Khamis, 9 April 2020

22:58-62 Tafsir Surah Al Hajj, ayat 58-62.

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (٥٨) لَيُدْخِلَنَّهُمْ مُدْخَلا يَرْضَوْنَهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَلِيمٌ حَلِيمٌ (٥٩) ذَلِكَ وَمَنْ عَاقَبَ بِمِثْلِ مَا عُوقِبَ بِهِ ثُمَّ بُغِيَ عَلَيْهِ لَيَنْصُرَنَّهُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ (٦٠) ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ (٦١) ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ هُوَ الْبَاطِلُ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ (٦٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"58. Dan orang-orang yang mereka hijrah di jalan Allah," 

Orang-orang yang keluar dalam rangka berhijrah ke jalan Allah demi memperoleh ridhaNya dan mengharapkan pahala yang ada di sisiNya, sehingga mereka rela meninggalkan tanah airnya, keluarga dan teman-temannya, juga berpisah dari negerinya demi membela Allah dan RasulNya serta menolong agama Allah,

"kemudian mereka terbunuh atau mati," 

Kemudian mereka terbunuh dalam jihadnya, atau meninggal dunia tanpa berperang, maka sesungguhnya mereka telah mendapat pahala yang berlimpah dan pujian yang baik.

"pasti Allah akan beri rezeki pada mereka rezeki yang baik." 

Benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka syurga, iaitu di alam barzakh dan pada hari kiamat dengan masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan, baik bagi hati maupun badan. Dia akan mengalirkan kepada mereka sebahagian dari kurnia dan rezekiNya di dalam syurga yang membuat hati mereka senang atau suka.

Boleh juga ayat ini bermaksud bahawa orang yang berhijrah di jalan Allah telah ditanggung Allah rezekinya di dunia dengan rezeki yang banyak lagi baik, baik dia akan mati di katilnya atau terbunuh sebagai syahid, mereka semua ditanggung rezekinya.

Jangan kalian menyangka bahawa apabila dia keluar meninggalkan rumah dan hartanya, maka dia akan miskin, kerana Tuhannya adalah Pemberi rezeki yang terbaik.

Ternyata apa yang diberitakan terjadi sesuai kenyataan, kaum muhajirin yang meninggalkan rumah dan harta mereka untuk membela agama Allah tidak lama kemudian diberikan oleh Allah kemenangan di atas kemenangan dan mereka menjadi manusia yang kaya.

"Dan sesungguhnya Allah, sungguh Dia sebaik-baik pemberi rezeki." 

Sesungguhnya Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

"59. Sungguh Dia akan memasukkan mereka tempat masuk yang mereka menyukainya." 

Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Boleh juga maksudnya mereka diberikan kemenangan dan berhasil menaklukkan negeri-negeri, seperti berhasil menaklukkan Mekah, di mana mereka memasuki Mekah dalam keadaan ridha dan suka. Dengan demikian, mereka mendapatkan dua rezeki; rezeki di dunia dan di akhirat.

"Dan sesungguhnya Allah sungguh Maha Mengetahui Maha Penyantun." 

Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap semua urusan, luar dan dalam, awal dan akhir. Dia Maha Mengetahui orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalanNya serta siapa yang berhak mendapat pahala tersebut.

Dia Maha Penyantun, walaupun makhluk-makhlukNya menderhakaiNya, Dia tidak segera memberikan hukuman padahal mampu melakukannya, bahkan masih tetap mengalirkan rezeki dan kurniaNya. Dia Maha Penyantun, Maha Pemaaf lagi Maha Mengampuni dosa-dosa mereka, Allah menghapus semua dosa mereka berkat hijrah kepadaNya dan tawakal mereka kepadaNya.

Orang-orang yang gugur di jalan Allah dari kalangan kaum muhajir dan bukan muhajir, sesungguhnya dia hidup di sisi Tuhannya dalam keadaan diberi rezeki. Orang-orang yang wafat di jalan Allah dari kalangan kaum muhajir dan bukan muhajir, mereka diberi rezeki dan mendapat kebaikan yang besar dari Allah s.w.t.

"60. Demikian, dan barang siapa yang membalas serupa dengan apa yang ditimpakan kepadanya," 

Demikianlah yang Kami ceritakan kepadamu. Barang siapa membalas seimbang dengan kezaliman atau penganiayaan yang pernah dia deritai, maka sesungguhnya dia boleh membalas serupa, dan jika dia melakukan pembalasan, maka dia tidak disalahkan.

"kemudian dia dianiaya atasnya, sungguh Allah akan menolongnya." 

Bahkan jika kemudiannya dia dizalimi lagi, seperti diusir dari kampung halamannya, maka pasti Allah akan menolongnya, kerana dia dizalimi.

Ayat ini diturunkan berkenaan dengan sariyyah (pasukan khusus) yang terdiri atas kalangan sahabat. Mereka berhadapan dengan sejumlah pasukan kaum musyrik di bulan Muharram. Kemudian kaum muslim menyerukan kepada mereka untuk tidak mengadakan peperangan dalam bulan haram itu, tetapi kaum musyrik menolak dan tetap bersikeras untuk berperang, bahkan kaum musyrik bersikap melampaui batas terhadap kaum muslim. Maka kaum muslim terpaksa melayani perang mereka, dan Allah memberikan kemenangan kepada kaum muslim.

"Sesungguhnya Allah sungguh Maha Pemaaf Maha Pengampun." 

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pemaaf terhadap orang-orang yang berdosa, Dia tidak menyegerakan hukuman kepada mereka. Dia Maha Pengampun dosa mereka, menghilangkannya, dan menghilangkan pengaruhnya.

Inilah sifat dzatiyah Allah yang selalu padaNya. Dia bermu’amalah (berhubungan) dengan hamba-hambaNya dalam setiap waktu dengan memaafkan dan mengampuni. Oleh karena itu, sudah sepatutnya kamu wahai orang-orang yang terzalimi memaafkan dan mengampuni.

"61. Demikian itu kerana Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam" 

Pertolongan itu, atau hukum-hukum yang baik dan adil yang disyariatkan kepada kamu itu kerana Allah berkuasa memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam.

Memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam bermaksud mengambil dari waktu yang satu, lalu diberikan kepada yang lainnya, begitu juga sebaliknya. Terkadang malam lebih panjang daripada siang hari, seperti yang terjadi di musim dingin; terkadang siang; lebih panjang daripada malam hari, seperti yang terjadi dalam musim panas.

Hal tersebut terdapat banyak maslahat bagi hamba dan sebagai nikmat bagi mereka. Dialah Yang Maha Pencipta lagi Yang Mengatur makhluk menurut apa yang Dia kehendaki. Dialah Yang Mengatur alam wujud ini dan Yang Menguasainya lagi Yang Menentukannya, tiada yang mempertanyakan apa yang telah diputuskanNya.

"dan bahawasanya Allah Maha Mendengar Maha Melihat." 

Sungguh Allah Maha Mendengar semua ucapan hamba-hambaNya. Dia Maha Mendengar doa kaum mukmin. Dia Maha Melihat keadaan mereka. Tiada sesuatu pun dari urusan mereka yang tersembunyi bagi Allah, baik semua gerakan maupun diam mereka serta semua keadaan mereka. Dia memberikan keimanan dalam hati mereka, lalu mengabulkan doa mereka.

"62. Demikian itu kerana Allah, Dia yang hak" 

Demikianlah kebesaran Allah. Kuasa Allah yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah Tuhan Yang Hak. Dia sentiasa kekal dan tidak akan fana, Dia yang pertama di mana tidak ada sesuatu sebelumNya, dan Dia yang terakhir, di mana tidak ada sesuatu setelahNya.

Dia sempurna nama dan sifatNya, benar janjiNya, janjiNya hak, pertemuan denganNya adalah hak, agamaNya adalah hak, beribadah hanya kepadaNya adalah hak, Dia Yang Memberikan Manfaat dan Yang Kekal selalu.

Dia Tuhan Yang Mahahak, tiada sesuatu pun yang berhak untuk disembah selain Dia semata yang mempunyai kekuasaan Yang Mahabesar. Segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti ada, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan ada. Segala sesuatu bergantung dan berhajat kepadaNya, lagi hina di hadapanNya.

"dan sesungguhnya apa yang mereka seru dari selainNya, adalah kebatilan" 

Sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain dari Allah, itulah yang batil, iaitu semua berhala, tandingan-tandingan, dan sekutu-sekutu serta semua yang disembah selain Allah s.w.t. itu adalah batil kerana tidak memiliki mudarat, tidak pula manfaat. Dirinya batil dan menyembahnya pun batil.

"dan bahawasanya Allah, Dia Mahatinggi Mahabesar." 

Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Mahatinggi lagi Mahabesar. Dia Mahatinggi, tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadaNya. Segala sesuatu berada di bawah kekuasaan dan pengaruhNya serta kebesaranNya. Tiada Tuhan selain Dia, dan tiada Rabb selain Dia. Dialah Yang Mahabesar, tiada sesuatu pun yang lebih besar daripadaNya.

ZatNya tinggi di atas semua makhlukNya, kedudukanNya tinggi, sifatNya sempurna, dan mengalahkan semua makhlukNya. Dia Mahabesar zatNya, namaNya, sifatNya, di mana kerana kebesaran dan keagunganNya bumi dalam genggamanNya pada hari kiamat, langit dilipat dengan Tangan KananNya.

Kerana kebesaranNya, kursiNya sampai meliputi langit dan bumi. Kerana kebesaranNya, semua makhluk di bawah kekuasaanNya. Hakikat kebesaran yang tidak diketahui kecuali olehNya adalah bahawa ia merupakan semua sifat sempurna, agung dan besar. Sifat yang dimilikiNya adalah sifat yang paling besar dan sempurna.

Kerana kebesaranNya, semua ibadah yang keluar dari penghuni langit maupun bumi tujuanNya adalah untuk membesarkan dan mengagungkanNya. Oleh kerana itulah, takbir menjadi syiar terhadap ibadah-ibadah yang besar seperti solat dan lainnya.

Dia Mahaagung tiada yang lebih agung daripadaNya. Mahatinggi lagi Mahasuci Allah dari semua yang dikatakan oleh orang-orang yang zalim (musyrik) lagi melampaui batas dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...