Ahad, 26 April 2020

2:97-98 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 97-98.

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ (٩٧) مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِلَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ (٩٨) 

Orang-orang Yahudi menghadap kepada Rasulullah s.a.w., lalu mereka berkata, "Wahai Abul Qasim, ceritakanlah kepada kami tentang lima perkara; kerana sesungguhnya jika engkau menceritakannya kepada kami, maka kami mengetahui bahawa engkau adalah seorang nabi dan kami akan mengikutimu."

Maka Nabi s.a.w. mengambil janji terhadap mereka sebagaimana apa yang pernah diambil oleh Israil (Ya'qub) terhadap anak-anaknya, iaitu ketika dia mengatakan, "Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)." Rasul s.a.w. bersabda, "Kemukakanlah oleh kalian."

Mereka bertanya, "Ceritakanlah kepada kami tentang pertanda nabi." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kedua matanya tertidur, tetapi hatinya tidak tidur." Mereka bertanya, "Ceritakanlah kepada kami, bagaimanakah anak itu lahir perempuan dan bagaimanakah pula lahir lelaki?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kedua air mani bertemu; apabila air mani lelaki mengalahkan air mani wanita, maka anaknya akan lahir lelaki. Dan apabila air mani perempuan mengalahkan air mani lelaki, maka anaknya akan perempuan." Mereka bertanya, "Ceritakanlah kepada kami apa yang diharamkan oleh Israil (Nabi Ya'qub) terhadap dirinya sendiri?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Pada mulanya dia menderita suatu penyakit yang parah ('irqun nisa), maka dia tidak menemukan sesuatu yang lebih layak baginya (sebagai nazarnya jika dia sembuh) kecuali air susu ternak ini (Imam Ahmad mengatakan bahawa sebahagian dari mereka mengatakan, yang dimaksud adalah ternak unta), maka dia mengharamkan dagingnya (untuk dirinya sendiri)."

Mereka berkata, "Engkau benar." Mereka bertanya, "Ceritakanlah kepada kami apakah guruh itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Salah satu malaikat Allah s.w.t. yang ditugaskan untuk mengatur awan dengan kedua tangannya, atau di tangannya dia memegang sebuah cemeti api yang dia gunakan untuk menggiring awan menurut apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t."

Mereka bertanya, "Lalu apakah suara yang biasa kita dengar dari guruh itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Suara malaikat itu." Mereka menjawab, "Engkau benar."

Mereka berkata, "Sesungguhnya kini tinggal satu pertanyaan lagi yang menentukan apakah kami akan mengikutimu jika kamu dapat menceritakannya. Sesungguhnya tiada seorang nabi pun melainkan berteman dengan malaikat yang selalu datang kepadanya membawa kebaikan (wahyu). Maka ceritakanlah kepada kami, siapa teman malaikatmu itu?"

Rasul s.a.w. menjawab, "Jibril a.s." Mereka berkata, "Jibril, dia adalah malaikat yang selalu turun dengan membawa peperangan, pembunuhan, dan azab; dia adalah musuh kami. Seandainya engkau katakan Mikail yang biasa menurunkan rahmat, hujan, dan tetumbuhan, nescaya kami akan mengikutimu."

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Katakanlah, "Barang siapa yang menjadi musuh bagi Jibril, maka sungguh dia telah menurunkannya atas hatimu dengan izin Allah ..., hingga akhir ayat," (Al Baqarah 2:97).

Ayat ini diturunkan sebagai bantahan terhadap orang-orang Yahudi dari kalangan Bani Israil. Kerana mereka mengatakan bahawa Malaikat Jibril adalah musuh mereka, sedangkan Malaikat Mikail adalah teman atau kekasih mereka.

"97. Katakanlah, "Barang siapa yang menjadi musuh bagi Jibril, maka sungguh dia telah menurunkannya atas hatimu dengan izin Allah, membenarkan bagi apa yang terdahulu,""

Barang siapa yang memusuhi Malaikat Jibril, maka ketahuilah bahawa dia adalah Ruh (malaikat) Al Amin (yang dipercaya oleh Allah s.w.t.). Dialah yang membawa turun Al Qur'an yang bijaksana ke dalam hatimu dari Allah dengan izinNya, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya, dan menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang yang beriman.

"dan petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang yang beriman."

Al Qur’an adalah petunjuk bagi hati orang-orang beriman dan berita gembira bagi mereka bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Al Qur'an itu tiada lain hanyalah bagi orang-orang beriman.

Orang-orang Yahudi mencari-cari alasan, mereka tidak mahu beriman kerana wali Nabi Muhammad s.a.w. adalah malaikat Jibril, jika sekiranya selain malaikat Jibril, tentu mereka akan beriman.

Alasan seperti ini tidak boleh diterima, kerana malaikat Jibril yang menurunkan Al Qur'an dari sisi Allah ke dalam hati Nabi Muhammad s.a.w., dia juga yang menurunkan kitab-kitab kepada para nabi sebelumnya. Allah yang memerintahkan dan mengirimnya dengan membawa kitab itu, tugasnya adalah sebagai utusan semata.

Di samping itu, kitab yang dibawanya membenarkan kitab-kitab sebelumnya, tidak menyalahi atau bertentangan, di dalamnya terdapat petunjuk yang sempurna dari semua bentuk kesesatan, terdapat khabar gembira mendapat kebaikan di dunia dan akhirat bagi yang beriman.

Memusuhi Jibril yang disebutkan sifatnya itu merupakan kekafiran kepada Allah dan ayat-ayatNya, demikian juga sama saja memusuhi Allah, rasul-rasulNya dan malaikat-malaikatNya. Dia sama saja mengingkari dan memusuhi yang menurunkan dan mengutusnya, mengingkari kitab yang dibawanya dan memusuhi orang yang mendapatkan kitab itu.

Sesungguhnya tidak sekali-kali Malaikat Jibril turun dengan membawa perintah dari dirinya sendiri, melainkan dia turun dengan membawa perintah Tuhannya. Kerana itu, Allah murka terhadap setiap orang yang memusuhi Malaikat Jibril.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang memusuhi kekasihku, bererti dia menantang(mencabar)ku terang-terangan untuk berperang."

"98. Barang siapa yang menjadi musuh bagi Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan rasul-rasulNya," 

Iaitu orang-orang yang memusuhi Allah, para malaikatNya, para rasulNya baik dari kalangan malaikat ataupun manusia.

"dan Jibril, dan Mikail,"

Iaitu orang-orang yang memusuhi Jibril, dan Mikail. Sesungguhnya keduanya adalah malaikat yang termasuk ke dalam pengertian umum semua rasul (utusan). Jibril merupakan duta di antara Allah dan nabi-nabiNya.

Orang-orang Yahudi menganggap Jibril sebagai musuh mereka, sedangkan Mikail sebagai wali atau kekasih mereka, maka pada ayat ini Allah memberitahukan bahawa barang siapa yang memusuhi salah satunya, sama saja memusuhi yang lain, juga menjadi musuh Allah.

Sesungguhnya Malaikat Mikail pun adakalanya turun kepada nabi-nabi Allah di suatu waktu, sebagaimana dia pun pernah menemani Rasulullah s.a.w. pada permulaannya, tetapi Jibril lebih banyak menemaninya kerana hal ini merupakan tugasnya.

Tugas utama Malaikat Mikail ialah mengatur tetumbuhan dan hujan, Malaikat Jibril menurunkan wahyu, sedangkan malaikat Mikail menurunkan rezeki, sebagaimana Israfil ditugaskan untuk meniup sangkakala pada hari berbangkit kelak di hari kiamat.

"maka sesungguhnya Allah musuh bagi orang-orang yang kafir."

Barang siapa yang memusuhi kekasih Allah, bererti dia memusuhi Allah. Barang siapa yang memusuhi Allah, bererti Allah adalah musuhnya; dan barang siapa yang menjadi musuh Allah, bererti merugilah dia di dunia dan akhiratnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...