Selasa, 2 Jun 2020

113:1-5 Tafsir Surah Al Falaq, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (١) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣) وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (٤) وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (٥) 

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Katakanlah, "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.""

Al falaq bermaksud subuh atau fajar. Rabbul falaq boleh juga bererti Tuhan Yang Membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan, juga yang membelah malam dengan terbitnya fajar.

"2. Dari kejahatan apa yang Dia ciptakan."

Dari kejahatan semua makhluk yang Dia ciptakan. Seperti makhluk hidup yang mukallaf (yang mendapat beban) seperti manusia dan jin, dan makhluk hidup yang tidak mukallaf, juga makhluk tidak hidup seperti racun, dan sebagainya.

"3. Dan dari kejahatan malam yang gelap apabila telah gelap."

Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita. Iaitu apabila matahari telah tenggelam. Ada yang mengatakan, malam hari apabila datang dengan kegelapan. Ada yang mengatakan, malam hari apabila telah pergi. Ada yang mengatakan, bintang.

Aisyah r.a. telah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. memegang tangannya, lalu memperlihatkan kepadanya rembulan saat terbitnya, kemudian Beliau s.a.w. bersabda, "Mohonlah perlindungan kepada Allah dari kejahatan rembulan ini apabila telah tenggelam." 

Rembulan merupakan pertanda malam hari bila telah muncul. Sesungguhnya rembulan merupakan pertanda malam hari dan rembulan tidak berperanan kecuali hanya di malam hari. Begitu juga dengan bintang-bintang; bintang-bintang tidak dapat bersinar kecuali di malam hari. 

"4. Dan dari kejahatan perempuan yang meniup-niup pada buhul-buhul."

Dan dari kejahatan perempuan-perempuan penyihir yang mengembus pada buhul-buhul (simpulan tali). Biasanya tukang-tukang sihir dalam melakukan sihirnya membuat buhul-buhul dari tali lalu membacakan jampi-jampi dengan menghembus-hembuskan nafasnya ke buhul tersebut.

Tiada suatu perbuatan pun yang lebih mendekati kepada kemusyrikan selain dari ruqyatul hayyah dan majanin, iaitu sejenis perbuatan sihir.

Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Malaikat Jibril datang kepada Nabi s.a.w., lalu bertanya, "Hai Muhammad, apakah engkau sakit?" Nabi s.a.w. menjawab, "Ya." Jibril berkata (iaitu berdoa), "Dengan menyebut nama Allah aku meruqyahmu dari semua penyakit yang mengganggumu dan dari kejahatan setiap orang yang dengki dan kejahatan pandangan mata; semoga Allah menyembuhkanmu." 

Barangkali hal ini terjadi di saat Nabi s.a.w. sakit akibat terkena sihir, kemudian Allah s.w.t. menyelamatkan dan menyembuhkannya, dan menolak rencana jahat para penyihir dan orang-orang yang dengki dari kalangan orang-orang Yahudi, lalu menimpakannya kepada mereka dan menjadikan kehancuran mereka oleh tipu muslihat mereka sendiri hingga mereka dipermalukan. 

Tetapi walaupun mendapat perlakuan demikian, Rasulullah s.a.w. tidak menegur atau mengecam pelakunya di suatu hari pun, bahkan Beliau merasa cukup hanya meminta pertolongan kepada Allah, dan Dia menyembuhkan serta menyihatkannya.

Zaid ibnu Arqam mengatakan bahawa seorang lelaki Yahudi menyihir Nabi s.a.w. Kerana itu, Beliau merasa sakit selama beberapa hari. Lalu datanglah Jibril dan berkata, "Sesungguhnya seorang lelaki Yahudi telah menyihirmu dan membuat suatu buhul yang ditujukan terhadapmu, lalu dia meletakkannya di dalam sumurmu." 

Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh seseorang untuk mengambil buhul tersebut dari dalam sumur yang dimaksud. Setelah buhul itu dikeluarkan dari sumur, lalu diberikan kepada Rasulullah s.a.w. dan Beliau membukanya, maka dengan serta merta seakan-akan Rasulullah s.a.w. baru terlepas dari suatu ikatan. Dan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyebutkan lelaki Yahudi itu dan tidak pula melihat mukanya sampai Beliau wafat.

Aisyah r.a. mengatakan bahawa dahulu Rasulullah s.a.w. pernah disihir hingga Beliau beranggapan bahawa dirinya telah mendatangi isteri-isterinya, padahal tidak. Di dalam riwayat lain disebutkan bahawa Nabi s.a.w. tinggal selama enam bulan berilusi seakan-akan mengerjakan sesuatu, padahal kenyataannya tidak. Sihir jenis ini merupakan sihir yang paling keras, bila pengaruhnya demikian. 

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai Aisyah, tahukah engkau bahawa Allah telah memberiku nasihat tentang masalah yang aku telah memohon petunjuk dariNya mengenainya" Dua orang lelaki (malaikat) datang kepadaku yang salah seorangnya duduk di dekat kepalaku, sedangkan yang lainnya duduk di dekat kakiku. Maka orang yang ada di dekat kepalaku berkata kepada temannya, "Mengapa lelaki ini?” Dia menjawab, "Terkena sihir.” Orang yang berada dekat kepalaku bertanya, "Siapakah yang menyihirnya?” Dia menjawab, "Lubaid ibnu A'sam, seorang lelaki dari Bani Zuraiq teman sepakta orang-orang Yahudi, dia adalah seorang munafik.” Yang berada di dekat kepalaku bertanya, "Dengan apa?” Dia menjawab, "Sisir (sikat) dan rambut.” Orang yang berada di dekat kepalaku bertanya, "Diletak di mana?'' Dia menjawab, "Di dalam mayang kurma jantan di bawah sebuah batu di dalam sumur Zirwan."

Lalu Rasulullah s.a.w. mendatangi sumur tersebut dan mengeluarkannya, kemudian Beliau bersabda, "Inilah sumur yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku; airnya seakan-akan seperti warna pacar (merah) dan pohon-pohon kurmanya seakan-akan seperti kepala-kepala syaitan.

Kemudian benda itu dikeluarkan dan dikatakan kepada Beliau s.a.w., "Tidakkah engkau membalikkannya?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ingatlah, demi Allah, sesungguhnya Allah telah menyembuhkan diriku, dan aku tidak suka menimpakan suatu keburukan terhadap seseorang." Setelah itu Nabi s.a.w. memerintahkan agar sumur tersebut dimatikan, lalu ditimbun.

Ayat ini menunjukkan, bahawa sihir memiliki hakikat yang perlu diwaspadai bahayanya. Untuk mengatasinya adalah dengan meminta perlindungan kepada Allah dari sihir itu dan dari orang-orangnya.

"5. Dan dari kejahatan orang yang dengki" 

Hasad bermaksud senang atau suka jika nikmat yang ada pada orang lain hilang darinya. Namun jika senang atau suka pada nikmat orang lain, dia suka jika dia juga mendapat nikmat itu dan tidak ada keinginan agar nikmat pada orang lain hilang, maka tidaklah tercela, hal ini dinamakan juga ‘ghibthah’.

"apabila dia dengki."

Iaitu menampakkan kedengkiannya dan bertindak dengan melakukan segala sebab yang boleh dilakukan agar nikmat itu hilang darinya. Termasuk ke dalam yang hasad adalah orang yang menimpakan keburukan kepada orang lain melalui matanya (‘ain), kerana hal itu hanya muncul dari orang yang dengki yang buruk tabiatnya dan buruk jiwanya. Termasuk juga ke dalam ‘yang hasad’ adalah Iblis dan keturunannya yang sangat dengki kepada manusia.

Disebutkan ketiga macam kejahatan itu walaupun telah dicakup dalam firman Allah Ta’ala, “Dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan,” adalah kerana besarnya kejahatan ketiga macam itu (kejahatan malam ketika telah gelap, wanita-wanita tukang sihir dan orang yang dengki).

Selesai tafsir surah Al Falaq dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...