Khamis, 9 April 2020

20:105-113 Tafsir Surah Thaha, ayat 105-113.

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا (١٠٥) فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا (١٠٦) لا تَرَى فِيهَا عِوَجًا وَلا أَمْتًا (١٠٧) يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الأصْوَاتُ لِلرَّحْمَنِ فَلا تَسْمَعُ إِلا هَمْسًا (١٠٨) يَوْمَئِذٍ لا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ إِلا مَنْ أَذِنَ لَهُ الرَّحْمَنُ وَرَضِيَ لَهُ قَوْلا (١٠٩) يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِهِ عِلْمًا (١١٠) وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا (١١١) وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلا يَخَافُ ظُلْمًا وَلا هَضْمًا (١١٢) وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا (١١٣)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"105. Dan mereka bertanya kepadamu tentang gunung-gunung," 

Mereka bertanya kepadamu bagaimanakah keadaan gunung-gunung pada hari kiamat? Adakah gunung-gunung itu masih tetap ada kelak di hari kiamat, ataukah akan lenyap? Atau, apa yang dilakukan Tuhanmu terhadapnya?

"maka katakanlah, "Akan menghancurkannya Tuhanmu sehancur-hancurnya."" 

Allah melenyapkan dari tempatnya dan menghancurkannya serta menghambur-hamburkannya dengan sehambur-hamburnya. Dia akan mencabut dari tempat-tempatnya, lalu dijadikan seperti bulu atau pasir, dihancurkanNya lalu dijadikanNya seperti debu yang berterbangan, dan menjadi rata dengan bumi.

"106. Maka Dia akan membiarkan bumi kosong tanah datar." 

Kemudian Dia akan menjadikan bekas gunung-gunung itu rata sama sekali. Iaitu bumi menjadi hamparan yang rata seluruhnya, seakan-akan menjadi satu hamparan. Al qa' ertinya tanah rata, sedangkan safsaf mempunyai erti yang sama untuk menguatkannya.

Menurut pendapat yang lain, maksudnya ialah tanah yang tiada tumbuh-tumbuhannya. Tetapi makna pendapat yang pertama lebih baik, walaupun makna pendapat yang kedua juga termasuk ke dalam pengertiannya secara tidak langsung.

"107. Kamu tidak melihat di dalamnya yang rendah dan tidak yang tinggi." 

Sehingga pada hari itu kamu tidak akan nampak di bumi suatu lembah pun, tidak juga suatu dataran tinggi pun; tiada tempat yang rendah, tiada juga tempat yang tinggi, semuanya rata dan datar. Oleh kerana itu suara panggilan terdengar oleh mereka semua dan mereka semua terlihat tidak tertutupi.

"108. Pada hari itu mereka mengikuti penyeru tidak bengkok baginya" 

Di hari manusia dibangkitkan dari kubur dan bangun darinya, mereka menyaksikan keadaan dan huru-hara hari kiamat ini,  lalu mereka dipanggil oleh penyeru untuk datang dan berkumpul ke padang mahsyar. Penyeru di sini bermaksud malaikat yang memanggil manusia untuk menghadap ke hadirat Allah. Ada yang mengatakan bahawa dia adalah malaikat Israfil.

Mereka bersegera memenuhi seruan yang memanggil mereka dengan tidak berbelok-belok, tidak menoleh, tidak miring ke kanan maupun ke kiri atau membantah. Mereka tidak sanggup menolak atau tidak mengikuti.

Ke mana pun seruan itu memerintahkan kepada mereka, maka mereka segera menurutinya. Seandainya ketaatan seperti itu dilakukan oleh mereka ketika hidup di dunia, tentulah membawa manfaat bagi mereka. Tetapi hal itu tiada manfaatnya bagi mereka.

"dan khusyuk suara-suara kepada Ar Rahman, maka kamu tidak mendengar kecuali bisikan." 

Tunduk merendahlah semua suara kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Semuanya diam, tiada yang bersuara. Maka kamu hanya mendengar bisikan-bisikan saja. Iaitu bunyi pijakan kaki ketika menuju ke padang mahsyar. Hams bermaksud suara langkah. Ada yang mengatakan bunyi bisikan dan bunyi langkah kaki.

Mereka menunggu keputusan Ar Rahman, wajah-wajah mereka tertunduk. Ketika itu, engkau melihat orang kaya dan orang miskin, lelaki dan wanita, orang merdeka dan hamba, raja dan rakyatnya, semuanya terdiam, mereka tidak mengetahui apa yang akan terjadi pada mereka, dan masing-masing sibuk terhadap urusannya tidak peduli lagi terhadap bapa dan saudaranya, kawan dan kekasihnya.

Ketika itu, Hakim Yang Maha Adil (Allah) memberikan keputusan, orang yang berbuat baik akan dibalas dengan ihsanNya dan orang yang berbuat buruk akan mendapat kerugian dan kekecewaan.

"109. Pada hari itu tidak berguna syafaat," 

Pada hari kiamat itu tiada suatu syafaat pun yang diterima di sisiNya. Syafaat adalah usaha perantaraan dalam memberikan suatu manfaat bagi orang lain atau menghindarkan suatu mudharat bagi orang lain. Syafaat yang tidak diterima di sisi Allah adalah syafa'at bagi orang-orang kafir.

"kecuali orang yang mengizinkan baginya Ar Rahman, dan yang Dia ridha kepadanya perkataan." 

Kecuali syafaat dari orang yang telah mendapat izin dari Allah Maha Pemurah, dan Dia telah meridhai perkataannya. Iaitu diridhai syafaatnya, seperti para nabi dan rasul, hamba-hambaNya yang didekatkan yang perkataan dan amalnya diridhai Allah, iaitu orang mukmin yang ikhlas.

Jika salah satu di antara perkara ini (mendapat izin dan perkataannya diridhai) tidak ada, maka seseorang tidak boleh memberikan syafaat kepada yang lain.

Ketika itu, manusia terbahagi menjadi dua bahagian: pertama, orang yang zalim kerana perbuatan kufur dan maksiatnya, maka mereka hanya memperoleh kerugian dan kekecewaan, azab yang pedih di neraka Jahanam dan kemurkaan Allah.

Kedua, orang yang mengimani apa saja yang diperintahkan untuk diimani serta mengerjakan amal soleh (yang wajib maupun yang sunat), maka dia tidak perlu khuatir akan perlakuan zalim (terhadapnya) dan tidak (pula) khuatir akan pengurangan haknya.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui berbagai jalur dari Rasulullah s.a.w., penghulu anak Adam dan makhluk yang paling mulia, dari Allah s.w.t. Disebutkan bahawa beliau pernah bersabda, "Aku datang ke bahagian bawah 'Arasy dan aku menyungkur bersujud kepada Allah, lalu Allah mengajariku pujian-pujian yang tidakdapat aku hitung-hitung jumlahnya sekarang, dan Allah membiarkan aku selama apa yang dikehendaki-Nya. Setelah itu Allah s.w.t. berfirman, "Hai Muhammad, angkatlah mukamu. Berkatalah, pasti di dengar. Dan mintalah syafaat, pasti diberi izin memberi syafaat.” Lalu Allah memberikan batasan sejumlah tertentu, maka aku masukkan mereka ke dalam syurga, lalu aku meminta lagi."

Nabi s.a.w. dalam hadisnya ini menyebutkan bahawa beliau melakukan hal tersebut sebanyak empat kali. Semoga salawat dan salamNya terlimpahkan kepadanya, juga kepada para nabi lainnya.

Di dalam hadis yang lain disebutkan, "Allah s.w.t. berfirman, "Keluarkanlah oleh kalian (para malaikat) dari dalam neraka orang yang di dalam kalbunya terdapat iman sebesar biji sawi!" Maka keluarlah (dari neraka) sejumlah besar manusia. Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi, "Keluarkanlah dari neraka orang yang di dalam kalbunya terdapat iman sebesar separo biji sawi, dan keluarkanlah dari neraka orang yang di dalam kalbunya terdapat iman seberat semut yang kecil, dan (juga) orang yang dalam hatinya terdapat iman yang lebih kecil daripada semut yang terkecil.""

"110. Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang belakang mereka dan mereka tidak meliputi dengannya ilmu." 

Allah mengetahui apa yang akan terjadi dan apa yang telah terjadi. Ilmu atau pengetahuan Allah meliputi semua makhluk. Sedangkan ilmu atau pengetahuan mereka tidak dapat meliputi ilmuNya.

"111. Dan tunduk wajah-wajah kepada Yang Hidup Yang Berdiri Sendiri." 

Semua wajah saat itu tertunduk berendah diri, merasa hina dan berserah diri di hadapan Allah, Tuhan Yang Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus, mengatur, dan memelihara makhlukNya, dan Dia tidak tidur. Dia adalah Zat Yang Maha Sempurna, segala sesuatu berhajat kepadaNya kerana tidak dapat bertahan kecuali dengan pertolonganNya.

"Dan sungguh rugi orang yang membawa kezaliman." 

Sesungguhnya telah merugilah orang yang melakukan kezaliman, iaitu kemusyrikan atau kekafiran. Mereka akan merugi pada hari kiamat, kerana sesungguhnya pada hari itu Allah akan menunaikan setiap hak kepada pemiliknya masing-masing, sehingga kambing yang tidak bertanduk membalas kambing yang bertanduk (yang dahulu ketika di dunia pernah menanduknya).

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Allah s.w.t. berfirman, ''Demi Keagungan dan KemuliaanKu, pada hari (kiamat) ini Aku tidak akan membiarkan (pembalasan) suatu perbuatan zalim pun dari pelakunya.”"

Di dalam hadis sahih disebutkan, "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana sesungguhnya perbuatan zalim itu merupakan kegelapan kelak di hari kiamat. Kekecewaan yang sesungguhnya ialah bagi orang yang menghadap kepada Allah, sedangkan dia dalam keadaan musyrik kepadaNya. Kerana sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman, "Sesungguhnya perbuatan syirik itu benar-benar perbuatan zalim (dosa) yang besar.”

"112. Dan barang siapa yang mengerjakan dari kebaikan dan dia beriman, maka tidak dia khuatir kezaliman" 

Barang siapa mengerjakan amal-amal yang soleh, sedang dia dalam keadaan beriman, maka dia tidak khuatir akan perlakuan yang tidak adil terhadapnya, seperti ditambah dosa atau keburukannya.

"dan tidak pengurangan hak." 

Dia juga tidak khuatir akan pengurangan haknya, seperti dikurangi pahala atau kebaikannya, bahkan dosa-dosanya akan diampuni, aibnya akan dibersihkan dan kebaikannya akan dilipatgandakan.

"113. Dan demikianlah Kami menurunkannya Al Qur’an bahasa Arab" 

Mengingat hari kembali dan hari pembalasan amal baik dan amal buruk itu pasti terjadi, maka Kami turunkan Al Qur'an sebagai pembawa berita gembira dan menyampaikan peringatan dengan bahasa Arab yang kalian fahami, yang jelas lagi fasih, lafaz dan maknanya tidak ada yang samar, tiada kekeliruan dan tiada kesulitan padanya.

"dan Kami telah jelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman" 

Kami telah menerangkan dengan berulang kali di dalamnya sebahagian dari ancaman. Terkadang dengan menyebutkan nama-namaNya yang menunjukkan keadilanNya dan berkuasa menimpakan hukuman.

Terkadang menyebutkan hukuman yang ditimpakanNya kepada umat-umat terdahulu dan memerintahkan agar mengambil pelajaran dari mereka. Terkadang dengan menyebutkan pengaruh dosa. Terkadang dengan menyebutkan peristiwa dahsyat pada hari kiamat. Terkadang dengan menyebutkan Jahanam dan berbagai siksa di dalamnya.

"agar mereka mereka bertakwa," 

Semua itu merupakan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya agar mereka bertakwa kepada Allah dan meninggalkan maksiat dan keburukan yang sesungguhnya membahayakan mereka.

"atau ia mengatakan bagi mereka peringatan." 

Atau agar Al Qur’an itu memberi pengajaran bagi mereka. Iaitu menimbulkan kesedaran, kemahuan mengerjakan ketaatan, pekerjaan-pekerjaan yang mendekatkan diri mereka kepada Allah dan kebaikan yang memang memberikan manfaat bagi mereka.

Diulang-ulangnya ancaman dan menggunakan bahasa yang mereka fahami merupakan sebab terbesar agar mereka bertakwa dan beramal soleh.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...