Isnin, 27 Julai 2020

24:11-18 Tafsir Surah An Nur, ayat 11-18.

Rasulullah s.a.w. apabila hendak keluar bepergian terlebih dahulu melakukan undian di antara isteri-isterinya. Nama siapa yang keluar, maka Rasulullah s.a.w. akan membawanya pergi bersamanya.

Lalu Rasulullah s.a.w. melakukan undian di antara mereka untuk menentukan siapa yang akan menemaninya dalam suatu perang yang akan dilakukannya. Nama ‘Aisyah r.a. keluar.

Lalu Beliau berangkat bersama Rasulullah s.a.w. Demikian itu terjadi setelah diturunkan ayat hijab. ‘Aisyah r.a. dibawa dalam sekedup (pelana atau tempat duduk kayu yang dipasang pada unta).

Setelah Rasulullah s.a.w. menyelesaikan tugasnya dalam perang itu, mereka pun kembali serta telah dekat ke Madinah. Ketika itu Beliau s.a.w. telah singgah dan berehat pada sebahagian malam.

Maka Beliau s.a.w. menyerukan kepada rombongan untuk meneruskan perjalanan di malam itu. Ketika seruan berangkat telah dikumandangkan, 'Aisyah r.a. berdiri dan berjalan melintasi barisan pasukan untuk memenuhi urusannya.

Setelah 'Aisyah r.a. memenuhi hajatnya, Beliau kembali ke sekedupnya. Beliau mendapati kalung maniknya telah terputus dan terjatuh. Maka Beliau kembali ke tempat Beliau buang hajat tadi untuk mencari kalung itu, sehingga Beliau terlambat kerana mencarinya.

Kemudian datanglah beberapa orang yang biasa mengangkut sekedupnya. Mereka mengangkat sekedupnya dan meletakkannya di atas unta. Mereka menyangka bahawa 'Aisyah r.a. sudah berada di dalamnya.

Kaum wanita waktu itu bertubuh kurus-kurus, tidak berat dan tidak gemuk. Mereka hanya makan sedikit. Sedang 'Aisyah r.a. adalah seorang wanita yang berusia sangat muda. Kerana itu mereka tidak merasa aneh dengan keringanan sekedupnya.

Mereka membangunkan untanya dan meneruskan perjalanan. 'Aisyah r.a. menjumpai kembali kalungnya setelah mereka semua pergi. Beliau mendatangi tempat mereka. Tempat itu telah kosong tiada seorang pun yang tinggal. Tidak ada yang memanggil maupun menyahut.

Maka 'Aisyah r.a. pergi ke tempat rehatnya dengan harapan bahawa kaum akan merasa kehilangannya lalu akan kembali mencarinya. Ketika Beliau duduk di tempatnya, matanya mengantuk akhirnya Beliau tertidur.

Ketika itu Safwan ibnul Mu'attal Az Zakwani berehat di belakang pasukan. Dia meneruskan perjalanannya di akhir malam setelah tertidur. Ketika tiba waktu Subuh dia sampai di tempat 'Aisyah r.a. Safwan nampak sosok manusia yang sedang tidur dalam kegelapan malam.

Safwan mendatangi 'Aisyah r.a. dan mengenalnya ketika dia melihatnya, kerana dia pernah melihat 'Aisyah r.a. sebelum diturunkan ayat yang memerintahkan berhijab. Safwan tidak berbicara satu kata pun kepada 'Aisyah r.a. kecuali dia mengucapkan kalimat istirja' (Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un).

'Aisyah r.a. terjaga kerana mendengar istirja’nya. Maka dengan segera Beliau menutupi wajahnya dengan kain jilbabnya. Safwan menundukkan untanya dan menginjak kedua kaki depan untanya. Lalu 'Aisyah r.a. menaikinya. Safwan berangkat sambil menuntun untanya sampai ke tempat pasukan singgah berehat di waktu tengah hari.

Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, pemimpin kaum munafik menuduh dan menyiarkan berita bohong bahawa 'Aisyah r.a. telah berbuat serong. Dia menyebarkan isu dusta itu sehingga sebahagian dari kaum muslim termakan dan terhasut oleh isu yang disebarkannya, yang akhirnya menjadi bahan umpatan mereka. Sedangkan sebahagian kaum muslim lainnya tidak mempunyai tanggapan apa pun terhadap peristiwa itu.

Mereka pun tiba di Madinah. 'Aisyah r.a. sakit selama sebulan sejak tiba di Madinah. Sedangkan orang ramai sibuk membicarakan tentang berita dusta yang disebarkan. 'Aisyah r.a. tidak menyedari sedikit pun tentang hal itu.

Dalam sakit itu 'Aisyah r.a. merasakan bahawa Rasulullah s.a.w. berbeda dengan kebiasaannya. 'Aisyah r.a. tidak nampak lagi kelembutan dan kasih sayang Rasulullah s.a.w. Beliau hanya masuk, memberi salam dan mengucapkan, "Bagaimanakah keadaanmu?", Lalu pergi.

Sikap tersebut membuat 'Aisyah r.a. curiga dan gelisah. Beliau tidak merasakan, tidak menyedari dan belum mengetahui adanya berita buruk yang ditujukan terhadap dirinya.

Ketika 'Aisyah r.a. agak sembuh dari sakit, Beliau keluar bersama Ummu Mistah menuju ke arah Manasi, kawasan tinggi di luar Madinah yang menjadi tempat membuang hajat mereka. Mereka hanya keluar ke tempat itu pada malam hari.

Demikian itu sebelum mereka membuat tandas di rumah-rumah mereka. Kebiasaan mereka seperti kebiasaan kaum Arab dahulu, iaitu buang air jauh dari rumah dan keramaian manusia. Mereka merasa terganggu dengan adanya tandas di rumah mereka.

Maka 'Aisyah r.a. berangkat bersama Ummu Mistah. Dia adalah puteri Abu Rahm ibnul Muttalib ibnu Abdu Manaf. Sedangkan ibunya adalah puteri Sakhr ibnu Amir, makcik Abu Bakar As Siddiq r.a. Dia mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Mistah ibnu Asasah ibnu Abbad ibnu Abdul Muttalib.

Ketika 'Aisyah r.a. kembali menuju ke rumahnya bersama Ummu Mistah, tiba-tiba kain tudung Ummu Mistah tersangkut dan berkata, "Celakalah Mistah (anaknya)." 'Aisyah r.a. berkata, "Alangkah buruknya ucapanmu itu, kamu berani mencaci seseorang yang menghadiri Perang Badar."

Ummu Mistah menjawab, "Wahai wanita yang tidak sedar, tidakkah kamu mendengar apa yang telah dikatakannya?" 'Aisyah r.a. bertanya, "Apakah yang telah dikatakan oleh Mistah?" Maka Ummu Mistah menceritakan isu yang disebarkan oleh para penyiar berita bohong itu.

Maka sakit 'Aisyah r.a. bertambah parah. Ketika di rumah, Rasulullah s.a.w. masuk, memberi salam dan mengucapkan, "Bagaimanakah keadaanmu?" 'Aisyah r.a. meminta izin untuk menemui ibu bapanya. Beliau ingin memastikan berita itu dari mereka. Rasulullah s.a.w. mengizinkannya.

Rasulullah s.a.w. mengirimkan 'Aisyah r.a.
bersama seorang hamba sebagai temannya. Ketika 'Aisyah r.a. masuk, Ummu Ruman (ibu 'Aisyah r.a.) berada di tingkat bawah, sedangkan Abu Bakar r.a. berada di tingkat atas sedang membaca Al Qur'an.

'Aisyah r.a. bertanya, “Wahai ibuku, apa yang sedang dibicarakan orang ramai?” Ummu Ruman berkata, "Wahai anakku, tenangkanlah dirimu. Demi Allah, tidak sekali-kali ada seorang wanita yang cantik menjadi isteri seorang lelaki yang sangat mencintainya, sedangkan lelaki itu mempunyai isteri-isteri yang lainnya, melainkan mereka iri terhadapnya dan selalu berkata buruk tentangnya."

'Aisyah r.a. berkata, “Subhanallah, nampaknya orang ramai membicarakannya.” Maka 'Aisyah r.a. bertanya, "Apakah ayahku telah mengetahui kisah ini?" Ummu Ruman menjawab, "Ya." 'Aisyah r.a. bertanya, "Begitu juga Rasulullah?" Ummu Ruman menjawab, "Ya."

Maka air mata 'Aisyah r.a. berkaca-kaca, lalu menangis. Abu Bakar r.a. mendengar suara tangisannya, lalu Beliau turun dan bertanya kepada Ummu Ruman, "Mengapa dia menangis?" Ummu Ruman menjawab, "Dia telah mendengar kisah dirinya yang menjadi buah bibir orang ramai."

'Aisyah r.a. menangis malam itu sampai pagi tanpa tidur. Air mata tidak berhenti mengucur. Pada pagi harinya Beliau menangis lagi.

Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang 'Aisyah r.a., "Wahai Zainab, apakah yang kamu ketahui dan yang kamu lihat?" Zainab menjawab, 'Wahai Rasulullah, aku memelihara pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui kecuali hanya kebaikan saja."

Padahal Zainablah di antara isteri Rasulullah s.a.w. yang bersaing dengan Aisyah r.a., maka Allah memeliharanya dengan sifat wara'.

Sedangkan saudara perempuannya Hamnah binti Jahsy bersikap bertentangan terhadap 'Aisyah r.a. Maka dia termasuk orang yang binasa di antara para pemikul berita dusta.

Rasulullah s.a.w. memanggil Ali ibnu Abu Talib dan Usamah ibnu Zaid ketika wahyu datang terlambat. Beliau s.a.w. bermusyawarah dengan mereka, adakah perlu menceraikan isterinya. Usamah ibnu Zaid menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w., kerana Beliau yang mengetahui kebersihan keluarganya dan yang mengetahui sejauh mana rasa cinta Beliau kepada mereka.

Usamah berkata, “Wahai Rasulullah, keluargamu, kami tidak mengetahui tentangnya selain kebaikan.” Sedangkan Ali berkata, "Wahai Rasulullah, Allah tidak mempersempit dirimu, wanita selain dia ramai. Dan jika engkau tanyakan kepada wanita hamba (milik Aisyah) itu, tentulah dia akan membenarkan berita itu."

Maka Rasulullah s.a.w. memanggil Barirah dan bersabda, “Wahai Barirah, apakah kamu melihat sesuatu yang mencurigakan pada diri Aisyah?" Barirah menjawab, "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak mempunyai pendapat lain tentangnya yang aku sembunyikan, melainkan dia adalah seorang wanita muda yang masih berusia remaja, dia tertidur lelap melupakan adunan roti suaminya, lalu datanglah seseorang yang lapar dan memakannya."

Salah seorang sahabat Nabi s.a.w. mengherdiknya, "Berkata jujurlah kamu kepada Rasulullah!", hingga Barirah takut kerananya. Maka Barirah berkatalah, "Mahasuci Allah, demi Allah tiadalah yang kuketahui tentangnya melainkan seperti apa yang diketahui oleh seorang tukang kemasan tentang emas batangan merah (yang ada di hadapannya)."

Kisah tersebut sampai kepada lelaki yang dituduh terlibat dalam kejadian itu (Safwan ibnul Mu'atta). Dia berkata, "Mahasuci Allah. Demi Allah, aku tidak pernah membuka kemaluan seorang wanita pun."

Hari itu Rasulullah s.a.w. bangkit untuk menyangkal berita dari Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul. Beliau bersabda di atas mimbar, "Wahai kaum muslim! Siapa yang mahu membelaku dari sikap seorang lelaki yang telah menyakiti diriku melalui isteriku? Demi Allah, aku tidak mengetahui perihal isteriku melainkan hanya baik-baik saja. Dan sesungguhnya mereka menyebutkan perihal seorang lelaki yang sepanjang pengetahuanku tiada lain dia adalah orang yang baik-baik saja; dia tidak pernah masuk menemui isteriku, melainkan selalu bersamaku."

Maka Sa'd ibnu Mu'az Al Ansari r.a. berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah, akulah yang membelamu terhadap dia. Jika dia dari kalangan kabilah Aus, kami akan penggal kepalanya. Dan jika dia dari kalangan saudara-saudara kami kabilah Khazraj, engkau perintahkan saja kepada kami, kami pasti melakukan apa yang engkau perintahkan."

Maka berdirilah Sa'd ibnu Ubadah, pemimpin orang-orang Khazraj. Dia adalah seorang yang soleh, tetapi kerana terdorong oleh rasa hamiyyah (fanatik)nya, maka dia berkata kepada Sa'd ibnu Mu'az, "Kamu dusta. Demi Allah kamu tidak akan dapat membunuhnya, dan kamu tidak akan mampu membunuhnya. Seandainya dia berasal dari golonganmu, aku tidak suka dia dibunuh."

Usaid ibnu Hudair (sepupu Sa'd ibnu Mu'az) berdiri, lalu berkata kepada Sa'd ibnu Ubadah, "Kamu dusta. Demi Allah, kami benar-benar akan membunuhnya, sesungguhnya kamu orang munafik yang membela orang munafik."

Kedua golongan besar Madinah itu, iaitu kabilah Aus dan kabilah Khazraj perang mulut, sehingga mereka hampir berperang fizikal, sedangkan Rasulullah s.a.w. berdiri di atas mimbarnya sambil terus-menerus melerai kedua golongan itu, hingga akhirnya mereka diam dan Rasulullah s.a.w. juga diam.

Pada hari itu sepenuhnya 'Aisyah r.a. menangis tanpa henti dan tanpa tidur, sehingga kedua orang tuanya yang sedang duduk dekatnya menyangka bahawa tangisannya akan menyebabkan hatinya pecah.

Tiba-tiba masuklah Rasulullah s.a.w. menemui mereka, lalu bersalam dan duduk. Sejak tersiarnya berita bohong itu Rasulullah s.a.w. tidak pernah duduk dekat 'Aisyah r.a., dan sudah selama sebulan wahyu tidak datang kepada Beliau tentang diri 'Aisyah r.a.

Rasulullah s.a.w. bersyahadat dan bersabda, "Amma ba'du. Wahai 'Aisyah, telah sampai kepadaku berita tentang kamu begini dan begitu. Jika kamu tidak bersalah, maka Allah akan membersihkan dirimu. Dan jika kamu merasa berbuat dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Kerana seorang hamba apabila mengakui dosanya dan bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya."

Berhentilah air mata 'Aisyah r.a. Beliau berkata kepada bapanya, "Jawablah Rasulullah sebagai ganti dariku." Bapanya berkata, "Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang harus kukatakan kepada Rasulullah." Beliau berkata kepada ibunya, "Jawablah Rasulullah sabagai ganti dariku." Ibunya menjawab, "Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang harus saya katakan kepada Rasulullah."

'Aisyah r.a. berkata, "Aku adalah seorang wanita yang berusia masih terlalu muda, dan masih banyak bahagian Al Qur'an yang belum kuhafal. Demi Allah, aku merasa yakin bahawa kalian telah mendengar berita tersebut, sehingga mempengaruhi diri kalian dan kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa sesungguhnya diriku bersih dari berita bohong itu, dan Allah mengetahui bahawa diriku bersih, tentulah kalian tidak mempercayaiku. Dan seandainya aku mengakui sesuatu hal yang Allah mengetahui bahawa diriku bersih dari perbuatan tersebut, tentulah kalian akan mempercayainya. Demi Allah, aku tidak menemukan perumpamaan bagi diriku dan kalian kecuali perkataan bapa Yusuf iaitu, "Maka bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya. Dan Allah jualah yang dimohon pertolonganNya terhadap apa yang kalian katakan itu.""

Kemudian 'Aisyah r.a. berbaring di atas peraduannya sambil memalingkan tubuhnya. Saat itu Beliau merasa yakin bahawa dirinya bersih dan Allah pasti akan membersihkan dirinya dari berita bohong itu.

Akan tetapi, 'Aisyah r.a. tidak berharap bahawa akan ada wahyu yang diturunkan mengenai dirinya, kerana Beliau merasa dirinya terlalu rendah untuk disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu yang dibaca. Tetapi Beliau berharap Allah akan membersihkan dirinya dalam mimpi Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. masih belum meninggalkan tempat duduknya dan tiada seorang pun dari ahlul bait yang keluar dari rumahnya, hingga turunlah wahyu kepada Beliau. Maka Beliau s.a.w. kelihatan keberatan, payah, hingga tubuhnya mengucurkan peluh seperti mutiara, padahal waktu itu musim dingin, kerana beratnya wahyu yang sedang diturunkan kepada Beliau s.a.w.

Setelah wahyu selesai diturunkan, Rasulullah s.a.w. tersenyum. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah, "Bergembiralah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah telah membersihkan dirimu."

Ibu 'Aisyah r.a. berkata kepadanya, "Mendekatlah kamu kepadanya."  'Aisyah r.a. menjawab, "Demi Allah, aku tidak mahu mendekatiya dan aku tidak mahu memuji kecuali hanya kepada Allah s.w.t. yang telah menurunkan pembersihan diriku."

Peristiwa tersebut membuat Allah s.w.t. cemburu (murka) demi 'Aisyah r.a. dan NabiNya s.a.w. Maka Allah s.w.t. menurunkan wahyu yang membersihkan kehormatan Siti Aisyah demi memelihara kehormatan Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"11. Sesungguhnya orang-orang yang datang dengan berita bohong golongan di antara kalian." 

Sesungguhnya orang-orang yang membawa kedustaan, kebohongan dan berita rekaan itu adalah dari golongan kalian juga, golongan yang menisbatkan diri kepada kalian. Mereka sejumlah orang dari kalangan kalian sendiri; bukan satu atau dua orang, tetapi segolongan orang.

Di antara mereka ada yang mukmin namun tertipu oleh buaian kaum munafik. Di antara mereka juga ada orang-orang munafik. Berita bohong ini tertuju kepada isteri Rasulullah s.a.w. 'Aisyah r.a. Ummul Mu'minin, setelah perang dengan Bani Mushtaliq bulan Sya'ban 5 H.

"Kalian jangan mengiranya buruk bagi kalian, tetapi ia lebih baik bagi kalian." 

Janganlah kalian menyangka berita bohong itu buruk bagi kalian (wahai keluarga Abu Bakar). Sebenarnya berita bohong itu mengandung kebaikan bagi kalian di dunia dan akhirat. Di dunia ia membuktikan kejujuran lisan kalian. Di akhirat kalian akan memperoleh kedudukan yang tinggi.

Peristiwa itu menonjolkan kehormatan mereka kerana Aisyah r.a. mendapat perhatian dari Allah s.w.t. saat Allah menurunkan wahyu yang membersihkan dirinya di dalam Al Qur'an yang mulia, disebut tinggi namanya, sampai pujian itu mengena juga kepada semua ummahatul mukminin (isteri-isteri Nabi s.a.w. yang lain).

Di dalamnya juga terdapat penjelasan terhadap ayat-ayat yang diperlukan manusia, dan sentiasa diberlakukan sampai hari kiamat. Semuanya terdapat kebaikan yang besar, kalau tidak ada peristiwa itu, tentu tidak ada beberapa kebaikan ini.

"Tiap-tiap seorang dari mereka apa yang dia kerjakan dari dosa." 

Setiap orang dari mereka yang membawa kebohongan akan mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Mereka akan disiksa sesuai ucapannya.

Bagi setiap orang di antara mereka yang membicarakan peristiwa itu dan menuduh Ummul Mu’minin Siti Aisyah r.a. berbuat keji (zina) akan mendapat bahagian dari azabnya yang besar. Nabi s.a.w. pun menegakkan had terhadap mereka.

"Dan yang mengambil bahagian terbesarnya di antara mereka, baginya azab yang besar." 

Orang yang mengambil bahagian yang terbesar dari dosa yang dilakukannya dalam penyiaran berita bohong adalah orang yang pertama mencetuskan, membicarakan, menghimpun, menambah-nambah dan yang menyebarkan berita bohong.

Orang yang mengambil bahagian terbesar dalam kebohongan tentang 'Aisyah r.a. adalah Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, tokoh munafik. Maka orang-orang sepertinya akan mendapat azab yang besar sebagai pembalasan dari perbuatannya itu.

Abu Ayub Khalid ibnu Zaid Al Ansari ditanya oleh isterinya (Ummu Ayub), "Wahai Abu Ayub, tidakkah engkau mendengar apa yang dikatakan oleh orang ramai tentang Aisyah" Abu Ayub menjawab, "Ya, berita tersebut adalah dusta. Adakah engkau berani melakukan hal tersebut, wahai Ummu Ayub?" Ummu Ayub menjawab, "Tidak, demi Allah, aku benar-benar tidak akan melakukan hal tersebut." Maka Abu Ayub menjawab, "Aisyah, demi Allah, lebih baik daripada kamu."

Allah s.w.t. berfirman,

"12. Mengapa tidak ketika kalian mendengarnya menyangka orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan terhadap diri mereka baik," 

Mengapa ketika orang-orang mukmin dan mukminat mendengar berita buruk itu, mereka tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri? Sepatutnya mereka bersangka baik terhadap orang yang dituduhkan itu seperti yang dikatakan oleh Abu Ayub dan isterinya. Menurut pendapat yang lain, orang yang bersangka baik itu hanyalah Ubay ibnu Ka'b.

Terlebih lagi Ummul Mu’minin adalah orang yang ahli kebaikan dan lebih utama sebagai ahli kebaikan. Hal ini berkaitan dengan hati, iaitu batin orang berkenaan. Keimanan dalam diri mereka akan menolak berita dusta.

Disebut “terhadap diri mereka” kerana celaan yang ditujukan kepada orang mukmin yang lain sama saja mencela diri sendiri. Kaum mukmin seperti sebuah jasad, seperti sebuah bangunan, satu sama lain saling menguatkan.

Jika seseorang tidak bersikap seperti ini, maka yang demikian menunjukkan imannya lemah dan tidak memiliki sikap nasihah (tulus) terhadap kaum muslimin.

"dan mereka berkata, "Ini berita bohong yang nyata."" 

Sepatutnya ketika kalian mendengar berita bohong, lisan kalian berkata, "Ini adalah suatu berita dusta dan bohong belaka.” Tuduhan buruk yang mereka lontarkan terhadap 'Aisyah r.a. hanyalah bohong dan rekaan belaka, tuduhan keji dan transaksi yang merugikan pelakunya.

Sesungguhnya kejadian yang sebenarnya sama sekali tidak mengandungi hal yang mencurigakan, sebab 'Aisyah r.a. datang dengan mengenderai unta Safwan ibnul Mu'attal di waktu tengah hari, sedangkan semua pasukan menyaksikan kedatangan tersebut dan Rasulullah s.a.w. ada di antara mereka.

Seandainya hal tersebut mengandung kecurigaan, tentulah kedatangan tersebut tidak dilakukan secara terang-terangan. Tentu mereka dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh orang lain.

"13. Mengapa tidak mereka mendatangkan atasnya empat saksi-saksi?"

Sepatutnya mereka yang menuduh itu membawa empat orang saksi yang adil lagi diridhai untuk membuktikan dan mempersaksikan kebenaran atas berita bohong yang mereka tuduhkan itu.

"Maka jika tidak mereka datang dengan saksi-saksi, maka mereka itu di sisi Allah mereka adalah orang-orang yang berdusta." 

Oleh kerana mereka tidak membawa saksi-saksi, maka mereka dalam pandangan Allah orang-orang yang berdusta lagi derhaka, walaupun mereka yakin bahawa diri mereka benar, namun di sisi Allah mereka berdusta. Hal ini kerana besarnya kehormatan seorang muslim. Tidak boleh asal menuduhnya tanpa ukuran persaksian yang dianggap benar, iaitu empat orang saksi.

"14. Dan kalau tidak kurnia Allah atas kalian dan RahmatNya di dunia dan akhirat, nescaya menimpa kalian di dalam apa yang kalian bicarakan padanya azab yang besar." 

Seandainya bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kalian semua di dunia dan di akhirat, tentu kalian ditimpa azab yang besar. Kalian berhak menerimanya kerana pembicaraan kalian tentang berita bohong itu.

Akan tetapi, Dia mensyariatkan kepada kalian taubat dan menjadikan hukuman sebagai penebus dosa. Taubat kalian dan permohonan ampun kalian kepadaNya diterima di dunia ini dan Dia memaaf kalian berkat iman kalian bila kalian telah berada di kampung akhirat nanti.

Hal ini berkenaan dengan orang yang memiliki iman. Berkat keimanannya itu Allah menerima taubatnya, seperti Mistah ibnu Asasah, Hassan ibnu Sabit, dan Hamnah binti Jahsy (saudara perempuan Zainab binti Jahsy).

Adapun orang-orang yang berkata buruk dari kalangan orang-orang munafik, seperti Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul dan teman-temannya; maka mereka bukanlah termasuk orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini kerana mereka tidak memiliki iman, amal soleh dan sesuatu yang dapat mengimbangi dan menghapus kesalahan mereka.

"15. Ketika kalian menerimanya dengan lisan kalian" 

Ingatlah, ketika kalian menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut. Kalian membicarakan sesuatu yang batil. Sebahagian kalian membicarakannya dari sebahagian yang lain, seseorang mengatakan bahawa berita itu dia terima dari si Fulan, kemudian si pendengar menceritakannya lagi kepada orang lain hingga seterusnya, sampai berita itu menyebar.

"dan kalian mengatakan dengan mulut-mulut kalian apa yang tidak bagi kalian dengannya ilmu," 

Kalian berbicara tanpa ilmu. Kalian mengatakan apa yang tidak kalian ketahui sedikit pun. Membicarakan sesuatu yang batil dan berbicara tanpa ilmu, keduanya adalah perkara haram

"dan kalian mengiranya ringan. Dan itu di sisi Allah besar." 

Kalian menganggap perbuatan menyebarkan berita bohong, umpatan dan fitnah itu suatu yang remeh, ringan, tidak bererti dan tidak ada dosa di sana. Padahal pada pandangan Allah ia sebenarnya adalah soal besar.

Seandainya yang dijadikan bahan umpatan atau fitnah kalian itu bukan isteri Nabi s.a.w., maka hal tersebut tetap bukanlah merupakan hal yang ringan, terlebih lagi subjeknya adalah isteri Nabi.

Maka alangkah besar dosanya di sisi Allah bila ada sesuatu hal yang menyangkut diri isteri Nabi dan RasulNya dijadikan bahan fitnah dan umpatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. cemburu dengan terjadinya hal tersebut, sangat jauh dari kemungkinan bila ada isteri seorang nabi yang melakukan hal tersebut.

Apabila disebutkan suatu hal yang tidak patut tentang diri orang-orang baik, maka tindakan yang paling baik ialah bersangka baik. Janganlah ada perasaan lain dalam diri kalian. Jika dalam diri kalian terpaut sesuatu kecurigaan, janganlah kalian membicarakannya. Simpanlah ia di dalam hati saja.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah s.w.t. memaaf umatku terhadap apa yang dibisikkan oleh hatinya, selagi dia tidak membicarakannya atau mengerjakannya."

"16. Dan mengapa tidak ketika kalian mendengarnya kalian katakan, "Tidak ada bagi kami untuk kami membicarakan dengan ini.""

Sepatutnya ketika kalian mendengar berita bohong itu, kalian berkata, "Tidak sepatutnya kita bercakap tentang hal ini dan tidak sepatutnya kita menceritakannya kepada orang lain."

"Mahasuci Engkau, ini dusta yang besar.""

Kalimat tasbih disunahkan diucapkan ketika kehairanan (takjub). Mahasuci Engkau Ya Allah Tuhan kami dari semua keburukan dan dari memberikan bala’ kepada hamba-hamba pilihanNya dengan menjadikan mereka mengerjakan perkara-perkara keji. Mahasuci Allah bila dikatakan hal ini terhadap isteri RasulNya yang paling dicintainya. Ini adalah kebohongan yang besar.

"17. Allah menasihati kalian agar kalian kembali seperti itu selamanya," 

Allah s.w.t. memperingatkan, melarang dan mengancam kalian agar tidak menuduh orang mukmin berbuat keji lagi di masa mendatang dan untuk selama-lamanya. Sebaik-baik nasihat adalah nasihat Allah, oleh kerana itu kita wajib menerima, tunduk dan bersyukur kepadaNya.

"jika kalian orang-orang yang beriman." 

Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan syariatNya serta memuliakan RasulNya. Iman yang benar akan menghalangi pemiliknya dari mengerjakan perbuatan haram. Adapun mengenai orang yang dicap sebagai orang kafir, maka ada ketentuan hukum lain terhadapnya.

"18. Allah menjelaskan bagi kalian ayat-ayat." 

Allah menerangkan kepada kalian ayat-ayatNya yang mengandungi hukum-hukum syariat, hikmah-hikmah yang terkandung di dalam takdir, nasihat, larangan, targhib, tarhib dan sebagainya.

"Dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana." 

Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang bermaslahat bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang apa yang perlu diperintahkan dan dilarang kepada kalian. Dia Mahabijaksana dalam menetapkan syariat dan takdirNya. Dia Mahabijaksana dalam perintah dan larangan itu.

Dia menerangkan hikmah dari perintah dengan menerangkan kebaikan yang ada di dalamnya, dan menerangkan hikmah dari larangan itu dengan menerangkan keburukan yang menghendaki untuk ditinggalkan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...