Rabu, 22 April 2020

38:45-54 Tafsir Surah Sad, ayat 45-54.

وَاذْكُرْ عِبَادَنَا إبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ أُولِي الأيْدِي وَالأبْصَارِ (٤٥) إِنَّا أَخْلَصْنَاهُمْ بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ (٤٦) وَإِنَّهُمْ عِنْدَنَا لَمِنَ الْمُصْطَفَيْنَ الأخْيَارِ (٤٧) وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ وَكُلٌّ مِنَ الأخْيَارِ (٤٨) هَذَا ذِكْرٌ وَإِنَّ لِلْمُتَّقِينَ لَحُسْنَ مَآبٍ (٤٩) جَنَّاتِ عَدْنٍ مُفَتَّحَةً لَهُمُ الأبْوَابُ (٥٠) مُتَّكِئِينَ فِيهَا يَدْعُونَ فِيهَا بِفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ وَشَرَابٍ (٥١) وَعِنْدَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ (٥٢) هَذَا مَا تُوعَدُونَ لِيَوْمِ الْحِسَابِ (٥٣) إِنَّ هَذَا لَرِزْقُنَا مَا لَهُ مِنْ نَفَادٍ (٥٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang keutamaan-keutamaan hamba-hambaNya yang menjadi rasul dan para nabi yang ahli ibadah,

"45. Dan ingatlah hamba-hamba Kami; Ibrahim, dan Ishaq, dan Ya'kub mempunyai kekuatan yang besar dan ilmu." 

Ingatlah hamba-hamba Kami yang ikhlas dalam beribadah; Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub yang mempunyai kekuatan-kekuatan yang besar dalam menjalankan ibadah dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah menyifati para nabi tersebut dengan memiliki ilmu yang bermanfaat dan amal soleh yang banyak (kuat beribadah), juga mempunyai pandangan yang tajam.

"46. Sungguh, Kami telah menyucikan mereka dengan suci mengingat kampung." 

Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan menganugerahkan kepada mereka akhlak yang tinggi, iaitu selalu mengingatkan manusia kepada negeri akhirat. Juga mengajak manusia beramal untuknya.

Kami jadikan mengingat akhirat berada dalam hati mereka, beramal untuknya adalah waktu pilihan mereka, ikhlas dan merasa diawasi Allah menjadi sifat mereka selalu, dan Kami jadikan mereka sebagai pengingat akhirat. Orang yang mengingat mengambil pelajaran dari keadaan mereka, orang yang mengambil pelajaran menjadikan mereka sebagai pelajaran dan mengingatnya dengan sebaik-baiknya.

"47. Dan sungguh mereka di sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan terbaik." 

Sesungguhnya mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik, iaitu benar-benar termasuk orang-orang yang terpilih lagi terdekat. Maka mereka adalah orang-orang pilihan yang terpilih, kerana mereka memiliki akhlak yang mulia dan amal yang istiqamah.

"48. Dan ingatlah Ismail, dan Ilyasa, dan Zulkifli. Dan semuanya termasuk orang yang lebih baik." 

Ingatlah Ismail, Ilyasa' dan Zulkifli. Iaitu ingatlah para nabi ini dengan sebaik-baiknya dan pujilah mereka dengan pujian yang baik. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik. Mereka adalah orang-orang yang dipilih Allah, dan Allah telah memilihkan untuk mereka keadaan yang paling baik, iaitu amal yang soleh, akhlak yang mulia, sifat yang terpuji dan perilaku yang lurus.

Jika melihat zahir ayat ini, Zulkifli digandingkan dengan para nabi, menunjukkan bahawa Beliau adalah seorang nabi. Namun yang lain berpendapat, bahawa Beliau adalah seorang yang soleh, raja dan hakim yang adil. Ada yang mengatakan bahawa Beliau bukan seorang nabi, tetapi seorang yang soleh.

"49. Ini peringatan" 

Ini adalah kehormatan bagi mereka. Ertinya, bahagian ini merupakan peringatan bagi orang yang mahu mengambil pelajaran darinya. Ada yang mengatakan bahawa ini bermaksud Al Qur'an.

Boleh juga diertikan, bahawa ini adalah pengingat, iaitu agar orang-orang yang sedar mengingat keadaan mereka dan rindu untuk mengikuti mereka kerana sifat-sifatnya yang terpuji, juga agar mereka mengetahui nikmat Allah kepada mereka berupa sifat-sifat yang bersih untuk mereka, dan diumumkan pujian dariNya untuk mereka di tengah-tengah manusia.

Ini termasuk hal yang sangat penting, iaitu mengingat orang-orang yang baik, yang mulia dan utama agar dapat mencontohi mereka. Termasuk hal yang perlu diingat juga adalah balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang berbuat baik dan orang-orang yang berbuat buruk.

"dan sungguh bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar sebaik-baik tempat kembali." 

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu yang mengerjakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya baik mukmin lelaki maupun mukmin perempuan, di akhirat benar-benar disediakan tempat kembali yang terbaik.

"50. Syurga 'Adn" 

Iaitu syurga "Adn, syurga sebagai tempat kediaman atau menetap. Penghuninya tidak menginginkan lagi gantinya kerana sudah sempurna kenikmatannya. Mereka tidak akan keluar dan tidak akan dikeluarkan darinya.

"terbuka bagi mereka pintu-pintu." 

Pintu-pintunya terbuka bagi mereka. Manakala mereka hendak memasuki syurga, maka semua pintunya dibukakan bagi mereka sehingga mereka dapat memilih dari pintu mana saja mereka memasukinya diperbolehkan. Mereka tidak perlu membukanya, bahkan mereka akan dilayani. Ini menunjukkan bahawa mereka mendapat keamanan yang sempurna.

"51. Mereka bersandar di dalamnya;" 

Di dalamnya mereka bertelekan atau bersandar di atas dipan-dipan yang dihias dan di atas tempat-tempat yang indah. Menurut suatu pendapat, mereka duduk bersila di atas pelaminan yang berkain kelambu.

"mereka meminta di dalamnya buah-buahan yang banyak dan minuman."

Sambil mereka meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu. Mereka menyuruh para pelayan untuk membawakan buah-buahan dan minuman yang mereka inginkan. Buah apa pun yang mereka minta, maka mereka akan memperolehnya dalam keadaan masih segar sesuai dengan permintaan mereka.

Berbagai macam minuman yang mereka ingini langsung di datangkan oleh pelayan-pelayan syurga. Hal ini menunjukkan bahawa mereka memperoleh kenikmatan, istirahat, ketenteraman serta kelazatan secara sempurna.

"52. Dan di sisi mereka tidak liar pandangan sebaya." 

Di samping mereka ada bidadari-bidadari yang redup atau tidak liar pandangannya. Mereka hanya mahu memandang kepada suami-suami mereka saja, dan tidak mahu menolehkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan suami mereka kerana sudah menarik bagi mereka suami mereka, dan masing-masing mereka saling mencintai.

Mereka itu sebaya umurnya, iaitu sama usia dan umurnya, di usia muda yang sedang senang-senangnya.

"53. Inilah apa yang kalian dijanjikan pada hari perhitungan." 

Apa yang telah disebutkan di atas mengenai gambaran tentang syurga, itulah yang dijanjikan oleh Allah untuk hamba-hambaNya yang bertakwa sebagai balasan terhadap amalmu yang saleh. Mereka akan dimasukkan ke dalamnya setelah dibangkitkan dari kubur mereka dan setelah mereka diselamatkan dari neraka.

"54. Sesungguhnya ini rezeki dari Kami tidaklah baginya habis." 

Sesungguhnya ini adalah benar-benar rezeki dari Kami yang Kami berikan kepada penghuni syurga yang tiada habis-habisnya, iaitu tetap terus di setiap waktu, bahkan terus bertambah. Syurga itu tiada habis-habisnya, dan tiada kefanaan kepadanya, serta tidak akan hilang.

Hal ini tidaklah berat bagi Allah Yang Maha Mulia, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Yang Mahaluas pemberianNya lagi Maha Pemurah yang mempunyai kurnia yang besar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...