Isnin, 25 April 2016

23:1-11 Tafsir Surah Al Mu’minun, ayat 1-11.

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (١) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ (٢) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (٣) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (٤) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٥) إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٧) وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (٨) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (٩) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (١٠) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (١١)

Siti Aisyah Ummul Mu’minin pernah ditanya, "Bagaimanakah akhlak Rasulullah s.a.w.?" Siti Aisyah r.a. menjawab, "Akhlak Rasulullah s.a.w. adalah Al Qur'an." Kemudian Siti Aisyah r.a. membaca Surah Al Mu'minun 1-9. Kemudian Siti Aisyah r.a. berkata, "Demikianlah akhlak Rasulullah s.a.w."

Allah s.w.t. menciptakan syurga 'Adn dengan tangan (kekuasaan)Nya sendiri. Bangunannya dibuat dari batu bata emas, perak, intan putih, yaqut merah dan zabarjad hijau dan batu bata kerikilnya dari mutiara. Plasternya dari minyak kesturi. Allah s.w.t. juga memberinya tanam-tanaman, menjuntaikan buah-buahannya, rerumputannya dari za'faran serta membelah sungai-sungainya.

Maka Allah s.w.t. memandangnya dan berfirman kepadanya, "Berbicaralah kamu!" Lalu syurga 'Adn mengatakan, "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman." Maka para malaikat memasukinya dan mereka berkata, "Beruntunglah engkau sebagai tempat para raja."

Allah s.w.t. berfirman, "Demi keagungan dan kebesaranKu, tidak boleh ada seorang bakhil pun bertempat padamu berdampingan denganKu.”

Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firmanNya: "Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Al-Hasyr: 9)

Syurga 'Adn berkata demikian kerana semua kehormatan yang disediakan oleh Allah s.w.t. di dalamnya bagi orang-orang mukmin. Lalu Allah s.w.t. menyitirkan kalimat tersebut di dalam Kitab (Al Qur'an)Nya.

"1. Sungguh telah beruntung orang-orang mukmin." 

Orang-orang yang beriman beruntung, berbahagia dan berjaya mendapatkan apa yang diinginkan kerana beriman kepada Allah dan RasulNya. Mereka mempunyai ciri khas seperti berikut, iaitu:

"2. Orang-orang yang mereka dalam solat mereka, mereka khusyu'." 

Khusyu’ ertinya ketenangan hati, hadirnya hati dan diamnya anggota badan. Khusyu’ merupakan ruhnya solat, semakin besar kekhusyu’an seseorang, maka semakin besar pahalanya. Mereka adalah orang-orang yang takut kepada Allah lagi tenang. Ketenangan hati mereka membuat mereka menundukkan pandangan matanya dan merendahkan dirinya.

Dahulu Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya selalu mengarahkan pandangan mata mereka ke langit dalam solatnya. Tetapi setelah Allah menurunkan ayat (Al Mu’minun: 1-2) Maka sejak saat itu mereka merundukkan pandangan matanya dan tidak melampaui tempat sujudnya. Dan apabila ada seseorang yang telah terbiasa memandang ke arah langit, hendaklah ia memejamkan matanya.

Khusyuk dalam solat itu tiada lain hanya dapat dilakukan oleh orang yang memusatkan hati kepada solatnya, menyibukkan dirinya dengan solat, dan melupakan hal yang lainnya serta lebih baik mementingkan solat daripada hal lainnya. Dalam keadaan seperti ini barulah seseorang dapat merasakan ketenangan dan kenikmatan dalam solatnya.

Muhammad ibnul Hanafiyah bersama ayahnya (Ali ibnu Abu Talib r.a.) pernah berkunjung ke rumah salah seorang iparnya dari kalangan Ansar, lalu datanglah waktu solat, kemudian Ali r.a. berkata, "Hai budak perempuan, ambilkanlah air wudu, aku akan mengerjakan solat agar hatiku terhibur." Ketika ia memandang ke arah kami yang merasa hairan dengan ucapannya, maka ia berkata bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Beriqamahlah, hai Bilal, dan hiburlah hati kami dengan solat."

"3. Dan orang-orang yang mereka dari perbuatan tidak berguna, mereka menjauhkan diri." 

Mereka menjauhi perkataan dan perbuatan yang musyrik, maksiat, tidak berguna, tiada kebaikan, tiada faedah dan yang haram. Apabila seseorang mampu mengendalikan anggota badan yang paling ringan digerakkan (lisan), maka sudah tentu dia dapat mengendalikan anggota badan yang lain.

Nabi s.a.w. bersabda kepada Mu’adz bin Jabal, “Mahukah kamu aku beritahukan penopang semua itu?” Mu’adz berkata, “Ya, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda, “Jagalah ini (lisan)."

Apabila mereka terserempak dengan perbuatan-perbuatan yang tidak berguna, mereka lalui saja dengan menjaga kehormatan dirinya. Mereka telah diberi kekuatan oleh Allah yang membuat mereka dapat melakukan hal tersebut.
Mereka berbuat ihsan dalam beribadah kepada Allah, iaitu dengan berbuat khusyu’ dan berbuat ihsan kepada manusia dengan membayar zakat.

"4. Dan orang-orang yang mereka pada zakat, mereka menunaikan." 

Prinsip zakat telah difardukan sejak di Mekah. Ayat ini adalah ayat Makkiyyah. Zakat dalam ayat ini ialah zakatun nafs atau zakat jiwa iaitu membersihkan diri dari kemusyrikan dan kekotoran. Zakat harta benda yang mempunyai nisab dan takaran khusus baru difardukan setelah di Madinah, iaitu pada tahun dua Hijriah. Orang mukmin yang sempurna ialah orang yang menunaikan zakat jiwa dan zakat harta bendanya.

"5. Dan orang-orang yang mereka pada kemaluan mereka, mereka menjaga." 

Mereka memelihara kemaluan mereka dari perbuatan yang diharamkan, seperti zina, homoseksual, dan sebagainya. Memelihara kemaluan dapat disempurnakan jika seseorang menjauhi semua yang mendorong kepada zina, seperti memandang wanita, menyentuhnya, dan sebagainya.

"6. Kecuali atas isteri-isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka;" 

Mereka tidak mendekati selain dari isteri-isteri mereka yang dihalalkan oleh Allah bagi mereka, atau hamba-hamba perempuan yang mereka miliki seluruh jasadnya (milik hanya seorang majikan) dari tawanan perangnya, bukan hamba belian yang didapat di luar peperangan.

"maka sungguh mereka tidak tercela." 

Barang siapa yang melakukan hal-hal yang dihalalkan oleh Allah, maka tiada tercela dan tiada dosa baginya kerana Allah telah menghalalkannya.

"7. Maka barang siapa yang mencari di belakang itu," 

Iaitu selain isteri dan hamba sahaya.

"maka mereka itu, mereka orang-orang yang melampaui batas." 

Keumuman ayat ini menunjukkan haramnya nikah mut’ah, kerana wanita itu bukan isterinya yang hakiki yang maksudnya adalah tetap kekal.

"8. Dan orang-orang yang mereka pada amanat-amanat mereka dan janji mereka, mereka memelihara." 

Mereka berusaha melaksanakan dan memenuhinya, baik amanah yang di dalamnya terdapat hak Allah maupun yang di dalamnya terdapat hak manusia. Apa yang Allah wajibkan kepada hamba merupakan amanah, seorang hamba wajib melaksanakannya, seperti solat lima waktu, zakat, puasa di bulan Ramadhan, dsb.

Sedangkan amanah yang di sana terdapat hak manusia adalah apa yang dipercayakan atau dibebankan mereka kepada kita, seperti menjaga harta yang mereka titipkan, melaksanakan tugas yang dibebankan mereka, dsb. Apabila mereka dipercaya, tidak berkhianat; bahkan menunaikan amanat itu kepada pemiliknya.

Mereka memelihara janjinya baik antara mereka dengan Allah, maupun antara mereka dengan sesamanya. Apabila mereka berjanji atau mengadakan transaksi, maka mereka menunaikannya dengan benar, tidak seperti sikap orang-orang munafik.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pertanda orang munafik ada tiga, iaitu, "Apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, ingkar; dan apabila dipercaya, khianat."

"9. Dan orang-orang yang mereka atas solat-solat mereka, mereka memelihara." 

Mereka menjaga waktu-waktu solat, mengerjakan solat secara rutin tepat pada permulaan waktunya masing-masing. Mereka juga menjaga syarat dan rukunnya, yang wajibnya dan melakukan adab-adabnya.

Allah memuji mereka kerana solat mereka yang khusyu’ dan kerana mereka menjaganya, dengan demikian solat mereka menjadi sempurna, kerana tidak mungkin solat seseorang sempurna, jika selalu memeliharanya namun tidak khusyu’ atau khusyu’ dalam solatnya namun tidak memeliharanya.

Allah s.w.t. membuka penyebutan sifat-sifat yang terpuji itu dengan menyebutkan solat, kemudian diakhiri pula dengan penyebutan solat. Hal ini menunjukkan keutamaan solat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bersikap istiqamah (lurus)lah, dan sekali-kali (pahala) kalian tidak akan dihitung-hitung, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amal kalian adalah solat; dan tiada yang dapat memelihara wudu, melainkan hanya orang mukmin."

"10. Mereka itu orang-orang yang mewarisi." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kalian meminta syurga kepada Allah, maka mintalah kepadaNya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus itu adalah syurga yang tertinggi dan paling pertengahan, darinya bersumberkan semua sungai syurga, dan di atasnya terdapat 'Arasy (singgasana) Tuhan Yang Maha Pemurah."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang pun di antara kalian melainkan mempunyai dua tempat tinggal, iaitu tempat tinggal di syurga dan tempat tinggal di neraka. Jika ia mati dan ternyata masuk nereka, maka penduduk syurga mewarisi tempat tinggalnya (yang ada di syurga). Yang demikian itu disebutkan dalam firmanNya, "Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi" (Al Mu’minun: 10)

Setiap hamba (Allah) mempunyai dua tempat tinggal, iaitu tempat tinggal di syurga dan tempat tinggal di neraka. Pada asalnya setiap manusia diciptakan agar beribadah kepada Allah semata, tiada sekutu bagiNya.

Orang-orang mukmin mengerjakan semua ibadah yang diperintahkan kepada mereka. Ketaatan mereka itu membangun rumahnya yang berada di dalam syurga dan merobohkan rumahnya yang ada di neraka.

Sedangkan orang-orang kafir meninggalkan apa yang mereka diciptakan untuk mengerjakannya (iaitu beribadah kepada Allah), kekafiran mereka itu merobohkan rumahnya yang ada di dalam syurga dan membangun rumahnya yang ada di neraka.

Maka orang-orang mukmin merebut bahagian dan mewarisi tempat-tempat tinggal orang-orang kafir seandainya mereka taat kepada Tuhannya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Segolongan orang dari kalangan kaum muslim didatangkan kelak pada hari kiamat dengan membawa dosa-dosa yang sebesar-besar gunung, lalu Allah memberikan ampunan bagi mereka dan menimpakan dosa-dosa itu kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila hari kiamat telah terjadi, Allah menyerahkan kepada setiap orang muslim seorang Yahudi atau seorang Nasrani, lalu Allah berfirman, "Inilah tebusanmu dari neraka.”

"11. Orang-orang yang mewarisi syurga Firdaus." 

Iaitu syurga yang paling tinggi, tengahnya dan yang paling utama. Juga tertuju kepada semua syurga sehingga mengena kepada semua kaum mukmin sesuai darjat dan martabat mereka.

"Mereka di dalamnya mereka kekal." 

Mereka tidak ingin pindah daripadanya kerana di dalamnya keperluan mereka terpenuhi dan mendapatkan semua kesenangan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...