Rabu, 22 Julai 2020

21:78-82 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 78-82.

وَدَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ (٧٨) فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُدَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ وَكُنَّا فَاعِلِينَ (٧٩) وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَكُمْ لِتُحْصِنَكُمْ مِنْ بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنْتُمْ شَاكِرُونَ (٨٠) وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ (٨١) وَمِنَ الشَّيَاطِينِ مَنْ يَغُوصُونَ لَهُ وَيَعْمَلُونَ عَمَلا دُونَ ذَلِكَ وَكُنَّا لَهُمْ حَافِظِينَ (٨٢) 

Allah s.w.t. berfirman,

"78. Dan Daud, dan Sulaiman, ketika keduanya memutuskan dalam ladang, ketika merosak di dalamnya kambing kaum. Dan Kami pada keputusan mereka menyaksikan." 

Ingatlah kisah Daud a.s. dan Sulaiman a.s. Sebutkanlah peristiwa ketika tanaman seseorang telah dirosakkan oleh ternakan kambing seseorang yang lain. Tanaman tersebut adalah buah anggur yang buah-buahnya telah telah masak dan menjuntai ke bawah. Ada yang mengatakan bahawa tanaman itu adalah kurma. An nafsy ertinya dimakan oleh ternak gembalaan atau kerosakan yang dilakukan di malam hari. Kerosakan yang dilakukan di siang hari disebut al haml.

Semua daun dan buahnya dirosakkan dan dimakan oleh ternakan kambing itu. Maka pemilik kebun datang menghadap kepada Daud a.s. untuk mengadukan perkaranya. Daud a.s. memutuskan agar ternakan kambing itu diserahkan kepada pemilik kebun sebagai gantinya.

Maka para penggembala keluar dari majlis hakim bersama anjing-anjing penjaga ternakan kambing mereka. Lalu Sulaiman a.s. bertanya kepada mereka, "Apakah yang telah diputuskan di antara kalian?" Para penggembala menceritakan kepada Sulaiman a.s. apa yang telah diputuskan oleh Daud a.s.

Lalu Sulaiman a.s. berkata, "Seandainya aku diserahi tugas untuk memutuskan perkara kalian, tentulah aku akan memutuskan peradilan bukan dengan cara seperti itu." Maka perkataan Sulaiman a.s. itu sampai kepada Daud a.s., lalu Daud a.s. memanggilnya dan berkata kepadanya, "Bagaimanakah menurutmu keputusan di antara mereka?"

Sulaiman a.s. berkata, "Hendaknya ternakan kambing itu diserahkan kepada pemilik tanaman. Maka pemilik tanaman beroleh anak ternakan kambing itu, air susunya, bulunya dan manfaat lainnya. Hendaknya kebun itu diserahkan kepada pemilik ternakan kambing agar dia menanam benih tanaman yang sejenis dan mengurusnya sampai tanaman itu kembali berbuah seperti sediakala. Maka kebun diserahkan kembali kepada pemiliknya dan ternakan kambing diserahkan kembali kepada pemiliknya."

"79. Maka Kami memberi pengertian tentangnya Sulaiman," 

Allah s.w.t. telah memberikan pemahaman kepada Sulaiman a.s. tentang hukum yang lebih tepat. Keputusan Sulaiman a.s. itu adalah keputusan yang tepat. Namun kalimat ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Daud a.s. tidak diberikan kefahaman pada selain masalah ini. Hakim adakalanya benar dan adakalanya salah, dan dia tidaklah tercela apabila salah setelah mengeluarkan kesungguhannya dalam berijtihad.

Sesungguhnya para hakim diambil sumpahnya atas tiga perkara, iaitu hendaknya mereka tidak menjual keputusannya dengan harga yang sedikit (tidak boleh ditukar dengan harta duniawi), tidak boleh memperturutkan hawa nafsunya dalam memberikan keputusan hukum, dan janganlah merasa takut terhadap seseorang pun demi kebenaran dalam memutuskan hukum.

Allah s.w.t. memuji Sulaiman a.s., tetapi Allah s.w.t. tidak mencela Daud a.s. Para nabi itu adalah orang-orang yang dima'sum lagi mendapat bantuan dari Allah s.w.t. Adapun mengenai selain para nabi, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang hakim berijtihad, lalu benar, maka ia memperoleh dua pahala. Dan apabila ia berijtihad, lalu keliru, maka baginya satu pahala."

Kadi itu ada tiga jenis, seorang di antaranya masuk syurga, sedangkan dua orang lainnya masuk neraka. Iaitu seorang lelaki yang mengetahui perkara yang hak, lalu ia memutuskan peradilan sesuai dengan kebenaran itu, maka dia masuk syurga. Dan seorang lelaki yang memutuskan hukum di antara manusia tanpa pengetahuan, maka ia masuk neraka. Dan seorang lelaki yang mengetahui perkara yang benar, tetapi ia memutuskan peradilan yang bertentangan dengan kebenaran itu, maka ia dimasukkan ke dalam neraka.

"dan masing-masing Kami telah memberikan hikmah dan ilmu" 

Hikmah ialah kenabian dan ilmu adalah pengetahuan tentang masalah-masalah agama.

"dan Kami telah menundukkan bersama Daud gunung-gunung, mereka bertasbih, dan burung-burung,"

Daud a.s. adalah di antara manusia yang paling banyak beribadah kepada Allah, zikir, tasbih dan tahmidnya. Allah s.w.t. memberikan suara yang merdu kepadanya. Apabila Daud a.s. bertasbih, bertahmid dan melagukan bacaan kitab Zaburnya, maka burung-burung yang ada di udara berhenti dan menjawabnya, gunung-gunung juga menjawab bacaannya dan mengikutinya.

"dan Kami berbuat." 

Hal ini merupakan kurnia Allah dan ihsanNya kepada Daud a.s. Allah s.w.t. yang menundukkan gunung-gunung dan burung-burung untuk bertasbih bersama Daud a.s. walaupun menurut kalian sebagai sesuatu yang aneh.

"80. Dan Kami telah mengajarkannya membuat baju besi untuk kalian, untuk melindungi kalian dari peperangan kalian." 

Allah s.w.t. ajarkan kepada Daud a.s. cara meleburkan, melembutkan besi dan membuat baju besi sebagai perisai diri semasa berperang. Sebelum itu baju perisai hanyalah lempengan atau kepingan. Beliau adalah orang pertama yang membuat baju besi dalam bentuk anyaman yang dianyam dalam bentuk bulatan yang kecil-kecil. Beliau kemudian mengajarkannya dan ilmu ini diajarkan turun temurun.

"Maka apakah kalian orang-orang yang bersyukur?" 

Bersyukurlah atas nikmat-nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada kalian melalui hambaNya Daud a.s. yang telah diajarkanNya cara membuat baju besi untuk kalian. Hendaklah kalian bersyukur kepada Allah dengan membenarkan atau beriman kepada rasulKu.

"81. Dan untuk Sulaiman angin kencang berhembus dengan perintahnya ke bumi yang Kami berkahi di dalamnya." 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada angin yang sangat kencang tiupannya untuk tunduk kepada Sulaiman a.s. Beliau mempunyai hamparan yang dibuat dari kayu. Di atas hamparan itu diletakkan semua yang diperlukan oleh Sulaiman a.s. dalam urusan kerajaannya, seperti kuda-kuda dan unta-unta kendaraan serta khemah-khemah dan bala tenteranya.

Ada enam ratus ribu kursi yang diletakkan di atas hamparan Sulaiman a.s., maka duduklah di sekitarnya orang-orang mukmin dari kalangan manusia, kemudian di belakang mereka duduklah kaum jin yang beriman.

Kemudian Sulaiman a.s. memerintahkan kepada angin kencang untuk mengangkat hamparannya dan diletakkan di atas angin itu. Maka angin kencang berkumpul seperti gumpalan raksasa yang kelihatan bagaikan sebuah gunung, memasuki bahagian bawah hamparan itu dan berhembus dengan baik.

Kemudian Beliau memanggil kuda sembraninya (kuda bersayapnya), maka ia menaikinya dan kuda membawanya naik sampai ke tempat yang paling tinggi dari hamparannya. Sesudah itu Sulaiman a.s. memerintahkan kepada angin untuk membawa mereka terbang  terbang tinggi di atas semua dataran tinggi, tetapi masih di bawah langit dan ke arah mana saja yang dikehendakinya.

Sulaiman a.s. memerintahkan kepada burung-burung agar menaungi mereka. Maka burung-burung terbang menaunginya dari panasnya sinar matahari seiring dengan hamparan Sulaiman a.s. terbang menuju ke tempat yang dikehendakinya.

Apabila Sulaiman a.s. mengadakan perjalanan dari pagi sampai tengah hari, maka jarak yang ditempuhnya sama dengan jarak perjalanan unta yang cepat dalam sebulan. Begitu juga apabila ia mengadakan perjalanan dari tengah hari sampai petang, maka kecepatannya sama dengan perjalanan sebulan.

Sulaiman a.s. hanya menundukkan kepalanya, tidak berani menoleh ke arah kanan atau kirinya kerana mengagungkan Allah dan sebagai rasa syukur kepadaNya; ia mengetahui bahawa dirinya sangatlah kecil di dalam kerajaan Allah s.w.t. Kerana rasa rendah dirinya itu, angin menaatinya dan tunduk kepadanya; ia berhenti bila diperintahkan berhenti di tempat yang disukai Sulaiman a.s.

Bila telah sampai di tempat tujuan, maka turunlah Sulaiman a.s., semua peralatan dan juga orang-orangnya. Negeri yang telah Allah s.w.t. berkati adalah negeri Syam. Di sanalah Sulaiman a.s. menetap.

"Dan Kami dengan segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Di antaranya adalah, Allah s.w.t. mengetahui bahawa pemberiannya kepada Sulaiman a.s. membuatnya semakin tunduk kepada Allah, maka Allah melakukannya menurut ilmuNya.

"82. Dan dari syaitan-syaitan ada yang menyelam untuknya" 

Termasuk keistimewaan Sulaiman a.s., Allah s.w.t. telah tundukkan kepada Sulaiman a.s. syaitan-syaitan dan jin-jin ifrit serta memberikan kekuasaan kepadanya terhadap mereka. Mereka bekerja untuk Beliau. Sebahagiannya menyelam ke dalam laut untuk mengambil mutiara-mutiara dan berbagai macam perhiasan lainnya untuknya.

"dan mengerjakan pekerjaan selain itu;" 

Sebahagian dari mereka diperintahkan membina bangunan-bangunan tinggi, patung-patung, piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku. Di antara mereka ada yang ditugaskan membangun Baitulmaqdis.

"dan Kami kepada mereka memelihara." 

Allah s.w.t. menjaga mereka dengan kekuatanNya, keperkasaanNya dan kekuasaanNya sehingga mereka tidak mampu menolak dan melanggar perintah Sulaiman a.s. Semua syaitan berada dalam genggaman kekuasaanNya dan tunduk di bawah keperkasaan Allah. Mereka tidak mampu menimpakan keburukan atau berbuat jahat terhadap Sulaiman a.s.

Tiada sesiapa pun dari mereka yang berani mendekati Sulaiman a.s., bahkan Sulaiman a.s. berkuasa penuh atas mereka. Sulaiman a.s. boleh menahan mereka dengan mengikat mereka dalam belenggu atau melepaskan siapa pun dari mereka yang dikehendakinya.

Ada yang berpendapat, bahawa Allah menjaga mereka daripada merosakkan pekerjaan yang telah mereka selesaikan, kerana biasanya mereka setelah mengerjakan sesuatu merosakkan kembali sebelum malam tiba jika tidak diberikan kesibukan yang lain.

Allah s.w.t. menetapkan wafatnya Sulaiman a.s., sedangkan ketika itu Beliau berpegangan dengan tongkatnya. Mereka masih tetap bekerja untuk Sulaiman a.s. selama setahun, kerana ketidaktahuan mereka bahawa Sulaiman a.s. telah wafat.

Syaitan-syaitan yang melintasi Beliau menyangka bahawa Beliau masih hidup kerana masih bersandar di atas tongkat. Tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap (anai-anai) yang memakan tongkatnya.

Setelah Beliau telah tersungkur. Ketika itu tahulah jin bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan.

Sebelumnya para syaitan menipu manusia, bahawa mereka mengetahui yang ghaib, maka Allah s.w.t. tunjukkan ketidaktahuan mereka terhadap yang ghaib. Sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka akan berhenti bekerja.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...