lain berisikan wajib beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan perintah mengikutinya, iman kepada kerasulannya serta menaati syariatnya.

"Dan sungguh akan menambah kebanyakan di antara mereka apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu kederhakaan dan kekafiran."

Sesungguhnya Al Qur’an yang diturunkan Tuhanmu kepadamu (Muhammad) akan membuat kebanyakan dari mereka lebih derhaka dan lebih ingkar, kerana kekafiran mereka kepada Al Qur'an.

"Maka janganlah kamu putus asa atas kaum yang kafir."

Maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu. Jangan kamu sedihkan perihal mereka dan janganlah kamu merasa gentar dalam menghadapi sikap mereka yang demikian itu.

"69. Sesungguhnya orang-orang mukmin, dan orang-orang Yahudi, dan Sabi-in, dan Nasrani," 

Orang-orang mukmin bermaksud kaum muslim. Orang-orang Yahudi bermaksud orang-orang yang memegang kitab Taurat. Orang-orang Nasrani bermaksud orang-orang yang berpegang kepada kitab Injil.

Ada yang mengatakan bahawa orang-orang Sabi-in ialah segolongan orang dari kalangan kaum Nasrani dan Majusi yang tidak mempunyai agama. Ada yang mengatakan segolongan dari kaum Yahudi dan Majusi. Ada yang mengatakan mereka adalah segolongan orang dari kaum Yahudi dan Nasrani. Ada yang mengatakan mereka sama dengan kaum Majusi.

Ada yang mengatakan mereka adalah suatu kaum yang menyembah malaikat dan solat dengan menghadap ke arah selain kiblat serta membaca kitab Zabur. Ada yang mengatakan, mereka adalah suatu kaum yang mengenal Allah semata, tetapi tidak mempunyai syariat yang mereka amalkan, dan mereka tidak melakukan suatu kekufuran pun.

Ada yang mengatakan bahawa mereka adalah suatu kaum yang tinggal di daerah yang berjiran dengan negeri Iraq, tepatnya di Kausa. Mereka beriman kepada semua nabi, puasa setiap tahunnya selama tiga puluh hari, dan mengerjakan solat menghadap ke negeri Yaman setiap harinya sebanyak lima kali. Pendapat yang lain mengatakan selain itu.

Orang-orang yang diberikan kitab, baik kitab Taurat, Injil maupun Al Qur'an, kebahagiaan dan keselamatan mereka terletak pada satu jalan,

"siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir dan beramal soleh," 

Iaitu setiap golongan yang beriman kepada Allah, beriman kepada hari kemudian dan berbuat kebajikan. Akan tetapi, hal tersebut tidak akan terealisasikan kecuali jika sesuai dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w. sesudah Beliau diutus kepada semua makhluk, baik jenis manusia maupun jin. Barang siapa yang menyandang sifat ini,

"maka tidak ada ketakutan atas mereka dan mereka tidak bersedih hati." 

Tidak ada kekhuatiran bagi mereka terhadap hal-hal yang akan datang yang mengkhuatirkan, dan mereka juga tidak perlu bersedih hati terhadap hal yang telah mereka tinggalkan. Ketentuan ini berlaku di setiap zaman.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...