Selasa, 28 April 2020

6:109-110 Tafsir Surah Al An’am, ayat 109-110.

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ لَئِنْ جَاءَتْهُمْ آيَةٌ لَيُؤْمِنُنَّ بِهَا قُلْ إِنَّمَا الآيَاتُ عِنْدَ اللَّهِ وَمَا يُشْعِرُكُمْ أَنَّهَا إِذَا جَاءَتْ لا يُؤْمِنُونَ    (١٠٩) وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ (١١٠) 

Orang-orang Quraisy pernah berbicara kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mengatakan, "Hai Muhammad, engkau telah ceritakan kepada kami bahawa Musa mempunyai tongkat yang dapat dia pukulkan ke batu, lalu memancarlah dari batu itu mata air sebanyak dua belas mata air. Dan engkau telah ceritakan kepada kami bahawa Isa dapat menghidupkan orang-orang mati. Dan engkau telah bercerita kepada kami bahawa Samud mempunyai unta (maksudnya unta Nabi Saleh), maka datangkanlah kepada kami sebahagian dari mukjizat-mukjizat itu olehmu agar kami dapat percaya kepadamu."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hal apakah yang kalian inginkan agar aku datangkan kepada kalian?" Mereka menjawab, "Engkau jadikan buat kami Bukit Safa ini menjadi emas."

Nabi s.a.w. bersabda, "Jika aku dapat melakukannya, apakah kalian mahu percaya (beriman) kepadaku?" Mereka menjawab, "Ya, demi Allah, jika engkau benar-benar dapat melakukannya, kami semua sungguh akan beriman kepadamu." Maka Rasulullah s.a.w. berdiri, lalu berdoa.

Dan Malaikat Jibril a.s. datang kepadanya, lalu berkata, "Pilihlah sesukamu, jika kamu menginginkan Bukit Safa menjadi emas, maka pada pagi harinya Bukit Safa akan menjadi emas. Tetapi bila suatu mukjizat diturunkan, lalu mereka tidak mempercayainya, maka sungguh Allah akan mengazab mereka. Jika kamu menginginkan membiarkan mereka, maka biarkanlah permintaan mereka (jangan kamu kabulkan) untuk memberikan kesempatan kepada orang-orang dari kalangan mereka yang mahu bertaubat."

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidak, saya menginginkan agar orang-orang yang sedar dari kalangan mereka mahu bertaubat." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"109. Dan mereka bersumpah dengan Allah kesungguhan sumpah mereka, sungguh jika datang kepada mereka ayat, tentu mereka akan beriman kepadanya." 

Kaum musyrik Mekah bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan, iaitu dengan sumpah yang kuat, bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat yang menunjukkan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w., pastilah mereka beriman atau percaya kepadanya. Ayatun dalam ayat ini bermaksud mukjizat dan hal yang bertentangan dengan hukum alam.

Kata-kata ini sebenarnya sebagai penolakan mereka terhadap apa yang dibawa Rasulullah s.a.w., kerana sesungguhnya Allah telah menguatkan Beliau dengan ayat-ayat yang jelas dan dalil-dalil yang terang, yang jika seseorang menoleh kepadanya tentu akan diketahui benarnya apa yang Beliau bawa.

Oleh kerana itu, permintaan mereka untuk didatangkan mukjizat termasuk sikap ta’annut (menyusahkan diri) yang tidak mesti dikabulkan, bahkan tidak dipenuhi permintaan mereka sebenarnya lebih baik bagi mereka, kerana Sunnatullah berjalan kepada mereka yang mengusulkan didatangkan mukjizat, bahawa jika mereka tidak beriman kepadanya, maka mereka akan dibinasakan.

"Katakanlah, "Sungguh hanyalah ayat-ayat di sisi Allah.""

Katakanlah, hai Muhammad, kepada mereka yang meminta kepadamu agar diturunkan mukjizat-mukjizat kepadamu dengan permintaan yang bernadakan kekufuran, keingkaran, dan mencabar, bukan meminta kerana ingin mendapat hidayah dan petunjuk, bahawa sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanyalah berada di sisi Allah dan bergantung kepadaNya.

Dia menurunkannya sebagaimana yang Dia kehendaki. Jika Dia menghendakinya, nescaya Dia akan memperlihatkannya kepada kalian; dan jika Dia menghendaki selainnya, Dia tidak akan menurunkannya dan membiarkan kalian.

Sedangkan aku hanyalah memberi peringatan. Oleh kerana itu, permintaan kalian kepadaku agar didatangkan mukjizat merupakan sebuah kezaliman, meminta kepadaku sesuatu yang aku tidak memilikinya.

"Dan apakah yang memberitahu kalian, bahawasanya mukjizat itu apabila datang, mereka tidak beriman." 

Apakah yang memberitahukan kepada kalian bahawa apabila mukjizat datang, mereka tidak akan beriman? Ada yang menafsirkan, tahukah kalian bahawa apabila mukjizat datang, mereka tidak juga akan beriman?

"110. Dan Kami memalingkan hati mereka dan penglihatan mereka sebagaimana tidak mereka beriman kepadanya pertama kali" 

Kami memalingkan hati mereka sehingga mereka tidak dapat memahami Al Qur’an, dan penglihatan mereka sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran itu dan tidak juga beriman, seperti mereka belum pernah beriman kepada Al Qur'an pada permulaannya.

Iaitu Kami halang-halangi antara mereka dan iman. Seandainya datang kepada mereka semua bukti (mukjizat), nescaya mereka tidak akan beriman, sebagaimana Kami halang-halangi mereka antara diri mereka dan iman seperti pada permulaannya.

"dan Kami biarkan mereka dalam kesesatan mereka, mereka kebingungan." 

Kami tinggalkan mereka bergelimang, bingung atau bermain-main dalam kesesatan atau kekufurannya yang sangat. Hal ini termasuk keadilan Allah dan kebijaksanaanNya terhadap hamba-hambaNya, kerana mereka menganiaya diri mereka sendiri.

Saat dibukakan pintu bagi mereka, namun mereka tidak mahu masuk, saat diterangkan jalan kepada mereka, namun mereka tidak mahu menempuhnya. Oleh kerana itu, ketika mereka dihalangi mendapat taufiq merupakan hal yang sesuai bagi mereka.

Akhir juz 7.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...