Isnin, 1 Jun 2020

110:1-3 Tafsir Surah An Nasr, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (١) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (٢) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (٣)

Dalam surah ini terdapat khabar gembira, perintah kepada RasulNya ketika memperoleh khabar gembira itu, isyarat dan pemberitahuan yang akan terjadi setelahnya. Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Apabila datang pertolongan Allah" 

Apabila telah datang pertolongan Allah kepada NabiNya s.a.w. terhadap musuh-musuhnya.

"dan kemenangan."

Al fath di sini bermaksud penaklukkan atau kemenangan atas kota Mekah.

Rasulullah s.a.w. bersabda di hari kemenangan, "Tiada hijrah lagi (sesudah ini), tetapi jihad dan niat; dan apabila kalian diperintahkan untuk berangkat berperang, maka berangkatlah." 

"2. Dan kamu lihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong."

Kamu melihat manusia berbondong-bondong masuk Islam. Ramai yang menjadi pemeluk agamanya dan pengikutnya setelah sebelumnya sebagai musuhnya. Sebelumnya seorang demi seorang yang masuk Islam. Namun setelah penaklukkan Mekah, maka bangsa Arab dari berbagai penjuru banyak yang datang menemui Beliau menyatakan diri masuk Islam.

Sesungguhnya kabilah-kabilah Arab pada mulanya menggantungkan keislaman mereka dengan kemenangan atas kota Mekah. Mereka mengatakan, "Jika dia (Nabi s.a.w.) mendapat kemenangan atas kaumnya, bererti dia benar seorang nabi." Ada yang mengatakan, "Biarkanlah dia dan kaumnya; jika dia dapat menang atas mereka, bererti dia adalah seorang nabi yang baru."

Ketika Allah s.w.t. memenangkannya atas kota Mekah, maka masuklah mereka ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong. Belum lagi berlalu masa dua tahun, seluruh penduduk Jazirah Arabia telah beriman, dan tiada suatu kabilah Arabpun melainkan mereka menampakkan keislamannya. Segala puji dan harapan hanyalah dipanjatkan bagi Allah s.w.t.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya s.a.w., 

"3. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya. Sungguh, Dia Maha Penerima Taubat."

Iaitu hendaknya Beliau bersyukur kepada Tuhannya terhadap hal itu, bertasbih dengan memujiNya dan meminta ampunan kepadaNya. Iaitu mengerjakan solat dan memohon ampun kepadaNya. Maka Nabi s.a.w. melakukan solat diwaktu dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari penaklukan Mekah. 

Surah ini juga mengisyaratkan atau memberi pertanda kepada Rasulullah s.a.w. bahawa ajalnya telah semakin dekat. Ketika diturunkan firmanNya, "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ini adalah ucapan belasungkawa terhadapku." 

Umur Beliau adalah umur yang utama. Hal-hal yang utama ditutup dengan istighfar seperti solat, haji, dan sebagainya. Iaitu hendaknya Beliau s.a.w. bersiap-siap untuk bertemu Tuhannya dan mengakhiri umurnya dengan yang paling utama yang dapat Beliau lakukan. Maka Beliau s.a.w. lebih mempergiat kesungguhannya lebih dari sebelumnya dalam masalah akhirat. 

Oleh kerana itulah, Beliau s.a.w. menakwilkan surah ini dan banyak mengucapkan dalam ruku’ dan sujudnya, “Subhaanakallahumma wabihamdika Allahummaghfirliy.” (Mahasuci Engkau yang Allah dan dengan memujiMu. Ya Allah, ampunilah aku).

Penaklukkan Mekkah terjadi pada bulan Ramadhan tahun ke 8 Hijriah, sedangkan wafatnya Beliau s.a.w. pada bulan Rabi’ul Awwal pada tahun ke 11 Hijriah.

Surah ini juga memberi isyarat bahawa pertolongan Allah itu akan terus berlanjut kepada agama ini dan akan bertambah ketika dilakukan tasbih sambil memujiNya dan beristighfar dari Beliau, kerana hal ini termasuk syukur, sedangkan Allah s.w.t. telah berjanji, bahawa jika manusia bersyukur, maka Dia akan menambah nikmatNya. 

Hal ini terbukti, seperti yang terlihat di zaman para khulafa’ raasyidin dan setelahnya bahawa pertolongan Allah s.w.t. senantiasa berlanjut kepada umat ini, sehingga agama Islam telah sampai kepada puncaknya yang tidak dapat ditandingi oleh agama-agama selainnya, dan telah masuk ke dalamnya manusia dalam jumlah yang banyak. 

Sampai terjadilah pada umat ini penyimpangan kepada perintah Allah, maka Allah menguji mereka dengan terpecah belahnya kalimat mereka dan terjadilah apa yang terjadi. Walaupun demikian, untuk umat dan agama ini ada rahmat dan kelembutan Allah s.w.t. yang tidak disangka-sangka.

Selesai Tafsir Surah An Nasr dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil 'aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...