Selasa, 2 Jun 2020

111:1-5 Tafsir Surah Al Lahab, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (٢)سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ (٣) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (٤) فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (٥) 

Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Ibnu Abbas r.a. dia berkata, "Ketika turun ayat, “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,” (Asy Syu’araa 26:214) Maka Nabi s.a.w. naik ke atas Shafa dan menyeru, “Wahai Bani Fihr, wahai Bani ‘Addiy.” Beliau menyebut beberapa suku orang Quraisy, sehingga mereka semua berkumpul, dan orang yang tidak dapat keluar mengirim utusan untuk melihat ada apa, lalu Abu Lahab dan orang-orang Quraisy datang, maka Beliau bersabda, “Bagaimana menurutmu jika aku beritahukan kepadamu, bahawa ada sebuah pasukan berkuda di sebuah lembah yang hendak menyerangmu, apakah kamu akan membenarkanku?” Mereka menjawab, “Ya, kami belum pernah mendapatkanmu selain berkata benar.” Beliau pun bersabda, “Sesungguhnya aku seorang yang memberi peringatan kepadamu sebelum datang azab yang keras.” Lalu Abu Lahab berkata, “Celakalah kamu sepanjang hari! Apakah untuk hal ini engkau kumpulkan kami?” Maka turunlah surah, “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah dia. Tidaklah berguna darinya hartanya dan apa yang dia usahakan…dan seterusnya.”

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab" 

Binasalah kedua tangan Abu Lahab. Iaitu merugi, kecewa, dan sesatlah (sia-sialah) amal perbuatan dan usahanya. Kedua tangan Abu Lahab bermaksud Abu Lahab itu sendiri. Digunakan kata “kedua tangan” kerana pada umumnya tindakan manusia dilakukan oleh kedua tangannya. 

"dan binasalah dia!"

Dia benar-benar akan binasa. Iaitu sesungguhnya dia celaka, dan telah nyata merugi dan binasa. Kalimat ini merupakan doa kerugian dan kecelakaan untuk Abu Lahab.

Abu Lahab adalah bapa saudara Rasulullah s.a.w., nama aslinya ialah Abdul Uzza ibnu Abdul Muttalib, dan nama kunyahnya (gelarannya) ialah Abu Utaibah. Dia diberi julukan Abu Lahab kerana wajahnya yang cerah. Dia sangat memusuhi Rasulullah s.a.w., membencinya, meremehkannya dan banyak menyakitinya. 

Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. mencelanya dengan celaan yang keras ini yang merupakan celaan dan kehinaan yang berkelanjutan untuknya sampai hari Kiamat.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, bahawa ketika Rasulullah s.a.w. menyeru kaumnya kepada iman. Abu Lahab berkata, "Jika apa yang dikatakan oleh anak saudaraku ini benar, maka sesungguhnya aku akan menebus diriku kelak di hari kiamat dari azab dengan harta dan anak-anakku." Maka turunlah firman Allah s.w.t., 

"2. Tidak berguna darinya hartanya dan apa yang dia usahakan."

Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan, iaitu anaknya.

"3. Kelak dia akan masuk api yang mempunyai gejolak."

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak, iaitu neraka yang apinya berbunga, menyala dengan hebatnya, dan sangat membakar. Api neraka akan mengelilinginya dari segala penjuru. 

"4. Dan isterinya pembawa kayu bakar."

Begitu juga isterinya. Pembawa kayu Bakar dalam bahasa Arab adalah kiasan bagi penyebar fitnah. Isteri Abu Lahab sama seperti suaminya sangat keras permusuhannya kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebut sebagai pembawa kayu bakar kerana dia gemar menghamburkan atau menyebarkan fitnah (hasutan) untuk memperburuk citra Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum Muslim.

Dia dari kalangan wanita Quraisy yang terhormat dan termasuk pemimpin kaum wanitanya bernama Ummu Jamil, nama aslinya ialah Arwah binti Harb ibnu Umayyah, saudara perempuan Abu Sufyan. 

Dia membantu suaminya dalam kekufuran dan keingkarannya terhadap perkara hak yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Kerana itulah maka kelak di hari kiamat dia menjadi pembantu yang mengazab suaminya dalam di neraka Jahanam.

Dia akan memanggul atau memikul kayu bakar, lalu melemparkannya kepada suaminya agar api yang membakarnya bertambah besar; isterinya memang diciptakan untuk itu dan disediakan untuk membantu mengazabnya. 

Ada yang menafsirkan bahawa pembawa kayu bakar di sini maksudnya pembawa duri, iaitu kerana dia biasa meletakkan ranting-ranting berduri di jalan yang dilalui Nabi Muhammad s.a.w. Ada juga yang menafsirkan, bahawa dia (isteri Abu Lahab) akan membawa kayu bakar untuk menimpakan kepada suaminya di neraka dengan berkalungkan tali dari sabut.

"5. Pada lehernya tali dari sabut."

Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal. Maksudnya ialah api neraka.

Masad bermaksud sabut. Ada yang mengatakan, tali yang dibuat dari sabut atau kulit pohon, dan adakalanya dibuat dari kulit unta atau bulunya. Ada yang mengatakan, rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Ada yang mengatakan, sebuah kalung api yang panjangnya tujuh puluh hasta. Ada yang mengatakan, pasung leher yang dibuat dari besi. 

Dahulu isteri Abu Lahab mempunyai sebuah kalung yang mewah, lalu dia mengatakan, "Sesungguhnya aku akan membelanjakan kalung ini (menjualnya) untuk biaya memusuhi Muhammad." Maka Allah menghukumnya dengan tali dari api neraka yang dikalungkan di lehernya kelak di hari kemudian.

Asma binti Abu Bakar mengatakan bahawa ketika diturunkan firman Allah s.w.t., "Binasalah kedua tangan Abu Lahab." (Al Lahab 111:1) Maka datanglah wanita yang bermata juling (iaitu Ummu Jamil binti Harb) sambil menyumpah-nyumpah, sedangkan tangannya memegang batu sambil mengucapkan kata-kata bersyair, "Dia telah mencela agama nenek moyang kami, agamanya kutolak dan perintahnya kutentang."

Saat itu Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid ditemani sahabat Abu Bakar. Ketika sahabat Abu Bakar melihat Ummu Jamil, dia berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, Ummu Jamil datang, dan aku mengkhuatirkan keselamatanmu bila dia melihatmu." Maka Rasulullah Saw. bersabda, "Dia tidak akan dapat melihatku." 

Dan Nabi s.a.w. membaca suatu ayat Al Qur'an sebagai perlindungan buat dirinya, sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firmanNya, "Dan apabila kamu membaca Al Qur’an, nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup." (Al Isra 17:45)

Maka Ummu Jamil datang dan berdiri di hadapan Abu Bakar tanpa melihat Rasulullah s.a.w., lalu berkata, "Hai Abu Bakar, sesungguhnya aku mendapat berita bahawa temanmu mengejekku." Abu Bakar menjawab, "Tidak, demi Tuhan Penguasa Ka'bah ini, dia tidak mengejekmu." Maka Ummu Jamil pergi sambil mengatakan, "Orang-orang Quraisy telah mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah anak perempuan pemimpin mereka."

Dalam surah ini terdapat salah satu di antara tanda kekuasaan Allah s.w.t., kerana Allah menurunkan surah ini ketika Abu Lahab dan isterinya belum binasa, dan Dia memberitahukan, bahawa keduanya akan disiksa di neraka, termasuk bahagian daripadanya adalah bahawa bererti dia tidak akan masuk Islam, ternyata terjadi demikian sebagaimana yang diberitakan oleh Allah s.w.t., Tuhan Yang Mengetahui yang ghaib dan nyata.

Selesai Tafsir Surah Al Lahab dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil 'aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...