Jumaat, 29 Mei 2020

106:1-4 Tafsir Surah Quraisy, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

لإيلافِ قُرَيْشٍ (١) إِيلافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (٢) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (٣) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (٤)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy." 

Para mufassir banyak yang menyebutkan, bahawa jaar-majrur (huruf yang mengkasrahkan dan kata yang dikasrahkan) itu terkait dengan surah sebelumnya, iaitu Kami bertindak terhadap pasukan bergajah itu adalah untuk suku Quraisy dan untuk keamanan mereka, stabilnya kemaslahatan mereka, terjaganya perjalanan mereka di musim dingin dan musim panas untuk berdagang dan berusaha.

Allah s.w.t. telah membinasakan orang-orang yang bermaksud buruk kepada mereka, membesarkan perkara tanah haram dan penduduknya di hati orang-orang Arab sehingga mereka dihormati dan tidak ada yang melakukan tindakan buruk kepada mereka ketika mereka bersafar ke mana saja yang mereka mahu, mereka mendapat jaminan keamanan dari penguasa-penguasa negeri-negeri yang dilaluinya.

Ini adalah suatu nikmat yang besar dari Tuhan mereka. Oleh kerana itu sudah sewajarnya mereka bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan nikmat itu kepada mereka dengan beribadah kepadaNya dan mengikhlaskan ibadah keranaNya.

"2. Kebiasaan mereka bepergian musim dingin dan musim panas." 

Iaitu kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas. Orang Quraisy biasa mengadakan perjalanan terutama untuk berdagang ke negeri Syam pada musim panas dan ke negeri Yaman pada musim dingin.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman memberi mereka petunjuk untuk bersyukur atas semua hikmat yang besar ini, 

"3. Maka hendaklah mereka sembah Tuhan ini rumah." 

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini, iaitu Ka'bah. Iaitu hendaklah mereka mengesakanNya dalam menyembahNya, sebagaimana Dia telah menjadikan bagi mereka kota yang suci lagi aman dan Ka'bah yang disucikan. Dikhususkan kepada Ka’bah walaupun Dia Rabbul ‘aalamiin kerana keutamaan dan kelebihan Ka'bah.

"4. Yang Dia memberi makan makan dari kelaparan dan Dia amankan mereka dari ketakutan." 

Dia telah melapangkan rezeki untuk mereka agar mereka tidak lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. Allah telah memberikan kurnia keamanan dan banyak kemurahan kepada mereka. Keduanya merupakan nikmat dunia yang besar, maka segala puji bagi Allah atas nikmat-nikmat yang banyak itu, baik yang tampak maupun yang tersembunyi.

Maka hendaklah mereka menyembahNya dengan mengesakanNya semata, tiada sekutu bagiNya. Dan janganlah mereka menyembahNya dengan yang lainNya, baik berhala maupun patung atau lain-lainnya yang mereka persekutukan denganNya. 

Barang siapa yang memenuhi perintah ini, maka Allah menghimpunkan baginya keamanan di dunia dan keamanan di akhirat nanti; dan barang siapa yang derhaka kepadaNya, maka Allah s.w.t. mencabut keduanya darinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kecelakaan yang besarlah bagi kalian, hai Quraisy, kerana adanya surah Quraisy ini."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, (iaitu) kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas. Celakalah kalian, hai golongan orang-orang Quraisy, sembahlah oleh kalian Tuhan Pemilik rumah ini (Ka'bah) yang telah memberi kalian makan dari kelaparan dan memberi kalian keamanan dari rasa takut."

Selesai tafsir surah Quraisy dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...