Jumaat, 29 Mei 2020

2:249-252 Tafsir Surah Al Baqarah, Ayat 249-252.

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلا قَلِيلا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ (٢٤٩) وَلَمَّا بَرَزُوا لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالُوا رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (٢٥٠) فَهَزَمُوهُمْ بِإِذْنِ اللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُدُ جَالُوتَ وَآتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمَّا يَشَاءُ وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ (٢٥١) تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ وَإِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (٢٥٢) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal Thalut, Raja kaum Bani Israil ketika keluar bersama bala tenteranya dan orang-orang yang taat kepadanya dari kalangan kaum Bani Israil. 

"249. Maka tatkala keluar Thalut dengan tenteranya," 

Ketika Thalut keluar dari Baitul Maqdis membawa bala tenteranya dengan jumlah pasukan yang sangat besar. Jumlah mereka adalah lapan puluh ribu orang. Ketika itu cuaca sangat panas, mereka memerlukan air.

"dia berkata, "Sesungguhnya Allah menguji kalian dengan sungai.""

Thalut berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Allah akan menguji kalian dengan suatu sungai." Iaitu Allah akan menguji kesetiaan dan ketaatan kalian dengan sebuah sungai. Sungai tersebut berada antara Jordan dan Palestin, iaitu sungai Syari'ah.

"Maka barang siapa yang minum darinya, maka bukanlah termasuk golonganku." 

Barang siapa di antara kalian meminum airnya, maka dia bukanlah pengikutku. Iaitu janganlah dia menemaniku sejak hari ini menuju ke arah ini. Kerana dia telah melanggar dan menunjukkan lemahnya kesabaran, keteguhan dan mudah melanggar.

"Dan barang siapa yang tidak mencicipi airnya, maka dia termasuk golonganku, kecuali orang yang menciduk seciduk dengan tangannya." 

Barang siapa yang tidak meminumnya, kecuali mencedok secedok tangan, maka dia adalah pengikutku. Iaitu tidak mengapa baginya.

"Lalu mereka minum darinya kecuali sedikit dari mereka." 

Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka, tiga ratus lebih belasan orang. Ada yang mengatakan bahawa yang meminum air sungai itu adalah tujuh puluh enam ribu orang, sehingga yang tersisa hanyalah empat ribu orang.

Orang-orang yang mencedok air dari sungai itu dengan secedok tangannya, maka dia measa kenyang; dan barang siapa yang meminumnya, maka dia tidak kenyang dan tetap dahaga. Tiada yang menyeberangi sungai itu bersama Thalut melainkan hanya orang yang mukmin.

"Maka tatkala dia menyeberanginya, dia dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berkata, "Tidak ada kekuatan bagi kami pada hari ini dengan Jalut dan tenteranya.""

Ketika Thalut dan orang-orang yang beriman bersamanya telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata, "Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan bala tenteranya." Mereka mengundurkan dirinya, tidak mahu menghadapi musuh kerana jumlah musuh itu jauh lebih banyak. 

"Berkata orang-orang yang mereka yakin bahawa mereka bertemu Allah, "Betapa banyak dari golongan yang sedikit mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.""

Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, "Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah." 

Para ulama dan orang-orang yang ahli perang membangkitkan semangat mereka, bahawa janji Allah itu benar, dan sesungguhnya kemenangan itu dari sisi Allah, bukan kerana banyaknya bilangan, bukan pula kerana perlengkapan senjata. 

Orang yang mulia adalah orang yang dimuliakan Allah dan orang yang hina adalah orang yang dihinakan Allah. Banyaknya pasukan tidaklah berguna jika tidak mendapat pertolongan Allah, dan pasukan kecil walaupun sedikit dapat menang jika mendapat pertolonganNya.

"Dan Allah bersama orang-orang yang sabar." 

Allah bersama orang-orang yang sabar dengan memberikan taufiq, pertolongan dan memberikan balasan terbaik. Berdasarkan ayat ini, cara mendatangkan pertolongan Allah adalah dengan kesabaran.

"250. Dan tatkala mereka telah nampak kepada Jalut dan tenteranya, mereka berkata, "Ya Tuhan kami, tuangkanlah atas kami kesabaran,""

Ketika tentera yang beriman yang berjumlah sedikit di bawah pimpinan Thalut berhadap-hadapan dengan bala tentera Jalut yang berjumlah sangat besar itu, maka bala tentera Thalut berdoa, "Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran dari sisiMu kepada kami." 

"dan kukuhkanlah pendirian kami" 

Kukuhkanlah langkah kami dalam menghadapi musuh-musuh kami itu, dan jauhkanlah kami dari sifat pengecut dan lemah, agar kami tidak lari kerana kedahsyatan perang.

"dan tolonglah kami atas kaum orang-orang kafir."

Tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir. Hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak bersandar kepada diri mereka sendiri.

"251. Maka mereka mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah," 

Maka tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah. Iaitu mereka dapat mengalahkan dan menaklukkan musuhnya berkat pertolongan Allah yang diturunkan kepada mereka.

"dan membunuh Daud Jalut," 

Dalam peperangan itu, Daud a.s. yang termasuk tentera Thalut telah membunuh Jalut. 

Disebutkan di dalam kisah israiliyat bahawa Daud a.s. membunuh Jalut dengan katapel yang ada di tangannya; Beliau membidiknya dengan katapel itu dan mengenainya hingga Jalut terbunuh. Sebelum itu Thalut menjanjikan kepada Daud a.s., bahawa jika Daud a.s. dapat membunuh Jalut, maka dia akan menikahkan Daud a.s. dengan anak perempuannya dan membahagi-bahagi kesenangan bersamanya serta berserikat dengannya dalam semua urusan. Maka Thalut menunaikan janjinya itu kepada Daud a.s.. Setelah itu pemerintahan pindah ke tangan Daud a.s. di samping kenabian yang dianugerahkan Allah kepadanya. 

"dan Allah memberikan kepadanya kerajaan dan hikmah" 

Kemudian Allah memberikan kepada Daud a.s. pemerintahan, kenabian dan kitab Zabur. Daud a.s. menjadi raja Bani Israil setelah wafat Samuel a.s. dan Thalut.

"dan mengajarkannya dari apa yang Dia kehendaki." 

Allah mengajarkan kepada Daud a.s. apa yang dikehendakiNya berupa ilmu yang khusus diberikan kepadanya seperti membuat baju besi dan bahasa burung.

"Dan seandainya Allah tidak melindungi manusia sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi." 

Seandainya Allah tidak menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Iaitu seandainya Allah tidak membela suatu kaum dari keganasan kaum yang lain, seperti pembelaanNya kepada kaum Bani Israil melalui perang mereka bersama Thalut dan didukung oleh Daud a.s., nescaya kaum Bani Israil akan binasa.

Jika Allah tidak melindungi sebahagian manusia dengan sebahagian dengan sebahagian yang lain dengan orang-orang yang taat dan beriman, nescaya rosaklah bumi ini kerana berpengaruhnya kekafiran, sikap sewenang-wenang dan banyaknya pelaku maksiat.

Inilah di antara pengaruh jihad, manusia mendapat ketenteraman dan dapat beribadah kepada Allah dengan tenang.

"Akan tetapi Allah mempunyai kurnia atas seluruh alam."

Tetapi Allah mempunyai kurnia yang dicurahkan atas semesta alam. Dialah yang memberikan kurnia dan rahmat kepada mereka; dengan sebahagian di antara mereka, maka tertolaklah keganasan sebahagian yang lain. BagiNyalah keputusan, hikmah, dan hujah atas makhlukNya dalam semua perbuatan dan ucapanNya. 

"252. Itulah ayat-ayat Allah, Kami membacakannya atasmu dengan hak"

Itu adalah ayat-ayat Allah yang Kami ceritakan kepadamu ini (yang menceritakan perihal orang-orang yang telah Kami sebutkan di dalamnya) merupakan perkara yang hak (benar), iaitu kejadian yang sesungguhnya dan sesuai dengan apa yang ada di dalam isi kitab kaum Bani Israil dan telah diketahui oleh semua ulama mereka.

"dan sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diutus." 

Sesungguhnya kamu (Nabi Muhammad s.a.w.) benar-benar salah seorang di antara rasul-rasul yang diutus. Ungkapan ayat ini mengandung makna taukid (pengukuhan) dan mengandung qasam (sumpah).

Diperkuat kata-kata di atas dengan kata "sesungguhnya" dan "benar-benar" untuk membantah orang-orang kafir yang mengatakan bahawa Muhammad s.a.w. bukanlah rasul. Hal ini juga persaksian Allah terhadap kerasulan Muhammad s.a.w.

Akhir juz ke 2.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...